Anda di halaman 1dari 5

Sememangnya jenayah pemerdagangan manusia menjadi semakin serius dan ini menjadi isu

global. Hal ini kerana bukan sahaja Malaysia yang dijadikan tempat penyeludupan manusia

malah negara-negara jiran juga turut dijadikan tempat untuk kegiatan pemerdagangan

manusia. Berdasarkan Aronowitz (dalam Syamsuddin, 2015):

konsep pemerdagangan manusia adalah merujuk kepada suatu tindakan pengambilan,

pengangkutan, pemindahan, pelindungan atau penerimaan orang melalui kaedah

ancaman atau kekerasan, paksaan, penculikan, penipuan, pembohongan,

penyalahgunaan kuasa atau dengan cara memberi bayaran, rasuah atau faedah kepada

orang yang berada dalam kawalan sindiket. Matlamatnya ialah bertujuan untuk

mengeksploitasi seperti eksploitasi pelacuran, eksploitasi seks, eksploitasi tenaga

buruh paksa atau perkhidmatan, perhambaan ataupun amalan yang serupa dan

pemindahan organ tubuh manusia (ms. 15).

Justeru itu, kesannya sudah pasti akan menimbulkan kerisauan terhadap keselamatan

rakyat sekiranya perkara ini tidak dapat dibendung kerana situasi ini mampu mengundang

kepada berlakunya gejala negatif yang lain. Misalnya, mangsa jenayah pemerdagangan

manusia sering dijadikan sebagai hamba seks, pelacur, buruh paksa dan pengemis upahan.

Oleh itu, pelbagai usaha yang harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam membanteras

jenayah pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia.


Prakarsa utama yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan dalam usaha membanteras

jenayah pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia adalah mengadakan kempen

kesedaran. Perkara ini penting kerana masyarakat akan terdedah dengan maklumat berkaitan

dengan jenayah pemerdagangan manusia dan secara tidak langsung mereka dapat membantu

pihak kerajaan menjadi “mata-mata” dalam usaha membanteras jenayah ini.

Dengan mengadakan kempen kesedaran ini, orang awam juga lebih sedar akan

tanggungjawab mereka dalam usaha membendung aktiviti pemerdagangan manusia. Pelbagai

bentuk komunikasi boleh digunakan bagi melaksanakan program kesedaran masyarakat

secara besar-besaran untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat tentang bahaya

jenayah pemerdagangan manusia, termasuk kesannya terhadap hak asasi manusia dan

keselamatan negara (Majlis Antipemerdagangan Orang 2010-2015, 2010). Misalnya,

kempen yang diadakan mestilah mempamerkan gambar-gambar yang dapat menakutkan

masyarakat seperti kesan pemerdagangan manusia terhadap pendidikan dan negara.

Selain itu, sistem seperti sistem laporan dan perkhidmatan atas talian “hotline” perlu

disediakan bagi kemudahan orang awam membuat laporan tentang jenayah pemerdagangan

manusia yang berlaku di sekeliling mereka dengan cepat dan mudah (Majlis

Antipemerdagangan Manusia 2010-2015, 2010). Sikap cakna orang awam tentang isu ini

boleh mengurangkan jenayah pemerdagangan manusia keluar masuk di sempadan negara ini.

Oleh itu, pihak kerajaan boleh mengiklankan kempen kesedaran ini menerusi media

massa elektronik dan bercetak, seterusnya dipaparkan di sekolah dan di tempat awam seperti

pasar raya, perhentian bas dan kawasan kedai-kedai makan agar orang awam mudah

mendapat maklumat berkaitan dengan kempen yang akan diadakan. Tegasnya, jenayah

pemerdagangan manusia dapat dikurangkan dan tahap keselamatan awam dapat ditingkatkan

melalui kempen-kempen kesedaran tentang jenayah pemerdagangan manusia.


Pada masa yang sama, salah satu langkah menangani masalah pemerdagangan

manusia ialah melaksanakan dasar dan undang-undang (Majlis Antipemerdagangan Orang

2010-2015, 2010; Kartini Aboo Talib, 2015; Zuraini Ab. Hamid, 2019). Undang-undang

perlulah diperketatkan dengan penubuhan akta-akta yang mempunyai peranan dalam

membanteras jenayah pemerdagangan manusia. Akta-akta yang ditubuhkan mestilah

merangkumi tahap siasatan, perlindungan dan pendakwaan selaras dengan kehendak semasa.

Sebagai contoh, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja melakukan siasatan

terhadap jenayah pemerdagangan manusia bahkan mereka juga bertanggungjawab terhadap

mangsa pemerdagangan manusia sepanjang tempoh Interim Protection Order (IPO).

Pihak PDRM perlu menguruskan mangsa ke klinik kesihatan atau hospital sekiranya

mangsa sakit dan mangsa akan diserahkan kepada pihak rumah perlindungan selepas

mahkamah menjatuhkan perintah Protection Order (PO) (Nafisah Ilham Hussin et al., 2018).

Hal ini penting agar keselamatan mereka terjamin sebelum dihantar pulang ke kampung

halaman masing-masing. Di Malaysia, undang-undang Anti-Trafficking in Persons Act

diperkenalkan pada 11 Julai 2007 yang komprehensif bertujuan untuk memerangi aktiviti

jenayah pemerdagangan manusia. Jika dasar dan undang-undang ini dapat dilaksanakan

dengan lebih ketat dan berkesan, sudah tentu jenayah pemerdagangan manusia di sempadan

Malaysia dapat dibanteras.

Di samping itu, kerjasama antara pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan

juga merupakan salah satu inisiatif yang dapat memudahkan lagi dalam usaha membanteras

aktiviti pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia. Hal ini kerana hubungan kerjasama

yang terjalin adalah sangat penting agar keputusan yang positif dapat dicapai dalam

menangani isu jenayah pemerdagangan manusia.


Terdapat pelbagai NGO yang boleh menyumbangkan bantuan daripada pelbagai

aspek seperti bantuan kesukarelawan dan tempat perlindungan sementara kepada mangsa

supaya mereka dapat dibawa pulang ke negara asal mereka dengan selamat. Sebagai contoh,

NCWO (National Council of Women Organizations) menjalankan program latihan kepada

pelatih (TOT) yang melibatkan guru, pelajar, jururawat, pegawai kerajaan dan NGOs bagi

melatih mereka mengenai bentuk bantuan kesukarelawan yang boleh dijalankan.

Dalam pada masa yang sama, beban yang ditanggung oleh pihak kerajaan dari segi

kos perbelanjaan dapat diringankan sekiranya kerajaan Malaysia memberi lebih banyak ruang

dan peluang kepada badan-badan bukan kerajaan untuk membantu (Zuraini Ab. Hamid,

2019). Jelaslah bahawa kerjasama antara pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan

dapat mengatasi masalah jenayah pemerdagangan manusia.

Seterusnya, aktiviti jenayah pemerdagangan manusia ini dapat dibanteras dengan

pengawalan di sempadan Malaysia yang kurang berpenghuni yang sering menjadi sarang

sindiket-sindiket yang melakukan aktiviti haram secara berleluasa. Kawalan di sempadan

juga boleh dilakukan dengan cara memperketatkan kemasukan pelancong asing serta

mengawal pintu masuk sempadan dengan lebih teliti. Pihak kerajaan mestilah mengerahkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM, askar-askar bahkan mana-mana pihak berkuasa yang

bertanggungjawab dalam menjaga sempadan negara supaya lebih berhati-hati serta

memperkukuhkan lagi kawalan mereka agar sindiket pemerdagangan manusia ini tidak dapat

masuk ke negara dengan sewenang-wenangnya.

Justeru itu, rondaan yang kerap juga perlu dilakukan bagi mengelakkan penggunaan

pintu masuk haram dengan tujuan penyeludupan manusia. Contohnya, pasukan keselamatan

Malaysia menjalinkan kerjasama dengan negara-negara jiran dengan melakukan operasi

rondaan dan berkongsi maklumat tentang taktik dan mengenal pasti lokasi ‘lubang-lubang
tikus”. Dengan pengawalan pintu masuk di sempadan Malaysia yang lebih ketat, sindiket ini

tidak dapat memasuki ke negara dengan mudah.

Kesimpulannya, kegiatan pemerdagangan manusia merupakan suatu jenayah yang

harus dibanteras bersama-sama oleh Malaysia dan negara-negara jiran kerana inilah salah

satu punca yang menyebabkan kehilangan kanak-kanak dan hal ini bukan sahaja telah

membimbangkan para ibu bapa malah setiap lapisan masyarakat di negara. Sesungguhnya,

jenayah pemerdagangan manusia ini sukar untuk dibanteras sekiranya kerajaan dan

masyarakat tidak bergading bahu dalam usaha untuk mengatasinya kerana bertepuk sebelah

tangan tidak akan berbunyi. Oleh yang demikian, semua pihak harus bekerjasama dalam

membanteras kegiatan jenayah pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia agar

keselamatan dan keamanan negara serta rakyat terjamin.

Anda mungkin juga menyukai