Anda di halaman 1dari 4

CERITA PENGEMIS DAN ISTERI CANTIK

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan diruang tamu,
datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka.
"Tolonglah encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi." Dengan
muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan
menengking si pengemis itu. Dalam hatinya berkata "Aku membina perniagaan
hingga berjaya bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri
tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada
niat untuk bersedekah.
Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi
miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut
menderita sepertinya. Setahun kemudian, isteri yang masih cantik itu berkahwin
pula dengan lelaki lain.
Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan,
tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan.
Mendengar rayuan pengemis itu si suami menyuruh isterinya menghidangkan
sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan
nasi kepada pengemis itu, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri
mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suamiya yang dulu pernah
menengking seorang pengemis. Suami yang baru itu menjawab dengan tenang.
"Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu!".
Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan
tidak selalunya diatas. Ada masa ketikanya kita akan turun kebawah dan naik
semula atau sebaliknya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : "Sedekah itu dapat menutup
tujuh puluh ribu kejahatan". Anas b. Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi
Muhammad s.a.w ada bersabda bermaksud : "Barang siapa mempunyai harta,
maka bersedekahlah dengan kekayaannya, barang siapa yang mempunyai ilmu,
maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga,
bersedekahlah dengan tenaganya".
BAJU ANAK KHALIFAH
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari, anak Omar b. Khattab pulang dari
sekolah sambil menangis. Ketika di tanya oleh ayahnya, anak itu menjawab:
"Teman-temanku di sekolah menghitung tampalan bajuku dan mengejek. Kata
mereka, lihatlah anak Amirul Mukminin bajunya bertampal-tampal seperti ini."
Mendengar pengaduan anaknya itu, timbullah rasa kasihan dalam hati Omar
terhadap anaknya. Oleh kerana itu beliau mengirim sepucuk surat kepada
Bendahari Negara meminta agar beliau dipinjamkan wang empat puluh dirham
dengan jaminan gajinya bulan depan di potong. Maka Bendahari Negara itu
mengirimkan surat jawapan yang berbunyi : "Wahai Omar, adakah engkau sudah
dapat memastikan bahawa engkau akan hidup sampai bulan depan?. Bagaimana
kalau kau mati sebelum membayar hutangmu?. Apa yang akan kamu perbuat
terhadap hutangmu itu di hadapan Allah?." Membaca surat itu maka Omar
tersungkur menangis lalu berkata kepada anaknya: Pergilah engkau wahai anakku
kesekolah sebagaimana biasanya kerana aku tidak dapat memperhitungkan umurku
walaupun sejam lagi."
KISAH NABI NUH MERAUNG TIDAK HENTI-HENTI
Nama asal Nabi Nuh a.s. bukanlah Nuh, tetapi suatu nama lain yang tidak
banyak di ketahui, meskipun Allah s.w.t. menyebut nama Nuh dalam Al-Quran.
Dalam bahasa Arab, makna "Nuh" ialah raungan atau tangisan yang berterusan.
Mengapa Nabi Allah itu di panggil Nuh mempunyai kisahnya yang sangat menarik
dan menjadi contoh yang berguna untuk umat manusia seluruhnya. Pada suatu hari
seekor anjing yang sangat ganjil lalu di hadapannya. Rupa anjing itu tidak seperti
anjing-anjing biasa yang lain. Ia bermata empat dan sudah tentu menarik perhatian
ramai termasuk Nabi Nuh a.s. sendiri pada zaman itu. Nabi Nuh pun menyuruh
anjing itu berhenti di depannya lalu bertanya : "Wahai anjing, aku lihat muka kau
ni begitu hodoh, mata engkau empat tidak seperti anjing yang lain. Mengapa jadi
begini?. Anjing itu pun menjawab : "Kau tanyalah siapa yang menjadikan aku. Kau
fikir aku yang menghendaki mukaku hodoh begini?. Tanyalah tuhan yang
menjadikan aku dan juga yang menjadikan engkau." Nabi Nuh a.s pun meraung
mendengarkan jawapan anjing hodoh itu, ia menangis tidak henti-henti . Terasa
benar kesalahannya mengkritik kejadian Tuhan. dia memohon keampunan dari
Allah s.w.t. diatas pertanyaanya yang tidak sengaja. Sejak itu namanya pun di
panggil Nuh (raungan) dan kekallah namanya Nabi Nuh di abadikan dalam Al-
Quran dan diampunkan dosanya oleh Allah s.w.t.
LELAKI YANG FAHAM BAHASA HAIWAN
Ada seorang lelaki yang memiliki beberapa ekor binatang ternakan dan
apabila ia mendengar bahawa Musa faham bahasa binatang, dia merayu Musa
supaya mengajar ilmu itu kepadanya, Setelah belajar, lelaki itu menggunakannya
untuk memahami perbualan binatang ternakannya. Dia mendengar ayam jantan
berkata kepada kuda bahawa kuda akan mati tidak lama lagi. Lelaki itu segera
menjual kudanya untuk mengelakkan kerugian. Beberapa hari kemudian, dengan
menggunakannya ilmunya lelaki itu terdengar ayam jantan memberitahu anjing
bahawa tidak lama lagi keldai akan mati. Jadi untuk mengelakkan kerugian, lelaki
itu menjual keldainya. Selepas peristiwa itu, sekali lagi ayam jantan berkata-kata
dengan binatang lain. Kata ayam jantan, hamba kepada lelaki itu akan mati tidak
lama lagi. Dengan senang hati lelaki itu menjual hambanya supaya dapat
mengelakkan kerugian. Dia gembira dengan tindakannya dan menganggap inilah
nilai ilmu yang ada padanya untuk membantu menguruskan kehidupannya
seharian. Suatu hari lelaki itu terdengar pula ayam jantan berkata kepada anjing
bahawa dia iaitu tuan mereka pula akan mati. Dalam ketakutan, lelaki itu pergi
menemui Musa dan meminta nasihat. Kata Musa : "Sekarang tuan boleh lah pula
menjual diri tuan." Fahamilah ajaran cerita ini bahawa kebolehan memahami orang
lain tidak berfaedah bagi mengisi keperluan kita yang paling besar iaitu mengurus
diri kita sendiri.

Anda mungkin juga menyukai