Anda di halaman 1dari 16

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO.

2
journal homepage: http://ejbl.kuis.edu.my eISSN: 2682-8987

Penilaian Semula Ciri Bahasa Melayu Klasik


Berdasarkan Perbandingan Inskripsi

The Reevaluation of Classical Malay Language Features


Based on Comparative Inscriptions

Zurina binti Abdullah1, Adi Yasran bin Abdul Aziz2

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk menilai semula ciri bahasa Melayu klasik (BMK) berdasarkan ciri
yang terdapat pada tiga batu bersurat pada abad ke-14, iaitu batu bersurat Terengganu
(1303), batu bersurat Pagaruyung, Minangkabau (1356) dan batu bersurat Minye Tujuh,
Aceh (1380). Kebanyakan pengkaji sebelum ini beranggapan bahawa ketiga-tiga batu
bersurat ini menjadi bukti permulaan zaman BMK berdasarkan tahun penghasilan batu-batu
bersurat tersebut yang dianggap sezaman dan beberapa ciri lain. Namun begitu, didapati
ciri-ciri bahasa Melayu klasik itu sendiri, terutama aspek sistem tulisan dan ejaan, kosa kata
dan tatabahasa tidak dikaji secara menyeluruh. Bagi menganalisis perbezaan ciri bahasa
Melayu klasik ini, kaedah analisis perbandingan teks akan dilakukan terhadap ketiga-tiga
batu bersurat tersebut. Hasil kajian mendapati bahawa inskripsi pada batu-batu bersurat ini
mempunyai ciri bahasa yang berbeza antara satu sama lain. Terdapat empat ciri bahasa
Melayu yang membezakan batu bersurat Terengganu dengan batu bersurat lain, iaitu batu
bersurat Terengganu menggunakan aksara Jawi, menggunakan kosa kata klasik, kata
pangkal ayat dan ayat yang panjang dan berulang-ulang, manakala batu bersurat lain tidak
menggunakannya. Penemuan ini membolehkan penilaian semula dibuat terhadap ciri bahasa
Melayu klasik. Ciri bahasa Melayu klasik telah dimurnikan dan berjaya membuktikan
bahawa hanya batu bersurat Terengganu sahaja yang menggunakan bahasa Melayu klasik
manakala yang lain masih tergolong dalam bahasa Melayu praklasik/kuno. Implikasi kajian
ini akan memberi manfaat kepada golongan pendidik di peringkat pra universiti dan juga
Institusi Pengajian Tinggi, para pelajar, penggubal-penggubal soalan dan seterusnya
pengkaji-pengkaji bahasa akan datang.

Kata kunci: Bahasa, Melayu, inskripsi, klasik, kuno

ABSTRACT

1
Zurina binti Abdullah calon PhD, Program Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia. Pensyarah di Jabatan
Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan, Pusat Pengajian Teras, Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Selangor. zurinaabdullah@kuis.edu.my.
2
Adi Yasran bin Abdul Aziz PhD, Prof. Madya di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan
Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. adi@upm.edu.my

18
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

This study aimed to reevaluate classical Malay Language features based on features found on
three inscribed stones in the 14th century namely Inscribed Stone of Terengganu (1303),
Inscribed Stone of Pagaruyung, Minangkabau (1356), and Inscribed Stone of Minye Tujuh,
Acheh (1380). Previous researchers reckoned that these three inscribed stones were the early
evidences of classical Malay Language period. This was based on the year of each inscribed
stone was produced that was regarded as of the same period, as well as other features.
Nevertheless, the available features such as writing system, spelling, vocabulary and
grammar of each inscribed stone were not thoroughly explored. In order to explore these
classical Malay Language features, comparative text analysis method was done on the three
inscribed stones. Results found that each inscribed stone has distinctive language features.
There are four Malay language features which distinguish Inscribed Stone of Terengganu
with the rest where it used Jawi characters, classic vocabulary, and long and repetitive
beginning of the sentence as well as the rest of the sentences. However, these features were
not used on the other inscribed stones. These findings enable the reevaluation of classical
Malay Language features. Classical Malay Language features were refined thus successfully
proven that Inscribed Stone of Terengganu was the only inscribed stone which used classical
Malay Language. On the other hand, the other inscribed stones still belong to pre-classical or
ancient Malay language. The implication of this research will benefit educators of pre-
university and higher learning institution, students, question setters and future language
researchers.

Keywords: language, Malay, inscribed stones, classical, ancient

Pendahuluan

Sejarah bahasa Melayu telah dicatatkan hampir beribu-ribu tahun yang lalu. Beberapa sarjana
Eropah seperti Hendrik Kern dari Belanda dan Robert Van Heine dari Austria telah
mengemukakan teori yang menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok
keluarga bahasa Austronesia. Teori ini berpendapat bahawa masyarakat Melayu berasal dari
Yunan, China, iaitu kelompok manusia yang berhijrah dan akhirnya menduduki beberapa
wilayah di Asia Tenggara. Ahli-ahli bahasa telah membahagikan perkembangan bahasa
Melayu kepada tiga tahap utama, iaitu bermula dengan bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu
klasik dan bahasa Melayu moden (Nik Safiah Karim et. al, 2010).

Kedatangan agama Hindu, Buddha, Islam dan penjajahan Eropah dalam tempoh yang
agak lama telah memberi kesan perbezaan yang ketara terhadap ketiga-tiga zaman
perkembangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu kuno dipercayai dipengaruhi oleh bahasa
Sanskrit dan agama Hindu yang kuat, manakala bahasa Melayu klasik (BMK) dipengaruhi
oleh bahasa Arab dan agama Islam, dan bahasa Melayu moden pula banyak menerima
pengaruh bahasa penjajah, iaitu bahasa Inggeris. Pengaruh tersebut juga turut memberi kesan
terhadap perkembangan sistem tulisan dalam setiap zaman tersebut, iaitu pada zaman Melayu
kuno menggunakan sistem tulisan dari India yang menggunakan aksara pallava, rencong dan
devanagari, manakala zaman Melayu klasik menggunakan sistem tulisan Jawi dan seterusnya
pada zaman Melayu moden diperkenalkan pula kepada sistem tulisan rumi.

Kajian ini merupakan satu penelitian terhadap pencirian bahasa Melayu klasik yang
telah disenaraikan oleh kebanyakan pengkaji khususnya ciri-ciri yang terdapat dalam Siri
Pendidikan Guru dan Sukatan Pelajaran Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM). Aspek ini

19
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

didapati menarik untuk dikaji kerana ciri-ciri yang telah dikemukakan dan diterima oleh
masyarakat ini didapati masih perlu penelitian yang lebih mendalam agar ciri-ciri bahasa
Melayu klasik yang lebih berpada akan dapat diperoleh. Pengkajian terhadap sesuatu bahasa
atau perkembangan bahasa perlu dianalisis dengan melibatkan tiga aspek utama, iaitu sistem
tulisan dan ejaan, kosa kata dan tatabahasa. Justeru, dalam kajian ini, dapatan yang akan
diperoleh nanti akan dikemukakan dan disusun semula mengikut keutamaan atau kata lain
yang akan digunakan adalah ciri-ciri bahasa yang mandatori.

Bahasa Melayu Klasik

Frasa asas terhadap bahasa Melayu klasik ialah perkataan klasik itu sendiri. Menurut definisi
yang dikemukakan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:798), klasik membawa
maksud (i) Serius dan abadi nilainya, (ii) Tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada
yang lain, (iii) (pakaian, reka bentuk, dsb) yang mempunyai gaya yang sederhana dan tidak
berubah mengikut masa; (iv) Mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat yang lazim (tipikal).
Berdasarkan definisi-definisi yang diberikan, dapat dilihat bahawa bahasa Melayu klasik
adalah satu bahasa yang digambarkan mempunyai nilai serta kedudukan yang tinggi pada
zamannya. Kenyataan ini selari dengan takrifan Asmah (dlm Noriah, 1999) terhadap
masyarakat Melayu klasik sebagai;

…zaman masyarakat Melayu yang sudah mengenali huruf … kegiatan


penulisan/perakaman dalam bentuk tulisan telah bertanggungjawab dalam
menstabilkan sebutan Bahasa dan sebutan ini menjadi tolok (model) bagi
masyarakat penutur pada amnya.

Ciri-ciri bahasa Melayu klasik yang dinyatakan oleh Siti Hajar (2011) adalah seperti berikut:

1. Ayatnya panjang dan berulang-ulang.


2. Bentuk ayat pasif dan songsang lazim digunakan.
3. Menggunakan gaya bahasa istana.
4. Menggunakan kosa kata klasik seperti ratna mutu manikam, edan kesmaran,
sahaya (saya), masyhgul (bersedih).
5. Banyak menggunakan kata pangkal ayat seperti sebermula, alkisah, hatta, adapun.
6. Banyak menggunakan partikel pun dan lah.
7. Menggunakan aksara Jawi, iaitu aksara yang dipinjam daripada bahasa Arab yang
telah ditambah dengan beberapa huruf tambahan.
8. Menerima pelbagai jenis kosa kata Arab dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa
seperti bidang ilmu keagamaan, undang-undang, kesusasteraan, pemerintahan dan
pentadbiran, perubatan, falsafah, tasawuf dan kata-kata umum.
9. Frasa dan ayat pengaruh Arab, terutama dalam kitab-kitab klasik Melayu seperti
frasa ketahuilah olehmu (daripada terjemahan I’lamL), maka kemudian daripada itu
(daripada amma ba’du); atau pada ayat sunat berbuka atas tamar dan lain-lain.
Frasa dan ayat bentuk ini wujud hasil terjemahan harfiah daripada teks-teks Arab.
10. Unsur-unsur falsafah Islam wujud dalam banyak tulisan Melayu seperti dalam
bidang ilmu Kalam, Tasawuf, ilmu Aqa’id al-Iman dan lain-lain. Hal ini berbeza
antara zaman Melayu kuno dengan pengaruh agama Hindu.

20
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

Permasalahan Kajian

Kajian ini dilakukan apabila timbul persoalan setelah membaca silibus Kertas Bahasa Melayu
Penggal 1 (2018) di peringkat STPM dan juga buku Siri Pendidikan Guru Bahasa Melayu I
(2011) yang menjelaskan bahawa terdapat bukti batu bersurat yang menjadi penanda kepada
perkembangan bahasa Melayu klasik. Pengkaji mendapati ciri-ciri BMK yang dinyatakan
sebelum ini kurang menepati ciri-ciri yang terdapat dalam manuskrip atau batu bersurat yang
ada dalam zaman BMK secara bersama. Selain itu, pengkaji mendapati pemilihan bukti batu
bersurat ini turut dipengaruhi oleh pendapat atau kajian daripada sarjana bahasa tentang
perkembangan BMK. Menurut Asmah (2008), BMK bermula dari abad ke-13 hingga abad ke-
17, manakala Awang Sariyan (1998) berpendapat bahawa BMK bermula pada abad ke-14
hingga abad 18.

Permulaan perkembangan BMK ini turut mempengaruhi pengkategorian bukti


permulaan BMK. Justeru, kajian ini dijalankan untuk mengemas kini beberapa ciri BMK yang
lebih berpada dan dipersetujui bersama di semua peringkat. Bagi kertas kerja ini, pengkaji
memfokuskan kepada ciri bahasa Melayu abad ke-14 sahaja dan menjadikan silibus Sijil
Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebagai titik tolak kajian. Dalam silibus STPM, terdapat
lima hasil pembelajaran dalam tajuk Bahasa Melayu Klasik, iaitu memerlukan calon dapat
menjelaskan konsep BMK, mengenal pasti ciri BMK, memerihalkan perkembangan aksara
Jawi, menyatakan bahan bukti tentang penggunaan BMK, dan menjelaskan fungsi BMK.

Justeru, isu utama yang ditimbulkan adalah hasil pembelajaran yang keempat, iaitu
bahan bukti penggunaan BMK kerana berdasarkan penelitian awal, pengkaji mendapati ciri-
ciri yang terdapat dalam ketiga-tiga batu bersurat tersebut tidak menepati ciri-ciri bahasa
Melayu klasik seperti yang disenaraikan. Oleh yang demikian, dalam menentukan bahan bukti
yang menjadi penanda kepada permulaan BMK, seharusnya ciri-ciri bahasa yang ada pada
inskripsi tersebut memenuhi atau menepati ciri-ciri BMK secara mandatori. Berdasarkan
kajian literatur, pengkaji mendapati belum ada pengkaji sebelum ini yang membuat kajian
perbandingan terhadap ciri-ciri bahasa terhadap ketiga-tiga batu bersurat bagi membuktikan
batu bersurat mana yang paling tepat untuk mewakili bukti permulaan zaman BMK. Maka,
dalam kajian ini, teks yang dikaji melibatkan perbandingan antara tiga batu bersurat, iaitu batu
bersurat Terengganu (1303), batu bersurat Pagaruyung, Minangkabau (1356) dengan batu
bersurat Minye Tujuh, Aceh (1380) kerana batu-batu bersurat atau inskripsi ini dikatakan
bukti bermulanya perkembangan bahasa Melayu klasik.

Objektif Kajian

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk:

i) Membandingkan ciri BMK yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu (BBT), Batu
Bersurat Pagaruyung (BBPR) dengan batu bersurat Minye Tujuh, Aceh (BBMT).
ii) Menilai semula ciri-ciri BMK abad ke-14.

21
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

Kaedah Kajian

Kajian ini menggunakan metodologi penyelidikan kualitatif. Data dikumpulkan melalui


kaedah kajian kepustakaan. Kaedah yang digunakan dalam analisis ini adalah kajian terdahulu,
perbandingan dan klasifikasi. Kajian terdahulu akan dapat memperjelas sesuatu perkara dan
mencari perbezaan dan persamaan antara kajian, perbandingan adalah kaedah yang
membandingkan persamaan dan perbezaan antara sumber dan klasifikasi pula adalah kaedah
pengumpulan dan penyusunan fakta secara sistematik ke dalam kumpulan mengikut kriteria
tertentu. Bagi membuat kesepadanan ciri-ciri bahasa dalam bahan yang dikaji, penggunaan
simbol (+) diletakkan pada ciri yang menepati atau (-) bagi ciri yang tidak menepati.

Kajian Lepas

Kajian awal telah dilakukan oleh Ismail Hussein pada tahun 1984. Beliau berpendapat bahasa
Melayu klasik bermula abad ke-13 dan 14, iaitu pada zaman transisi atau peralihan daripada
kuno ke klasik. Mengikut Ismail Hussein (1984:25), bahasa Melayu klasik bermula sekitar
abad ke-13 dan ke-14. Namun begitu, beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan di seluruh
kepulauan Melayu dengan kedatangan agama Islam. Bukti konkrit tentang bertapaknya Islam
di Nusantara dari sudut sejarah diperoleh pada tahun 1292 M sewaktu Marco Polo melawat
Sumatera Utara dan catatannya tentang pengislaman Pasai. Pada zaman peralihan dalam abad
ke-13 dan ke-14 ini juga telah dijumpai beberapa prasasti dalam bahasa Melayu yang ditulis
menggunakan huruf India tetapi bahasanya sudah terdapat pengaruh bahasa Arab. Dengan
penemuan prasasti tersebut, maka di sinilah bermulanya bahasa Melayu klasik.

Kajian seterusnya telah dilakukan oleh Asmah Hj. Omar pada tahun 1993 melalui
kajiannya yang telah dibukukan, iaitu Susur Galur Bahasa Melayu. Menurut Asmah
(1993:386), bahasa Melayu klasik adalah sekitar abad ke-14 hingga abad ke-17. Perbezaan
antara bahasa Melayu kuno dengan klasik dilihat melalui tiga faktor, iaitu perbendaharaan
kata, nahu dan bunyi bahasa. Kajian Asmah menyentuh perkaitan antara bahasa Melayu kuno,
klasik dan moden yang ditulis dalam bab terakhir dalam kajiannya terhadap perbandingan
sistem bunyi, perbendaharaan kata dan nahu dialek-dialek Melayu yang meliputi
Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Hasil daripada perbandingan tersebut,
beliau telah membuat rekonstruksi dalaman bagi setiap dialek-dialek tersebut. Justeru, hasil
daripada dapatan tersebut, beliau telah mengkategorikan tempoh zaman bagi setiap bahasa,
iaitu bahasa Melayu kuno dan klasik.

Bahasa Melayu kuno merujuk kepada bahasa Melayu yang ditemukan dalam prasasti-
prasasti di Sumatera Selatan dan Pulau Bangka, iaitu prasasti-prasasti di Telaga Baru, Karang
Brahi, Kota Kapur dan Kedukan Bukit. Kesemua prasasti ini bertarikh pada abad ketujuh
Masihi yang ditulis dalam zaman pemerintahan Sriwijaya. Bahasa pada abad ini tidak dapat
difahami maksudnya. Bahasa yang ditulis dalam prasasti-prasasti tersebut adalah mewakili
bahasa yang paling tua pernah dirakam. Bahasa tersebut didapati amat berbeza dengan bahasa
Melayu pada abad ke-14 yang ditemukan di Kuala Terengganu serta bahasa yang tertulis
dalam Sejarah Melayu yang bertarikh pada abad ke-17. Justeru, dengan bukti yang

22
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

ditemukan ini, Asmah berpendapat bahawa bahasa Melayu klasik itu bermula pada abad ke-
14 sehingga abad ke-17.

Kajian seterusnya dilakukan oleh Awang Sariyan pada tahun 1998. Menurut Awang
Sariyan, bahasa Melayu klasik bermula abad ke-13 hingga abad ke-19. Bahasa Melayu klasik
dikatakan merupakan tahap ketiga dalam periodisasi bahasa Melayu, sesudah bahasa Melayu
Purba dan bahasa Melayu Kuno. Bahasa Melayu Klasik diasaskan sewaktu terdirinya kerajaan
Islam pertama di sebelah timur Aceh, iaitu kerajaan Samudera-Pasai di bawah Sultan Malikul
Salih. Bahasa ini merupakan kesan langsung kedatangan agama Islam dan kebudayaan Islam.
Zaman permulaannya ditandai dengan kemunculan prasasti Terengganu yang bertarikh 702
Hijrah bersamaan dengan 1303 Masihi. Bahasa Melayu Klasik muncul dengan wujudnya
tulisan Jawi, iaitu tulisan Arab berbahasa Melayu pada awal abad ke-14. Prasasti bahasa
Melayu Klasik banyak terdapat di semenanjung Tanah Melayu seperti di Pengkalan Kempas,
Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah dan beberapa tempat lain. Prasasti ini juga
ditemui di Sumatera Selatan, Jambi, Riau, Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.

Pada abad ke-13, peralihan bahasa berlaku ekoran daripada pengaruh yang dibawa oleh
agama Islam ke Asia Tenggara. Kehadiran agama Islam ke Asia Tenggara banyak
mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu ketika itu terutama dari aspek kosa kata,
struktur kata dan juga tulisannya. Peralihan bahasa Melayu Kuno kepada bahasa Melayu
Klasik ini dapat dibuktikan dengan penemuan batu-batu bersurat seperti batu bersurat Minye
Tujuh, Aceh (1390), iaitu batu bersurat pertama yang ditemui penggunaan kata-kata Arab
seperti khalifah, nabi-nabi, Allah dan rahmat. Batu bersurat Pagar Ruyung pula mempunyai
sedikit perbezaan dengan batu bersurat abad ke-7, iaitu dari segi bahasanya. Dari segi
fonologi, sistem bahasa Melayu klasik tidak dapat ditentukan kerana tiada data lisan.
Kebanyakan data berbentuk tulisan dan ini menyukarkan pengesanan sebutan yang sebenar.
Awang Sariyan mengatakan bahawa perlambangan bunyi vokal terbatas kepada tiga sahaja,
iaitu i, a dan u (daripada vokal Arab alif, ya dan wau). Namun demikian, beliau
mengandaikan bahawa bahasa Melayu klasik mempunyai enam bunyi vokal sebagaimana
yang terdapat dalam bahasa Melayu, iaitu a, e pepet, e taling, i, o, dan u. Dari segi bunyi
konsonan pula, dikatakan bahawa bunyi konsonan bahasa Melayu klasik sama dengan yang
terdapat dalam bahasa Melayu Moden.

Noriah (1999) pula menjelaskan bahawa batu bersurat Terengganu dan batu bersurat
Sungai Udang atau dikenali dengan batu bersurat Pengkalan Kempas merupakan batu-batu
bersurat yang penting dalam memperlihatkan evolusi peringkat akhir bahasa Melayu praklasik
ke bahasa Melayu klasik. Beliau mendapati berbanding batu-batu bersurat terdahulu yang
menggunakan aksara Arab, batu-batu bersurat ini menunjukkan penggunaan terawal sejenis
aksara yang disebut aksara Jawi. Bahasa Melayu praklasik dianggap sudah memasuki suatu
zaman baharu dengan penggunaan aksara jawi, iaitu zaman bahasa Melayu klasik.

Selain itu, Abdul Rashid dan Amat Juhari juga telah memberikan pendapat mereka
berkaitan bahasa Melayu klasik dalam penulisan mereka pada tahun 2005. Kedua-dua mereka
mengatakan bahawa bahasa Melayu klasik bermula pada awal abad ke-14 hingga akhir abad
ke-18 (2005:28). Zaman permulaan bahasa Melayu klasik ditandai dengan prasasti
Terengganu yang bertarikh pada 702 Hijrah bersamaan dengan tahun 1303 Masihi. Prasasti
ini menggunakan tulisan jawi sepenuhnya dan mempunyai kata-kata pinjaman daripada
bahasa Arab. Bahasa Melayu klasik muncul dan terasing daripada bahasa Melayu kuno
apabila penggunaan tulisan jawi wujud, iaitu tulisan Arab yang berbahasa Melayu pada awal

23
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

abad ke-14. Sebelum itu, tulisan Arab hanya digunakan dalam bahasa Arab khususnya dalam
penulisan ayat-ayat al-Quran pada batu nisan. Bahasa Melayu klasik juga mendapat pengaruh
kata pinjaman daripada bahasa Arab dan Parsi.

Secara umum, kebanyakan penulis dalam buku-buku rujukan Siri Pendidikan Guru,
Teks Pra-U Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menyatakan bahasa Melayu klasik
bermula pada abad ke-14 hingga abad ke-19, iaitu bermula dari zaman batu Bersurat
Terengganu sehingga zaman karya Abdullah Munsyi. Bukti pertama penggunaan bahasa
Melayu klasik ada terdapat pada Batu Bersurat Kuala Berang, Terengganu di samping dua
lagi batu bersurat, iaitu batu bersurat di Pagar Ruyung dan batu bersurat di Minye Tujuh,
Aceh. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas (2015), tarikh yang tercatat pada batu
bersurat tersebut adalah pada 4 Rejab, 702 Hijrah bersamaan 22 Februari 1303 Masihi.
Kebanyakan para pengkaji berpendapat bahawa bahasa yang terdapat pada prasasti tersebut
menyamai bahasa Melayu klasik yang terdapat dalam buku Sejarah Melayu. Oleh yang
demikian, batu bersurat itu dikatakan menjadi bukti terawal dan penting bagi menjelaskan
perkembangan bahasa Melayu Klasik (Nik Safiah et.al, 2018).

Berdasarkan kajian-kajian yang telah dijelaskan, pengkaji-pengkaji sebelum ini ada


menyentuh aspek ciri bahasa kerana dalam proses penentuan tempoh permulaan
perkembangan BMK, aspek ciri bahasa sememangnya tidak boleh diketepikan. Namun begitu,
kajian sebelum ini dibuat secara berasingan, iaitu berfokus kepada satu bahan kajian atau batu
bersurat sahaja tidak dilakukan secara perbandingan. Jika ada perbandingan dilakukan ia tidak
menyentuh aspek ciri bahasa secara menyeluruh, iaitu perlu meliputi aspek sistem tulisan dan
ejaan, kosa kata dan tatabahasa. Ada pengkaji yang berpendapat bahawa batu bersurat
Terengganu yang menjadi bukti bermulanya BMK dan ada sebahagian lagi berpendapat
ketiga-tiga batu bersurat menjadi bukti perkembangan BMK. Justeru, kajian ini akan
memberikan satu analisis yang lebih berpada dengan mengemukakan ciri-ciri bahasa pada
permulaan zaman BMK, iaitu abad ke-14.

Analisis Data

Seperti yang telah dinyatakan, bahan kajian ini tertumpu kepada tiga batu bersurat yang
dikatakan menjadi bukti bermulanya zaman perkembangan bahasa Melayu klasik. Batu-batu
bersurat tersebut adalah seperti berikut:
Batu Bersurat Terengganu (1303M)
Kajian geologi terkini menunjukkan bahawa Batu Bersurat Terengganu (BBT) ini merupakan
batu jenis igneus dolerite bukannya batu granit seperti yang didakwa sebelum ini (Tajul
Anuar, 2011). Ia berbentuk tabular serta bundar dengan permukaan luaran dan bucu-bucu
yang agak licin. BBT berketinggian 78 hingga 86cm, lebar bahagian atas 53 cm, lebar
bahagian bawah 19 hingga 24cm dan beratnya ialah 214.8kg. Teks BBT mengandungi empat
penampang dan setiap penampang tersebut mengandungi beberapa baris ayat (lihat Adi
Yasran, 2011). BBT ditemui pada tahun 1887 di kawasan Padang Tara di tepi Sungai Tara,
Kampung Buluh, Kuala Berang. Tulisan pada BBT yang bertarikh 4 Rejab 702 Hijrah
bersamaan 22 Februari 1303M ini (S.M.N Al-Attas 1970, Muhammad Zainiy 2012)
merupakan sebuah undang-undang Islam dan adat Melayu yang ditulis dalam tulisan Jawi
bahasa Melayu. Tulisannya lebih cenderung kepada khat jenis Ta’liq (S.Q. Fatimi, 1963:42).

24
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

Batu Bersurat Pagaruyung (1356)

Prasasti Pagaruyung I atau dikenali juga sebagai Prasasti Bukit Gombak I terletak pada
kedudukan paling hujung di sebelah selatan dalam deretan prasasti-prasasti Pagaruyung.
Prasasti yang disebut juga sebagai batu bersurat Pagaruyung ini berukuran tinggi 2.06 meter
dengan lebar 1.33 meter dan ketebalannya 38 cm berada dalam kedudukan berdiri dan
disangga dengan penopang besi. Batu bersurat ini disusun berturut-turut ke arah utara
bersama-sama Prasasti Pagaruyung II, III, sehingga yang ke VIII. Batu bersurat Pagaruyung I
ini digoreskan pada sebuah batu pasir kwarsa berwarna coklat kekuningan, iaitu sejenis
batuan sedimen yang berbentuk empat persegi. Batu ini ditulis dalam bahasa Sanskrit
bercampur dengan bahasa Melayu kuno atau Jawa kuno. Batu bersurat ini mengandungi puji-
pujian akan keagungan dan kebijaksanaan Adityawarman sebagai seorang raja yang banyak
menguasai pengetahuan, khususnya dalam bidang keagamaan, iaitu ajaran Buddha Mahayana
aliran Tantrayana sekte Bhaiwara. Dalam batu bersurat ini, ajaran ini disebut sebagai sutatha
bajra daiya atau Buddha yang baik, kuat bagaikan kilat (Budi Istiawan, 2006).

Batu Bersurat Minye Tujuh (1389)

Batu Bersurat Minye Tujuh (BBMT) merupakan batu bersurat yang dipahat pada sepasang
batu nisan yang ditemui di Minye Tujuh, Aceh, Indonesia. Nisan di bahagian kepala ditulis
dalam bahasa Arab, manakala nisan di sebelah kaki ditulis dalam tulisan Jawa Kuno, tetapi
dalam bahasa Melayu kuno, berbentuk syair yang dinamakan upajati. Isi teks batu bersurat
dalam bahasa Arab adalah mengenai kematian al-Malikah al-Mu’azzamah al-Alah binti al-
Sultan al-Marhum Malik al-Zahir yang dikenali dengan nama Ratu al-Alah (Al-Ala mengikut
sesetengah riwayat) pada tahun 791H (1389M). Bacaan dan terjemahan batu bersurat ini telah
dilakukan oleh beberapa orang pengkaji, iaitu W.F. Stutterheim (1936), G.E. Marrison (1951)
dan W. Van Der Molen (2007).

Sistem Tulisan dan Ejaan

Berdasarkan batu-batu bersurat yang didakwa menjadi bukti permulaan zaman bahasa Melayu
klasik, terdapat beberapa bentuk tulisan yang digunakan dalam ketiga-tiga batu bersurat
tersebut. Hal ini boleh dikaitkan dengan pendapat yang dikemukakan oleh Amat Juhari (1995),
bahawa keluarga besar bahasa Melayu telah menggunakan empat jenis aksara, iaitu:

i) Aksara Rencong (dan aksara-akasara yang segolongan dengannya)


Jenis aksara yang termasuk dalam kumpulan aksara Rencong ialah Rencong,
Lampung, Ka Ga Nga, Rejang, Surat Ulu, Minang, Mandailing, Batak Toba, Karo,
Dayak, Mindoro, Bugis dan Makasar.
ii) Aksara India (Devanagiri dan Pallava)
Aksara Devanagiri dan Pallava membentuk beberapa jenis aksara atau tulisan di
beberapa tempat di Asia Tenggara seperti di Jawa, Sunda dan Bali.
iii) Tulisan Arab atau Jawi
Tulisan Arab muncul di Alam Melayu sejak abad ke-3 (290H) yang terukir pada
batu nisan di Langgar, Kedah manakala tulisan Arab berbahasa Melayu yang tertua
adalah pada prasasti Terengganu bertarikh 702H bersamaan dengan 1303 M.
iv) Tulisan Rumi atau Latin
Tulisan Rumi digunakan untuk bahasa Melayu bermula pada tahun 1516M di
Melaka yang dilakukan oleh orang-orang Portugis.

25
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

Sistem tulisan yang digunakan dalam penulisan ketiga-tiga batu bersurat ini didapati berbeza
antara satu sama lain. Keadaan ini berkait rapat dengan pengaruh agama dan budaya
masyarakat di tempat batu bersurat itu ditemui. Batu Bersurat Terengganu memperlihatkan
penggunaan sistem tulisan jawi dan sistem ejaannya pula merupakan kombinasi daripada
sistem ejaan Arab yang menggunakan sistem i’rab dengan sistem Melayu (lihat Hashim Musa,
2006:89). Penggunaan bahasa dalam BBT memperlihatkan tanda-tanda permulaan bahasa
Melayu klasik. Ciri-ciri bahasa Melayu klasik dapat dilihat melalui penggunaan aksara Jawi
yang disertakan dengan beberapa penambahan huruf seperti huruf nya dalam perkataan
[dendanya], ca dalam perkataan [acara], nga dalam perkataan [dengan], pa dalam perkataan
[pada] dan ga dalam perkataan [bagi].

Batu Bersurat Pagaruyung ditulis dalam bahasa Sanskrit bercampur dengan bahasa
Melayu kuno dan Jawa kuno. Batu bersurat ini merupakan satu contoh teks zaman peralihan
yang memperlihatkan penggunaan aksara India dan mengandungi campuran kosa kata
Sanskrit, Jawa kuno dan Melayu kuno (Noriah, 1999). Menurut Hashim Musa (2006:41-42),
batu bersurat ini menggunakan skrip Kawi Jawa Timur. Walaupun begitu, bentuk tulisannya
amat berbeza dengan dengan bentuk skrip Kawi di Jawa yang sezaman dengannya. Keadaan
ini memperlihatkan berlaku perkembangan terhadap skrip turunan Kawi sehingga ia dianggap
oleh Casparis bahawa skrip ini telah mencapai keasliannya yang tersendiri malah beliau telah
menamakan skrip tersebut sebagai skrip Melayu.

Batu Bersurat Minye Tujuh pula menggunakan jenis skrip Melayu yang bentuknya
dipengaruhi oleh skrip Arab dan ia dinamakan oleh Hooykaas (dlm Hashim, 2006) sebagai
skrip Sumatera kuno. Nisan di bahagian kepala ditulis dalam bahasa Arab manakala batu
nisan di sebelah kaki menggunakan tulisan Jawa kuno, iaitu tulisan Kawi. Batu bersurat ini
menjadi penanda dan menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Melayu sudah memaparkan
kemajuannya apabila bersifat dwibahasa dan dwiaksara (Noriah, 1999).

Ketiga-tiga batu bersurat ini menggunakan jenis skrip Melayu, namun tulisan Jawi
yang menjadi ciri penting dalam bahasa Melayu klasik hanyalah terdapat pada Batu Bersurat
Terengganu sahaja manakala dua batu bersurat lain tidak menggunakan tulisan Jawi.
Kenyataan ini disokong melalui dapatan kajian yang telah dilakukan oleh Muhammad Nabil
et.al (2020) melalui jadual berikut:

Jadual 1: Prasasti utama dalam Kerajaan Melayu

Prasasti Tahun Bahasa Tulisan


(Masihi)
Kedukan Bukit 683 Melayu-Sanskrit Palava
Talang Tuwo 684 Melayu-Sanskrit Palava
Kota Kapur 686 Melayu-Sanskrit Palava
Padang Roco 1286 Melayu-Sanskrit Kawi
Terengganu 1303 Melayu-Arab-Sanskrit Arab-Jawi
Minye Tujuh 1380 Melayu-Arab-Sanskrit Arab-Kawi
Pengkalan Kempas 1463 Melayu Arab-Kawi
Sumber: Disesuaikan daripada Muhammad Nabil et.al (2020)

26
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

Kosa kata

Ciri pembeza antara suatu zaman perkembangan bahasa dengan perkembangan zaman bahasa
yang lain terletak kepada pengaruh kosa kata asing yang terdapat di dalam bahasa tersebut.

Terdapat pengaruh kosa kata bahasa Arab dalam BBT dengan penggunaan perkataan
fardu, Rejab dan Rasulullah. Melalui penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya dengan
bertulisan Jawi, BBT telah terbukti telah terkeluar dari zaman bahasa Melayu kuno mahupun
zaman peralihan dari kuno kepada klasik dan boleh dianggap sebagai batu bersurat yang
menjadi penanda bermulanya zaman bahasa Melayu klasik walaupun usianya lebih tua
daripada BBPR dan BBMT.

Analisis kosa kata yang dilakukan terhadap batu bersurat Pagar Ruyung mendapati
banyak penggunaan kosa kata Sanskrit yang amat dipengaruhi oleh bahasa Melayu kuno atau
Jawa kuno. Kosa kata yang ditemui setelah proses transliterasi hadir dalam bentuk kata dasar
dan juga kata terbitan, iaitu mengalami proses pengimbuhan.

Jadual 2: Penggunaan kosa kata Sanskrit dalam batu bersurat Pagar Ruyung
(Budi Istiawan, 2006)

Baris kosa kata Sanskrit bahasa Melayu moden


4 Raja raja
5 Sampurnna sempurna
9 Diparbwatkan dibuatlah
10 Barbwat membuat
Paurnnama bulan purnama
11 Tyada tidak ada
12 Punyang mempunyai
Barang barang
13 Ndak hendak
barbwinasa dibinasakan
15 swami suami
bhakti bakti
16 Guru guru
Dewa dewa
17 dharmma darma

Batu bersurat Minye Tujuh (BBMT) yang merupakan sepasang batu nisan mempunyai dua
bahagian yang berbeza. Kedua-duanya menggunakan bahasa yang berbeza dan semestinya
terdapat kosa kata pinjaman terdapat dalam BBMT. Dalam menganalisis kosa kata, bahagian
yang dilihat adalah batu nisan pada bahagian kaki sahaja kerana ia memaparkan tulisan
berbahasa Melayu dan Jawa Kuno yang menggunakan tulisan Kawi. Bacaan dan terjemahan
yang dipilih adalah berdasarkan bacaan yang dibuat oleh W. Van Der Molen (2007) kerana ia
merupakan kajian yang terbaharu dan dapat menilai kelemahan yang dibuat oleh pengkaji-
pengkaji sebelum ini.

27
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

Jadual 3: Penggunaan kosa kata pinjaman Arab dalam BBMT

Baris Kosa kata Arab bahasa Melayu moden


A1 Hijrat hijrah
A1 Nabi nabi
A1 mungstapa kekasih
A3 Hajji haji
A4 rahmat rahmat
A4 Allah Allah

Jadual 4: Penggunaan kosa kata Sanskrit dalam BBMT

Baris kosa kata Sanskrit bahasa Melayu moden


A1 Prasiddha terpilih
B4 swargga syurga
B1, B2, B3 Samuha semua
B4 Taruh dudukkan/tempatkan
B1 sampurnna sempurna

Kosa kata Arab yang digunakan dalam teks ini merupakan kata serapan Arab ke dalam bahasa
Melayu. Kenyataan ini selari dengan dapatan Collins (2011) yang mendapati bahasa batu
nisan dari abad ke-14 mempertahankan pola berselakan lembaran kosong (interleaved patern)
dari kosa kata bahasa Melayu dan Sanskrit dengan tambahan tulisan hiasan yang sangat
penting dari formula kata dan frasa bahasa Arab. Muhammad Pitchay Gani (2007:75) dalam
tulisannya menyatakan teks BBMT ini memaparkan sejumlah 21 peratus (9 perkataan)
perkataan Arab dan 48 peratus (20 perkataan) perkataan bahasa Melayu berbanding dengan
31 peratus (13 perkataan) perkataan Sanskrit. Jumlah ini menunjukkan permulaan penyerapan
perkataan Arab ke dalam leksikon Melayu dan berkurangnya pengaruh bahasa Sanskrit ke
dalam bahasa Melayu.

Tatabahasa

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), tatabahasa bermaksud pengetahuan atau
pelajaran tentang pembentukan kata dan tentang penyusunannya dalam ayat; nahu. Bagi Nik
Safiah Karim et al. (2004), tatabahasa dalam bahasa Melayu mencakupi dua bidang, iaitu
morfologi dan sintaksis. Selain itu, terdapat beberapa pendapat daripada tokoh-tokoh bahasa
yang lain berkaitan definisi tatabahasa. Awang Sariyan (1995), secara ringkas menyatakan
bahawa tatabahasa adalah peraturan yang membina bentuk-bentuk bahasa, iaitu kata, frasa
dan ayat yang betul bagi sesuatu bahasa tertentu. Peraturan atau tatabahasa ini yang akan
menentukan betul atau salah sesuatu bahasa yang dilahirkan oleh penuturnya sama ada dalam
bentuk lisan mahupun tulisan. Siti Hajar (1996) mendefinisikan tatabahasa sebagai peraturan-
peraturan bagaimana perkataan dibentuk dan digabungkan dengan perkataan-perkataan lain
untuk menghasilkan ayat-ayat yang gramatis. Mengikut pandangan Abdullah Hassan pula
(2008), tatabahasa sebagai suatu susunan perkataan yang menjadi ayat. Cara-cara perkataan
ini dibina dan kemudiannya disusun dalam ayat yang juga mempunyai makna.

Dari aspek penggunaan ayat, BBT menggunakan ragam ayat aktif dan pasif. Contoh
penggunaan ayat pasif dalam BBT adalah seperti berikut:

28
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

Baris Contoh ayat


B10 atawa perempuan bersuami ditanam hingga
D5 ... dijadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini.

Dari aspek penggunaan ayat pula, BBPR turut menggunakan ragam ayat aktif dan pasif.
Contoh ayat pasif dalam BBPR dapat dilihat pada baris 9 seperti berikut:

Baris Alih aksara Alih bahasa


9 imah jimna padasapta swarna bhumi menjadi pembangun tujuh kaki Suwarna
diparbwatkan bihara nanawiddhaprakara Bhumi (Sumatera), maka dibuatlah
saha tambagopura kalampura sebuah bihara untuk keperluan semua
orang serta (dibuatkan) kota yang
berhiaskan kala dari tembaga

Contoh ayat aktif dalam BBPR dapat dilihat pada baris 10 seperti berikut:
Baris Alih aksara Alih bahasa
10 nan pancamahasabda jalanda barbwat dengan ilmu Mahasabda, caranya
jayamaniyammakraya dipaurnnama membuat kemenangan dengan karya
wasya di sanmukhanda ki indah berhias intan, seperti bulan
purnama yang (menerangi) wajahmu
yang gelap (sedih)

Bagi BBMT, struktur ayat yang digunakan adalah struktur ayat bahasa Arab kerana jelas pada
batu nisan bahagian kepala ditulis sepenuhnya dalam bahasa Arab. Kandungan tulisan ini
telah dibaca oleh Hoesein Djajadiningrat (dlm H.Mohammad Said 1981: 101-103) seperti
berikut:

Matn al-malikah al-mu’azzamah alalah (al-alah?) bint as-sultan al-marhum


malik az-zahir khan al-athar (?) ibn walidihi khan (?) al-khanat (?)
taghammadahu ‘l-lahu bir ridhwan fi’r-rabi’ ‘ashar yaum al-jum’ah min dzi’l-
hijjah ahad wa tis’ina wa sab’a mi’an min al-hijrah al-muktafawiy(yah).

Stutterheim (1936 dlm H.Mohammad Said 1981:102) kemudian menterjemahkan tulisan ini
ke bahasa Belanda yang kira-kira begini maksudnya:

Ratu yang agung al-alah binti al-marhum Sultan Malik Al-Zahir, Maharaja
(Khan) di masa lampau, putera dari ayahandanya Maharaja dari putera
Maharaja, semoga Allah menerimanya dengan sempurna pada 14 Zulhijah,
hari Jumaat, tahun 791 Hijrah.

Baris Bacaan Van der Molen Terjemahan


A. 1. Hijrat nabi mungstapa yang Ketika telah berlalu sejak hijrah
prasiddha Nabi, yang terpilih
2. Tujuh ratus astapuluh Tujuh ratus dan delapan puluh satu
sawarssa tahun
3. hajji catur dan dasa wara sukkra Pada Jumaat empat belas, bulan
Haji

29
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

4. Rajatmaja <l>nnyap di rahmat allah Putri raja meninggal dunia di


rahmat Allah
B. 1. Gunan)a sampurnna di hrat Yang kebajikannya sempurna di
samuha seluruh dunia
2. Taruk. gasihta da<tang> ka Berakhirnya umur yang ditakdirkan
samuha (?) menimpa semua
3. Ilahi ya rabbi tuhan samuha Ya Allah, Ya Tuhan dan Penguasa
dari semua
4. Taruh dalam. swargga tuhan Dudukkan tuan kami yang mulia di
tatuha surga

Berdasarkan terjemahan, kelihatan penggunaan ayat pasif pada baris B2 dengan penggunaan
kata kerja pasif ditakdirkan.

Dapatan dan Perbincangan

Bagi memperlihatkan kesepadanan ciri-ciri BMK yang terdapat pada ketiga-tiga batu bersurat
tersebut, pemetaan berikut dibuat bagi memudahkan penelitian untuk melihat sejauh mana
ketiga-tiga batu bersurat tersebut sesuai dimasukkan sebagai bukti penemuan zaman BMK
sebagaimana yang dinyatakan dalam silibus STPM dan buku Siri Pendidikan Guru.

Jadual 5: Pemetaan ciri-ciri bahasa Melayu klasik terhadap batu-batu bersurat

Manuskrip Ciri-ciri BMK Jumlah


C1 C2 C3 C4 C5 C6 C7 C8 C9 C10
BBT + + - - + + + + + + 8
BBPR - + - - - - - - - - 1
BBMT - + - - - - - + + - 3
Berdasarkan pemetaan yang dibuat pada batu-batu bersurat ini, hanya BBT sahaja yang
menepati ciri-ciri BMK dengan lapan ciri, manakala BBMT hanya menepati tiga ciri dan
BBPR pula hanya menepati satu ciri BMK.

Bagi membuktikan lagi bahawa BBPR dan BBMT tidak menepati ciri BMK, pengkaji
membuat perbandingan dengan ciri-ciri bahasa Melayu kuno. Bahasa Melayu kuno ditandai
dengan beberapa ciri, iaitu (Abdul Rashid dan Amat Juhari, 2005):
a) Tulisan yang digunakan ialah tulisan yang berasal dari India seperti Devanagari,
Vangki, dan Pallava dan tulisan yang berasal daripada pengaruh India seperti tulisan
Jawa kuno, dan Kawi.
b) Terdapat banyak kata pinjaman bahasa Sanskrit dalam prasasti-prasasti yang
ditemui terutama sekali kata-kata yang berkait rapat dengan kebudayaan India, dan
agama Hindu dan Buddha.
c) Bahasa Melayu kuno tidak mempunyai pengaruh bahasa Arab sama ada dari segi
tulisan atau kosa kata.
d) Kosa kata bahasa Melayu kuno masih banyak yang kekal sehingga kini.
e) Imbuhan kata bahasa Melayu kuno mempunyai perbezaan dengan bahasa Melayu
kini disebabkan oleh peredaran zaman.
f) Bahasa Melayu kuno ada meminjam fonem-fonem bahasa Sanskrit terutama untuk
kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit.

30
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

Jadual 6: Pemetaan ciri-ciri bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7
dan abad ke-14

Manuskrip Ciri-ciri Bahasa Melayu Kuno


1 2 3 4 5 6 Jumlah
BBKBkt + + + + + + 6
BBTT + + + + + + 6
BBKK + + + + + + 6
BBKB + + + + + + 6
BBT - - - - - - 0
BBMT + + - + + + 5
BBPR + + + + + + 6

Berdasarkan pemetaan dalam Jadual 6, menunjukkan bahawa ciri-ciri yang terdapat pada
BBMT dan BBPR menepati ciri-ciri bahasa Melayu kuno secara majoriti. Namun, jika dilihat
pada BBT, tiada satu pun ciri bahasa Melayu kuno yang menepati ciri yang terdapat padanya.

Dalam kajian ini, pengkaji perlu melakukan perincian yang lebih mendalam terhadap setiap
batu bersurat dengan melihat ciri-ciri khusus yang ada padanya dengan melibatkan beberapa
faktor yang meliputi tiga aspek, iaitu sistem tulisan dan ejaan, kosa kata dan tatabahasa.
Ketiga-tiga aspek ini amat perlu dilihat secara bersama kerana dalam mengkaji ciri-ciri atau
sifat-sifat sesuatu bahasa, aspek-aspek ini tidak boleh dipisahkan. Justeru, penilaian semula
terhadap ciri BMK abad ke-14 perlu dilakukan bagi memperlihatkan ciri bahasa yang ada
melalui inskripsi yang ditemui.

Penilaian Semula BMK Abad ke-14

Penilaian semula ciri-ciri BMK abad ke-14 ini adalah bertitik tolak daripada penelitian
terhadap ciri yang ada pada BBT dan disusun mengikut keutamaan atau ciri mandatori.
Beberapa ciri yang umum telah dikeluarkan kerana tidak menepati ciri bahasa Melayu klasik
yang sebenar.

Bahasa Melayu klasik pada abad ke-14 hendaklah menepati ciri-ciri berikut:

1. Menggunakan aksara Jawi sahaja.


2. Mengandungi kosa kata klasik.
3. Mengandungi kosa kata Arab dan Parsi.
4. Mengandungi kata pangkal ayat seperti sebermula, alkisah, hatta, maka, dll.
5. Mengandungi ungkapan dalam bahasa Arab.
6. Mengandungi ayat yang panjang dan berulang-ulang.
7. Mengandungi ayat pasif dan songsang.

31
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

Jadual 7: Pemetaan ciri-ciri bahasa Melayu klasik abad ke-14 dengan batu-batu
bersurat

Batu ciri-ciri BMK abad ke-14 Jumlah


bersurat C1 C2 C3 C4 C5 C6 C7
BBT + + + + + + + 7
BBPR - - - - - - + 1
BBMT - - + - + - + 3

Berdasarkan jadual pemetaan di atas, didapati ketujuh-tujuh ciri mandatori yang dikemukakan
jelas mewakili BBT yang secara tidak langsung menepati aspek penentuan ciri bahasa bagi
bahasa Melayu klasik, iaitu merangkumi sistem tulisan dan ejaan; kosa kata; dan tatabahasa.
Bagi dua bahan bukti yang dikatakan termasuk dalam perkembangan bahasa Melayu klasik,
didapati tidak boleh diterima kerana ternyata tidak menepati ciri-ciri yang telah dikemukakan,
iaitu BBMT hanya menepati tiga ciri manakala BBPR menepati satu ciri sahaja. BBMT dapat
diklasifikasikan sebagai bahan bukti yang termasuk dalam zaman peralihan disebabkan
pengaruh Arab dan Islam yang terdapat di dalam teksnya manakala BBPR boleh
diklasifikasikan sebagai bahan bukti yang termasuk dalam zaman Melayu kuno walaupun
kedua-dua inskripsi ini ditulis pada abad ke-14. Oleh yang demikian, pengkaji telah
membuktikan bahawa hanya BBT sahaja yang sepatutnya dijadikan sebagai bahan bukti
bermulanya perkembangan zaman bahasa Melayu klasik walaupun usia batu bersurat ini lebih
awal berbanding usia dua batu bersurat yang sezaman dengannya.

Kesimpulan

Kajian ini didapati telah membawa kepada satu lagi pembuktian bahawa pernyataan pengkaji-
pengkaji sebelum ini yang menjadikan ketiga-tiga batu bersurat, iaitu BBT, BBPR, dan
BBMT sebagai penanda atau bukti bermulanya zaman bahasa Melayu klasik adalah tidak
tepat sama sekali. Dengan perbandingan dan pengklasifikasian yang telah dibuat terhadap
ketiga-tiga batu bersurat tersebut, ternyata hanya BBT sahaja yang boleh dijadikan sebagai
bahan bukti bermulanya zaman bahasa Melayu klasik disebabkan ciri-ciri dominan yang ada
padanya. Pengkaji juga telah menyenaraikan ciri-ciri mandatori atau yang utama dalam
penentuan bagi permulaan zaman bahasa Melayu klasik, iaitu abad ke-14 yang asasnya harus
bertitik tolak daripada BBT. Oleh yang demikian, penentuan bukti bermulanya suatu
perkembangan bahasa tidaklah boleh disandarkan kepada tahun atau abad yang sama sahaja
tetapi aspek yang paling penting adalah mengkategorikan berdasarkan ciri-ciri kebahasaan
yang terdapat pada batu bersurat atau prasasti tersebut.

Rujukan

Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain. (2006). Sejarah bahasa Melayu. Kuala
Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.
Asmah Haji Omar. (1993). Susur galur bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Asmah Haji Omar. (1993). Bahasa Melayu abad ke-16 satu analisis berdasarkan teks
Melayu Aqa’id al-Nasafi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

32
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK
NOVEMBER 2020 | VOL. 2| NO. 2 | eISSN: 2682-8987

Asmah Haji Omar. (1995). Bahasa kesusasteraan klasik Kedah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. (1998). Kesinambungan bahasa dalam kesusasteraan Melayu. Petaling Jaya:
Penerbit Fajar Bakti.
Budi Istiawan. (2006). Selintas prasasti dari Melayu kuno. Riau: Balai Pelestarian
Peninggalan Purbakala Batusangkar.
Collins J.T. (2011). Bahasa Melayu bahasa dunia sejarah singkat. Jakarta: Yayasan Pustaka
Obor Indonesia.
H. Mohammad Said. (1981). Aceh sepanjang abad. Medan: P.T Percetakan dan Penerbitan
Waspada.
Hashim Musa. (2006). Epigrafi Melayu sejarah sistem tulisan dalam bahasa Melayu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Molen W.V.D. (2007). The syair of Minye Tujuh, Journal of the Humanities and Social
Sciences of Southeast Asia, 163 (2-3) 256-375.
Muhammad Nabil et.al. 2020). Tamra Terengganu 702H: Continuation of pre-Islamic Malay
prasasti tradition. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah, 7 (1) 89-102.
Nik Safiah Karim, et.all. (2010). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim, et.all. (2018). Teks STPM Bahasa Melayu Penggal 1. Shah Alam: Oxford
Fajar Sdn. Bhd.
Noriah Mohamed. (1999). Sejarah sosiolinguistik bahasaMelayu lama. Pulau Pinang:
Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu I Edisi Kedua. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn.
Bhd.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas. (2015). Tarikh sebenar batu bersurat Terengganu. Kuala
Lumpur: Casis dan Hakim.

33

Anda mungkin juga menyukai