Anda di halaman 1dari 18

KAJIAN TINDAKAN

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBINA AYAT BERDASARKAN


GAMBAR TUNGGAL MENGGUNAKAN TEKNIK PeGam

NAMA PENYELIDIK :

AZAHAR BIN NGAH

SEKOLAH :

SK KAMPUNG BAHARU SERADA


20050 KUALA TERENGGANU
TERENGGANU
ABSTRAK

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk meningkatkan penguasaan kemahiran membina lima
ayat berdasarkan gambar tunggal dalam kalangan murid sekolah rendah amnya dan murid
tahap dua khususnya. Dalam kajian ini, saya telah melibatkan seramai empat orang murid
Tahun 5 Cemerlang di sekolah tempat saya bertugas. Murid yang dimaksudkan terdiri
daripada dua orang murid lelaki dan dua orang murid perempuan. Melalui pemerhatian awal
yang saya lakukan, saya mendapati murid-murid ini memerlukan bimbingan dan teknik yang
sesuai untuk membina ayat berdasarkan gambar tunggal yang disediakan oleh guru.
Mereka tidak mahir membina ayat iaitu memindahkan maklumat daripada bentuk gambar ke
dalam bentuk ayat. Dalam kajian ini, saya menggunakan teknik PeGam ( Pecah Gambar )
bagi membantu meningkatkan kemahiran menulis ayat. Teknik ini didapati berkesan dan
sangat praktikal dilaksanakan di dalam kelas memandangkan bahan yang digunakan
hanyalah sebilah gunting dan sekeping gambar sahaja. Aktiviti telah dijalankan secara
kumpulan dengan melibatkan semua murid Tahun 5 Cemerlang untuk mengenal pasti
peserta kajian melalui pemerhatian, temubual dan ujian pra serta ujian pasca.
KANDUNGAN

ABSTRAK

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Refleksi PdPc Yang Lalu


2.0 FOKUS KAJIAN
3.0 OBJEKTIF / PERSOALAN KAJIAN
3.1 Objektif Umum
3.2 Objektif Khusus
3.3 Persoalan Kajian
4.0 KUMPULAN SASARAN
5.0 PELAKSANAAN KAJIAN
5.1 Tinjauan Awal Masalah
5.1.1 Pemerhatian
5.1.2 Pemeriksaan Buku Latihan
5.1.3 Ujian Pra Dan Ujian Pasca
5.2 Analisis Tinjauan Masalah
5.2.1 Analisis Pemerhatian
5.2.2 Analisis Pemeriksaan Buku Latihan
5.2.3 Analisis Ujian Pra Dan Ujian Pasca
5.3 Tindakan Yang Dijalankan
6.0 DAPATAN KAJIAN
7.0 REFLEKSI KAJIAN
8.0 CADANGAN TINDAKAN SUSULAN
9.0 PENUTUP
SENARAI RUJUKAN
LAMPIRAN
1.0 PENDAHULUAN

Kemahiran membina ayat merupakan satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid-murid
dalam sesi pembelajaran di sekolah. Kemahiran ini boleh diaplikasikan dalam pembelajaran
semua mata pelajaran yang diajar. Kebolehan mengolah dan membina ayat akan
membolehkan seseorang murid itu menguasai apa yang diajar oleh guru dan memahaminya
semaksima mungkin. Jika murid-murid gagal menguasai kemahiran membina ayat, mereka
akan ketinggalan dalam pembelajaran dan mereka juga tidak akan seronok untuk terus
belajar. Ini akan menimbulkan masalah kepada guru-guru dan juga pihak sekolah. Justeru
itu saya telah menjalankan satu kajian dan melaksanakannya di tempat saya bertugas bagi
mengatasi masalah ini dengan melibatkan empat orang peserta kajian yang terdiri daripada
murid Tahun 5 Cemerlang. Mereka tidak pandai membina atau menulis ayat berdasarkan
gambar tunggal yang ditunjukkan. Apabila diminta membina ayat secara lisan pun, mereka
juga menghadapi masalah yang sama. Walau bagaimanapun dengan sedikit bimbingan
daripada guru, mereka sebenarnya dilihat berpotensi untuk menguasai kemahiran ini.

1.1 REFLEKSI PdPc YANG LALU

Semasa mengajar murid Tahun 5 Cemerlang membina ayat berdasarkan gambar, saya
telah memberikan sekeping gambar tunggal kepada semua murid. Saya meminta mereka
membina lima ayat yang lengkap berdasarkan gambar tersebut. Saya juga telah
memberikan penerangan tentang cara-cara membina ayat yang baik. Saya memberikan
contoh ayat yang dimaksudkan. Berdasarkan pemerhatian semasa murid-murid
menjalankan aktiviti, seramai empat daripada dua puluh lima orang murid tidak dapat
membina ayat yang baik dan lengkap. Saya dapat mengesan keadaan ini apabila melihat
tingkah laku mereka, iaitu tidak membuat aktiviti yang disuruh oleh guru. Melalui
pemeriksaan buku latihan juga, keempat-empat orang murid ini tidak menyiapkan tugasan
yang diberikan, malahan mereka tidak menulis apa-apa pun dalam buku tersebut. Setelah
menyoal, mereka mengatakan bahawa mereka tidak pandai membina ayat berdasarkan
gambar yang diberikan. Mereka juga memberitahu bahawa mereka tidak tahu bagaimana
hendak memindahkan maklumat yang terdapat dalam gambar ke dalam bentuk ayat. Pada
mulanya saya menyangkakan mungkin gambar itu terlalu susah, lalu saya memberikan
latihan ulangan dengan memberikan gambar lain yang difikirkan sangat mudah. Namun
begitu mereka juga masih gagal membina ayat yang baik. Mereka langsung tidak dapat
menyiapkan tugasan yang diberikan.

Berdasarkan situasi ini, saya perlu mencipta satu teknik pengajaran yang baharu
untuk membantu murid-murid ini menyelesaikan masalah masing-masing. Teknik itu
mestilah selari dengan hasrat dan konsep PAK 21 yang menekankan proses pengajaran
dan pembelajaran berkesan lagi menyeronokkan. Oleh sebab itu, teknik pecah gambar iaitu
PeGam digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran membina ayat berdasarkan
gambar tunggal yang diberikan. Teknik ini dipercayai berkesan untuk membantu murid-
murid berkenaan kerana tumpuan mereka lebih berfokus dan terarah kepada situasi terhad
yang terdapat dalam sebahagian gambar yang telah dipecahkan. Selain itu, untuk
menjayakan teknik ini, murid diberikan kebebasan menggunting gambar yang dibekalkan
mengikut garisan pada bahan yang telah disediakan oleh guru. Aktiviti ini menyeronokkan
mereka. Aktiviti menggunting ini berlaku di bawah pemerhatian dan pengawasan guru.

2.0 FOKUS KAJIAN

Kajian yang dijalankan ini memfokuskan kepada masalah membina ayat berdasarkan
gambar tunggal terhadap empat orang murid tahun lima yang tidak dapat menguasai
kemahiran membina ayat dengan baik. Data awal diperoleh melalui tinjauan masalah yang
berlaku semasa proses pengajaran berlangsung. Bertolak dari pengesanan ini, beberapa siri
ujian diagnostik juga telah dilaksanakan dan masalah yang sama juga telah timbul. Hasil
daripada temu bual dengan guru-guru terutama guru kelas juga, saya telah membuat satu
rumusan terhadap masalah pembelajaran yang dihadapi iaitu masalah membina ayat murid-
murid berkenaan. Masalah ini berlaku disebabkan murid tidak tahu bagaimana cara untuk
memindahkan maklumat berdasarkan gambar ke dalam bentuk ayat. Mereka keliru dan
tidak dapat fokuskan situasi atau aktiviti yang terdapat dalam keseluruhan gambar tunggal.

Berdasarkan ujian diagnostik yang telah dijalankan, terdapat empat orang murid
yang tidak dapat membina lima ayat yang diarahkan oleh guru. Setelah mereka diberikan
latihan ulangan dengan lebih berfokus menggunakan teknik PeGam, saya membuat
kesimpulan bahawa masalah mereka mungkin akan dapat diatasi sepenuhnya nanti. Teknik
ini ternyata sangat mengujakan peserta-peserta kajian kerana mereka dapat belajar sambil
bermain dengan guru dan juga kawan-kawan yang mempunyai masalah yang sama.
Semasa melakukan aktiviti, saya memberikan tumpuan dan pengawasan yang sepenuhnya
supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini terutamanya ketika mereka menggunting
gambar yang dibekalkan.

3.0 OBJEKTIF / PERSOALAN KAJIAN

3.1 Objektif Umum

3.1.1 Meningkatkan kemahiran membina ayat berdasarkan gambar murid Tahun


Lima Cemerlang.

3.2 Objektif Khusus

3.2.1 Murid dapat membina lima ayat yang baik dan lengkap berdasarkan gambar
tunggal.

3.2.2 Murid dapat menulis ayat yang lengkap.

3.3 Persoalan Kajian

i) Bagaimanakah teknik PeGam dapat membantu meningkatkan kemahiran


membina ayat empat orang murid Tahun 5 Cemerlang?

ii) Adakah teknik PeGam dapat membantu murid menguasai kemahiran


membina
ayat berdasarkan gambar?
4.0 KUMPULAN SASARAN

Kelas : 4/25 orang murid Tahun 5 Cemerlang

Lelaki : 2 orang

Perempuan : 2 orang

Jumlah : 4 orang

5.0 PELAKSANAAN KAJIAN

5.1 Tinjauan Awal Masalah

Sebelum melaksanakan kajian tindakan, saya telah melakukan tinjauan awal masalah iaitu
melalui pemerhatian, pemeriksaan buku latihan , ujian pra dan juga ujian pasca.

5.1.1 Pemerhatian

Semasa mengajar saya telah membuat pemerhatian terhadap cara murid membina ayat di
dalam kelas. Secara keseluruhannya saya dapat mengesan masalah yang dihadapi oleh
empat orang murid ini. Mereka tidak dapat membina ayat berdasarkan gambar tunggal yang
diberikan. Ini digambarkan dengan tingkah laku yang menunjukkan aksi mereka yang
sentiasa menggaru-garukan kepala, menjenguk kawan sebelah dan cuba berinteraksi
bertanyakan jawapan terhadap tugasan yang diberikan. Namun begitu semasa saya
meminta mereka menulis ayat pada papan hitam, dengan sedikit bimbingan menggunakan
kata nama, kata kerja dan sebagainya, mereka kelihatan seolah-olah boleh menjangkakan
ayat yang terhasil berdasarkan gambar. Ada kalanya mereka juga menunjukkan aksi yang
mengelirukan iaitu seolah-olah tidak tahu apa yang cuba saya tunjukkan kepada mereka.
5.1.2 Pemeriksaan Buku Latihan

Pada kebiasaannya, saya akan menyediakan latihan apabila selesai menjalankan satu satu
sesi pengajaran dan pembelajaran sebagai kayu ukur untuk menilai tahap pemahaman
murid. Daripada latihan yang saya perhatikan, saya dapat mengesan kelemahan dan
berusaha untuk memperbaikinya. Boleh dikatakan agak sukar empat orang murid ini
membina ayat atau menguasai kemahiran menulis seperti kawan-kawannya yang lain.
Mereka didapati keliru dengan gambar dan tidak boleh memindahkan maklumat dalam
bentuk gambar ke dalam bentuk ayat dengan baik.

5.1.3 Ujian Pra dan Ujian Pasca

Satu Ujian Pra telah diberikan kepada murid-murid Tahun 5 Cemerlang bertujuan untuk
menguji tahap kemahiran dan penguasaan terhadap kemahiran berbahasa ini. Selepas
menyemak tugasan murid, saya menyimpan tugasan tersebut dan tidak membincangkan
mengenainya. Kemudian saya memperkenalkan Teknik PeGam dan beberapa minggu
selepas itu, saya telah menjalankan Ujian Pasca pula menggunakan gambar yang sama
semasa Ujian Pra.

5.2 ANALISIS TINJAUAN MASALAH

5.2.1 Analisis Pemerhatian

Berdasarkan pemerhatian selepas pelaksanaan kajian ini terhadap kumpulan sasaran


didapati murid begitu seronok dan teruja sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Mereka lebih bersemangat dan begitu yakin untuk menjawab segala persoalan
semasa proses bimbingan berlaku. Mereka dapat membina ayat-ayat mudah yang betul
daripada gambar secara lisan dan saya membimbingnya menulis pada papan hitam ketika
sesi perbincangan dalam kumpulan.
5.2.2 Analisis Pemeriksaan Buku Latihan

Selepas belajar menggunakan Teknik PeGam, kesilapan yang dilakukan oleh murid ketika
membuat latihan dalam buku tulis semakin berkurangan. Kini mereka dapat membina
sekurang-kurangnya tiga atau lebih ayat berdasarkan gambar tunggal berbanding sebelum
ini.Oleh kerana kajian ini berfokuskan kepada kemahiran membina ayat, maka kesalahan
dari segi tanda baca, penggunaan koma dan kesalahan-kesalahan kecil yang lain dalam
penulisan tidaklah ditekankan oleh guru. Namun begitu ia juga sentiasa diingatkan kepada
murid secara lisan dari semasa ke semasa.

5.2.3 Analisis Ujian Pra dan Ujian Pasca

Perbandingan pencapaian murid dalam Ujian Pra dan Pasca dinyatakan di bawah. Dalam
pelaksanaan Ujian Pra dan Pasca, saya telah memberikan lembaran soalan yang sama
kepada murid dengan anggapan ia dapat mengukur dengan lebih tepat dan jitu tentang
penguasaan kemahiran menulis ayat dalam kalangan murid kajian ini. Hanya seorang murid
sahaja yang tidak dapat membina lima ayat yang diperlukan. Hasil siasatan guru mendapati
murid ini terkeliru kerana tersalah menggunting gambar semasa melakukan aktiviti pecah
gambar.

Senarai Rekod Pencapaian Murid

Jumlah gambar : 1

Jumlah ayat : 5

Jadual 1

JUMLAH AYAT
Ujian Pra Ujian Pasca
BIL MURID
1. Murid 1 0 5
2. Murid 2 1 5
3. Murid 3 0 3
4. Murid 4 2 5
5.3 TINDAKAN YANG DIJALANKAN

5.3.1 Sebagai langkah untuk mengatasi masalah yang dikesan semasa proses pengajaran
dan pembelajaran ini, iaitu kemahiran membina ayat berdasarkan gambar tunggal ,
saya telah memperkenalkan teknik PeGam kepada murid Tahun 5 Cemerlang.

5.3.2 Sebelum memperkenalkan teknik PeGam kepada murid, saya dapati mereka begitu
teruja apabila melihat saya mengeluarkan gambar tunggal bersaiz A4 dan juga
sebilah gunting.

5.3.3 Saya telah menerangkan kepada murid-murid tentang tujuan teknik PeGam ini dan
langkah-langkah pelaksanaannya yang perlu mereka patuhi sepanjang sesi
pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

5.3.4 Berikut merupakan aktiviti-aktiviti yang saya lakukan bersama murid-murid :

a. Murid diberikan sekeping gambar tunggal bersaiz A4 dan juga sebilah gunting.

b. Setiap murid menerima gambar yang sama iaitu suasana perkelahan di tepi
pantai.

c. Saya telah memberikan arahan secara berperingkat iaitu meminta murid mengenal
pasti tentang beberapa situasi dalam gambar. Soal jawab ringkas dilakukan untuk
mencungkil minat dan pengetahuan murid terhadap gambar. Pada peringkat ini,
saya telah memberikan penekanan kepada murid agar mereka mengenal pasti
jumlah aktiviti yang berlaku dalam gambar. Penetapan jumlah aktiviti ini sangat
penting kerana ia merupakan jumlah ayat yang akan dibina oleh murid.

d. Apabila semua murid telah mengenal pasti jumlah aktiviti dalam gambar, mereka
diminta menggunting gambar aktiviti secara berasingan. Murid diberikan
kebebasan untuk mula menggunting mana-mana bahagian gambar. Setiap murid
akan mengasingkan gambar yang telah digunting bagi memudahkan proses
mengenal pasti bilangan aktiviti yang diperlukan.

e. Setelah selesai menggunting gambar, murid akan mengambil mana-mana gambar


yang disukai untuk membina ayat secara lebih berfokus. Guru menjalankan
pemantauan. Dengan cara ini murid akan lebih mudah membina ayat.

f. Masa untuk menyiapkan tugasan tidak dihadkan oleh guru supaya tidak
menjadikan
tekanan kepada murid. Murid mula menunjukkan hasil setelah satu persatu
maklumat dalam gambar dipindahkan ke dalam bentuk ayat.

g. Saya tidak menegur tentang kesalahan tatabahasa pada peringkat ini kerana tidak
mahu mereka hilang fokus semasa menyiapkan tugasan masing-masing iaitu
membina ayat.

6.0 DAPATAN KAJIAN

Kajian tindakan ini telah dilaksanakan dalam tempoh enam minggu. Kali pertama saya
menjalankan teknik PeGam ini, saya telah memperuntukkan masa selama satu jam untuk
melaksanakannya. Pada mulanya keraguan timbul seandainya teknik ini kurang berkesan
serta tidak mampu menarik perhatian murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran
nanti. Namun begitu sangkaan saya ternyata salah kerana murid-murid bukan sahaja
kelihatan seronok, malah mereka begitu teruja sekali untuk membina ayat. Ada kalanya
mereka meminta saya menyediakan gambar tunggal yang lain untuk cuba membina ayat.
Saya memenuhi permintaan mereka dan kami menjalankan aktiviti secara lisan. Ternyata
mereka kini mampu membina ayat yang agak baik juga berdasarkan gambar tunggal yang
diberikan. Pembelajaran kini menjadi lebih bermakna dan mereka tidak lagi ketinggalan jauh
daripada rakan-rakan sekelas.

Sebenarnya sebelum menjalankan Ujian Pasca, saya telah melaksanakan beberapa


siri ujian ( 2 ujian ) untuk menguji keberkesanan teknik PeGam ini. Ujian-ujian ini sangat
penting sebagai kayu ukur atau penanda aras tahap pemahaman dan penguasaan
kemahiran yang diajar sebelum mendapatkan hasil yang sebenarnya iaitu apa yang ingin
dicapai dalam Ujian Pasca. Markah-markah tersebut telah dicatatkan seperti yang tertera
dalam jadual berikut :

Jadual 2

JUMLAH AYAT
Ujian Pra Ujian 2 Ujian 3 Ujian Pasca
BIL MURID
1. Murid 1 0 1 3 5
2. Murid 2 1 2 4 5
3. Murid 3 0 1 2 3
4. Murid 4 2 3 4 5

Berdasarkan jadual 2 penskoran ini, saya dapati ada peningkatan markah bagi murid-murid
tersebut. Murid-murid menunjukkan tahap pemahaman dan penguasaan kemahiran yang
lebih baik selepas mengikuti dan menguasai Teknik PeGam.

DAPATAN KAJIAN PENGGUNAAN TEKNIK PEGAM DALAM


MEMBINA AYAT BERDASARKAN GAMBAR TUNGGAL
6

5
5 5 5

4
4 4

3
3 3 3

2
2 2 2

1
1 1 1
0 0
0
Murid 1 Murid 2 Murid 3 Murid 4

Ujian Pra Ujian 2 Ujian 3 Ujian Pasca

Dapatan Kajian
7.0 REFLEKSI KAJIAN

Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap murid, teknik yang telah dilaksanakan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran telah memberikan satu impak yang sangat berkesan
dan positif. Skor markah murid yang menunjukkan peningkatan membuktikan teknik yang
digunakan sangat berkesan dan bersesuaian dengan murid. Murid kini sentiasa bersedia
dan yakin untuk membina ayat berdasarkan gambar. Berdasarkan tinjauan yang dijalankan,
didapati murid telah memahami dan dapat mengikuti teknik yang digunakan. Murid kini tidak
lagi memerlukan masa yang agak lama untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Aktiviti yang dilakukan bersama semasa proses pengajaran dan pembelajaran menimbulkan
suasana positif yang begitu menarik minat murid-murid. Hasilnya membuktikan bahawa
sebenarnya murid-murid boleh dibimbing untuk menguasai sesuatu topik atau kemahiran
jika guru mampu memikirkan sesuatu teknik atau kaedah yang sesuai dan tepat dalam dunia
pendidikan.

Sejujurnya, saya sangat berpuas hati dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh
peserta kajian. Bukanlah satu perkara yang mudah untuk menarik minat dan menggalakkan
mereka mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran, namun berpegang kepada pepatah
lama, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, maka terhasillah teknik ini.
Hakikat yang perlu kita akui ialah murid-murid mampu melakukan sesuatu perkara itu
dengan baik asalkan mendapat panduan serta tunjuk ajar yang betul daripada pelbagai
pihak terutamanya ibu bapa dan juga guru-guru mereka. Daripada kajian ini, saya juga telah
mendapat satu pengajaran yang sangat berguna kepada diri sendiri untuk mendidik insan
lain selain alam persekolahan.

8.0 CADANGAN TINDAKAN SUSULAN

Beberapa cadangan yang boleh dilakukan untuk kajian seterusnya dengan menggunakan
teknik ini adalah digalakkan. Antaranya, dengan menggunakan alatan yang lebih canggih
iaitu komputer riba dan juga LCD. Gambar yang dipotong bolehlah ditayangkan pada LCD
dan bersoal jawab dengan murid. Cara pemotongan gambar boleh juga ditunjukkan melalui
komputer riba yang dipancarkan. Aktiviti ini tentu akan lebih menarik minat murid untuk
belajar. Paparan bahan pengajaran pada skrin yang lebih besar akan menambahkan lagi
daya ingatan murid. Murid juga boleh membantu guru bagi menambahkan keseronokan
mereka iaitu membantu menekan butang pada komputer riba bagi paparan Power Point
bahan pengajaran. Cadangan juga agar proses pengajaran dan pembelajaran yang
menggunakan teknik PeGam dijalankan di luar bilik darjah atau di tempat-tempat lain yang
difikirkan sesuai. Saya juga mencadangkan agar aktiviti membina ayat ini dilakukan secara
berkumpulan dalam bentuk pertandingan sebagai satu pengayaan setelah murid-murid
benar-benar memahami dan boleh melakukan aktiviti yang ditunjukkan melalui teknik ini.
Kepada murid atau kumpulan yang berjaya, berikanlah sedikit penghargaan kepada mereka
dengan penyediaan hadiah sebagai galakan untuk menghasilkan hasil kerja yang baik dan
memuaskan.

Sebagai kesimpulannya, teknik ini difikirkan sesuai dilaksanakan kepada murid yang
bermasalah untuk membina ayat berdasarkan gambar kerana proses menjayakan aktiviti ini
berlangsung dalam suasana yang lebih santai dan berbentuk permainan kecil yang mampu
membentuk minat murid untuk mengikuti dan seterusnya menguasai sesuatu kemahiran
yang diajar oleh seseorang guru.

9.0 PENUTUP

Kajian ini diharap dapat dilaksanakan ke seluruh sekolah yang mempunyai masalah serupa
seperti yang berjaya dikesan. Ini adalah penting bagi memastikan usaha menjadikan semua
rakyat Malaysia dapat menguasai kemahiran menulis, mengarang serta melahirkan idea
pada masa datang akan tercapai. Juga sebagai menyahut cabaran kerajaan supaya
berusaha memartabatkan bahasa Melayu yang menjadi pendokong bahasa kebangsaan
dan juga bahasa perpaduan negara. Oleh itu, besarlah harapan agar semua pihak
memainkan peranan masing-masing dalam usaha menuju ke arah kecemerlangan akademik
bagi menjayakan misi serta Falsafah Pendidikan Negara.
SENARAI RUJUKAN

Abdul Fatah Hassan. (1990). Kecemerlangan Minda Dalam Pembelajaran : Keseluruhan


Otak Dan Daya Berfikir. Kuala Lumpur. Utusan Publicators And Distributors Sdn.
Bhd.

Atan Long. (1986). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1994). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kemmis & Mc Taggart (1988). Bahagian Perancangan Dan Pendidikan Dasar Pendidikan.
Manual Kajian Tindakan. Kuala Lumpur. Penerbit BPPDP, KPM.

Mohd Majid Konting. (2002). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur. Dewan
Bahasa Dan Pustaka.

Pusat Perkembangan Kurikulum (2006). Program Kelas Intervensi Awal Membaca Dan
Menulis (KIA2M) Tahun 1. Kuala Lumpur. KPM.

Rosinah, E (2012). Penyelidikan Tindakan Kaedah Dan Penulisan (Edisi Kedua). Kuala
Lumpur. Freemind Horizons Sdn. Bhd.
LAMPIRAN

Gambar Tunggal Gambar Tunggal Yang Dipecahkan

Hasil Tugasan Murid Semasa Ujian 2


Murid Melakukan Aktiviti
Hasil Tugasan Murid Semasa Ujian 3

Hasil Tugasan Murid Semasa Ujian 2

Guru Memantau Aktiviti Murid Serta Memberikan Bimbingan

Anda mungkin juga menyukai