Anda di halaman 1dari 4

PERTANDINGAN BERCERITA BAHASA MELAYU TAHAP 2

Nama : Azmawie Bin Jailin

Sekolah : Sk. Togop Darat, Ranau

Tajuk : Rajin dan Usaha Tangga Kejayaan

Terima kasih tuan pengerusi majlis, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia, saya

ucapkan kepada barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa, guru-

guru, rakan-rakan dan para hadirin sekalian. Hari ini saya akan menyampaikan sebuah

cerita yang bertajuk “Rajin dan Usaha Tangga Kejayaan”.

Di kampung Titi Sebatang, tinggal seorang anak muda bernama Damak. Dia

tinggal seorang diri. Ibu dan bapanya telah lama meninggal dunia. Ibu bapa Damak

tidak meninggalkan apa-apa harta untuknya. Dia hanya mempunyai sebuah rumah

buruk, sepasang pakaian dan sebilah pisau kontot. Damak mengambil upah menebas

rumput di kebun dan kerja-kerja di sawah. Hidupnya “kais pagi makan pagi, kais petang

makan petang”.

Pada suatu hari, Damak pergi berjumpa dengan bapa saudaranya yang bernama

Pak Hitam. Damak tidak lupa membawa pisau kontotnya. Pak Hitam dan Damak

berbual-bual hingga tengah hari. Sewaktu hendak pulang, Pak Hitam menepuk bahu

Damak sambal memberitahu firasatnya bahawa Damak akan bertambah miskin.

“Eh, hamba sangat miskin. Bagaimana pula hamba akan menjadi bertambah

miskin?” tanya Damak.


Pak Hitam tersenyum. Kemudian, dia menggelengkan kepalanya. Damak pun

keluar dari rumah Pak Hitam lalu berjalan pulang menuju ke rumahnya. Jalan ke

rumahnya melalui hutan. Tiba-tiba… dia ternampak Sang Kancil. Sang Kancil sedang

minum air di tepi sungai.

“ Hmm, itupun Sang Kancil. Binatang itu sangat cerdik. Bolehlah hamba

peliharanya” fikir Damak.

Dari jauh Damak melontar pisau kontotnya ke arah Sang Kancil. Malang tidak

berbau, pisau kontotnya terpelanting jatuh ke dalam sungai. Air sungai itu sangat

dalam. Damak tidak berani terjun ke dalam sungai kerana tidak pandai berenang. Dia

takut tenggelam dan mati lemas. Sang Kancil terus melarikan diri masuk ke dalam

lubang kayu. Damak kehilangan pisau kontotnya. Dia cuma ada sehelai baju dan

sehelai seluar buruk yang dipakainya.

“ Hmm, hamba akan tutup lubang kayu itu dengan baju hamba. Nanti bolehlah

hamba tangkap Sang Kancil” kata Damak. Dia teringin sangat memelihara Sang Kancil.

Dia berharap dengan memelihara Sang Kancil, dia boleh hidup kaya-raya. Damak pun

membuka bajunya lalu direggang pada batang kayu itu. Kemudian Damak mengetuk

batang kayu itu.

Sudah lama Damak menunggu, tetapi Sang Kancil tidak juga keluar. Damak

terus mengetuk batang kayu itu. Sedang Damak mengetuk batang kayu itu dengan

bersungguh-sungguh, tiba-tiba Sang Kancil melompat keluar. Baju Damak yang buruk

itu koyak sama sekali. Sang Kancil terus melarikan diri masuk ke dalam hutan.
Kasihan, Damak tidak mempunyai baju lagi. Tinggallah sehelai seluar buruk

pada tubuhnya. Sungguh malang nasibnya. Keesokan harinya, sekali lagi Damak pergi

berjumpa Pak HItam. Damak memberitahu Pak HItam bahawa firasat Pak Hitam

memang benar. Pisau kontotnya hilang dan bajunya pula koyak rabak. Pak Hitam

tersenyum lalu memberitahu Damak bahawa Damak bukannya miskin tetapi kaya-raya

seperti orang lain juga. Damak terkejut mendengar kata-kata pakciknya. Sedangkan dia

hanya mempunyai sehelai seluar buruk pada tubunya. Pak Hitam menjelaskan bahawa

Damak mempunyai tulang empat kerat, mata telinga dan tubuh badan yang sihat.

Damak mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan kata-kata pakciknya. Pak Hitam

menasihati Damak agar menggunakan seluruh anggota badan dengan sebaik-baiknya

untuk menjadi kaya.

Keesokkan harinya, Damak pun mula membersihkan hutan di belakang

rumahnya. Perkakas yang digunakan seperti sabit, parang, kapak dan cangkul dipinjam

daripada Pak Hitam. Mula-mula, Damak menebas dan menebang pokok-pokok yang

besar. Kemudian, Damak membakar batang-batang dan dahan-dahan kayu. Setelah

bersih Damak pun mula mencangkul dan mengembur tanah.

Timun, petola, kacang dan terung

Ditanam Damak untuk dijual

Disiram dijaga setiap hari

Kehidupan Damak mulai senang. Rumah yang buruk sudah dibaiki. Pakaiannya

juga sudah berganti. Selain menanam sayur-sayuran, Damak juga menanam buah-

buahan seperti rambutan, durian, manggis dan langsat. Buah-buahan yang ditanam
oleh Damak juga mengeluarkan hasil. Ramai peraih buah datang ke dusun Damak

untuk membeli buah-buahan.

Kehidupan Damak bertambah senang dan bahagia. Damak tidak lagi miskin

malahan menjadi orang kaya dan banyak membantu penduduk kampung. Itulah berkat

usaha dengan menggunakan tulang empat kerat.

Kawan-kawan, kehidupan seseorang itu tidak akan berubah kecuali dia

mengubah sendiri. Oleh yang demikan, manfaatkanlah tubuh badan yang sihat, tulang

empat kerat yang Tuhan beri untuk mengubah kehidupan kita. Janganlah kita

mengharap belas kasihan orang lain untuk meneruskan hidup. Kita perlu berusaha

sendiri untuk Berjaya kerana rajin dan usaha tangga kejayaan.

Sekian dan terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai