Anda di halaman 1dari 1

Langkah-langkah -Kecemerlangan dalam peperiksaan

Umum mengetahui bahawa pelajar pada masa kini mempuyai keinginan yang tinggi untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaannya. Hal ini demikian kerana, sesetengah pelajar ingin mendapat
kecemerlangan dalam peperiksaan adalah untuk membanggakan ibu bapa mereka manakala
sesetengah lagi berpendapat kecemerlangan dalam peperiksaan mampu menjamin masa depan yang
cerah. Sebagai contoh, pelajar meluangkan masa beberapa jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran
bermatlamat untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Jelaslah bahawa kecemerlangan
dalam peperiksaan merupakan matlamat utama dalam kalangan pelajar. Oleh itu, pelbagai usaha
boleh diambil untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Antara usaha yang boleh dilakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah pelajar
haruslah menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar di dalam kelas. Hal ini dikatakan
demikian kerana, terdapat sesetengah pelajar yang berbisik dengan rakan dan ada yang bermimpi
semasa guru sedang mengajar di depan. Oleh itu, pelajar tidak haruslah berborak dengan rakan-rakan
ketika proses pembelajaran. Kesannya, dengan menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru,
pelajar dapat menyerap ilmu dengan lebih mudah dan efektif ke dalam minda mereka. Hal ini penting
supaya pelajar dapat memahami ilmu yang diajar oleh guru untuk mengelakkan berlakunya situasi
masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Jelaslah bahawa, sekiranya pelajar menumpukan perhatian
dalam kelas, maka pelajar dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Selain itu, langkah yang boleh diambil untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan adalah
dengan sentiasa mengulang kaji pelajaran dan membuat latihan. Hal ini dikatakan demikian kerana,
melalui proses ulang kaji, pelajar dapat berfikir dengan lebih mendalam dan menguatkan ingatan
mereka terhadap subjek tersebut serta dengan membuat latihan, pelajar dapat menguasai teknik
menjawab soalan. Sebagai contoh, pelajar bolehlah sentiasa mengulang kaji pelajaran yang diajar oleh
guru pada hari tersebut selepas balik dari sekolah dan membuat latihan yang berkaitan. Kesannya,
pelajar dapat menguasai ilmu yang diajar oleh guru dengan lebih mahir dan mampu menjawab latihan
berkaitan dengan cemerlangnya. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa, dengan mengulang kaji pelajaran
dan membuat latihan, pelajar dapat menjawab peperiksaan dengan senang dan penuh keyakinan
kerana alah bisa tegal biasa.

Akhir sekali, langkah untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah bergaul dengan rakan-
rakan yang cemerlang dalam peperiksaannya. Hal ini dikatakan demikian kerana, pelajar boleh
meminta tunjuk ajar dengan rakan yang cemerlang sekiranya menemui masalah atau soalan dalam
pembelajarannya. Tamsilnya, pelajar bolehlah menyertai kumpulan pembelajaran rakan yang
cemerlang itu dan berbincang tentang topik-topik yang diajar oleh guru. Kesannya, ilmu pelajar akan
bertambah dan mempunyai motivasi yang lebih tinggi untuk belajar bersama-sama dengan rakan-
rakan yang cemerlang kerana berkawan dengan si penjual bunga dapatkan wangi, berkawan dengan
si penjual arang dapatkan hitam. Tegasnya, dengan bergaul dengan rakan-rakan yang cemerlang
dapat membantu pelajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang.

Tuntasnya, terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan. Dalam hal ini, pelajar haruslah berusaha sedaya upaya dalam usaha-usaha tersebut.
Dengan ini, pelajar tentulah dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan bagi membanggakan
sendiri dan ibu bapa. Oleh itu, pelajar haruslah mengamalkan prinsip genggam bara api, biar jadi
arang kerana usaha tangga kejayaan.

Anda mungkin juga menyukai