Anda di halaman 1dari 14

PENGAMALAN SOLAT FARDU DALAM KALANGAN PELAJAR

POLITEKNIK BALIK PULAU, PULAU PINANG

Oleh : Nurul Adha Binti Rajali, Siti Nazilah Binti Hamzah & Adirah Binti Isa
Jabatan Pengajian Am, Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang.

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk mengetahui sejauhmana kefahaman pelajar Politeknik Balik Pulau
(PBU) terhadap kepentingan dan pengamalan ibadah solat dalam kehidupan seharian mereka.
Hal ini kerana pengamalan solat adalah ibadat praktikal yang wajib dilakukan oleh setiap
individu muslim sepanjang hayat. Kajian ini mempunyai tiga skop kajian iaitu tahap
pengetahuan, pengamalan dan faktor-faktor utama yang mempengaruhi pelajar melaksanakan
ibadah solat. Responden dalam kajian ini adalah terdiri daripada pelajar muslim PBU iaitu satu
perdua daripada jumlah keseluruhan pelajar PBU. Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan
soal selidik sebagai instrumen kajian. Data di analisis dengan menggunakan perisian Statistical
Package For The Social Sciences ( SPSS ) versi 11.5. Kajian ini memberi satu alternatif baru
bagi pensyarah Pendidikan Islam atau individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung
untuk penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hasil analisis
menunjukkan bahawa pelajar mempunyai pengetahuan yang tinggi mengenai kepentingan solat,
tetapi dari segi pengamalan pula berada pada tahap sederhana. Faktor luaran seperti ibu bapa,
rakan sebaya, media massa dan lain-lain di dapati mempengaruhi mereka dalam menunaikan
solat.

1
Pendahuluan

Islam berdiri tegak di atas lima rukun yang utama iaitu mengucap dua kalimah syahadah,
mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji. Tanpa
kelima-lima rukun ini, maka akan pincanglah kehidupan seseorang meskipun dia bergelar
seorang muslim. Solat merupakan asas atau tiang agama. Tanpa tiang, bangunan Islam tidak
sempurna dan memiliki kekuatan. Oleh itu, jika seorang muslim mendirikan dan menjaga solat,
maka agamanya semakin kuat. Agamanya akan roboh jika dia meninggalkan solat. Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud : “Solat itu tiang agama, barang siapa meninggalkannya beerti
meruntuhkan agama”. Agama tidak akan dapat ditegakkan dengan sempurna dalam diri
seseorang dan Negara kecuali setelah memberi perhatian serius tentang kewajipan dan
kesempurnaannya. Di samping itu, solat juga merupakan tiang asas bagi amalan soleh yang lain.
Ini bermakna ibadah solat adalah ibadah yang paling utama berbanding ibadah-ibadah yang lain
kerana kedudukannya sebagai tiang agama kepada rukun-rukun Islam yang lain. Oleh itu, sesiapa
yang meninggalkan solat maka sesungguhnya ia telah meruntuhkan agama Islam itu sendiri.
Kedudukan solat adalah amat tinggi dalam Islam. Selain itu, ia merupakan antara amalan yang
pertama sekali dihisab. Hal ini disebut oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Amalan yang mula-mula dihisab (diperhitungkan) daripada seseorang hamba pada hari kiamat
ialah solat. Maka berkata Allah SWT kepada para malaikatNya, dan Ia Maha Mengetahui:
‘Telitilah pada solat hamba-Ku, adakah ia sempurnakannya atau kurang. Sekiranya lengkap
sempurna tulislah sempurna, kiranya ada yang kurang, maka berkatalah Allah SWT: Telitilah
sekiranya terdapat solat-solat sunatnya bagi membantu menyempurnakan solat fardunya’.

2
Latar Belakang Kajian

Amalan solat merupakan tiang agama Islam, sebagai seorang Islam yang taat dan patuh pada
perintah Allah SWT diwajibkan menunaikan solat iaitu solat fardu. Solat merupakan satu ibadah
yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam dan solat yang sempurna juga dapat menjauhkan
manusia dari segala perbuatan mungkar. Solat dapat mengukuhkan iman dan memperisaikan diri
dari amalan keji dan mungkar. Meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja adalah berdosa
dan Allah SWT telah mensyariatkan ibadah ini di dalam Al-Quran bahawa barang siapa yang
meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja akan mendapat balasan di dunia dan di akhirat.
Malah, orang yang meninggalkan solat fardhu adalah amat buruk dan sangat keji sekali dan
ianya terlebih keji daripada iblis. Sedih sekali apabila kita melihat generasi masa hadapan yang
enggan sujud kepada pencipta-Nya. Sebenarnya isu dan masalah inilah yang lebih bahaya bagi
umat Islam pada masa kini daripada isu dadah, mat rempit, pembuangan bayi, gejala sosial dan
sebagainya. Punca segala masalah-masalah sosial yang berlaku hari ini kerana kebanyakan
remaja meninggalkan ibadah solat dengan sewenangnya tanpa rasa bersalah kepada pencipta-
Nya. Mereka lebih cenderung ke arah aktiviti kehidupan keduniaan daripada melakukan ibadat
kepada Allah SWT.

Pernyataan Masalah

Seorang muslim yang sentiasa melaksanakan solat, hubungannya dengan Allah s.w.t semakin
erat. Kesempurnaan solat yang ditunaikan akan menyelamatkan amalan-amalan kebaikan yang
lain daripada ditolak begitu sahaja. Begitulah besarnya kewajipan solat berbanding amalan-
amalan lain. Namun dewasa kini, ibadah tersebut seolah-olah tidak lagi menjadi keutamaan.
Pengabaian solat merupakan isu yang besar, namun ianya di pandang remeh oleh masyarakat
sekarang. Tambah menyedihkan, ramai juga di antara kita yang tidak tahu langsung cara untuk
menunaikan solat.

Berdasarkan tinjauan awal melalui soal jawab secara rawak di dalam kelas semasa kursus
Pendidikan Islam, di dapati masih ada pelajar muslim yang tidak dapat melaksanakan ibadah
solat fardu secara sempurna dan cukup lima waktu. Justeru, kajian ini dijalankan adalah
bertujuan untuk mengupas dan mengkaji beberapa objektif yang dicadangkan oleh penyelidik

3
agar dapat melihat tahap pengetahuan, pengamalan dan faktor-faktor utama yang mempengaruhi
pelajar dalam melaksanakan ibadah solat.

Objektif Kajian:

Objektif bagi kajian ini adalah seperti berikut :

i. Tahap pengetahuan pelajar terhadap kepentingan solat fardhu.


ii. Pengamalan solat dalam kalangan pelajar.
iii. Faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar dalam menunaikan solat.

Kepentingan Kajian
Kajian yang dijalankan ini mempunyai beberapa kepentingan iaitu :

i. Memberi kesedaran kepada pelajar muslim Politeknik Balik Pulau mengenai kewajipan
dalam menunaikan solat fardhu.
ii. Mengetahui faktor yang mempengaruhi pelajar dalam menunaikan solat.
iii. Merangka proses pembelajaran dan pengajaran Pendidikan Islam dan aktiviti keagamaan
yang lebih mantap agar memberi kesan mendalam dalam jiwa bagi mengisi kekosongan
rohani mereka.

Batasan Kajian:

Kajian ini terbatas hanya kepada pelajar muslim Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang.

Kajian Literatur

Dalam kajian ini, penyelidik merujuk kepada beberapa kajian literatur untuk menilai
penyelidikan sebelumnya yang berkaitan dengan tajuk kajian “Pengamalan solat fardu dalam
kalangan pelajar Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang”. Tujuan penyelidik mengambil kajian
literatur adalah untuk menguatkan kajian yang di jalankan dan secara tidak langsung ia
membantu dalam menjalankan kajian tersebut. Di antaranya ialah :

4
a) Kajian Perlaksanaan Ibadah Solat Fardhu Di Kalangan Guru Pelatih Islam
Maktab Perguruan Batu Lintang

Berdasarkan hasil kajian di atas, penyelidik merumuskan bahawa pelaksanaan solat masih
kurang memuaskan di kalangan individu muslim walaupun mereka telah berada di peringkat
pendidikan yang tinggi . Hal ini berpunca dari kurangnya faktor pendidikan agama, bebanan
kuliah dan pengaruh rakan dalam mempengaruhi pelaksanaan ibadah solat fardhu dikalangan
responden.

b) Tahap Pengamalan Pelajar Terhadap Tanggungjawab Solat : Satu Kajian Di Kolej


11, Universiti Malaya

Kajian yang dijalankan bertujuan untuk mengkaji tahap pengamalan pelajar terhadap
tanggungjawab solat. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa secara keseluruhan tahap pencapaian
min adalah tinggi iaitu 4.73 bagi pengetahuan, 4.22 bagi tahap pengamalan pelajar terhadap
tanggungjawab solat dan 4.63 pandangan pelajar terhadap kesan pengamalan solat terhadap diri
seseorang. Dari kajian ini diharap dapat memberi panduan kepada semua pihak agar asas
peneguhan agama bukan sahaja diterapkan dan ditekankan diperingkat sekolah sahaja tetapi
ibubapa perlu mengambil peranan di rumah dalam memberi penekanan agama terhadap anak-
anak mereka.

c) Kefahaman, Pelaksanaan Dan Penghayatan Solat Bakal Guru

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kefahaman, pelaksanaan dan penghayatan solat bakal
guru ke arah membantu membina jatidiri mereka sebagai penghuni kolej kediaman. Modul
“Motivasi Solat” oleh Pusat Motivasi Harmoni yang mengetengahkan solat sebagai asas
pembinaan peribadi agung dijadikan sebagai dasar kajian. Dapatan soal selidik menunjukkan
bahawa kefahaman dan pelaksanaan solat bakal guru berada pada tahap tinggi tetapi penghayatan
solat bakal guru berada pada tahap sederhana. Dapatan temubual menunjukkan guru pelatih yang
mempunyai akhlak yang mantap mempunyai kefahaman, realiti amalan pelaksanaan dan
penghayatan solat yang tinggi. Kesimpulannya penghayatan solat adalah penting dan perlu

5
dibudayakan supaya dapat berperanan sebagai pemangkin jatidiri dalam kehidupan seharian
bakal guru.

Metodologi Kajian
i) Kaedah Penyelidikan

Kajian ini merupakan tinjauan awal berbentuk kuantitatif yang bertujuan untuk mengenalpasti
pengamalan solat fardu dalam kalangan pelajar Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang. Kaedah
yang digunakan dalam penyelidikan ini adalah berbentuk soal selidik. Dalam kaedah soal selidik,
segala dapatan yang diperolehi adalah sulit dan rahsia. Penggunaan borang soal selidik ini dapat
menjimatkan masa kerana dijalankan serentak di satu-satu tempat disamping responden boleh
memberikan jawapan yang lebih tepat dan benar kerana ketidakhadiran penyelidik semasa
responden memberikan jawapan. Selain itu pengedaran borang soal selidik ini juga dapat
dijalankan dengan lebih meluas.

ii) Populasi dan sampel kajian

Kajian ini merupakan suatu kajian kes berbentuk diskriptif. Oleh itu, populasi bagi kajian ini
adalah terhad kepada pelajar Politeknik Balik Pulau sahaja. Sampel kajian ini adalah pelajar
muslim Politeknik Balik Pulau iaitu seramai 124 orang pelajar daripada Jabatan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi.

iii) Instrumen dan Pengurusan Data

Borang soal selidik digunakan sebagai instrumen utama bagi kajian ini. Penyelidik menggunakan
satu set soal selidik yang mempunyai dua bahagian utama iaitu bahagian A dan bahagian B.
Bahagian A mempunyai 5 soalan yang berkaitan dengan demografi responden. Manakala pada
bahagian B pula mengandungi tiga pecahan iaitu mengenal pasti tahap pengetahuan pelajar
terhadap kepentingan solat fardhu, pengamalan solat dalam kalangan pelajar dan faktor-faktor
yang mempengaruhi pelajar dalam menunaikan solat. Responden hanya perlu memilih sama ada
ya atau tidak bagi setiap soalan yang dinyatakan. Data diproses menggunakan program SPSS
(Statistical Package for Social Science version 11.5).

6
Dapatan Kajian

Bahagian A : Latar Belakang Pelajar

Responden yang terlibat di dalam kajian ini merupakan pelajar muslim Politeknik Balik Pulau
iaitu seramai 124 orang pelajar daripada Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang
terdiri daripada responden lelaki seramai 50 orang (40.3 %) dan responden perempuan seramai
74 orang (59.7%). Manakala latar belakang semester, seramai 5 orang (4%) merupakan pelajar
semester 1, 37 orang (29.8%) semester 2, 39 orang (31.5%) semester 3, seorang (1%) semester 5
dan 42 orang (33.9%) adalah dari semester 6.

Manakala berdasarkan analisis, didapati seramai 103 orang (83.1%) responden mendapat
pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (Harian), manakala terdapat 9 orang (7.3% )
responden dari dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Menengah
Teknik dan seramai 3 orang (2.4%) responden dari Sekolah Berasrama Penuh.

7
Bahagian B :

i. Tahap Pengetahuan Pelajar Terhadap Kepentingan Solat Fardhu

BIL ITEM / PERKARA Ya Tidak


1. Saya sentiasa menunaikan solat fardhu lima waktu setiap hari. 74 50
(59.7%) (40.3%)
2. Saya segera menunaikan solat sebaik sahaja masuk waktu solat. 52 72
(41.9%) (58.1%)
3. Saya menunaikan solat fardhu kerana hukumnya adalah wajib. 117 7
(94.4%) (5.6%)
4. Solat itu adalah satu kewajipan yang difardhukan ke atas setiap 122 2
individu. (98.4%) (1.6%)
5. Saya memahami bahawa solat dapat menghapuskan dosa-dosa kecil 121 3
yang telah dilakukan. (97.6%) (2.4%)
6. Saya mengetahui cara melaksanakan solat dengan betul. 118 6
(95.2%) (4.8%)
7. Saya mengetahui akan balasan Allah terhadap mereka yang ingkar 124 -
terhadap perintahNya (100%)
8. Saya berasa berdosa kerana tidak menunaikan solat. 122 2
(98.4%) (1.6%)
9. Hukuman Allah sangat dasyat terhadap mereka yang meninggalkan 117 7
solat dengan sengaja. (94.4%) (5.6%)
10. Saya mengetahui solat wajb dilaksanakan dalam pelbagai keadaan 122 2
walaupun ketika musafir dan sakit. (98.4%) (1.6%)
11. Solat merupakan ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah. 122 2
(98.4%) (1.6%)
12. Saya yakin dengan menunaikan solat dapat mengelakkan daripada 122 2
melakukan perbuatan mungkar. (98.4%) (1.6%)

Jadual 1: Tahap Pengetahuan Pelajar Terhadap Kepentingan Solat Fardhu

Berdasarkan jadual 1 iaitu pengetahuan pelajar terhadap kepentingan solat fardhu, peratus
tertinggi responden bersetuju (100%) iaitu seramai 124 orang pada pernyataan item “Saya
mengetahui akan balasan Allah terhadap mereka yang ingkar terhadap perintahNya”. Peratus
kedua tertinggi adalah pada lima pernyataan “Solat itu adalah satu kewajipan yang difardhukan
ke atas setiap individu, “Saya berasa berdosa kerana tidak menunaikan solat,“Saya mengetahui
solat wajb dilaksanakan dalam pelbagai keadaan walaupun ketika musafir dan sakit, “Solat
merupakan ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah, “Saya yakin dengan menunaikan solat
dapat mengelakkan daripada melakukan perbuatan mungkar” yang mana masing-masing

8
mempunyai nilai 122 orang responden (98.4%). Namun bagi pernyataan“Saya segera
menunaikan solat sebaik sahaja masuk waktu solat” mencatatkan 72 orang (58.1%) yang tidak
bersetuju dengan pernyataan tersebut. Ini menunjukkan responden tahu dan sedar akan balasan
serta kepentingan solat fardhu namun, responden tidak segera menunaikannya apabila tiba waktu
solat.

Kesimpulannya pengetahuan pelajar terhadap kepentingan solat fardhu pada jadual pertama
menunjukkan pelajar menunjukkan tahap kefahaman yang tinggi terhadap kepentingan solat.
Tidak sampai lima peratus pelajar yang menunjukkan ketidakfahaman terhadap kepentingan
solat tersebut. Tetapi hal ini perlu dipertingkatkan lagi kerana pelajar ini sudah melangkah masuk
ke alam institusi pengajian tinggi dan sepatutnya mereka semua tidak mempunyai masalah untuk
memahami betapa pentingnya ibadah solat kerana mereka adalah bakal pemimpin ummah sedikit
masa lagi.
ii. Pengamalan Solat dalam Kalangan Pelajar

BIL ITEM / PERKARA YA TIDAK

1. Saya menunaikan solat fardhu pada waktu tidak sibuk sahaja. 43 81


(34.7%) (65.3%)
2. Saya sentiasa melengah-lengahkan menunaikan solat fardhu. 64 60
51.6 (48.4%)
3. Solat yang paling berat untuk ditunaikan adalah solat subuh. 92 32
(74.2%) (25.8%)
4. Saya sering tergesa-gesa semasa menunaikan solat fardhu. 54 70
(43.5%) (56.5%)
5. Saya pernah meninggalkan solat fardhu jika saya sibuk 86 38
menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. (69.4%) (30.6%)
6. Saya tidak pernah meninggalkan solat Subuh 35 89
(28.2%) (71.8%)
7. Saya tidak pernah meninggalkan solat Zohor 52 72
(41.9%) (58.1%)
8. Saya tidak pernah meninggalkan solat Asar 45 79
(36.3%) (63.7%)
9. Saya tidak pernah meninggalkan solat Maghrib 61 63
(49.2%) (50.8%)
10. Saya tidak pernah meninggalkan solat Isyak 52 72
(41.9%) (58.1%)
Jadual 2 : Pengamalan Solat dalam Kalangan Pelajar

9
Merujuk kepada jadual 2 Analisis Item Pengamalan Solat, didapati bahawa responden bersetuju
bahawa solat yang paling berat ditunaikan adalah solat Subuh iaitu seramai 92 orang (74.2%).
Walaupun solat Subuh paling berat untuk ditunaikan oleh pelajar, namun masih terdapat seramai
35 orang (28.2%) melaksanakannya setiap hari. Bilangan ini boleh ditingkatkan sekiranya wujud
suatu usaha kesedaran oleh reponden itu sendiri. Peratusan paling tinggi dalam menunaikan solat
setiap hari ialah solat Maghrib di mana seramai 61 orang (49.2%) menunaikan solat Maghrib
diikuti solat Isyak seramai 52 orang (41.9%), solat Zohor seramai 52 orang (41.9%), solat Asar
seramai 45 orang (36.3%).

Hal ini kerana, terdapat segelintir pelajar yang pergi ke masjid pada waktu Maghrib dan terus
menunaikan solat Isyak di sana. Solat Zohor lebih kerap dilaksanakan berbanding solat Asar
kerana waktu Asar adalah waktu mereka bersukan dan bermain. Melalui jadual kedua ini juga, ia
bersifat agak kontradik dengan paparan pada jadual satu. Hal ini kerana, walaupun kebanyakan
pelajar menunjukkan kefahaman yang tinggi terhadap kepentingan solat, namun dalam
pengamalan menunaikan solat lebih 50 peratus pelajar meninggalkan solat-solat fardhu walaupun
mereka mengetahui solat itu penting dan wajib ditunaikan. Pelbagai faktor yang mempengaruhi
mereka sehingga bertindak sedemikian rupa. Antara kaedah penyelesaian yang terbaik, disiplin
diri pelajar harus dipertingkatkan sebagai contoh melalui peraturan mewajibkan pelajar
menunaikan solat lima waktu secara berjemaah. Selain itu, usaha membentuk biah solehah dalam
persekitaran politeknik yang mesra dengan solat boleh dianjurkan seperti menjadikan masjid
sebagai pusat sehenti para pelajar untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti belajar,
mengulangkaji pelajaran, kelas akademik, pusat aktiviti kokurikulum di samping
mengimarahkan masjid dengan program bersifat keagamaan.

10
iii. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pelajar Melaksanakan Solat

BIL ITEM / PERKARA YA TIDAK

1. Saya telah dididik oleh ibu bapa saya untuk menunaikan solat 114 10
sejak dari kecil. (91.9%) (8.1%)
2. Rakan saya sentiasa memberi dorongan untuk menunaikan solat. 95 29
(76.6%) (23.4%)
3. Saya banyak mendapat maklumat dan informasi mengenai solat 99 25
melalui media massa. (79.8%) (20.2%)
4. Saya mencontohi rakan yang sentiasa menunaikan solat. 110 14
(88.7%) (11.3%)
5. Pensyarah banyak membantu saya memperbaiki bacaan dalam 79 45
solat. (63.7%) (36.3%)
6. Pensyarah mengingati saya untuk menunaikan solat dengan 109 15
sempurna di samping tugas menuntut ilmu. (87.9%) (12.1%)
7. Rakan selalu mengajak saya untuk menunaikan solat sama ada di 90 34
masjid atau di rumah. (72.6%) (27.4%)
8. Saya berusaha untuk menunaikan solat dengan sempurna. 119 5
(96.0%) (4.0%)
9. Masyarakat sekeliling banyak mempengaruhi saya untuk 100 24
menunaikan solat. (80.6%) (19.4%)
10. Saya berasa tidak tenang apabila tidak menunaikan solat. 115 9
(92.7%) (7.3%)

Jadual 3 : Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pelajar Melaksanakan Solat

Menerusi jadual 3 di atas, pelajar bersetuju bahawa faktor ibu bapa, pensyarah, rakan sebaya,
masyarakat dan media massa juga mempengaruhi ibadah solat mereka sama ada ditunaikan atau
pun tidak. Faktor didikan ibu bapa adalah seramai 114 orang (91.9%), pensyarah 109 orang
(87.9%), rakan sebaya 110 orang (88.7%), masyarakat 100 orang (80.6%) dan media massa 99
orang (79.8%). Manakala faktor yang tinggi dalam mempengaruhi pelajar dalam melaksanakan
solat fardhu adalah faktor dalaman pelajar seperti kesedaran untuk berusaha menunaikan solat
dengan sempurna dan rasa tidak tenang apabila tidak menunaikan solat dengan peratusnya iaitu
96% (119 orang) dan 92.7% (115 orang).

Ini menunjukkan bahawa, dalam diri setiap pelajar sentiasa ada keinginan untuk memperbaiki
dan meningkatkan tahap ibadah mereka khususnya ibadah solat. Kesedaran ini juga
menggambarkan bahawa para pelajar mempunyai pengetahuan yang baik dalam hal ibadah solat

11
dan penguasaan ilmu dalam bidang ini. Namun begitu, pelajar perlu memperkukuhkan lagi jati
diri keimanan mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur tidak baik yang boleh
mempengaruhi mereka dalam menunaikan ibadah wajib. Program-program kerohanian, motivasi
misalnya haruslah dilaksanakan secara lebih kerap dan istiqamah agar ia sebati dengan jiwa
pelajar seterusnya membentuk jati diri yang kukuh. Jika ia berjaya dalam pelaksanaannya,
pelajar sudah mempunyai dorongan dalaman yang kuat dari diri sendiri dalam memotivasikan
diri untuk beribadah tanpa mengharapkan dorongan daripada unsur-unsur luaran. Kaedah ini lah
yang diterapkan oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam dengan memperkukuh akidah dalam
proses awal dakwah Islamiah di Mekah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dapatan kajian menunjukkan menunjukkan bahawa pelajar mempunyai


pengetahuan yang tinggi mengenai kepentingan solat, tetapi dari segi pengamalan tidak
menggambarkan tingginya kefahaman mereka terhadap kepentingan solat tersebut dan ianya
berada pada tahap sederhana sahaja. Faktor luaran seperti ibu bapa, rakan sebaya, media massa
dan lain-lain di dapati mempengaruhi mereka dalam menunaikan solat ataupun tidak.

Terdapat beberapa aspek menunjukkan dapatan yang sederhana dan rendah yang perlu dibaiki.
Kajian yang dijalankan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada pelajar Muslim Politeknik
Balik Pulau mengenai kewajipan dalam menunaikan solat fardhu. Kajian ini juga dapat
membantu pensyarah dan pihak Politeknik sendiri dalam merangka proses pembelajaran dan
pengajaran Pendidikan Islam dan aktiviti keagamaan yang lebih mantap agar memberi kesan
mendalam dalam jiwa bagi mengisi kekosongan rohani mereka.

Justeru, beberapa cadangan yang ingin dikemukanan supaya pelajar yang dikeluarkan oleh
Politeknik Balik Pulau khususnya, dapat memenuhi kriteria seorang penuntut muslim yang
mampu menyeimbangkan di antara tuntutan duniawi dan ukhrawi, iaitu:

a. Membudayakan penyebaran ilmu keagamaan melalui elemen pengajaran dan


pembelajaran merentas kurikulum. Setiap pendidik berperanan menyampaikan ilmu

12
berkaitan keagamaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran walaupun mereka bukan
mengajar matapelajaran Pendidikan Islam.
b. Para pensyarah memainkan peranan yang penting dengan memberi bimbingan dan
nasihat secara berterusan kepada pelajar.
c. Memperbanyakkan bahan-bahan bacaan dan rujukan agama di perpustakaan dan jabatan
masing-masing bagi memudahkan pelajar membuat rujukan dan peminjaman buku.
d. Menggalakkan solat berjemaah antara pelajar dan kakitangan politeknik sementara
menunggu waktu kuliah disambung kembali selepas waktu rehat.
e. Memperbanyakkan program keagamaan di Politeknik ataupun Kamsis seperti Kem
Ibadah Solat, Kem Pemantapan dan Penghayatan Solat, soal jawab agama, usrah, kelas
bimbingan fardhu ain dan lain-lain bagi meningkatkan kesedaran dan kepekaan terhadap
kepentingan ibadah solat.

Rujukan

al-Qur‟an. Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran 30 Juzuk. Terj. Sheikh
Abdullah Bin Muhammad Basmith. Kuala Lumpur: Darul Fikr.
Ahmad Syafi’I Khatib (2005) Hikmah Sembahyang Rukun ke 2, Dimensi Fiqah & Kerohanian.
Jasmin Enterprise.
Dato’ Ismail Kamus (2009) Indahnya Hidup Bersyariat. Telaga Biru Sdn. Bhd.

Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari (2004) Panduan Wudhuk dan Solat Berjemaah. Al-
Hidayah Publishers.
Drs. Hanafi Mohamed(2007) Hukuman Meninggalkan Sembahyang. Al-Hidayah Publishers.

Fawwaz Ahmad Zamrali & Roziah Abdullah (2008) Rahsia Khusyuk Solat. Synergy Media

H.Ribut Hasanuddin Batubara,Lc (2008) Mukhtasar Minhajul Qasidin-Jalan Orang-Orang


Soleh. Berlian Publications Sdn. Bhd.
Ismaiza Ismail (2004) Lets Learn Solat (Man). Al-Hidayah Publishers.

Jasmine Zainal (2010) Solat Tanpa Pahala.Synergy Media

Johari El-Yamani & Ustaz Junaid Talib (2003) As-Solat. Al-Hidayah Publishers.

13
Mohd Arshad (1999) Solat Fardhu sebagai Wadah Jamaah dan Perpaduan Ummah. Penulisan
Ilmiah.
Mohd Gunawan Che Ab Aziz (2003) Solat Kejayaan Hakiki. Utusan Publications & Distributors
Sdn. Bhd.
M.Siddiq Mustika (2007) Solat Khusyuk. Solat S.M.A.R.T. Millenia Sdn. Bhd.

Norhasanuddin (2009) Kuasa di Sebalik Solat. Al-Hidayah Publishers.

Sheikh Abdul Kholee (2002) Solat Mendidik Jiwa. Al-Hidayah Publishers.

Zaharuddin Abd Rahman (2008) Formula Solat Sempurna. Telaga Biru Sdn. Bhd.

14

Anda mungkin juga menyukai