Anda di halaman 1dari 3

Keunikan Pemerintah Beraja Dalam Sistem Demokrasi Malaysia

Pemerintahan beraja di Malaysia dikatakan paling unik berbanding negara lain yang mengamalkan pemerintahan beraja.

Ini kerana di negara-negara berkenaan takhta pemerintahan terus kekal dikuasai waris tetapi di Malaysia, Raja yang
memegang jawatan sebagai ketua negara atau dikenali sebagai Yang di-Pertuan Agong bertukar mengikut giliran dalam
kalangan sembilan Sultan atau Raja yang memerintah negeri.

Sungguhpun negara ini mengamalkan sistem pemerintahan Raja BerPerlembagaan dan Demokrasi BerParlimen,
pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang mula dilaksanakan ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957 adalah
cukup bermakna kerana ia melambangkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan demokrasi.

Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong, orang yang terutama di Malaysia, tidak dipilih
oleh rakyat tetapi oleh sembilan Raja-Raja Melayu berkenaan pada persidangan Majlis Raja-Raja, bagi memegang
jawatan itu untuk tempoh lima tahun.

Apabila genap tempoh itu, Seri Paduka Baginda hendaklah turun dari takhta dan akan digantikan oleh seorang Raja lain
berdasarkan sistem pemilihan yang sama.

Dalam sistem penggiliran ini, takhta pemerintahan adalah kekal tetapi Raja akan bersilih ganti.

Raja-Raja Melayu yang layak memilih dan menduduki takhta pemerintahan Malaysia ialah Yang Dipertuan Besar Negeri
Sembilan, Sultan Selangor, Raja Perlis, Sultan Terengganu, Sultan Kedah, Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Sultan Johor
dan Sultan Perak.

NEGERI SEMBILAN YANG PERTAMA

Sejak pemilihan Yang di-Pertuan Agong pertama iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman
Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Malaysia sudah mempunyai 14 orang ketua negara termasuk Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dari Kedah, yang akan diisytiharkan pada 13 Disember ini.

Mengikut catatan sejarah, sistem pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh para Undang yang memerintah
luak atau daerah di negeri itu mengikut adat Minangkabau, memberikan inspirasi kepada Perdana Menteri pertama
Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dalam merangka kaedah pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

Pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab memperkemas sistem yang dicadangkan oleh Suruhanjaya
Reid pada 1957 di mana jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah diwarisi tetapi berdasarkan kepada sistem giliran -
sesuatu yang baru dan tidak pernah diamalkan oleh mana-mana negara di dunia.

Sehubungan itu, Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Kepala
Utama Negara.

Seri Paduka Baginda mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan.
Di bawah Pindaan 1993, Yang di-Pertuan Agong, seperti juga Raja-raja, boleh didakwa atas kapasiti peribadinya dan jika
didakwa bagi sebarang kesalahan di bawah mana-mana undang-undang, Seri Paduka Baginda akan dibicarakan di sebuah
Mahkamah Khas yang dibentuk Majlis Raja-Raja.

DIPILIH MAJLIS RAJA-RAJA

Perlembagaan juga memaktubkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja secara undi
sulit untuk tempoh lima tahun.

Namun begitu, Seri Paduka Baginda boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dengan mengutus surat perletakan
jawatan kepada Majlis Raja-Raja atau dipecat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Setakat ini belum ada pemegang jawatan Yang di-Pertuan Agong yang dipecat atau meletak jawatan.

Perlembagaan seterusnya memaktubkan bahawa sebagai Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai
kuasa perundangan, pemerintah dan kehakiman.

Dalam banyak perkara hampir semua keputusan kerajaan yang dibuat Seri Paduka Baginda adalah atas nasihat Perdana
Menteri atau Jemaah Menteri.

Namun begitu Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara bagi melaksanakan tugas-tugas berikut:

* melantik seorang Perdana Menteri,

* tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen,

* meminta supaya diadakan satu Mesyuarat Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan
dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu, dan dalam
apa-apa hal lain yang tersebut dalam Perlembagaan.

Ada beberapa tugas rasmi yang hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong termasuk memanggil, memberhenti
dan membubarkan Parlimen.

Selain mempunyai kuasa dan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda juga berkuasa
melantik menteri-menteri lain sebagai anggota Jemaah Menteri dan Timbalan-timbalan Menteri, atas nasihat Perdana
Menteri.

AGONG KETUA AGAMA

Selain menjadi Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga adalah Ketua Agama
Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak
dan negeri asal Seri Paduka Baginda.
Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik hakim-hakim, mengampun dan menangguhkan hukuman mengenai segala
kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur dan Labuan.

Seri Paduka Baginda mengurniakan bintang-bintang kebesaran dan pingat kepada rakyat di semua peringkat.

YANG DI-PERTUAN AGONG KE-14

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 83, dilantik oleh Raja-Raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan
Agong ke-14, pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja, 14 Oktober lepas.

Pemilihan baginda untuk tempoh lima tahun mulai 13 Disember 2011, menjadikan Tuanku Abdul Halim, Raja yang
pertama menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua.

Baginda menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sultan dari Terengganu yang tamat tempoh lima tahun sebagai
Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, Tuanku Abdul Halim adalah anakanda
ketiga Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhumah Yang Mulia
Tunku Sofia Tunku Mahmud.

Baginda dilantik menjadi Raja Muda Kedah pada 6 Ogos 1949 pada usia 21 tahun ketika masih berada di United
Kingdom untuk melanjutkan pelajaran, dan kemudian ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-27 pada 20 Februari 1959.

Pada 21 September, 1965 Tuanku Abdul Halim dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-4 bagi
menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin.

Pada mesyuarat Majlis Raja-Raja, Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 untuk tempoh dari
23 Julai 1970 hingga 21 September 1975.

Pada 13 Disember 2006, baginda sekali lagi dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Halim juga menjalankan tugas sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong selama sebulan iaitu pada 26
Jan-26 Februari 2010 berikutan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menjalani rawatan fisioterapi di
Jerman.

Anda mungkin juga menyukai