Anda di halaman 1dari 6

ISI KANDUNGAN

BIL. PERKARA MUKA SURAT


1. Pengenalan 1
2. Konsep Perkembangan Kanak-Kanak 1
3. Prinsip Asas Perkembangan Kanak-Kanak 2

4. Faktor Yang Mempengaruhi Perkembangan Kanak-Kanak 2


5. Isu Sosioemosi & Teori Erik Erikson 3
6. Implikasi Isu Terhadap Pengajaran & Pembelajaran Bermakna 4
7. Rumusan 5
8. Rujukan 6
1.0 Pengenalan

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal minda kita telah
menunjukkan bahawa pembelajaran tentang perkembangan sosioemosi, bahasa dan kognitif anak
merupakan suatu perkara yang perlu diberi perhatian kerana apabila ibu bapa mahupun guru
memahami kondisi anak-anak dan pelajar, maka mereka dapat memebesarkan dan membentuk
generasi itu dengan lebih tepat mengikut kesesuaian individu. Lantas, perkara itu akan memberikan
kesan yang baik iaitu dapat melahirkan anak watan yang cemerlang dalam pelbagai aspek mengikut
keupayaan masing-masing dan menyumbang kepada kemajuan diri, keluarga, masyarakat dan
negara. Oleh itu, penulisan ini akan membincangkan tentang beberapa bidang yang berkaitan
dengan perkembangan kanak-kanak demi kebaikan bersama.

2.0 Konsep Perkembangan Kanak-Kanak

Perkembangan bermaksud perubahan yang dialami kanak-kanak secara fizikal, sosial, emosi,
perlakuan, pemikiran dan percakapan (Raising Children Network, 2020). Setiap satu aspek
perkembangan itu berhubung antara satu sama lain termasuklah faktor nutrisi, kesihatan dan
komuniti sekitar. Terdapat tiga tahap perkembangan iaitu awal kanak-kanak (usia lahir-8 tahun);
waktu pertumbuhan luar biasa dari pelbagai sisi dan bergantung kepada orang yang terdekat
dengannya seperti ibu untuk menguruskan dan berkomunikasi dengannya serta perkembangan
kemahiran perlu diberikan perhatian pada tahap ini. Kedua, pertengahan kanak-kanak (8 tahun-12
tahun); kanak-kanak pada tahap ini sukakan kebebasan, sahabat yang ramai dan ingin
mengembangkan minat, justeru mereka yang dididik untuk berjaya pada peringkat ini akan terus
berusaha untuk berjaya pada peringkat seterusnya. Akhir sekali, remaja (12 tahun-18 tahun); masa
untuk mencapai kematangan khususnya dari segi seksual dan pembentukan identiti yang mana
akan berakhir apabila individu tersebut telah dewasa dalam konteks sosialnya (Rachelle Feiler Dana
Tomonari, 2019). Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa perkembangan kanak-kanak adalah
berkonsepkan perubahan dalam corak biologi, kognitif dan sosioemosi yang bermula daripada
peringkat lahir hinggalah ke akhir hayat.

1
3.0 Prinsip Asas Perkembangan Kanak-Kanak

Terdapat lapan prinsip asas yang terlibat dalam perkembangan kanak-kanak dan antaranya adalah
mengikut arah tertentu; perkembangan yang berlangsung dari kepala dan beransur ke kaki
(sefalokaudal) yakni semua fungsi berlaku di bahagian kepala terlebih dahulu. Malah,
perkembangan juga berlaku dari tengah ke tepi (proximodistal) dan otot-otot bertambah kuat
sebelum sesuatu bahagian dapat digunakan (Hafizah Husna, 2021). Seterusnya, Haliza Hamzah
menyatakan perkembangan berlaku secara berterusan (2008, dalam Epiy Firdaus, 2021). Hal ini
kerana, mereka akan menambah kemahiran lain daripada satu peringkat ke satu peringkat mengikut
kemampuannya, bahkan kemahiran yang sedia ada menjadi asas untuk membantu mereka
mencapai kemahiran yang baru kelak.

Akhir sekali, corak aturan perkembangan yang hampir sama namun kadar perkembangan
berbeza bagi setiap individu (Mohd Afizi Md Ali, 2014). Misalnya, ada kanak-kanak yang boleh mula
berjalan pada usia 10 bulan, tetapi ada juga yang boleh mula berjalan pada usia 18 bulan. Prinsip
ini juga mudah dikenalpasti dalam suasana bilik darjah kerana terdapatnya perbezaan keupayaan
antara murid bagi setiap aktiviti yang dilakukan. Tuntasnya, pengaplikasian prinsip-prinsip ini dalam
kehidupan dapat membantu ibu bapa untuk membesarkan anak mereka dengan cara yang betul
mengikut kesesuaian masing-masing.

4.0 Faktor Yang Mempengaruhi Perkembangan Kanak-Kanak

Umum mengetahui bahawa perkembangan manusia adalah proses semulajadi dan dipengaruhi oleh
dua faktor iaitu baka dan persekitaran. (Faridah Nazir et. al, 2015). Baka melibatkan kesan genetik
yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anak seperti warna mata, jenis rambut dan jenis
darah. Malah, potensi, sahsiah dan kecerdasan juga boleh dipengaruhi oleh faktor baka. Misalnya,
kanak-kanak yang pandai melukis kebiasaannya mewarisi bakat daripada ibu bapa mereka. Sifat
introvert atau ekstrovert serta kecerdasan yang tinggi daripada genetik juga boleh mempengaruhi
perkembangan anak-anak. Maka, perkara inilah yang menjadikan setiap manusia itu mempunyai
personaliti yang berbeza.

Lain daripada itu, persekitaran pula merujuk kepada segala rangsangan yang mempengaruhi
perkembangan individu (Atifah Ruzana Abd Wahab, 2015). Kategori ini melibatkan peringkat pralahir
dan selepas lahir. Ketika bayi dalam tempoh pralahir, antara perkara penting yang perlu diberi
perhatian adalah Si ibu hendaklah menjaga corak pemakanan supaya janin menerima nutrisi yang
secukupnya, mempunyai daya tahan yang kuat dan tidak terdedah kepada sebarang pertumbuhan
yang abnormal. Bagi peringkat selepas lahir pula, antara perkara yang banyak mempengaruhi
perkembangan mereka adalah keluarga. Hal ini kerana hubungan rapat yang terbina akan
mempengaruhi pembentukan personaliti anak-anak, justeru ibu bapa hendaklah 2
memainkan peranan yang penting dalam mengasuh dan mendidik mereka supaya dapat menjadi
manusia yang yakin dan mempunyai self-esteem yang tinggi apabila mereka meningkat dewasa
nanti.

5.0 Isu Sosioemosi Dan Teori Erik Erikson

Kemurungan adalah gangguan perasaan negatif yang dialami oleh seseorang hingga boleh
menyebabkan perubahan sikap (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2012). Dalam konteks ini, kajian
yang dilakukan oleh Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) mendapati bahawa kira-
kira 3.2% kanak-kanak dan remaja berumur 3-17 tahun telah dikesan mengalami kemurungan
(MentalHealthTX, 2021). Tambahan pula, pada tahun 2019 kita telah digemparkan dengan berita
seorang gadis berusia 16 tahun di Padawan, Kuching yang ditemui mati kerana dipercayai
membunuh diri dengan terjun dari sebuah bangunan tiga tingkat (Ramieza Wahid, 2019). Mangsa
difahami mengalami masalah kemurungan kesan daripada masalah keluarga lantas melakukan poll
undian D atau L yang masing-masing bermaksud ’die’ atau ’live’ di akaun Instagramnya. Sebanyak
69% responden telah memilih D kerana mereka tidak mengetahui tujuan mangsa melakukan undian
tersebut dan bertitik tolak daripada itulah mangsa mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Maka, dapatlah disimpulkan bahawa isu kemurungan ini berkaitan dengan peringkat perkembangan
sosioemosi yang berlandaskan kepada teori Erik Erikson kerana beliau percaya bahawa interaksi
sosial merupakan faktor yang mendesak kepada tingkah laku dan perkembangan manusia (Faridah
Nazir et. al, 2015).

Erik Erikson menyatakan bahawa sekiranya seorang kanak-kanak yang berusia dalam
lingkungan 1-3 tahun disekat untuk memiliki kuasa dan keinginan bagi melakukan sesuatu dengan
usaha sendiri, perkara tersebut akan memberikan kesan negatif kepada mereka yakni mereka akan
berasa takut untuk membuat kesalahan (Suhaiza Shuib, 2012). Rentetan daripada itu, hal seperti
inilah yang menjadi salah satu punca kepada isu kemurungan kerana remaja yang membesar dalam
suasana dikongkong khususnya oleh ahli keluarga daripada usia kecil akan berasa sukar untuk
membuat keputusan sendiri dalam apa jua situasi. Lanjutan daripada itu, dia perlu meminta orang
sekelilingnya untuk memutuskan keputusan baginya lebih-lebih lagi jika dia berada dalam keadaan
tertekan. Jelaslah bahawa teori perkembangan sosioemosi beliau perlu diberi perhatian supaya
penyakit ini dapat dicantas dari akar umbi.

Selain itu, kemurungan biasanya boleh dikenalpasti melalui perubahan selera makan dan berat
badan (KlinikMinda-tenet, 2021). Perkara ini berkaitan dengan teori Erik pada peringkat
konflik ’identiti lawan kekeliruan identiti’ yang melibatkan kebanyakan remaja kerana mereka amat
sensitif kepada perubahan imej kendiri (Hendra Naldi, 2018). Bahkan, pada era yang semakin maju
ini rata-rata masyarakat telah menetapkan ciri-ciri yang tertentu bagi menentukan sama ada
seseorang itu cantik, kacak ataupun tidak sedangkan itu hanyalah persepsi yang 3
dibina kerana setiap manusia itu sempurna tidak kira bagaimana rupanya. Lantaran itu, jika seorang
remaja terdedah kepada interaksi sosial yang negatif dari peringkat awal, maka konsep kendiri yang
negatif juga akan wujud dan berkembang dalam diri mereka, justeru akan membuatkan mereka
keliru dengan identiti yang sebenar sekali gus mereka akan murung kerana perlu memikirkan
persepsi masyarakat terhadap identiti mereka. Jelaslah bahawa kemurungan adalah isu sosioemosi
yang berpunca daripada pelbagai faktor dan perkara ini perlulah dibendung dengan pelbagai cara.
Salah satunya adalah dengan memahami teori perkembangan sosioemosi Erik Erikson supaya
dapat dijadikan panduan menyeluruh khususnya ketika membesarkan seorang kanak-kanak hingga
usia remaja demi kebaikannya di masa depan.

6.0 Implikasi Isu Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran Bermakna

Pembelajaran rasional dan perkaitan antara pengalaman sebelumnya dengan pengetahuan sedia
ada merupakan definisi bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermakna (PsyhchologyInstructor,
2020). Sistem ini memastikan hasil pembelajaran yang mendalam dapat diperolehi dan dapat
ditafsirkan mengikut realiti persekitaran. Malah, Pedagogi Pembelajaran Bermakna Baru (NPDL)
adalah berteraskan kepada enam konsep iaitu komunikasi, kreativiti dan imaginasi,
kewarganegaraan dan komuniti, kolaborasi serta karakter pendidikan (Azizi Ahmad, 2019). Dalam
pada itu, isu kemurungan akan meninggalkan implikasi kepada PdP bermakna dan antaranya
adalah sifat kewarganegaraan tidak dapat disematkan dalam diri mereka lantas mereka tidak akan
mempunyai jati diri yang boleh mempengaruhi cara mereka melihat dunia, sedangkan perkara ini
hanya berada di skala 3 bagi konsep kewarganegaraan dalam pendidikan bermkana
(Tchercollection, 2020). Hal ini kerana, sifat murung yang menguasai diri mereka itu berpunca
daripada takut melakukan kesalahan akan membataskan mereka untuk mencuba sesuatu yang baru
yang boleh membina jati diri, maka mereka akan sukar untuk memperolehi ilmu PdP yang bermakna.

Konsep kolaboratif, komunikasi dan konsep yang lain juga sukar untuk diimplimentasikan kerana
penyakit murung membuatkan mereka lebih suka untuk menyendiri. Ini disebabkan mereka terlalu
memikirkan persepsi masyarakat sekitar terhadap diri sehingga merasakan interaksi sosial itu
adalah satu ancaman kepada mereka. Malah, tahap kreativiti dan imaginasi mereka juga akan
terbantut kerana tidak dapat melakukan aktiviti sosial yang pelbagai dan ini adalah implikasi negatif
terhadap PdP bermakna apabila seseorang individu itu mengalami penyakit kemurungan.
Kesimpulannya, jelaslah bahawa isu sosioemosi ini memberikan impak yang negatif kepada PdP
bermakna dan penyakit ini perlulah dirawat dari peringkat awal supaya dapat menerima ilmu
akademik dan kemahiran yang lain secara menyeluruh.

4
7.0 Rumusan

Sebagai penghias bicara akhir, melalui penulisan ini dapatlah kita tuntaskan bahawa manusia
merupakan ciptaan Tuhan yang unik kerana mengalami perubahan perkembangan yang berbeza di
antara individu dalam pelbagai perspektif terutamanya dari segi fizikal, intelek, sosial, emosi, sosial
dan rohani. Tambahan pula, aspek kesihatan mental juga perlu diambil berat lebih-lebih lagi dalam
keadaan norma baharu pandemik Covid-19 ini yang telah mengubah sistem pendidikan bersemuka
kepada sistem pendidikan secara atas talian ataupun dikenali sebagai PdPR. Hal ini kerana kita
dapat melihat bahawa ramai pelajar meluahkan perasaan negatif seperti burn-out terhadap
perubahan drastik dan berpanjangan ini dalam pelbagai media sosial. Intihannya, semua pihak
hendaklah berganding bahu dan bersama-sama mengaplikasikan panduan dan teori perkembangan
kanak-kanak menggunakan pelbagai inisiatif supaya berjaya melahirkan masyarakat yang memberi
manfaat kepada negara dalam pelbagai jurusan.

Anda mungkin juga menyukai