Anda di halaman 1dari 7

ISI KANDUNGAN

BIL. PERKARA MUKA SURAT


1. Pengenalan 1
2. Pendirian Malaysia Terhadap Isu Rohingnya 2
3. Pendirian Malaysia Terhadap Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) 4
4. Rumusan 6
5. Rujukan 7
6. Lampiran 9
1.0 Pengenalan

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir manusia di segenap empat penjuru dunia ini
tentang isu pelarian Rohingnya dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Sekitar tahun 2016-
2017, bermulalah kemasukan pelarian etnik Rohingnya ke Malaysia sama ada secara halal
ataupun haram (Sheikhzulhelmi, 2020). Mengikut data perolehan Suruhanjaya Tinggi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) sehingga akhir Januari 2021, Malaysia
mempunyai seramai 178,710 pelarian dan daripada angka itu, seramai 102,350 adalah
pelarian Rohingnya (Norman Fernandez, 2021). Menurut Azmin Hassan, etnik itu melihat
Malaysia sebagai tempat untuk berlindung sehinggalah konflik di Rakhine selesai dan
bukannya sebagai tempat transit (Syed Azwan Syed Ali, 2017). Perkara sebegini amat
membimbangkan kerana berpotensi memberikan kesan yang buruk kepada Malaysia seperti
berlakunya pencampuran dengan rakyat Malaysia dan berkemungkinan mereka akan
menuntut pelbagai hak setelah berjaya bermastautin di negara ini jika peningkatan pelarian
meningkat secara berterusan.

Begitu juga dengan isu PATI yang sudah tidak asing di negara kita. Malah, perkara ini
dipandang dengan lebih serius semenjak berlakunya wabak Covid-19 kerana ada di kalangan
mereka terutamanya yang berstatus pelarian tidak cakna dengan undang-undang yang
dilaksanakan oleh pihak kerajaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung
(Muhammad Afham Ramli, 2020). Lambakan kemasukan yang tidak terkawal ke dalam
negara melalui lorong tikus sama ada di darat mahupun air akan memberikan impak yang
negatif. Misalnya, masalah jenayah sosial, masalah bilateral dengan negara lain dan
pembawaan kluster Covid-19 yang berbahaya kepada masyarakat setempat. Antara sebab
mereka rela ditangkap adalah kerana akan diberikan penjagaan yang tidak boleh didapati di
negara sendiri. Oleh itu, Malaysia mempunyai pendirian yang tersendiri dalam mencari
penyelesaian terhadap isu in, justeru marilah kita perincikan dengan lebih mendalam untuk
kebaikan semua pihak.

1
2.0 Pendirian Malaysia Terhadap Isu Pelarian Rohingnya

Lanjutan daripada huraian di atas, pendirian Malaysia untuk menyelesaikan isu pelarian
Rohingnya yang pertama adalah dengan tidak mengiktiraf dan mengkelaskan mereka sebagai
PATI yang mempunyai kad UNHCR. Menurut Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam
Negeri pada tahun 2020, berdasarkan perangkaan terkini yang diperolehi, terdapat seramai
101,584 orang daripada 179,521 orang adalah etnik Rohingnya yang memegang kad UNHCR
(Mohd Iskandar Ibrahim, 2020). Oleh itu, pendirian yang dilakukan ini bersangkut-paut dengan
status Malaysia yang tidak memiliki rangka kerja perundangan untuk mengawal keberadaan
hak pelarian disebabkan negara kita bukanlah Negara Pihak kepada Konvensyen Status
Pelarian 1951. Walaubagaimanapun, mereka dibenarkan untuk tinggal sementara sebelum
dipindahkan ke negara ketiga oleh UNHCR. Intihannya, jelaslah Malaysia mengambil berat
dengan isu ini demi mengekalkan kesejahteraan rakyat Malaysia berkekalan.

Selain itu, semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)


yang ke-73 diadakan, Malaysia aktif melantangkan tentang tindakan segera perlu dilakukan
dalam isu ini kepada masyarakat antarabangsa (Saifuddin Abdullah, 2018). Malah, perkara
ini turut dibangkitkan semasa mesyuarat dua hala peringkat tinggi dengan wakil PBB dan
negara-negara lain. Antaranya ialah menuntut pihak yang melanggar hak asasi manusia iaitu
pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingnya di Myanmar untuk bertanggungjawab
dan dibawa ke muka pengadilan. Dengan berbuat sedemikian, barulah penghantaran pulang
kumpulan tersebut dapat dilakukan dengan jaminan keselamatan yang tinggi (Malaysiakini,
2020). Tambahan pula, rundingan penghantaran pulang yang dilakukan itu akan disertakan
dengan saluran bantuan kemanusiaan secara berterusan oleh pihak Malaysia kepada mereka
yang berada di Rakhine, Bangladesh dan juga di Malaysia. Maka, tegaslah bahawa Malaysia
menjalankan peranan dengan bersungguh-sungguh bagi menangani isu ini dan turut bersedia
untuk menegakkan akauntabiliti walaupun perlu melalui medium penghakiman antarabangsa.

Di samping itu, Malaysia turut mengetengahkan isu etnik Rohingnya yang berkaitan
dengan pemerdangangan manusia ke persidangan OIC, bahkan Anifah Aman menyatakan
bahawa bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga mendesak
negara-negara Islam yang merupakan ahli OIC untuk menyalurkan bantuan kepada pelarian
Rohingnya yang tertindas ketika berada di Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2017 yang
lalu (Nor Azizuddin Abdul Manan, 2020). Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Kuala Lumpur
itu telah menerima reaksi yang positif daripada beberapa buah negara yang turut ingin
membantu Malaysia menangani krisis ini seperti Turkey, Arab Saudi, Pakistan, Bangladesh
dan Indonesia. Ini jelas membuktikan bahawa Malaysia tidak berlepas tangan dalam
menangani krisis kemanusiaan Rohingnya sekaligus memberikan solusi secara diplomasi. 2
Akhir sekali, langkah yang seterusnya adalah Malaysia selaku pengerusi Persatuan
Negara-Negara Asia (ASEAN) menampilkan cadangan untuk menubuhkan sebuah organisasi
pakar bebas atau persatuan tokoh terkemuka bagi menentukan status isu di wilayah Rakhine,
Arakan (Nor Azizuddin Abdul Manan, 2020). Ini secara tidak langsung akan dapat
mengembalikan kepercayaan pelarian Rohingnya untuk kembali ke tempat asal mereka,
sementelahan membantu ASEAN untuk menyimpulkan keputusan yang berkekalan dalam
jangka masa yang panjang kepada wilayah tersebut. Secara totalnya, dapatlah kita bersetuju
bahawa Malaysia mempunyai pendirian yang sangat luas dan teguh berkenaan dengan
penyelesaian terhadap isu antarabangsa ini di samping dapat membuktikan bahawa
walaupun negara kita adalah sebuah negara yang kecil, kita bukanlah negara yang berdiam
diri apabila berlakunya krisis yang melibatkan isu kemanusiaan di mana-mana negara.

3
3.0 Pendirian Malaysia Terhadap Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Menurut Murray Hunter dalam rencananya yang bertajuk Malaysia’s massive foreign worker
depency, jumlah tenaga buruh pekerja asing adalah di antara 30 hingga 31 peratus daripada
jumlah keseluruhan tenaga guna Malaysia iaitu seramai 15.3 juta (S. Arutchelvan, 2020). Ini
merupakan satu situasi yang membimbangkan kerana satu pertiga daripada pekerja di
Malaysia adalah pekerja asing. Bertitik tolak daripada itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN)
telah menghasilkan satu pelan strategik yang dikenali sebagai Pelan Holistik Penguatkuasaan
PATI untuk menaik taraf penguatkuasaan sistem kerja yang sedia ada bagi mengatasi
masalah lambakan PATI di negara ini (Rohaniza Idris 2019). Bukan itu sahaja, pelaksanaan
ini disandarkan kepada lima strategi bahkan akan melibatkan kerjasama daripada pelbagai
agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Pengurusan Komuniti
Kampung (MPKK) bagi membanteras PATI di seluruh negara. Strategi yang dilaksanakan
ialah Strategi Operasi Penguatkuasaan PATI, Strategi Perundangan dan Dasar
Penguatkuasaan PATI, Strategi Kawalan Sempadan dan Pintu Masuk, Strategi Pengurusan
Warga Asing dan Strategi Media dan Publisiti. Dengan itu, nyatalah bahawa Malaysia peduli
akan isu ini dengan menyediakan rancangan yang meliputi keseluruhan aspek demi kebaikan
negara.

Lain daripada itu, dalam mesyuarat parlimen yang ke-14 pada tahun 2019, Menteri
Dalam Negeri menyatakan bahawa tindakan penguatkausaan dan pengusiran PATI
menggunakan Operasi Bersepadu telah giat dilaksanakan di Sabah (Parlimen, 2020). Operasi
ini telah melibatkan beberapa buah agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(APMM), Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Majlis Keselamatan Negara (MKN)
dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melicinkan perancangan yang dirangka.
Justifikasinya, seramai 581,085 PATI telah berjaya diusir semenjak tahun 1990 hingga 9 April
2019 dan ini menunjukkan bahawa Malaysia amat bersungguh-sungguh dalam menangani
hal ini.

Pada waktu yang sama, jalinan kerjasama dengan negara luar terutamanya dengan
negara asal warga asing tersebut merupakan langkah yang telah diambil oleh pihak
kementerian demi kebaikan bersama (Syed Ismail Syed Mustapa et. al, 2017). Hal ini
demikian kerana, sekiranya jenayah rentas sempadan dan pergerakan keluar masuk warga
PATI ini tidak dikawal, kehadiran mereka itu akan memberikan kesan yang buruk kepada
negara kita seperti mengganggu kesejahteraan masyarakat tempatan dengan adanya kes
merompak, menceroboh dan mengedarkan dadah. Tuntasnya, hubungan dengan negara
yang berkait amat wajar dikekalkan supaya dapat mengelola solusi yang terbaik di antara
pihak yang terlibat. 4
Dalam konteks ini juga, Pengerusi Majlis Bertindak NGO Malaysia (MYNAC), Mohd
Ridzuan Abdullah mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan
dasar keterbukaan dengan menerima pekerja dan pendatang asing tanpa sebarang sikap
prejudis (BH Online, 2020). Tamsilnya, dalam menangani dan mengawal penularan wabak
Covid-19, pelbagai tindakan telah diambil oleh pihak kerajaan berdasarkan undang-undang
negara seperti Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal ini kerana keselamatan
masyarakat di negara ini sama ada warganegara ataupun bukan warganegara merupakan
tindakan yang telah tercatat dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit
Berjangkit 1988). Tambahan pula, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menafikan
kesahihan laporan dokumentari Al Jazeera yang bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’
berdurasi selama 20 minit itu yang keluar ketika pandemik sedang melanda. Malah, beliau
turut menyatakan bahawa dakwaan itu adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana
mengatakan Malaysia memberikan layanan yang buruk kepada warga PATI sedangkan kita
masih memberikan layanan yang baik kepada mereka seperti pemberian makanan walaupun
mereka ditangkap untuk ditahan. Konklusinya, kita tidak dapat menafikan bahawa Malaysia
mempunyai pendirian dan langkah yang sangat proaktif bagi menyelesaikan krisis ini demi
memastikan kesejahteraan negara.

5
4.0 Rumusan

Sebelum mengakhiri wacana ini, dapatlah kita simpulkan bahawa pendirian Malaysia
berhubung isu pelarian Rohingnya dan PATI dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu
ini amatlah terperinci. Pelbagai usaha gigih telah dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini
khususnya di dalam negara dan umumnya di peringkat antarabangsa di samping tetap
mengekalkan sifat perikemanusiaaan kepada golongan tersebut dalam pelbagai aspek. Oleh
itu, semua pihak hendaklah bekerjasama berganding bahu membantu seperti melaporkan
apa-apa pergerakan yang mencurigakan kepada pigak berkuasa supaya tindakan lebih lanjut
dapat dilakukan. Akhirulkalam, sekiranya langkah-langkah ini dilaksanakan dan ditambahbaik
secara berterusan dari masa ke masa, nescaya masalah ini dapat dikawal dan diatasi dengan
efektif lantas dapat memajukan negara kita seiring dengan negara maju yang lain.

Anda mungkin juga menyukai