Anda di halaman 1dari 2

Tajuk Cerita:TANGGANG DERHAKA

Oleh: Eunice Silodick Anak Samuel


Sekolah: SK St. James Quop

Selamat pagi dan salam sejahtera. Bertaut tangan salam dihulurkan, izinkan
saya memperkenalkan cerita yang bertajuk “Tanggang Derhaka”.

Di sebuah kampung, tinggal sepasang suami isteri bernama Talang dan Deruma.
Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Tanggang. Kehidupan mereka
sekeluarga amatlah miskin. Tanggang selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan
terkenal.

Pada suatu hari, Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai
yang berhampiran dengan rumahnya. Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal
itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju
kerana telah melihat kecekapan Tanggang bersampan dan bekerja. Tanggang berjanji
akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda.


Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Oleh sebab itu, Tanggang pun
diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Tanggang dilantik
menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.

Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia
dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Tanggang pun berkahwin dengan
puteri Sultan. Tanggang membawa isterinya berlayar ke merata negeri.

Pada suatu hari, kapal Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-
usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu ialah Tanggang. Mereka pun
memberitahu kepada orang tuanya.

“Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok” kata Talang. “Ya, aku
rindukan Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma dengan
gembira.

Talang dan Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda
Tanggang. Deruma membawa makanan kegemaran Tanggang, iaitu pisang salai.
Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian,
Tanggang muncul dengan isterinya.

“Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Tanggang kepada anak


kapalnya.“Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu. “Betulkah
mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Tanggang.
Tanggang berasa malu untuk mengaku kedua orang tua itu ialah ibu bapanya.
“Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu
bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Tanggang.
Mukanya merah padam kerana malu dan marah.
“Oh, anakku, Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai
kegemaranmu, nak “ kata Deruma. “ Pergi! “ tengking Tanggang. Dia memukul jari
ibunya yang bergayut pada bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya,
dibuang ke laut.

Talang dan Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka
anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi. Apabila tiba di
daratan, Deruma memandang ke langit. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan
dia berseru “ Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Tanggang bahawa akulah ibu
kandungnya.”

Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh
itu terumbang-ambing. Ketika itulah, Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah
memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah
menderhaka.

“Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!'


teriak Tanggang. Akan tetapi, Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat
memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Tanggang menjadi batu. Semua anak
kapal juga bertukar menjadi batu. Tanggang dan isterinya turut menjadi batu.

Kawan-kawan, janganlah kita menjadi derhaka seperti Tanggang kerana sikap ini
sangat keji dan mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai