Anda di halaman 1dari 1

KARANGAN CONTOH 18 - SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN

Dalam masyarakat Melayu terdapat begitu banyak peribahasa yang mempunyai


maksud yang mendalam. Kebiasaannya, peribahasa Melayu terhasil daripada pengamatan
masyarakat terhadap alam dan kehidupan manusia secara keseluruhan. Peribahasa
“sediakan paying sebelum hujan” merupakan bidalan yang bermaksud kita perlu bersedia
untuk menghadapi segala kemungkinan dalam kehidupan ini. Jelaslah, pengamalan
peribahasa ini mempunyai pelbagai kepentingan dalam kehidupan sesuatu masyarakat itu.

Seseorang yang mengamalkan peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” akan


senantiasa meneroka ilmu sebagai persediaan untuk kehidupan masa depan mereka.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran ini akan sesuai dilalui oleh mereka yang
mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Ilmu sahaja yang membolehkan seseorang itu
menguasai apa-apa bidang yang wujud kerana berupaya untuk mengalahkan pesaing-
pesaing mereka. Oleh itu, pemahaman makna peribahasa ini menjadikan seseorang itu
meneroka ilmu sepanjang hidup mereka.

Selain itu, peribahasa ini turut mengaitkan sikap suka menabung. Anak-anak perlu
dididik sejak kecil untuk menabung buat kehidupan mereka yang lebih terjamin pada masa
depan. Wang yang dikumpulkan secara sedikit-sedikit itu akan mampu digunakan pula untuk
melanjutkan pelajaran mereka kelak. Jelaslah, amalan menabung menjadi sebahagian
makna dalam peribahasa ini yang banyak kepentingannya itu.

Malahan, peribahasa ini seolah-olah memberikan satu amaran awal kepada sesiapa
sahaja untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam hidupnya. Mereka yang
memahami peribahasa ini pasti lebih sensitif dengan keadaan sekelilingnya supaya tidak
melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan pula kepada. Setiap tindakan
pasti akan mempunyai dua pilihan atau aspek yakni kebaikan dan keburukan yang harus
diteliti oleh seseorang itu. Sesungguhnya, peribahasa ini menjauhkan sebarang masalah
dalam kehidupan seseorang itu.

Peribahasa ini juga amat berguna buat pelajar terutama dalam menghadapi peperiksaan
yang begitu mencabar. Mereka yang memahami maksud mendalam peribahasa ini sudah
pasti akan bersedia dengan sering menghadiri kelas di sekolah bersama-sama membuat
latihan demi latihan. Persediaan sejak awal inilah yang bakal memberikan pelajar satu
kelebihan berbanding dengan pelajar lain yang hanya membuat persiapan pada saat-saat
akhir sahaja. Sesungguhnya, pelajar yang bersedia lebih awal akibat memahami makna
peribahasa ini bakal memperoleh kejayaan yang lebih manis dalam hidup mereka.

Kesimpulannya, peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” amat wajar diamalkan


dalam kehidupan kita. Peribahasa ini merupakan satu legasi masyarakat dahulu kepada
generasi kini yang perlu diteruskan kewujudannya. Kehidupan masyarakat dahulu kala yang
sentiasa berwaspada, beringat-ingat dan berhati-hati perlu dijadikan contoh teladan oleh
generasi kini pula. Peribahasa ini boleh disamakan dengan peribahasa “beringat sebelum
kena” yang menekankan aspek berhati-hati dalam setiap tindakan kita.
WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020
E-mail : izzathakim74@gmail.com Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A

Anda mungkin juga menyukai