Anda di halaman 1dari 13

Penentuan Arah Kiblat: Antara Ilmu Dan Ijtihad

1) Pendahuluan Mengadap arah qiblat merupakan satu perkara yang penting dalam Islam. Menurut syarak menghadap ke arah qiblat diertikan sebagai seluruh tubuh badan seseorang menghadap ke arah Kaabah yang terletak di Makkatul Mukarramah. Ia merupakan pusat tumpuan umat Islam bagi menyempurnakan ibadah tertentu. Menghadap ke arah qiblat menjadi syarat sah bagi umat Islam yang hendak menunaikan solat samada solat fardu lima waktu sehari semalam atau solat-solat sunat yang lain. Kaedah dalam menentukan arah qiblat perlu kepada suatu ilmu khusus yang dipelajari atau sekurang-kurangnya meyakini arah yang dihalakan agar ia benar- benar menepati kehendak syarak. 2) Hukum Berkaitan Arah Qiblat. Qiblat diertikan sebagai pusat tumpuan umat Islam dalam mengerjakan ibadah. Dalam konsep mengadap arah qiblat terdapat beberapa hukum yang berkaitan dengannya yang telah ditentukan oleh syarak iaitu: 2.1 Hukum wajib 1. Bagi yang ingin menunaikan solat sama ada fardu ataupun sunat dan ia merupakan syarat sah solat. 2. Bagi yang ingin melakukan tawaf di Baitullah. 3. Meletakkan kedudukan jenazah secara mengiring iaitu bahagian kanan dibawah di liang lahad ( kubur ). 2.2 Hukum Sunat Bagi yang ingin membaca Al-Quran, berdoa, berzikir, tidur mengiring ( bahagian kanan dibawah ) dan lain-lain yang berkaitan. 2.3 Hukum haram Ketika membuang air besar atau kecil di tanah lapang tanpa ada dinding penghalang 2.4 Hukum makruh Membelakangkan qiblat dalam sebarang perbuatan seperti membuang air besar atau kecil dalam keadaan tandas berdinding, tidur menelentang sedang kaki selunjur ke arah qiblat dan seumpamamya. 3) Dalil-dalil Al-Quran dan Hadis Berkaitan Arah Qiblat. 3.1 Dalil-dalil Al-Quran.

I. Surah Al-Baqarah ayat 149 :

Maksudnya : " Dan dari mana saja engkau keluar ( untuk mengerjakan solat ) hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram ( Kaabah ). Sesunggunya perintah berqiblat ke Kaabah itu benar dari Allah ( tuhanmu ) dan ingatlah Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan ".

ii. Surah Al-Baqarah ayat 150:

Maksudnya: " Dan dari mana saja engkau keluar ( untuk mengerjakan solat ) maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram ( kaabah ) dan dimana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi sebarang alasan bagi orang yang menyalahi kamu, kecuali orang yang zalim diantara mereka ( ada saja yang mereka jadikan alasannya ). Maka janganlah kamu takut kepada cacat cela mereka dan takutlah kamu kepada-Ku semata-mata dan supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah ( mengenai perkara yang benar ) ".

3.2 Dalil dari Hadis Rasulullah s.a.w :

i. Daripada Abu Hurairah r.a.

Maksudnya: " Daripada Abu Hurairah r.a.. katanya : Sabda Rasulullah s.a.w. Di antara timur dan barat terletaknya qiblat ( kaabah ) ". ii. Daripada Anas bin Malik r.a.

Maksudnya: " Bahawasanya Rasullullah s.a.w ( pada suatu hari ) sedang mendirikan solat dengan menghadap ke Baitul Maqdis. Kemudian turunlah ayat Al-Quran: " Sesungguhnya kami selalu melihat mukamu menengadah ke langit ( berdoa mengadap kelangit). Maka turunlah wahyu memerintahkan Baginda mengadap ke Baitullah ( Kaabah ). Sesungguhnya kamu palingkanlah mukamu ke qiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Kemudian seorang lelaki Bani Salamah lalu, ketika itu orang ramai sedang ruku' pada rakaat kedua solat fajar. Beliau menyeru, sesungguhnya qiblat telah berubah. Lalu mereka berpaling ke arah qiblat ". ( Diriwayatkan Oleh Muslim )

Berdasarkan ayat dan hadis yang telah dinyatakan maka jelaslah bahawa menghadap arah qiblat itu merupakan satu kewajipan yang telah ditetapkan dalam hukum syarak.Maka tiadalah qiblat yang lain bagi umat islam melainkan kaabah di baitullahil haram. 4) Konsep Ijtihad dalam menentukan Arah Qiblat. Kaedah ijtihad hanya boleh digunakan bagi mereka yang tidak mempunyai teknik atau alat dalam menentukan arah qiblat .Bagi seseorang yang hendak mendirikan solat ketika dalam musafir atau ditempat yang tidak diketahui lokasinya maka kaedah ijtihad inilah yang boleh digunapakai. Bagi sesebuah tempat yang telah ditentukan arah qiblatnya seperti masjid atau surau maka ketika itu dinamakan sebagai qiblat dzanni dan kaedah ijtihad ketika itu tidak boleh digunakan. Kesemua empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali telah bersepakat bahawa menghadap qiblat merupakan syarat sah solat. Bagi Mazhab Syafie telah menambah dan menetapkan tiga kaedah yang boleh digunapakai bagi memenuhi syarat menghadap qiblat iaitu: 4.1 Menghadap qiblat dengan penuh yakin ( Qiblat Yakin ) Seseorang yang berada di dalam Masjidil Haram sama ada nampak Baitulah ( Kaabah ) atau tidak, wajib menghadap dan menghalakan dirinya ke Baitullah dengan penuh yakin. Kewajipan tersebut boleh dipastikan terlebih dahulu dengan melihat atau menyentuhnya bagi orang yang cacat penglihatan atau dengan cara lain yang boleh dipastikan, asalkan ada keyakinan. Menentukan qiblat dengan cara ini dinamakan " qiblat yakin ". 4.2 Menghadap Qiblat Secara Dzanni ( Qiblat Dzanni ). Qiblat Dzanni adalah bagi seseorang yang berada jauh dari Baitullah ( kaabah) iaitu berada diluar Masjidil Haram atau di sekitar tanah suci Makkah. Mereka dikehendaki menghadap ke arah Masjidil Haram sebagai maksud menghadap ke arah Kaabah secara dzanni. Kaedah ini dinamakan qiblat dzanni. Ianya boleh diketahui melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk Makkah. 4.3 Ijtihad. Kaedah ijtihad adalah bagi seseorang yang berada di luar tanah suci Makkah . Melalui kaedah ini, pelbagai cara boleh digunakan bagi menentukan arah qiblat dari sesuatu tempat yang terletak jauh dari Tanah Haram .Antaranya adalah seperti panduan Bintang Polaris ( Qutbi ), Fenomena Istiwa Matahari di atas Kaabah dan Trigonometri Sfera. Cara ini memadai untuk melaksanakan tuntutan syarak ketika solat dan ibadat-ibadat lain. Manakala seseorang yang tidak tahu menggunakan kaedah tersebut, ia perlu taqlid kepada orang yang berijtihad. Bagi sesetengah tempat yang jauh seperti Malaysia, ijtihad arah qiblat boleh ditentukan melalui perhitungan falak atau astronomi dengan penggunaan peralatan yang sesuai dan moden seperti teodolit dan kompas. Penggunakan alat yang moden ini akan menjadikan hala tuju arah kiblat menjadi lebih tepat. Dengan bantuan alat dan keyakinan yang lebih tinggi maka hukum kiblat menjadi dzanni . Kaedah-kaedah tersebut menjadi lebih seragam dan kini digunapakai secara rasmi bagi penandaan arah qiblat di Malaysia dan juga seluruh umat Islam di seluruh dunia.

5) Kaedah Penentuan Arah Qiblat 5.1 Kaedah Tradisional antaranya ialah: 1. Matahari Istiwa Atas Kaabah. Kejadian matahari istiwa ( rembang ) di atas Kaabah berlaku dua kali setahun. Fenomena ini berlaku pada 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai kira-kira jam 5.28 petang ( mengikut waktu piawai Malaysia ). Ketika matahari istiwa di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan membetuli arah qiblat. Lihat rajah 1.

Rajah 1: Kedudukan matahari di atas Kaabah yang menyebabkan bayangbayang tegak diseluruh dunia membetuli arah qiblat.

Panduan untuk menentukan arah qiblat dari sesuatu tempat pada tarikh dan masa yang ditentukan diatas: i. Pacakkan satu tiang dikawasan yang hendak disemak arah qiblatnya. ii. Pastikan tiang tersebut tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakannya boleh diletak sebarang pemberat yang diikat dihujung tiang berkenaan. iii. Tempat yang dipilih untuk tujuan ini tidak terlindung dari sinaran matahari. Oleh kerana matahari berada dilangit barat, maka bayang akan jatuh kearah Timur, maka arah qiblat ialah bayang yang menghadap ke barat. 2. Kaedah Buruj Bintang Buruj Bintang ialah sekumpulan bintang yang berada di suatu kawasan langit serta mempunyai bentuk yang hampir sama dan kelihatan berdekatan antara satu sama lain. Menurut International Astronomical Union ( IAU ), langit dibahagikan kepada lapan puluh lapan ( 88 ) kawasan buruj bintang. Bintang-bintang yang berada disuatu kawasan yang sama adalah dalam satu buruj. Pemerhati purba telah menetapkan sesuatu buruj bintang mengikut bentuk yang mudah mereka kenal pasti seperti bentuk-bentuk haiwan, geometri dan seumpamanya. Dengan mengetahui bentuk buruj-buruj bintang tertentu, arah utara dan arah qiblat dari sesuatu tempat boleh ditentukan. i. Buruj Orion / Buruj Al-Babadour. Pada buruj ini terdapat tiga bintang yang berderet iaitu Mintaka, An-Nilam dan An-Nitak. arah qiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah tiga bintang berderet tersebut ke arah barat. Buruj Orion akan berada di langit Malaysia ketika waktu subuh pada Julai dan kemudian akan kelihatan pada bulan Disember. Pada bulan Mac Buruj Orion akan berada

ditengah-tengah langit pada waktu Maghrib. Lihat rajah 2.

Rajah 2: Bentuk Buruj Orion dan Penentuan Arah Qiblat.

ii. Menggunakan kedudukan Bintang Al-Qutbi / Kutub (Polaris). Bintang-bintang akan kelihatan secara ketara mengelilingi paksi kutub yang ditunjukkan oleh bintang qutbi. Oleh itu bintang qutbi menunjukkan arah utara benar dari mana-mana tempat di muka bumi ini. Bintang qutbi terletak dalam buruj al-judah ( bajak / Ursa Minoris ) dan buruj ini berada dilangit Malaysia waktu tengah malam pada bulan Julai hingga Disember setiap tahun. Kedudukan bintang qutbi boleh dikenali berdasarkan bentuk buruj bintang ini. Lihat rajah 3.

Rajah 3: Buruj Al-Judah ( Bajak / Ursa Minoris ).

Arah qiblat boleh ditentukan berdasarkan perbezaan sudut sebanyak 68' ( bagi Malaysia ) ke kiri dari kedudukan bintang qutbi seperti yang ditunjukkan dalam rajah 4.

Rajah 4: Kedudukan arah qiblat daripada bintang qutbi.

Gunakanlah petunjuk sudut dengan jari untuk menentukan nilai bukaan sudut. Lihat rajah 5.

Rajah 5: Panduan jari untuk nilai sudut.

iii. Kaedah Matahari Terbenam. Secara umum jika kita merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah kiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam di Malaysia akan berubah-ubah dari azimut 235 hingga 295. Walaubagaimanapun sebagai salah satu daripada langkah berijtihad, arah matahari terbenam boleh digunakan sekiranya diketahui perbezaan sudut di antara arah matahari dengan arah qiblat. Anggaran perbezaan sudut antara arah qiblat dengan matahari terbenam bagi kegunaan di Malaysia secara purata dalam jadual dan rajah seperti berikut:

Jadual 1: Anggaran sudut diantara arah qiblat dengan matahari ketika terbenam di Malaysia. Cara pengiraan anggaran boleh rujuk rajah 5.

5.2. Kaedah Moden antaranya ialah. 1. Hitungan / Pengiraan Arah Qiblat. i. Hitungan adalah berdasarkan kepada konsep arah di sepanjang bulatan gedang bumi ( great Circle ). ii. Melibatkan model-model matematik sfera yang mengandungi koordinat geografi tempatan dan koordinat geografi rujukan ( Kaabah ). Ini ditunjukkan seperti di dalam rajah 6.

Rajah 6 : Penentuan arah qiblat dengan kaedah segitiga sfera.

Formula pengiraan untuk mendapatkan arah qiblat bagi sesuatu tempat adalah menggunakan formula seperti berikut:

Contoh pengiraan arah Qiblat bagi Bandar Shah Alam,Selangor:

2. Penggunaan Kompas Prismatik.

Penandaan arah qiblat dengan kompas banyak diamalkan di kalangan masyarakat Islam masakini. Arah yang ditunjukkan oleh sesuatu kompas adalah arah yang merujuk kepada arah utara magnet. Arah utara magnet pula tidak semestinya bersamaan dengan arah utara benar. Perbezaan arah utara ini dipanggil sebagai sudut serong magnet. Satu lagi masalah yang boleh timbul dari menggunakan kompas ialah tarikan graviti tempatan dimana ia terkesan dari kewujudan bahan-bahan logam atau arus elektrik di sekeliling kompas yang digunakan. Namun ia boleh digunakan sebagai alat alternatif sekiranya alat yang lebih sesuai tidak ada. Lihat rajah 7.

Rajah 7: Kompas Prismatik.

3. Penggunaan Teodolit. Teodolit merupakan antara alat termoden yang digunapakai oleh kebanyakaan juruukur dan pihak yang melakukan kerja menentukan arah qiblat. Alat teodolit digunakan untuk mengukur bacaan sudut secara mendatar dan menegak, dan ianya juga memberi kejituan bacaan yang tinggi dan tepat. Penggunaannya begitu meluas sehingga kini dan ia memerlukan kepada mereka yang mempunyai kemahiran yang tinggi untuk mengendalikan alat tersebut. Lihat rajah 8.

Rajah 8: Teodolit Digital.

6) Permasalahan Penentuan Arah Qiblat dan Punca Kelemahan. Terdapat beberapa faktor berlaku permasalahan dalam menentukan arah qiblat sehingga

isu penentuan arah qiblat tidak diambil berat atau berlaku kesilapan dalam menentukan arah qiblat. Antaranya ialah: 1. Mengambil sikap sambil lewa. Terdapat sebahagian umat Islam yang mengambil sikap sambil lewa dan menganggap kelonggaran yang diberikan oleh syarak yang membenarkan menggunakan kaedah qiblat dzan. Perkara ini telah dinyatakan dalam Al-Quran ayat 144 yang berbunyi:

Maksudnya: " Maka kami benarkan engkau berpaling mengadap qiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram dan dimana sahaja kamu berada hadapkanlah mukamu ke arahnya ".

Perlu diketahui bahawa kesan yang bakal timbul dari pemesongan yang amat ketara berdasarkan keluasan Kaabah iaitu 12 x 10.5 x 15 meter persegi dan jarak jauh dari Malaysia lebih kurang 7100 kilometer, maka selisih satu darjah akan menyebabkan pemesongan sejauh 126 kilometer. 2. Kurang ilmu pengetahuan mengenai kaedah penentuan arah qiblat sama ada secara tradisional ataupun moden. Kebanyakkan umat Islam hari ini lebih cenderung kepada mengikut tradisi lama iaitu dari generasi ke generasi dan tidak pernah disemak semula ketepatannya. Begitu juga dalam menentukan arah qiblat di tanah perkuburan, ia hanya ditentukan oleh penggali kubur, sedang mereka juga tidak begitu mahir dalam menentukan arah yang tepat ke qiblat. 3. Ketiadaan peralatan moden untuk membuat pengukuran. Sewajarnya umat Islam perlu memiliki alat sekurang-kurangnya kompas untuk menetukan arah qiblat. Selain itu juga amat perlu untuk mempunyai kesedaran tentang pentingnya ilmu falak bagi mengelakkan kesilapan dalam menentukan ketepatan arah qiblat. Bagi mengatasi permasalahan tersebut penubuhan badan-badan yang bertanggungjawab seperti Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Negeri Selangor dan juga Jabatan Agama Islam Daerah merupakan bahagian yang dipertangungjawabkan untuk membantu menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan arah qiblat. Semoga dengan tindakan yang

kita lakukan akan memberi keyakinan terhadap ibadah yang kita lakukan dan mendapat keredhaan Ilahi. 7) Penutup. Semoga risalah kecil ini akan mampu memberi kefahaman kepada kita tentang pentingnya ketepatan dalam menentukan arah qiblat yang menjamin sahnya ibadah kita. Kesedaran kita adalah amat penting dan rasa bertanggungjawab untuk memastikan bahawa amalan yang dilakukan berada dalam keadaan yakin dan sebarang keraguan perlu untuk memaklumkan kepada pihak yang berkenaan. Sebarang permasalahan boleh hubungi:

Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Negeri Selangor Tingkat 4 Podium Selatan Bangunan Sultan Salahuddin Abd. Aziz Shah 40676 Shah Alam Selangor Tel: 03-55447521/22/23,03-55106589 @ Jabatan Agama Islam Daerah mufti_sel@selangor.gov.my www.selangor.gov.my/mufti/Mufti.html Sumber Rujukan 1) Al Quran 2) Al Hadis 3) Kaedah Panduan Falak Syarie (2001) Unit Falak Bahagian Penyelidikan JAKIM 4) Modul Kursus Falak -Baharrudin Zainal Unit Falak KUSZA 5) Kaedah Penetapan Arah Qiblat-Encik Mohamad Saupi Che Awang 6) Nota Falak Negara MABIMS

Anda mungkin juga menyukai