Anda di halaman 1dari 2

Cara Mengenal Orang Toksik Dalam Hidup Anda

Antara cara memilih kawan dan teman adalah dengan mengenali tanda-tanda ‘toksik’ yang
terdapat dalam diri mereka. Jika mereka mempunyai sifat ini, eloklah menjauhkan diri anda
daripada mereka.

1. Selalu Buat Anda Rasa Bersalah

Dalam kebanyakan hal, anda selalu mengalah dan sentiasa kalah. Orang sebegini bersikap
manipulatif dengan mengetahui kelemahan anda dan sentiasa mempergunakan anda untuk
kepentingan mereka sendiri.

Namun, bukan mudah untuk anda menjauhkan diri daripada mereka kerana mereka bijak
memutar-belit keadaan sehingga menampakkan anda yang bersalah dalam setiap hal.

2. Suka Bergosip

Orang toksik mempunyai banyak masa untuk fokus terhadap orang lain yang mungkin mereka
sendiri tidak sukai. Mereka selalu bercakap tentang seseorang melalui kritikan atau kata-kata
yang merendahkan seseorang. Jarang sekali mereka membicarakan tentang sesuatu yang
berfaedah dan memotivasikan.

3. Asyik Bersedih

Ada antara mereka bukanlah seorang yang jahat atau kejam. Tetapi, mereka ini terlalu
emosional dan negatif dalam kehidupan. ‘Mood’ negatif ini boleh tersebar dan anda mungkin
saja selalu dipengaruhi oleh mereka. Ada saja masalah yang diperbesarkan sehingga anda
sendiri boleh berasa letih dan tidak bersemangat apabila bersama mereka.

Walaupun berasa sedih itu normal, tetapi ianya tidak normal jika anda hanya nampak
kegelapan dan kesengsaraan dalam setiap perkara.

4. ‘Drama Queen’

Orang yang sebegini biasanya hanya suka mengadukan hal yang membebani mereka, tetapi
sebenarnya mereka bukanlah mahu menyelesaikan masalah tersebut.

Sebaliknya, mereka cuma mahu berdrama dan menarik perhatian dengan isu-isu yang remeh.
Rimas, bukan?

5. Tak Punya Masa Untuk Anda

Kalau ada masalah mereka muncul, kalau anda ada masalah, mereka tak dapat dihubungi. Ada
saja alasan tentang kesibukan mereka dan urusan di sana sini.

Kalau bercakap tentang diri mereka, panjang berjela-jela hingga susah untuk anda mencelah.
Tapi, kalau diminta mendengar, amat sukar untuk mereka beri perhatian.
6. Cemburu Berlebihan

Orang toksik begitu susah untuk melahirkan rasa gembira terhadap orang lain yang berjaya
atau bahagia. Mereka bukan saja cemburu, tapi dengki hingga sanggup menjatuhkan, menyakiti
atau merencanakan sesuatu yang buruk terhadap orang tersebut.

Malah, mereka sering membandingkan diri mereka terhadap orang lain dan tidak mahu
mengakui kelebihan orang lain.

7. Sering Buat Anda Rasa Rendah Diri

Apabila berdamping dengan orang toksik, anda selalu rasa seperti perlu membuktikan sesuatu.
Mereka membuatkan anda rasa terlalu rendah diri dan tak cukup bagus untuk melakukan
sesuatu.

Kadangkala, kata-kata motivasi daripada mereka juga berunsur sinis dan seperti
mempertikaikan kemampuan anda.

Anda mungkin juga menyukai