Anda di halaman 1dari 7

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat
13 September 2019 / 13 Muharram 1441H
Keberkatan Pada Usia Lanjut

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Pada saat yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita


rendahkan hati kita memohon dengan penuh pengharapan
agar Allah s.w.t. memperkukuhkan ketakwaan kita. Marilah kita
bermohon agar Allah memberkati usia kita dengan membantu
kita untuk mendekatkan diri pada Allah serta menjauhi segala
tegahanNya. Kita juga bermohon usia kita tidak akan berlalu
tanpa diisi dengan kebajikan dan kebaikan.

1
Renungkanlah firman Allah dalam surah ar-Rum, ayat 54 yang
berbunyi:

Yang bermaksud: “Allah-lah yang menciptakan kamu dari


keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah
keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan
(kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia
menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dialah Yang Maha
Mengetahui lagi Maha Berkuasa.”

Ayat ini saudara, mengingatkan kita agar jangan lupa akan


peredaran zaman serta usia kita yang pasti akan berlaku
kepada setiap kita. Bermula dengan zaman kanak-kanak di
mana kita bergantung kepada orang tua kepada belia dan
dewasa sehinggalah masa di mana kita akan kembali
memerlukan bantuan dari masa ke semasa pada usia lanjut
apabila kita menua. Meskipun demikian, kita boleh mengambil
inspirasi daripada ayat ini agar memastikan setiap saat usia
kita yang terbaki di dunia ini diisi dengan amal-amal kebaikan
yang bakal mengundang keberkatan daripada Allah s.w.t.

2
Saudaraku yang dirahmati Allah,

Kita hari ini menggelarkan mereka yang telah lanjut usianya


sebagai warga emas. Ini merupakan suatu gelaran yang amat
sesuai kerana pada hakikatnya orang yang telah lanjut usianya
mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman tentang
kehidupan. Pengalamannya yang berharga itu berpotensi untuk
membantu generasi muda seterusnya sama ada anak ataupun
cucu-cucunya dan masyarakat agar mengenali perkara yang
dielak agar tidak terjerumus dalam kesulitan dan juga
mengenal pasti pendekatan yang telah membawa kejayaan
dalam kehidupan. Kelanjutan usia tidak seharusnya dilihat
sebagai peringkat kehidupan yang penuh dengan kemuraman,
kesunyian dan kesedihan. Bahkan ia adalah peringkat
kehidupan yang berpotensi membawa makna, ketenangan
serta kebahagiaan. Untuk itu saya ingin menyusulkan tiga
perkara yang boleh diberi perhatian:

Pertama: Menjaga hubungan dengan Allah dan Rasulullah


s.a.w.

Saudara, semestinya mendekatkan diri pada Allah itu adalah


suatu yang perlu diusahakan sepanjang hidup kita. Namun,
setelah melalui peringkat kehidupan bekerjaya serta
membesarkan anak-anak, adalah amat dianjurkan untuk kita
ketika meniti usia lanjut untuk mengenepikan lebih waktu
mendekatkan diri pada Tuhan yang telah mengurniakan nikmat
3
usia kepada kita sejauh ini. Sambil mempertingkatkan amal
dan ibadah kita, jangan lupa untuk mendalami dan memperluas
pengetahuan agama kita. Jika dulu ketika sibuk bekerjaya kita
tidak mempunyai waktu luang yang banyak. Mungkin setelah
persaraan atau bila kita sudah tidak perlu lagi menjaga anak-
anak kecil, akan ada lebih masa untuk kita membaca. Semua
yang diraih ini bukan hanya menjadi manfaat buat kita tetapi
juga boleh dikongsi dengan anak dan cucu kita.

Mendekatkan diri kepada Allah juga boleh dicapai melalui kerja


amal dan kemasyarakatan. Ini tidak kiralah sama ada di badan-
badan kebajikan mahupun masjid. Baginda Rasulullah s.a.w.
pernah berpesan:

Yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang panjang


umurnya dan baik amalannya. Dan seburuk-buruk manusia
adalah yang panjang umurnya dan buruk amalannya.”
[Hadith riwayat Ahmad, Al-Tirmidzi dan Al-Hakim]

Kedua: Berkongsi pengalaman.

Sebagai seorang yang mapan dan berpengalaman dalam


berkeluarga, warga emas mempunyai peranan penting dalam
berkongsi nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar yang positif lagi
membina bagi khususnya keluarga terlebih dahulu dan
kemudian pada masyarakat. Contohnya terdapat warga emas
4
yang menghabiskan masa sebagai sukarelawan membimbing
bekas pesalah; ada juga yang masih menyumbang fikiran
sebagai anggota persatuan dan kumpulan-kumpulan sosial.
Sungguhpun mereka tidak lagi memegang tampuk kepimpinan
kerana memberi peluang pada yang lebih muda untuk
menerajuinya, namun mereka kekal sebagai tempat rujukan
bagi golongan muda dalam meneruskan usaha-usaha murni
membangun masyarakat.

Apa yang diperlukan adalah nasihat dan bimbingan warga


emas disampaikan dengan penuh hikmah dan bijaksana, tanpa
memaksakannya mahupun merendahkan usaha yang lebih
muda. Apabila penghormatan dan keyakinan sedemikian
diberikan warga emas kita kepada yang lebih muda, insya-
Allah ianya akan diterima dengan baik. Bahkan lebih
mengundang penghormatan pada warga emas kita.

Ketiga: Mengekalkan kehidupan yang aktif

Kehidupan yang aktif perlu diteruskan meskipun kita menua.


Hari ini alhamdulillah kita menyaksikan sudah mula semakin
ramai warga emas yang mengaktifkan dirinya dengan pelbagai
aktiviti bermanfaat seperti beriadah, melakukan kerja-kerja
amal dan kemasyarakatan dan sebagainya.

Pada masa yang sama kita sebagai anak-anak juga


berperanan untuk mendorong orang tua kita agar kekal aktif.

5
Luangkan masa kita untuk mengisi masa orang tua kita dengan
aktiviti luar. Andai terlalu sibuk seringlah hubungi mereka
kerana kita punyai pelbagai kemudahan teknologi untuk
berkomunikasi. Galakkan warga emas kita untuk terus bertemu
teman-teman dan bersenam. Kita harapkan dengan kehidupan
yang aktif ini, ia akan mengelakkan seseorang itu semasa usia
lanjutnya daripada diselubungi kesunyian sehingga
menyebabkan tekanan serta kemurungan.

Saudaraku yang dikasihi,

Penjagaan kesihatan juga adalah sesuatu yang penting


semasa usia lanjut. Terdapat pelbagai cara untuk seseorang itu
menjaga kesihatannya. Di antaranya adalah dengan bersenam
atau beriadah secukupnya sesuai dengan peringkat umur.
Badan yang sihat dan akal yang cerdas akan menghasilkan
kehidupan yang sejahtera bukan sahaja buat diri kita tetapi
juga kepada ahli keluarga kita.

Dengan kehidupan masyarakat Singapura yang semakin


menua, terdapat pelbagai subsidi pemeriksaan kesihatan yang
boleh dimanfaatkan. Program seperti ‘Screen For Life’ oleh
Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), membolehkan
seseorang menjalani pemeriksaan kesihatan asas dengan kos
dimampui serendah $5 dollar. Selain itu juga, terdapat prosedur
pemeriksaan kesihatan lain yang boleh dibayar dengan
menggunakan Medisave.

6
Usahakanlah untuk membuat pemeriksaan kesihatan agar
sesuatu penyakit itu dapat dikesan lebih awal lagi dan rawatan
yang sesuai dapat diberikan. Sekiranya sesuatu penyakit itu
tidak dikesan lebih awal dan berada di peringkat yang lebih
lanjut, ia ditakuti boleh memudaratkan diri, memburukkan
kesihatan dan sekaligus dapat menjejas kehidupan dirinya dan
mereka yang berada di sekelilingnya.

Mudah-mudahan, kita dikurniakan umur yang penuh dengan


keberkatan dan kerahmatan. Semoga Allah s.w.t.
menambahkan kekuatan keimanan kita, memaafkan kesalahan
dan kesilapan kita, mengampuni dosa-dosa kita, mengukuhkan
silaturrahim dan persaudaraan kita, menyatukan hati-hati kita
dalam melakukan kebaikan, memberikan kita kesihatan zahir
dan batin serta menempatkan kita bersama hamba-hambaNya
yang soleh di akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Anda mungkin juga menyukai