Anda di halaman 1dari 12

PROGRAM PENGAJIAN LUAR KAMPUS

PUSAT PENDIDIKAN PROFESIONAL DAN LANJUTAN (PACE)


UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

TUGASAN RUNDINGAN ANTARABANGSA

GMGM 3033
KEMAHIRAN PERUNDINGAN DAN TAWAR MENAWAR

DISEDIAKAN UNTUK :
DR.VILLY A/P SENASI

PREPARED BY:
BASRI BIN ABU BAKAR (260309)
NUR AMIN IMRAN BIN BAKRI (260359)
MUHAMMAD FIKRI BIN AZINAN (255349)

DATE : 7 JANUARI 2023

1
ISU DAN FAKTOR PENGUKUH HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA-
CHINA ERA NAJIB RAZAK

(1) PENDEKATAN KERAJAAN MALAYSIA DALAM PERUNDINGAN DAN TAWAR-


MENAWAR ISU TERSEBUT

Kajian ini akan membincangkan isu perundingan antara Malaysia dan China semasa
era pemerintahan Najib Razak. Hubungan dua hala antara Malaysia-China telah terjalin
sejak tiga dekad yang lalu dan sentiasa menunjukkan peningkatan yang signifikan.
Hubungan ini tidak hanya mengenai aspek tertentu bahkan merangkumi aspek
keselamatan, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya yang memberikan impak positif
terhadap kedua-dua negara. Semasa era pemerintahan dan pentadbiran mantan Perdana
Menteri iaitu Najib Razak, beliau telah berusaha mencapai kepentingan nasional di peringkat
antarabangsa melalui hubungan dengan negara-negara luar di peringkat serantau bahkan
sehingga di peringkat antarabangsa. Melalui pendekatan Malaysia yang diwakili Perdana
Menteri pada ketika itu, antara jenis rundingan yang diamalkan bagi dasar luar negara
adalah bersifat neutral dan berkecuali dalam mengekalkan hubungan dengan negara luar
secara dua hala atau multilateral.

1.1 NEUTRAL DAN BERKECUALI

Pendekatan yang digunakan oleh pemimpin negara pada ketika itu, Najib Razak
telah menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang tidak berpihak kepada mana-mana
kuasa besar dan sekali gus memberikan kelebihan buat negara untuk menjalinkan
hubungan dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan China dalam pelbagai
aspek di peringkat antarabangsa. Hal ini juga adalah selaras dengan prinsip asas
Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (Non-Aligned Movement – NAM) yang telah
dianggotai oleh Malaysia sejak 1970.

Kepimpinan negara perlu memahami dengan jelas mengenai pembentukan dasar


luar kerana mereka perlu menentukan bagaimana dasar luar sesebuah negara tersebut
akan memacu negara. Setiap pemimpin memainkan peranan dan corak yang berbeza
dalam hal ini. Najib Razak dalam eranya telah membuat perubahan yang besar mengenai
dasar luarnya. Antaranya seperti merapatkan hubungan negara-negara Islam dan cuba
untuk mengalihkan dasar negara daripada pro-Barat kepada satu dasar yang dilihat lebih
bersifat neutral dan berkecuali. Menurut (Ramli Dolah dan Wan Shawaluddin Wan Hassan,
2005), keadaan ini baginya lebih menguntungkan negara dan bertepatan dengan hal
keadaan semasa dalam negara yang dikatakan sebagai sentimen pro-Islam, antikononial
dan masalah etnik yang berlaku antara bangsa Melayu dan bangsa Cina di Malaysia. Dasar-
dasar yang diambil ini juga turut mendapat perhatian pemimpin-pemimpin negara luar
terutamanya China yang mempunyai hubungan dua hala dengan Malaysia.

Sebagai contoh antara tindakan bijak yang telah diambil oleh Malaysia iaitu dengan
menandatangani Islamic Charter of the OIC di mana Malaysia telah mengambil jalan tengah
dalam hubungannya dengan blok Komunis dan blok Demokrasi. Strategi ini merupakan
perubahan yang menunjukkan bahawa negara mengintegrasi dasar neutraliti dan berkecuali
mengenai dasar luarnya untuk lebih bersifat multilateralism (pelbagai hala). Malahan
semasa era pemerintahan Tun Abdul Razak iaitu bapa kepada Najib Razak, tindakan drastik

2
yang pernah dilakukan adalah dengan menarik pengiktirafan ke atas Republik China
(Taiwan) dan meneruskan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China (RRC) yang
juga merupakan tindakan pertama di negara Asia Tenggara. Tindakan berani yang diambil
itu menggambarkan bahawa Malaysia benar-benar teguh dengan pendirian dan mempunyai
dasar luar yang bersasar untuk membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.

Selain itu, semasa peralihan kuasa daripada pemerintahan lama kepada


pemerintahan baru sekitar tahun 2009, dan pada ketika itu sokongan rakyat mula menurun
kepada pihak kerajaan, Najib Razak telah memberikan fokus utama kepada isu-isu domestik
untuk memulihkan kepercayaan rakyat kepadanya. Di samping itu, hubungan bilateral
kepada negara jiran turut menjadi prioriti utama seperti Singapura, China, Korea Selatan
dan Indonesia. Dalam pada itu, hubungan-hubungan dengan negara lain yang telah terjalin
kembali dipertingkatkan lagi dengan cara beliau membabitkan diri dalam isu-isu penting
dunia. Walaupun pada ketika itu hubungan Malaysia-China menjadi fokus utama, Malaysia
turut menjaga kepentingan dengan negara lain seperti Jepun yang juga merupakan pemain
utama ekonomi dunia. Kesempatan-kesempatan ini telah digunakan oleh pemimpin
Malaysia dengan baik sambil mengamalkan sikap neutral dan berkecuali dalam isu-isu yang
boleh memecahkan keharmonian hubungan antara negara. Tidak hanya di rantau Asia,
hubungan Malaysia dengan Amerika dan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) turut
diperkukuhkan. Strategi ini menunjukkan bahawa dasar luar Malaysia lebih bersifat
berkecuali dalam hal-hal luar dan mementingkan hubungan diplomasi antara negara dan
sekali gus meletakkan Malaysia sebagai rakan negara yang aman.

1.2 HUBUNGAN DUA HALA

Semasa zaman pemerintahan dan pentadbiran Najib Razak selaku Perdana Menteri
Malaysia, hubungan bilateral (dua hala) antara Malaysia-China sering dipergiatkan bagi
mengukuhkan lagi di peringkat yang lebih tinggi dalam segenap aspek yang mempunyai
peluang untuk kemajuan negara. Baginya selaku pemimpin negara, cita-citanya untuk
memacu negara untuk menjadi sebuah negara yang membangun perlu didokong oleh
negara maju lain kerana tanpa bantuan dan kerjasama antara negara, usaha ke arah
pembangunan negara akan tumbuh perlahan dan hal ini tidak baik untuk perkembangan
negara. Perkara ini berikutan kerana kedudukan negara China yang merupakan antara
negara yang mempunyai kuasa besar dan memiliki ekonomi yang kukuh di rantau Asia.
Negara China juga dalam kedudukan dunia merupakan negara yang memiliki sektor industri
dan pengeksport terbesar dunia yang menghubungkan sebanyak 128 negara di seluruh
dunia. Bahkan mereka turut menyumbang sebanyak 50 peratus dalam pertumbuhan
ekonomi di Rantau Asia dan 27.8 peratus di pasaran dunia. Itulah antara sebab mengapa
rundingan dan kerjasama antara China diutamakan oleh Malaysia.

Ekoran daripada peningkatan yang memberangsangkan yang ditunjukkan oleh


negara China, Malaysia yang diwakili oleh Najib Razak pada ketika itu tidak melepaskan
peluang ini untuk memainkan peranan penting dalam hubungan dua hala untuk terus
mempertingkatkan lagi hubungan dagangan dan ekonomi antara Malaysia dan China. Ikatan
hubungan dua hala ini mampu memberikan kelebihan dan keuntungan buat Malaysia jika
digunakan dengan baik kerana ianya mampu merangsang kelestarian dan memberikan
kesan positif terhadap pembangunan serta ekonomi Malaysia dalam pelbagai sektor bagi
membantu negara ini keluar dari kemelut ekonomi dari semasa ke semasa. Walaupun
terdapat beberapa khabar angin yang negatif yang dilontarkan terhadap China oleh negara-
negara lain, namun hakikatnya negara China bukanlah merupakan satu ancaman kepada
rantau Asia sebaliknya merupakan rakan diplomasi penting yang perlu diadakan kerjasama
untuk kestabilan negara.

3
Malaysia dan China juga turut mempunyai banyak persamaan dan sentiasa
berkongsi aspirasi dalam memastikan keamanan dan kestabilan di rantau Asia. Gabungan
antara dua negara ini telah terbukti mampu untuk membendung kemelesetan ekonomi
global pada satu ketika dahulu dengan memastikan permintaan domestik di Malaysia dan
China kekal tertinggi dan seterusnya membantu sektor eksport negara-negara rantau yang
lain. Tidak hanya itu, bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-China, pemimpin
antara kedua-dua negara juga mempunyai hubungan peribadi yang baik dan sering
mengadakan lawatan peribadi untuk menunjukkan keakraban antara mereka. Hubungan itu
juga sekali gus telah menarik minat masyarakat kedua-dua negara untuk saling bertoleransi
dan menjadikan Malaysia-China sebagai destinasi pelancongan yang utama. Najib Razak
dalam ucapannya turut menyatakan bahawa antara aspek yang boleh diukur untuk
menunjukkan kemakmuran masa depan negara adalah dengan melihat kepada prestasi
semasa rakyatnya.

Pendekatan Najib Razak dalam merangsang Dasar Luar Malaysia telah memberikan
hasil yang baik kepada negara dan impak itu dirasai oleh segenap masyarakat bagi kedua-
dua negara. Dengan meneruskan kesinambungan hubungan dua-hala oleh Tun Abdul
Razak serta pemimpin-pemimpin sebelumnya, hubungan ini terus bertambah erat di bawah
pimpinannya dengan mengamalkan dasar luar yang begitu pro-aktif di peringkat global
(Faridah Jaafar, 2007). Hubungan dua hala ini amat ditekankan olehnya kerana lebih
berkesan dan dilihat telus kerana hanya melibatkan dua negara dalam membincangkan isu-
isu yang saling berkaitan antara kedua-dua negara tanpa campur tangan negara lain.
Malahan hubungan dua hala juga lebih efektif hasilnya kerana kurangnya halangan dan
kerenah dalam usaha-usaha negara untuk mencapai kesepakatan dan kerjasama yang ingin
dilaksanakan.

(2) TEORI YANG BOLEH DIHUBUNGKAIT DENGAN STRATEGI KERAJAAN

(Muhammad Syakir Idris dan Ilyas Abdullah, 2022) mengatakan bahawa Malaysia
dan China telah memeterai hubungan bilateral bermula pada tahun 1974 iaitu sejak puluhan
tahun yang lalu. Tahun demi tahun kerajaan antara kedua-dua negara akan cuba
mengukuhkan perhubungan bilateral ini bagi perkembangan negara. Malaysia dan China
saling memerlukan dalam pada memastikan perkembangan ekonomi negara dalam
keadaan yang stabil. Dalam pada usaha negara Malaysia untuk mengekalkan hubungan
dua hala tersebut, terdapat juga beberapa konflik yang timbul sama ada memberikan kesan
langsung atau tidak langsung terhadap hubungan dua hala tersebut. Antaranya seperti
perebutan kepulauan Spratly, kehilangan pesawat MH370 dan lain-lain isu sampingan.

2.1 SALING KEBERGANTUNGAN EKONOMI

Sejak beberapa tahun yang lalu, dengan keadaan kestabilan dan kemajuan Malaysia
yang berada pada tahap pembangunan yang mapan, Malaysia telah berjaya menjadi
pengganti Singapura sebagai rakan dagangan terbesar kepada China dalam ASEAN dan
menjadikan China sebagai salah satu sumber import dan eksport terbesar kepada Malaysia
(Wan Hazwani Wan Hamedi dan Asmadi Hassan, 2015). Kejayaan antara dua buah negara
ini telah membuktikan bahawa kerjasama di antara negara jiran memainkan peranan penting
dalam terus mengekalkan kestabilan dan kemajuan sesebuah negara. Hubungan bilateral
antara Malaysia-China merupakan suatu pencapaian yang mengagumkan kerana Malaysia
menjadi negara Asia Tenggara yang mampu menjalinkan hubungan diplomatik dengan
China.

Dengan memegang erat status kebersamaan antara negara dan mementingkan


konsep saling kebergantungan ekonomi sesama negara, hubungan dua hala Malaysia-

4
China dapat dipertingkatkan sehingga ke peringkat nasional dan pembangunan ekonomi di
pasaran domestik serta antarabangsa. Konsep yang utuh dipegang oleh kepimpinan kedua-
dua negara dengan mementingkan kerjasama ekonomi, kekal bertoleransi dan menghormati
antara satu sama lain. Walaupun seperti yang kita sedia maklum bahawa terdapat beberapa
isu yang dingin antara kedua-dua negara, namun dengan kebergantungan ekonomi sedia
ada, kedua-dua negara lebih menumpukan kepada manfaat yang bakal diperolehi di masa
akan datang dengan menyelesaikan isu-isu semasa secara aman. Pemikiran matang yang
ditunjukkan oleh kedua-dua pimpinan negara mampu meredakan isu-isu semasa secara
perlahan-lahan.

Era pemerintahan Najib Razak juga dilihat lebih mementingkan perkembangan


ekonomi negara dan dalam masa yang sama kerjasama dua hala itu telah berjaya
meredakan ketegangan terhadap isu-isu yang berlaku. Begitu juga dengan negara China
yang melihat Malaysia sebagai salah satu sumber pasaran yang berpotensi besar bagi
aktiviti eksport yang melibatkan bahan-bahan mentah seperti benih, arang batu, logam, kayu
balak dan lain-lain. Selain itu, China juga memerlukan sumber minyak sawit daripada
Malaysia yang merupakan bahan penting dalam industri pengilangan dan pemakanan.
Masing-masing mempunyai kebergantungan ekonomi untuk kemajuan dan kestabilan
negara dan perkara ini sedikit sebanyak menjadi asas kepada Malaysia dan China untuk
terus bertoleransi dalam isu-isu yang melibatkan kedua-dua negara terbabit. Kepimpinan
negara juga sedar bahawa menggunakan pendekatan provokatif dalam menangani sesuatu
isu akan merugikan kedua-dua negara dan menjejaskan hubungan baik yang telah sekian
lama terjalin.

Jalinan kerjasama ekonomi yang utuh antara Malaysia dan China pada tahap yang
tinggi telah berjaya mengurangkan persengketaan antara satu sama lain. Kebergantungan
ekonomi sesama negara telah mampu untuk memupuk sifat bertoleransi dalam
menyelesaikan persengketaan yang wujud dengan menggunakan kaedah rundingan yang
damai tanpa mengeruhkan keadaan dan hubungan sedia ada. Kedua-dua negara pernah
menyatakan pendirian untuk menyelesaikan sebarang masalah atau pertikaian yang timbul
dalam hubungan dua hala tersebut dengan melalui meja rundingan dan tidak akan sesekali
menggunakan kekerasan. Pada tahun 2023 akan menjadi ulang tahun ke-10 jalinan
hubungan Malaysia-China ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif yang telah
ditandatangani pada tahun 2013.

2.2 PENDEKATAN DIPLOMASI

Selain daripada faktor saling kebergantungan ekonomi, pendekatan diplomasi juga


merupakan faktor penting yang dalam mengurangkan ketegangan dalam hubungan dua
hala antara Malaysia dan China. Pendekatan diplomasi merupakan satu amalan
perundingan atau perbincangan antara negara menerusi pemimpin negara atau wakil yang
dilantik oleh negara untuk berkomunikasi dan berunding di peringkat antarabangsa
mengenai isu-isu yang berbangkit seperti peperangan, kebudayaan, perdagangan,
perdamaian dan lain-lain yang berkaitan. Wakil kepada negara tersebut akan cuba
mengenal pasti mengenai isu yang menjadi pertikaian atau yang bercanggah dan wakil-
wakil negara akan berusaha untuk mencari dan mencapai kata sepakat dalam
menyelesaikan isu tersebut. Pendekatan diplomasi juga dilaksanakan dengan cara damai
dengan berbincang, bertukar pendapat, memberikan fakta dan juga pujukan jika diperlukan.
Antara isu yang telah diselesaikan dengan cara pendekatan diplomasi antaranya seperti
perebutan kepulauan Spratly di Laut China Selatan dan kehilangan pesawat MH370.

Bukti jelas yang menunjukkan bahawa Malaysia mengamalkan pendekatan


diplomasi semasa rundingan dengan negara China boleh dilihat dalam isu perebutan

5
kepulauan Spratly di mana menurut Ketua Jabatan Antarabangsa dan Pengajian Strategik
Universiti Malaya bahawa, kerajaan Malaysia menggunakan kaedah ‘silent diplomacy’ dalam
menangani isu tersebut. Walaupun Malaysia masih tetap meneruskan usaha terhadap
tuntutan kepulauan Spratly itu, namun tindakan Malaysia dengan mengambil langkah yang
tidak agresif iaitu dengan tidak meminta bantuan kuasa luar dan tidak memperbesarkan isu
tersebut telah dilihat sebagai negara yang mengamalkan dasar diplomasi. Tindakan tersebut
telah melahirkan suasana yang aman di antara hubungan Malaysia dan China walaupun
kedua-dua negara tetap menuntut kepulauan itu. Bahkan negara China juga turut memuji
tindakan kerajaan Malaysia dalam mengendalikan isu tersebut kerana pendekatan yang
digunakan itu tidak mewujudkan rasa tidak senang dan ancaman terhadap negara meskipun
dalam isu yang rumit.

Pendekatan diplomasi yang digunakan oleh Malaysia telah meningkatkan lagi


kepercayaan antara kedua-dua negara dan menjadikan hubungan dua-hala semakin
mengukuh kerana masing-masing percaya bahawa setiap isu yang berlaku atau yang akan
berlaku kemudiannya antara negara mampu diatasi dengan cara yang damai. Sebagai
misalan lain dalam kejayaan Malaysia menggunakan kaedah pendekatan diplomasi iaitu
dalam kes kehilangan pesawat MH370, kedua-dua negara terlibat telah menggunakan
kaedah ‘Diplomasi Panda’ sebagai tanda simbolik negara terhadap keakraban hubungan
dua hala bagi kedua-dua negara. Dalam diplomasi panda ini, dua ekor panda gergasi dari
China iaitu Fu Wa dan Feng Yi telah dipinjamkan kepada Malaysia dalam sebuah Program
Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Menurut laporan akhbar Bernama pada tahun 2015, negara China menghargai
kaedah pendekatan ‘Diplomasi Senyap’ yang diamalkan oleh Malaysia dalam
mengendalikan isu Laut China Selatan. Hal itu diakui sendiri oleh Presiden China Xi JinPing
kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertemuan Sidang
Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik ke-23 di Manila. Ianya menunjukkan
bahawa Malaysia dan China mempunyai kepercayaan yang mendalam dari segi politik dan
keinginan kedua-dua negara yang menginginkan keamanan serta kestabilan bagi
kemakmuran negara.

(3) HASIL YANG DIPEROLEHI DARIPADA ISU PERUNDINGAN TERSEBUT

Para pengkaji dalam artikel merumuskan bahawa hubungan dua hala antara negara
yang berlandaskan ekonomi bagi kemajuan dan kestabilan negara dilihat dapat
mengurangkan ketegangan antara negara yang berhubungan. Ianya dapat menjadi penentu
utama dalam keamanan sesebuah negara dan lebih praktikal untuk dilaksanakan oleh
sesebuah negara. Dengan terjalinnya hubungan dua hala antara negara Malaysia dan
China, ianya sekali gus dapat mengurangkan dan meredakan ancaman konflik yang terjadi
antara negara yang berhubungan. Pendekatan dengan cara diplomasi, perbincangan,
rundingan damai dan sebagainya dilihat lebih menguntungkan dalam menangani sesuatu
isu yang berbangkit berbanding dengan menggunakan kuasa ketenteraan yang mampu
menelan belanja yang begitu besar serta merugikan kedua-dua negara.

Hasil daripada pendekatan diplomasi semasa era pemerintahan Najib Razak telah
berjaya menyelesaikan isu berbangkit di antara negara bahkan pendekatan ini juga akhirnya
telah menjadi satu budaya dalam ASEAN. Pendekatan diplomasi juga secara tidak langsung
berjaya untuk memupuk semangat kerjasama dan toleransi dalam hubungan dua hala
Malaysia-China. Dengan adanya hubungan diplomasi ini, ianya membantu negara Malaysia
dalam memelihara dan mempertahankan keselamatan, ekonomi dan aspek-aspek
kepentingan yang lain. Dasar yang digunakan oleh Najib Razak juga telah menggalakkan
pertumbuhan persekitaran serantau dan antarabangsa yang harmoni untuk negara terus
mencapai matlamat tanpa ancaman dari negara luar. Hubungan diplomasi yang terbina ini

6
sekali gus memberi kekuatan dan sokongan kuasa luar kepada negara untuk tidak diganggu
oleh negara lain dengan sewenang-wenangnya. Ia juga turut menggalakkan toleransi dan
kerjasama antara negara dalam membentuk struktur komuniti antarabangsa. Dasar yang
diamalkan oleh pemimpin Malaysia sejak daripada kemerdekaan sehingga kini yang terus
menerus mengamalkan dasar luar yang bebas tanpa berpihak, berprinsip dengan
menerapkan nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan keharmonian kepada negara lain
telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang dihormati dan berdaulat dan tidak
mencampuri urusan negara lain tanpa alasan yang munasabah.

Najib Razak semasa era pemerintahannya juga begitu komited mengorak langkah ke
hadapan dengan menekankan dasar luar yang lebih proaktif dan dinamik berbanding
Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi. Rundingan-rundingan
dengan negara luar diberi penekanan utama terutamanya bagi negara yang merupakan
‘trading partner; kepada Malaysia seperti China (Rusdi Omar dan Mas Juliana
Mukhtaruddin). Hasilnya, perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah
kepada $39.06 bilion pada tahun 2008 dan menunjukkan peningkatan sehingga 10.3
peratus berbanding tahun sebelumnya. Manakala pada tahun 2012, perdagangan China-
Malaysia mencecah US$100 bilion (RM312 bilion) bagi sumber alam dan import barangan
pengguna. Keadaan ini telah menjadikan China sebagai rakan perdagangan terbesar
Malaysia dan memberi signal kepada Malaysia bahawa keadaan ekonomi akan dapat
dipacu dengan baik. Seperti yang diketahui umum bahawa negara China merupakan enjin
bagi pertumbuhan ekonomi dunia di Asia dan keberadaannya dalam radar Malaysia
merupakan petanda yang baik. Perkara ini diakui oleh Setiausaha Agung Malaysia -China
Chamber of Commerce (MCCC) bahawa ‘Malaysia and China are currently going through
what we call honeymoon’ kerana hubungan yang baik dan erat antara kedua-dua negara.

Kesan baik daripada rundingan dan tawar-menawar antara Malaysia-China juga


telah membawa menjadikan hubungan dua hala antara negara ini berada pada tahap yang
paling tinggi dalam sejarah. Perkara ini diakui oleh Najib Razak dan kedua-dua negara akan
memberi keutamaan yang tinggi sesama negara untuk terus mendukung dan
memperkasakan hubungan strategik antara Malaysia dan China. Impak positif yang diterima
oleh negara pada ketika ini adalah hubungan dagang di antara Malaysia-China telah
berkembang secara purata sebanyak 16 peratus. Malah jumlah perdagangan antara dua
negara tersebut telah melebihi RM421 bilion pada tahun 2022. Selain itu, hasil rundingan
juga telah memberi manfaat kepada Malaysia apabila banyak projek-projek antara negara
dimeterai yang memberi manfaat kepada Malaysia antaranya seperti Taman Perindustrian
Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan beberapa
lagi projek bersama. Walaupun pimpinan negara telah beberapa kali bertukar ganti, namun
hasil daripada rundingan kerjasama sebelum ini telah membuahkan hasil dan memberi
manfaat secara keseluruhannya kepada negara.

(4) CABARAN DAN HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH MALAYSIA DALAM ISU
PERUNDINGAN TERSEBUT

Melalui artikel yang dipilih iaitu mengenai hubungan dua hala antara Malaysia-China
semasa era pemerintahan Najib Razak, terdapat beberapa cabaran dan halangan yang
menjadi tumpuan di seluruh dunia kerana cabaran-cabaran besar ini jika dilihat pada
pandangan mata kasar mampu untuk menggugat hubungan dua hala yang telah terjalin
antara kedua-dua negara tersebut. Antara isu besar yang diperkatakan adalah mengenai
tuntutan terhadap Kepulauan Spratly dan isu kehilangan pesawat MH370.

Tuntutan kepulauan Spratly telah menjadi satu bentuk cabaran dan halangan yang
dihadapi oleh Malaysia kerana status negara yang mempunyai hubungan dua hala yang

7
baik antara Malaysia dan China. Perebutan ini adalah kerana kedudukan kepulauan Spratly
yang terletak di Laut China Selatan di antara gugusan Pratas, Paracels, Macclesfield dan
Spratly yang menjadi rebutan oleh negara-negara persisiran seperti China, Taiwan, Filipina,
Vietnam dan termasuklah Malaysia. Dalam kebanyakan negara persisiran ini, China telah
menunjukkan minat yang mendalam untuk menguasai kepulauan tersebut. Krisis mengenai
kepulauan Spratly antara Malaysia-China menjadi lebih hangat apabila Malaysia telah
bertindak dengan mengeluarkan peta rasminya pada tahun 1979 di mana di dalam peta
tersebut telah menunjukkan terdapat beberapa pulau dan terumbu yang menjadi milik
Malaysia. Walaubagaimanapun, perkara itu telah disangkal kerana terdapat bukti yang
menunjukkan sebaliknya.

Antara sebab utama mengapa kepulauan Spratly menjadi tuntutan kepada beberapa
negara persisiran pantai terutama kepada Malaysia dan China kerana ianya mempunyai
nilai strategi dan ekonomi bagi sesebuah negara yang berpotensi sebagai tempat penemuan
gas, petroleum, sumber perikanan dan bahan-bahan organik sebagai sumber bagi negara.
Selain itu, kedudukan kepulauan Spratly yang strategik juga akan menjadikan negara yang
berjaya menguasai kepulauan tersebut akan dapat menguasai laluan kapal di Laut China
Selatan. Kepulauan Spratly bukanlah hanya terdapat satu pulau sahaja, tetapi mempunyai
banyak pulau-pulau, terumbu, beting, bank dan cays yang dikatakan hampir 230. Malaysia
mula membuat tuntutan terhadap pulau itu pada tahun 1978 atas dorongan Vietnam dan
Filipina. Tuntutan tersebut juga adalah berdasarkan kepada konsep Zon Ekonomi Eksklusif
(EEZ) dan prinsip Lanjutan Pelantar Benua (Continental Shelf Extension).

Dengan wujudnya isu tuntutan kepulauan Spratly yang menjadi perebutan antara
Malaysia dan China yang dilihat mempunyai hubungan dua hala, insiden ini dilihat
mempunyai potensi yang besar untuk menyebabkan berlakunya ketegangan negatif antara
kedua-dua negara tersebut dalam menguruskan isu tersebut. Persepsi negatif yang
ditimbulkan antara kedua-dua negara itu mampu untuk mengheret ke dalam konflik yang
lebih kritikal dan sekiranya tidak ditangani dengan baik boleh mengancam keselamatan dan
kedaulatan antara negara. Pada era pemerintahan Najib Razak, beliau telah cuba
mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia-China dengan mengelakkan
persepsi negatif antara kedau-dua negara yang boleh memberikan kesan langsung atau
tidak langsung kepada negara. Mantan Perdana Menteri juga pada ketika itu mengambil kira
dari sudut ekonomi dengan negara China yang merupakan rakan dagangan terbesar di
Malaysia yang perlu dinilai sebagai aspek penting bagi mengelakkan kesan terhadap
pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor utama seperti perdagangan dan pelaburan.

Antara cabaran lain yang dihadapi oleh Malaysia adalah isu kehilangan pesawat
MH370. Isu yang menjadi tumpuan seluruh dunia ini turut menjadi satu bentuk cabaran
kepada Malaysia untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia-China di
masa-masa akan datang. Insiden yang berlaku adalah mengenai kehilangan sebuah
pesawat jenis Boeing 777-200 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal
ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac 2014. Mangsa
yang terlibat dalam insiden tersebut terdiri daripada 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China,
12 rakyat Indonesia, 7 rakyat Australia, 3 rakyat Perancis dan beberapa lagi rakyat negara
lain turut terbabit. Pada 29 Januari 2015 setelah 327 hari pesawat tersebut hilang, Malaysia
telah mengisytiharkan bahawa kesemua penumpang dan anak kapal MH370 telah
terkorban.

Merujuk kepada insiden kehilangan pesawat MH370 tersebut, majoriti mangsa yang
terlibat adalah daripada warganegara China di mana secara tidak langsung telah
memberikan kesan negatif terhadap hubungan dua hala antara Malaysia-China pada zaman
pemerintahan Najib Razak. Berita tersebut telah memberi kesan kepada negara apabila
berlakunya insiden ini adalah terhadap aspek ekonomi dan sosial terutamanya dalam sektor
pelancongan lebih-lebih lagi semasa tahun-tahun awal berlakunya insiden tersebut. Majoriti

8
masyarakat China mula memboikot Malaysia sebagai negara pelancongan kerana tidak
berjaya memulihkan keadaan dengan usaha dan siasatan yang menyeluruh terhadap
kehilangan pesawat MH370 tersebut.

Akibat daripada peristiwa itu, beberapa agensi pelancongan di China antaranya


China International Travel Service, China Youth Travel Service dan BTG Internasional
Travel and Tours melaporkan bahawa terdapat penurunan yang ketara dalam jumlah
pelancongan masyarakat China ke Malaysia. Penurunan itu adalah sebanyak 20 hingga 40
peratus yang menyebabkan kerugian sehingga 4 hingga 8 bilion Yuan kepada Malaysia.
Malahan beberapa agensi pelancongan lain daripada China turut menunjukkan angka sifar
pelancongan warga China ke Malaysia. Dengan kadar penurunan pelancong China ke
Malaysia, keadaan itu telah merencatkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China
bermula dari tahun berlakunya insiden kehilangan pesawat tersebut.

Insiden yang berlaku ini juga bukan hanya memberi kesan buruk kepada sektor
pelancongan sahaja, malahan turut memberikan kesan terhadap aspek sosial kepada
hubungan dua hala Malaysia dan China. Insiden-insiden ini mula membangkitkan situasi
persepsi negatif daripada warganegara China terhadap negara Malaysia. Mereka
menganggap bahawa Malaysia tidak bersungguh-sungguh dalam menangani insiden
tersebut dan tidak memberikan fakta yang jelas dalam meraih semula kepercayaan warga
China lebih-lebih lagi terhadap keluarga mangsa yang terlibat. Keadaan menjadi lebih parah
apabila terdapat pelbagai dakwaan-dakwaan palsu yang bertebaran di media sosial yang
berjaya mempengaruhi minda orang awam mengenai insiden itu. Keadaan itu telah
menyebabkan sekumpulan penunjuk perasaan melakukan bantahan di perkarangan
Kedutaan Malaysia yang terletak di Beijing. Insiden ini telah memberikan kesan negatif
terhadap hubungan sosial rakyat Malaysia dan China yang mampu menjelaskan hubungan
dua hala antara negara pada masa-masa akan datang.

(5) PERBEZAAN DI ANTARA MALAYSIA DENGAN NEGARA LAIN DALAM


MEMBINCANGKAN ISU PERUNDINGAN DAN TAWAR MENAWAR

Perbezaan antara Malaysia dan negara lain dalam isu perundingan dan tawar
menawar. Bagi menunjukkan perbezaan yang jelas dan ketara, negara yang dipilih sebagai
perbandingan adalah Rusia. Rusia merupakan sebuah negara maju dan juga menjadi antara
kuasa besar dunia pada hari ini. Rusia juga turut mempunyai kekuatan ekonomi yang besar
dengan hasil bumi yang terdiri daripada minyak dan gas asli dan merupakan pembekal
utama bagi negara Eropah. Malah Rusia juga merupakan negara yang mempunyai kekuatan
tentera yang besar yang dianggarkan berjumlah 1,027,000 tentera aktif dan sekitar
2,035,000 tentera simpanan. Rusia juga turut mempunyai peralatan teknologi moden yang
lengkap dan peralatan perang termasuklah senjata nuklear. Fakta-fakta ini jelas
menunjukkan bahawa Rusia adalah sebuah negara maju dan antara kuasa besar dunia
pada saat ini. Aspek yang ingin dilihat dalam hal ini adalah perbandingan mengenai isu
perundingan dan tawar menawar negara Malaysia dan juga Rusia.

Isu perundingan dan tawar menawar antara negara dikategorikan sebagai aspek
penting bagi sesebuah negara. Perkara ini berkait dengan Dasar Luar Negara iaitu dasar
kerajaan terhadap negara-negara lain. Malaysia sebagai sebuah negara kecil kadangkala
memerlukan kuasa-kuasa besar atau kerjasama dengan negara lain bagi mempertahankan
kepentingan negara dari segi ekonomi, politik, sosial, teknologi, kesihatan dan sebagainya.
Antara prinsip yang diamalkan oleh Malaysia dalam perundingan dan tawar-menawar
adalah ‘menyelesaikan masalah menerusi rundingan’. Prinsip pendekatan ini adalah
dengan cara berbaik-baik dengan negara-negara lain di samping menjalinkan hubungan
diplomatik terhadap mana-mana negara yang sudi bekerjasama. Kaedah rundingan ini

9
kebiasaannya dijalankan dengan konsep meja bulat antara pemimpin-pemimpin negara dan
dijalankan dengan aman. Hasilnya, Malaysia akan dapat melakukan rundingan sesuatu isu
yang berbangkit antara negara dengan aman tanpa perdebatan, kekerasan atau paksaan.
Malah, rundingan juga dapat diselesaikan secara dalaman antara negara tanpa campur
tangan kuasa luar atau pihak ketiga kecuali jika diperlukan oleh kedua-dua negara.

Jika dikenang balik sejarah rundingan Kemerdekaan pada tahun 1956-1957 untuk
membentuk negara Malaysia dan membebaskannya dari tangan penjajah, rundingan ini
dapat dijalankan dengan aman dan damai oleh pemimpin negara pada ketika itu. Hasil
rundingan Raja-Raja Melayu dengan Kerajaan British untuk membentuk Kerajaan
Persekutuan dan mengekalkan kuasa Raja-Raja Melayu serta menjalankan negara dengan
konsep demokrasi. Proses rundingan ini juga berhasil dijalankan dengan bebas daripada
campur tangan British dan negeri-negeri selat kembali kedaulatannya kepada Yang di-
Pertuan Agong. Malah, apa yang lebih mengagumkan adalah rundingan kemerdekaan ini
bukanlah sebagai rundingan kaum atau kontrak sosial kerana kedaulatan Raja-Raja Melayu
sebelum dan selepas kemerdekaan masih terpelihara di dalam undang-undang
persekutuan.

Matlamat utama negara dalam menetapkan Dasar Luar Negara bagi isu perundingan
dan tawar-menawar adalah bertujuan untuk melindungi, menjaga, mempertahankan
kepentingan negara di peringkat antarabangsa. Objektif dasar ini juga bagi menangani
perkembangan serta cabaran politik, ekonomi, keselamatan dan sosial di persada dunia.
Oleh itu, Malaysia lebih gemar untuk melakukan hubungan dua hala antara negara dan
rundingan diplomasi bagi menyelesaikan apa-apa isu berbangkit mengenai negara.
Sebagaimana petikan daripada ucapan Syed Hamid Albar yang merupakan Menteri Luar,
beliau menyatakan bahawa China dan Malaysia telah bersetuju dan kekal dengan pendirian
jika berlaku sebarang masalah antara negara, ianya akan diselesaikan dengan sendiri oleh
negara-negara tanpa melibatkan kuasa luar atau pihak ketiga.

Seterusnya, kajian akan melihat pula kepada kaedah perundingan dan tawar-
menawar negara Rusia yang merupakan antara negara yang dikategorikan sebagai kuasa
besar dunia. Kaedah rundingan negara tersebut mungkin mempunyai persamaan dan
perbezaan dengan Malaysia. Sebagai sebuah negara yang mempunyai teknologi yang
canggih, alatan ketenteraan yang moden dan kekuatan ketenteraan yang banyak, Rusia
dilihat lebih memilih kaedah kekerasan dalam melakukan rundingan dengan mana-mana
negara yang berseteru dengannya. Antara contoh terdekat yang boleh dilihat iaitu
peperangan antara Rusia dan Ukraine yang telah berlaku tanpa rundingan secara damai
terlebih dahulu. Keadaan ini telah menyebabkan Perancis dan Amerika Syarikat untuk
campur tangan dalam membantu Ukraine untuk menggesa Rusia kembali melakukan
rundingan di meja rundingan secara aman. Walaupun rundingan awal antara Rusia dan
Ukraine telah dilakukan beberapa kali sebelum ini, kedua-dua negara dilihat masih belum
berjaya mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi. Rusia yang
dikenali antara kuasa besar dunia dilihat lebih yakin untuk melakukan rundingan mengikut
telunjuknya sendiri dengan syarat-syarat tertentu tanpa mengendahkan negara lain.

Namun begitu, kaedah rundingan dan tawar-menawar oleh Rusia juga tidak hanya
dengan konfrontasi sahaja. Negara tersebut juga bersedia dalam perundingan di meja bulat
dengan menggunakan pihak ketiga sebagai orang tengah dalam sesuatu isu yang
berbangkit. Sebagai contoh bagi isu Rusia-Ukraine untuk melakukan gencatan senjata,
ianya dihadiri oleh Turki sebagai pihak ketiga selaku pengantara rundingan tersebut. Pihak
ketiga tersebut akan bersifat berkecuali dan bertindak selaku pengaman bagi kedua-dua
pemimpin negara yang bertelingkah tersebut. Malahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) juga pernah menjadi pihak ketiga dalam rundingan bagi peperangan antara Rusia-
Ukraine bagi membincangkan inisiatif untuk mengakhiri konflik antara dua negara tersebut.
Walaubagaimanapun, pihak ketiga hanya bertindak sebagai orang tengah dalam proses

10
rundingan dan keputusan rundingan tersebut sama ada berjaya atau sebaliknya ditentukan
oleh kehendak negara itu.

Tambahan lagi, Rusia juga turut mengamalkan rundingan meja bulat bagi
sesetengah isu dan rundingan meja bulat ini merupakan amalan kebanyakan negara dalam
melakukan rundingan. Tetapi rundingan damai ini kebiasaannya berlaku jika pihak-pihak
tidak mempunyai persengketaan atau telah mempunyai hubungan diplomasi yang baik.
Sebagai contoh, Rusia dan China berunding untuk bekerjasama tatkala Rusia telah
dikenakan sekatan ekonomi terhadapnya ekoran daripada serangannya terhadap Ukraine.
China yang merupakan kuasa besar menerima rundingan Rusia dan saling menyokong
dalam isu yang melibatkan kepentingan bersama. China turut menyatakan persediaannya
untuk memikul tanggungjawab bagi memainkan peranan untuk memelihara kestabilan dunia
yang sedang bergelut. Antara contoh lain rundingan damai iaitu antara Rusia dan India yang
telah bekerjasama dalam sektor keselamatan dan senjata.

Bagaimana sesebuah negara melakukan rundingan dengan negara lain adalah


terletak kepada kekuatan negara tersebut iaitu dari segi kekuatan ekonomi, ketenteraan,
teknologi dan sebagainya. Jika diteliti negara-negara yang menjadi kuasa besar dunia
seperti Amerika Syarikat, Rusia, China dan selainnya, kaedah rundingan negara tersebut
tidak seperti negara kecil lain. Rundingan mereka boleh jadi secara baik melalui meja
rundingan, diplomasi atau konfrontasi. Malaysia yang merupakan negara kecil memerlukan
kepada strategi dalam melakukan rundingan aman dan perlu mengelakkan konfrontasi.
Pemimpin perlu bijak memilih pendekatan untuk menjalinkan hubungan diplomasi dengan
negara-negara luar. Jalinan kerjasama antara pemimpin, bersifat neutral dan berkecuali
dalam kebanyakan isu, tidak melakukan provokasi ke atas negara lain dan sebagainya.
Status negara Malaysia perlu dilihat tidak memihak untuk menjadi negara yang aman dalam
menjalinkan hubungan dua hala atau melakukan rundingan bagi sesuatu isu. Sebagai
contoh rundingan kerajaan Malaysia dan China mengenai isu perebutan kepulauan Spratly
dan isu kehilangan MH370, isu tersebut dapat diselesaikan dengan aman tanpa berlaku
apa-apa peperangan atau perdebatan yang serius dan sehingga kini hubungan negara
Malaysia dan China masih dalam keadaan baik. Berbeza dengan negara besar Rusia
misalnya yang lebih menggunakan pendekatan rundingan yang ganas, tanpa meja
rundingan dan hanya mahukan pihak lawannya tunduk mengikut kehendaknya. Walaupun
isu Rusia-Ukraine mendapat perhatian oleh keseluruhan negara di dunia ini, dan Rusia juga
telah dikenakan sekatan ekonomi terhadapnya malah sehingga sekatan penyertaan
kejohanan Piala Dunia turut dinafikan, keadaan itu tidak memberi kesan kejatuhan kepada
negaranya. Hal ini kerana Rusia turut membuat rundingan dan tawar menawar dengan
negara-negara lain yang menyokongnya.

11
(6) RUJUKAN

Berita Bernama. (1999). Malaysia-China Perkukuh Jalinan Kerjasama Dua Hala.

Faridah Jaafar. (2007). Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2005. Universiti
Malaya.

Muhammad Syahir Idris & Ilyas Abdullah. (2022). Isu dan Faktor Pengukuh Hubungan Dua
Hala Malaysia-China Era Najib Razak. Universiti Teknologi MARA Pahang. Journal of
Administrative Science.

Ramli Dollah & Wan Shawaluddin Wan Hassan. (2005). Pengaruh Kepimpinan Dalam
Dasar Luar Negara.

Utusan Malaysia. (2013). Malaysia, China Meterai Program Lima Tahun Kerjasama
Ekonomi. Publishers Utusan Malaysia.

Wan Hazwani Wan Hamedi & Asmadi Hassan. (2015). Hubungan Perdagangan Malaysia-
China 1980-2013. Universiti Malaya. Journal of Chinese Literature and Culture.

12

Anda mungkin juga menyukai