Anda di halaman 1dari 8

SI PEMUKUL GONG NEKARA

Oleh: FRANCO MORROW


“Gema paluan gong itu bukan pada kekuatan bunyi sebenarnya tetapi pada tata etika
sesuatu bunyi itu dipukul dan mendatangkan keenakan bunyi yang indah yang singgah pada
mana-mana telinga para pendengarnya.”
( Gong Nekara )
Prolog
Si pemukul Gong Nekara diterjah lagi rasa bersalah yang sampai ke tahap maksimum.
Tidak ada sesiapa yang mungkin mengerti tentang keresahan yang mengatup bungkus waras akal
di dalam dirinya. Buat masa ini, belum ada menara tinggi lagi dalam fikirannya selain Menara
PutraIndera bagi menempatkan Gong Nekara antik yang dipinjamnya, juga gong khas yang
berasal dari Pulau Selayar ini. Andai diangkat sekalipun oleh para dewa langit oleh keturunan
Batara Guru mengikut Mitos Sawerigading, pastinya akan dihumban kembali ke lautan Flores.
Dirinya sudah tidak mampu lagi menangkis serangan kata yang bertalu-talu yang mahu
dibentengkan pada seratus lapisan hamparan lembah harapan, namun setiap tangkisannya
semakin mengheret kelu lidahnya kepada seratus letusan gunung prasangka.
Lantas kegagahannya dulu semakin dipertikaikan. Kuasa separuh dewa-manusianya
semakin pudar dengan menampakkan sosok badannya yang semakin berlipat urat, dan otot-
ototnya semakin kendur untuk menghayunkan pemukul gongnya seperti pada waktu ketika
dahulu. Sekali lagi Si Pemukul Gong Nekara diraja kehilangan makna tiga dimensi pada erti
kebolehpercayaan, kesungguhan dan kewibawaan.
Sendirian dia mengangkat gong logam buatan kebudayaan Dong Son Purba tanpa
pertolongan sesiapa pada awal perjalanannya menuju ke puncak menara. Terdapat beberapa
perhentian yang harus dilaluinya. Apakah makna lapan perhentian itu mampu disamakannya
dengan seratus makna tersirat di dalam corak Gong Nekara ini? Tiba-tiba bertukar status semula,
daripada seorang pemukul Gong Nekara ke petani kelas bawahan yang akhirnya setaraf dengan
rakan sebenuanya Sabuna dalam mitos Sawerigading dan kembali semula menjadi seorang
pemukul Gong Nekara diraja buat kali keduanya. Kepulangannya ke status semasa sememangnya
dinanti-nantikan oleh para penghuni alam Indaputera. Kedatangannya ke Istana pada kali ini
meranapkan lagi impian para musuhnya. Baik kepada para pengawal istana malah kepada para
penghuni Selayar yang masih berkabung kesedihan dengan berita perlantikannya sebagai Si
pemukul Gong Neraka di bawah kerajaan Emas La Maddusalat.
“Pembesar diraja hanya perlu memukul Gong Nekara ini dengan paluan yang dibenarkan
sahaja oleh para pembesar Majlis.” Itu laungan kata NaMaros La Maddusalat yakninya pembesar
diraja terdahulu yang tidak senang dengan status jawatannya sekarang. Dia sekadar ingin melihat
kesatria lasak ini memainkan peranan pentingnya itu sebagai seorang yang mengotakan janjinya
kepada penduduk alam Inderaputra.
“Kamu ini perlu menyeberangi lautan usaha, meredah belantara paya kepayahan dan
mendaki bukit curam keyakinan dalam menjadikan tempat ini nanti sebagai puncak gunung
kebahagiaan bagi semua orang.” Laungan sinis itu terlalu sombong bunyi ritmanya. Diksi yang
berbaur sumpah seranah sopan semakin ligat panasnya berdesing laju memanjat masuk ke
telinga dengan jangkaan kerumitan yang berganda.
Tanggungjawab itu bukan setakat dipikul dan dilaksanakan dengan jayanya. Ia tidak
semudah itu dalam dimensi waktu yang berhukum fizikkan dengan formula 5 selang musim. Ini
bukan soal musim empat waktu sahaja yang indah di kawasan Tropika, tetapi musim peralihan
itu mampu memberikan ketenangan, kebahagiaan serta kedamaian kepada populasi penduduk
La Maddusalat yang semakin sesak akibat badai kedatangan para pelayar yang melempiaskan
kudrat yang tidak direstui sifat izinnya.
Seisi negara bergoncang dalam sudut ketidakselesaan dan tidak nyaman hidupnya.
Setiap kata yang dilaungkan itu menjadi api yang membara dan bakal membakar sebuah
kerajaan. Setiap akal pemikiran itu semakin menjalar, bertaut kukuh menjalar belit pohon
kewarasan dengan memintalkan fakta-fakta yang ideal pada mulanya dan akan menjadi bara
yang tak berasap akhirnya. Hilang kerana tanggungjawab dan amanah itu kian longgar sifatnya.
“Pukullah Gong Nekara itu seperti pada notasi bunyi yang sama dan sejajar dengan
adat suku dan ketuanan empu kedaulatannya.” Itu ikrar perlembagaan Raja La Maddusalat yang
menginginkan bunyi gong ini nanti bergema indah dan diingati sekalian penduduk yang
berpayungkan keharmonian dan kebebasan berperlembagaan yang termaktub di dalam kamus
undang-undangnya.
Tangannya pantas membersihkan Gong Nekara. Namaros menunjukkan gambar unik
yang bermotifkan flora dan fauna sambil mengajukan persoalannya kepada si pemukul Gong
Nekara. Dia sengaja mahu menguji dan bermain helah untuk memperlambatkan perjalanan yang
sepatutnya tiba dalam beberapa jam lagi sampai ke puncak.
“Simboliknya gong ini adalah kerana sejarahnya, mitos dan misteri yang tinggi nilainya
kepada penduduk di nusantara kepulauan Saentro ini. Gong yang mempunyai luas lingkarannya
sebesar 396 cm persegi, lingkaran pinggangnya 340 cm persegi dan tingginya adalah 95 cm
persegi. Terdapat 16 ekor gajah, 54 ekor burung, pohon sirih 11 batang dan 18 ekor
ikan.Permukaan gong mempunyai arca berbentuk 4 ekor kodok dengan panjangnya 20 cm dan
juga mempunyai 4 daun telinga yang berfungsi sebagai pemegang.”
Ah, Namaros mahukan penjelasan daripadanya. Dia mahu tahu keseluruhan kisah
Gong Nekara ini. Dalam keinginan untuk mendapatkan sesuatu, ada kias usahanya yang
menampakkan keberanian untuk mengalahkan dan menjatuh rebutkan jawatan si pemukul gong.
Tiada perkara yang tidak mampu dilakukan jika niat itu ditentukan dengan kebijaksanaan sifat
baik malah buruknya sekalipun. Kedua-dua niat itu akan berjaya walaupun berbeza dari segi
kesannya nanti kepada semua orang.
Bagai terlondeh perasaan malunya baru-baru ini setelah alam Indraputera telah
membongkar kecurangannya dalam membungkus amanat Gong Nekara ini menjadi amanat
tanggungjawab neraka yang amat hebat dalam sejarah istana di seluruh nusantara ini.
I
Kerut wajah sudah dicemar peluh daki semalam. Itulah kehendak para musuhnya.
Sesiapa sahaja yang akan melihat raut dan bekas lipatan kulitnya, pasti akan menimbulkan
kesangsian yang berteka-teki di luar kotak pemikiran. Tetapi, kata para musuhnya, dia mahu
menegangkan kembali wajah dirinya sebagai pembuktian bahawa dia masih mampu, supaya
bebanan Gong Nekara yang akan dibawanya ini nanti tidak akan tergolek semasa menuju ke
puncak Menara Indraputera.
Si pemukul Gong Nekara menjadi kuat kerana amanah. Harta purba yang dibawanya
dari Pulau Selayar ini adalah amanat keramat seluruh penduduk kerajaan Melayu kuno Homo
Soloinensis iaitu seluruh penghuni subbangsa Mongoloid yang mengharapkan peninggalan yang
ada ini dijaga seperti khazanah purba yang dikenang semua orang selama-lamanya. La
Madusallat sendiri menginginkan ia kekal sebegitu sifatnya. Sealiran dengan konsep
pembudayaan rumpun bangsa itu sendiri. Bersifat dipelajari, dikongsi, bersifat sejagat, diwarisi
dengan aman, boleh bertoleransi, mempunyai simbolik kebersamaan adanya pendangan
semesta.
“Satu Gong Nekara yang tertua di dunia. Pada bidang pemukul terdapat hiasan
geometri dan terdapat garis pola bintang berbentuk 16. Nekara secara vertikal terdiri di atas
susunan kaki berbentuk bundar seperti silinder dan mempunyai badan dan bahu berbentung
melengkung.” Namaros menambah tokok faktanya mengenai Gong Nekara. Sengaja
memperkecilkan lawannya. Sinisnya turut meriuhkan perhentian satu. Perhentian satu yang
membawa erti kepada penduduk La Madussalat mengenai pengetahuan umum mengenai Teori
Gong Nekara. Walhal diamnya si pemukul Gong Nekara bukannya kerana tidak menjelaskan fakta
itu secara panjang lebar tetapi biarlah fakta itu tepat dan tidak melarat. Tampak bijak tetapi tidak
berotak adalah sungguh rendah status moralitinya berbanding tampak bodoh tetapi berotak.
Etika moraliti insan itu sememangnya ada pada diri si pemukul Gong Nekara berbanding
Namaros.
II
Si pemukul gong mengerti keraguan Namaros serta pengikutnya. Kesangsian mereka
ada sebab. Pertanyaan mereka bagaikan laungan bunyi para kodok yang kepanasan semasa
munculnya musim kemarau. Perbahasan bahasa hutan yang bercempera kalut ketika alamnya
dijajah rakus oleh jentera manusia. Jika dia tidak terpilih, barangkali amanah ini tidak akan
berjaya dilaksanakan. Lihatlah perhentian kedua yang siap pembinaannya oleh pemerintahan
Namaros terdahulu tetapi tidak stabil strukturnya. Hanya Namaros yang tahu mengenai struktur
pembinaan perhentian ini. Malah diri si pemukul Gong Nekara turut melihat struktur perhentian
ini tidak kukuh pada tetulang kasut lantainya. Campuran tanah liat dan batu kerikil yang
membentuk clinker atau batu hangus agak kurang nisbahnya digunakan. Tidak cukup ramuan
dalam penghasilan simen. Bahkan formula nisbah sukuan dalam tempoh seminggu
pembinaannya tidak berhasil. Malah seluruh kepulauan Saentro ini mengetawakan Namaros.
Perhentian inilah cabaran bagi Si pemukul gong untuk beristirahat dan memikirkan
kembali pembaikan pulih perhentian ini. Bukan bersifat sementara cuma atau bersifat boneka
perlambangan menunjuk baik tetapi ia kekal berfungsi walau sederhana sifat hasilnya.
“Namaros tahu apa itu maruah? Mungkin maruah itu kamu letak pada pepenjuru
permainan catur semata-mata tetapi aku ia adalah bersifat nyawa. Sekiranya aku tidak mampu
memikul tugas ini, gantikan sahaja aku nanti. Biarlah aku mengundur diri setelah mencuba
daripada melihat sudut pemikiran amanah yang dipertanggung jawabkan itu seperti permainan
opera. Pentasnya terdiri daripada pelakon yang tidak menjiwai watak. Memakai topeng tetapi
retak dengan kepura-puraan.”
III
“Itu kata tuan. Tidakkah tuan adalah sama seperti kami pada mulanya? Ujar
Namaros.
“Sama tetapi saya tidak seteruk tuan Namaros.”
“Kita tahu siapa perompak dan pengkhianat bangsa. Bukankah kamu sebagai tuan
bangsa yang cuba diagungkan di dalam sejarah peradaban bangsa La Madussalat tetapi ia tidak
akan menjadi sejarah seperti moyangmu terdahulu?”
Namaros hanya terpaku diam.
“Apakah kamu masih mampu memikul Gong Nekara ini sekali lagi dengan maruah
darah yang berciciran di permulaan perjalanan perjuangan?
“Tuan terbukti gagal.”
“Dan maruahku harus dimaafkan juga. Berhak untuk memohon pengampunan jika
gagal meneruskan perjuangan dan kehendak rakyat jelata.”
“Kamu cuba lari.” Dia menegaskan kelemahan dan kesalahan Namaros. Dia juga arif
dengan selok belok strategi pemerintahan Namaros sebelum ini. Mengambil kesempatan dengan
menyiat keselesaan rakyat jelata dengan menambah awan kemurungan pada bumi La
Maddusalat ini.
“Apa yang cuba aku larikan? Pantas dia mencelah pintas.
“Kuasa mutlak penentuan hidup saya bukan di tangan tuan tetapi di tangan rakyat
jelata ini inginkan kebahagiaan, rahmat dan kemurahan corak pentadbiran dan semestinya dapat
menyenangkan hati semua orang.”
Si pemukul Gong Nekara menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak setuju dengan
kenyataan Namaros. Dia memang tidak sependapat kata. Bagi dirinya bulat air itu kerana
pembentung bulat manusia itu kerana muafakat. Bila tidak sependapat sememangnya tidak
sebulu. Apatah lagi jika sesuatu kenyataan yang diberikan itu sememangnya tidak masuk akal dan
bersifat bongkak diri.
“Tuan telah mengalahkan Tuhan. Kuasa mutlak itu sebenarnya bukan datang daripada
pemilihan rakyat jelata semata-mata dalam menilai kebaikan kita tetapi ketentuan-Nya. Jika
bukan kerana izin-Nya aku tidak akan memikul tanggungjawab ini sekali lagi. DIA meniupkan roh
kesedaran kepada semua orang untuk melihat wajah-wajah palsu di sebalik topengan Yang
Berhormat semua.”
“Kita adalah rakyat jelata dan rakyat jelata adalah kita.” Jelas si pemukul gong
dengan kerendahan hati.
IV
“Lihatlah tuan Namaros perhentian ketujuh ini. Penuh dengan sarang labah-labah
dan sarang anai-anai! Apakah aku harus memberitahu tuan mengenai kesemua perhentian yang
kita lalui tadi mengenai struktur pembinaannya yang tidak kukuh sifatnya? Terdapat cacat cela
pada pembinaannya.”
Ada sela waktu diam yang panjang di antara satu perhentian ke satu perhentian
menuju ke Menara Indraputera. Tuan Namaros hanya diam dan sesekali tersenyum sinis sambil
memaling muka ke arah lain tanpa berani menatap muka si pemukul Gong Nekara. Dia masih
mencari makna penyelasan dalam diri. Kalah kerana tidak terpilih. Dengan kegagalan fakta
pertamanya mengenai sejarah asal usul Gong Nekara malah ketidak cekapan pembinaan
kelapan-lapan perhentian perjuangannya terdahulu.
Perhentian satu: Struktur perhentian yang tidak kukuh. Peratus dan sudut kos
pembinaan tidak munasabah. Condong dan boleh rebah.
Perhentian kedua: Formula seminggu yang tidak menjadi dalam calendar
pembinaan perhentian. Sumber alam tidak mencukupi dan tidak stabil jumlah.
Perhentian ketiga: Perhiasan dalaman perhentian tidak menarik. Mementingkan
hiasan berkongsepkan rekaan Namaros semata-mata.
Perhentian keempat: Perhentian tidak dibuka kerana terlalu banyak harta benda
rakyat jelata disimpan sebagai tempat pemujaan berhala. Memuaskan nafsu dewa harta.
Perhentian kelima: Satu-satunya perhentian yang telah disewa kepada kerajaan
pedagang asing. Perhentiaan yang semakin memerah keringat rakyat jelata.
Perhentian keenam: Anai-anai dan labah-labah semakin banyak bersarang di
perhentian ini. Banyak busut yang telah pecah. Dirobek dan dimakan sesame sendiri.
Perhentian ketujuh: Perhentian yang dikawal rapi dan sedang dijaga oleh lima
gergasi iaitu sahabat kepada si pemukul Gong Nekara. Para peninjau dari Menara Indraputera.
Perhentian kelapan: Perhentian yang menyambungkan isyarat-isyarat kesamarataan
dengan para sahabat di rantau La Maddusalat. Bukan jajahan tetapi sama-sama membentuk
pememerintahan ini.
Epilog
“Nah, tuan Namaros. Aku telah sampai ke puncak Menara. Biar payah aku angkat
Gong Nekara ini tetapi di setiap perjalanan tuan bersama saya, tuan melihat makna kesungguhan
dan etika kerja sebagai seorang rakyat yang berjiwa rakyat. Lihat tuan Namaros! Rakyatlah yang
sebenarnya bersamaku memikulnya.”
“Akuilah bahawa kamulah penjenayah rakyatku.”
“Kamu tahu apa maknanya Gong Nekara bagiku?”
“Gong Nekara itu adalah nyawa perjuanganku. Yakninya buku perlembagaan yang
menjadi rujukanku. Jauh kupinjamkannya kerana mengenang rumpun bangsaku semakin jauh
dan tidak mengenal salasilah rumpun bangsa yang merdeka dan maju.”
Namaros semakin kelu. Buntu dan menjadi pesalah yang bakal dihukum.
Hukumannya adalah suara rakyat. Rakyat dan undang-undang yang menentukan hukuman.
Gong Nekara bergema di Menara Indraputera yang dipalu bertalu-talu dalam adat
istiadat yang beretika dan bermaruah.
TAMAT

Anda mungkin juga menyukai