Anda di halaman 1dari 5

BENIH-BENIH KEJAYAAN

Ada pepohon kejayaan yang kautanam

mekar dan subur di pekebunan tenteram

menampakkan rimbunan peribadi mulia

selayaknya wangian segar- kuntuman zikir dan doa.

Setelah kata sukar menambat minda

merelakan seguyur basahan airmata usaha

benih-benih kejayaan itu kian menjalar bahagia

menyinar bersama berkat cahaya yang Esa.

Ada lakaran senyuman di sebalik awan

kaulukiskan ketika di persada kejayaan

gapai dengan yakin tanpa penjarakan iman

nescaya bintang-bintang impian akan sentiasa berkelipan.

FRANCO MORROW

Kota Kinabalu, Sabah.

17062021
AKU DAN JALAN KEJAYAAN

Aku melandaikan bukit-bukit rintangan ini menjadi sarapan pagiku

membiarkan belantara rimba menjadi sahabat setia di sepanjang perjalanan

lalu kusiul kegirangan di sebalik dedaunan redup bahagia

menyanyikan salam doa sebagai azimat dalam pendakian jaya.

Denai-denai ini telah mengkhabarkan kisah sahabatnya

mengirimkan pesan di halwa telinga para sekawanan burung

lalu berbisiklah awan dengan menghembuskan angin sukacita

bahawa aku mesti pulang membawa kejayaan yang diharapkan mereka.

Aku sudah mulai meluruskan niat dengan keizinan berkat Tuhan

menjadikan alam ini sebagai sahabat yang baik untuk dijadikan teman

maka aku perlu persiapkan langkah berani dan yakin dengan asal tujuan

berjalan di denai impian ini memberikan harapan untukku terus melakar kejayaan.

FRANCO MORROW

Kota Kinabalu, Sabah.

17072021
SETANGGI WANGIAN KEJAYAAN

Kamulah pecahan bintang-bintang terang

menyinar sebagai harapan malam

berkelipan dalam keindahan.

Kamulah sebatang pohon pengharapan

meneduhkan sepayung damai impian

dengan setanggi wangian kejayaan.

Kamulah sebatang sungai beraliran tenang

mengalirkan zat-zat doa kesyukuran

muaramu menampung kelodak luka pengalaman.

Kamulah sang pengukir awan bahagia

membawa kabus kegembiraan pagi

dan menukarkannya dengan terang matahari.

FRANCO MORROW

Kota Kinabalu, Sabah

17072021
PROSA AKU DAN JALAN KEJAYAAN

Aku memperhitungkan setiap langkah, berlari menuju ke puncak dan setiap langkah itu akan
menjadikan pengalaman penuh bermakna. Di setiap langkah, ada kolam-kolam duka yang perlu
kutimbus lalu menggantikannya dengan kolam bahagia. Di dalam kolam itu nanti, terbinanya
jambatan kenangan dengan menghubungkan dimensi masa lalu sehingga ke masa hadapan.
Jambatan ilmu yang memberikan pengharapan kepada sekalian alam. Mengingatkan jalan-jalan
denai ini sebagai sahabat kehidupan.

Aku melihat aliran sungai ini semakin tenang, merobohkan tebing-tebing pengharapan dan mulai
menyangkal akar persahabatan. Di sepanjang sungai, ada cabaran dan ujian dengan membiarkan
perjalanan ini turut merasa suka duka. Aku hanya menzahirkan kata-kata doa agar kudrat dan
pengharapan kejayaan itu perlu dilaksanakan tanpa kenal lelah. Tidak membenci denai-denai yang
menghalang perjalanan dan tidak bermusuh dengan sungai yang mematahkan akar impian di
sepanjang tebingan. Alam ini adalah sahabat dalam melakar benih-benih kejayaan yang mendatang.

FRANCO MORROW

Kota Kinabalu, Sabah

17072021
Makna Kejayaan

Usaha-usaha padu

berbekalkan segunung ilmu

untuk menapaki jalan bahagia

semestinya jalan yang diredhai.

Sebuah kejayaan sebenar

tanpa kenal kuntuman kesal

jerihnya memahatkan kekuatan

bernilaikan segunung pengharapan.

Benih-benih kejayaan

lahir dalam jiwa kesabaran

bertunjangkan doa

selamanya diberkat.

FRANCO MORROW

Kota Kinabalu, Sabah

17072021

Anda mungkin juga menyukai