Anda di halaman 1dari 2

CONTOH KARANGAN : HURAIKAN CARA ANDA MENUNJUKKAN RASA BANGGA KEPADA NEGARA

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup,
Bersatu dan maju,
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita,
Selamat bertakhta,
Rahmat bahagia,
Tuhan kurniakan,
Raja kita,
selamat bertakhta.

Aforisme lirik lagu "Negaraku" di atas mempunyai maksud yang jelas bagaimana cara rakyat Malaysia
perlu membuktikan mereka cinta akan negara, begitu juga diri saya. Nama-nama pejuang negara
terdahulu bermain di minda saya kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati
meninggalkan nama, justeru, nama-nama seperti Tok Janggut , Mat Kilau,  serta pelopor dan penjana
kemerdekaan negara seperti Tunku Abdul Rahman Putra amat saya hargai. Kendatipun, pejuang-pejuang
bangsa tersebut sudah tiada, jasa mereka masih segar diminda saya. Oleh sebab itu, sebagai warganegara
Malaysia, saya perlu menunjukkan rasa bangga akan negara tercinta walaupun saya tidak mampu
berjuang seperti nama-nama pejuang tersohor di atas. Persoalannya, apakah cara saya untuk
menunjukkan rasa bangga akan negara tercinta?

Pertama, saya akan membicarakan langkah saya untuk menunjukkan perasaan bangga saya
terhadap negara menggunakan minda pelajar kelas pertama dengan kata kunci mauduk, saya akan
sentiasa menuntut ilmu sebagai pelajar berminda kelas pertama sebagai wahana untuk memacu
kemajuan negara tercinta pabila saya dewasa. Sebagai warganegara sayang akan negara, saya akan
memastikan diri saya mempunyai ilmu yang cukup untuk saya meneruskan kepimpinan negara
marcapada apabila saya dewasa kelak. Seyogia, saya perlu sedar pemimpin negara tumbuh hilang
berganti oleh sebab itu saya bertekad untuk meneruskan kepimpinan mereka sebagai usaha nirmala
untuk memastikan negara saya cintai mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi seperti negara-
negara maju dunia. Langkah pertama, saya akan belajar bersungguh-sungguh hingga ke pengajian paling
tinggi. Tiada yang mustahil jika saya berusaha bersungguh-sungguh kerana berakit-rakit ke hulu,
berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.  Pada ketika itu,
masyarakat akan memandang tinggi diri saya dan saya akan berkolaborasi dengan kepimpinan negara
untuk memacu Malaysia ke arah negara maju berdaulat dan dipandang tinggi masyarakat dunia.
Tegasnya, saya akan sentiasa menuntut ilmu sebagai pelajar berminda kelas pertama sebagai wahana
untuk memacu kemajuan negara tercinta pabila saya dewasa.

Seterusnya saya meneruskan perbincangan menggunakan akal minda pelajar berminda kelas
pertama dengan kata kunci mauduk iaitu sebagai seorang warganegara yang berdaulat saya perlu akur
dan mengikuti undang-undang negara yang digubal pemimpin kerajaan semasa. Sebagai seorang
warganegara yang tinggal di negara yang menjalankan sistem perundangan demokrasi dan raja
berperlembagaan saya perlu akur dengan sistem perundangan kerajaan semasa. Sebagai contoh jika saya
memandu di jalan raya dengan melanggar kadar had laju ditetapkan saya perlu akur, saman akan
dikeluarkan oleh pihak polis trafik kerana memandu laju boleh mengundang kemalangan, malang tidak
berbau. Oleh sebab itu, saya akan cuba untuk mengikut undang-undang yang ada untuk tidak dianggap
sebagai penjenayah atau penentang kerajaan. Sekiranya saya akur dan bangga dengan kerajaan semasa,
bermakna saya telah menunjukkan cinta akan negara dan begitu juga dengan masyarakat jagatraya.
Sudah terang lagi bersuluh, sebagai seorang warganegara yang berdaulat saya perlu akur dan mengikuti
undang-undang negara untuk menunjukkan saya cinta dan bangga akan negara.

Sebagai warganegara yang cinta akan negara, saya perlu bangga dan membeli produk keluaran
tempatan. Slogan “ Belilah barangan keluaran tempatan”, amat terkesan dijiwa saya. Hal ini kerana saya
perlu merujuk jatuh bangunnya sebuah  negara bangsa atas sikap rakyatnya. Tamsilnya, rakyat negara
Jepun dan Korea Selatan amat patriotik dengan mengutamakan keluaran atau produk negara mereka
sebagai barangan yang digunakan dalam kehidupan seharian. Begitulah saya. Jika saya sayang akan
negara saya akan membeli barangan keluaran tempatan. Apabila saya berbuat demikian saya akan dapat
memacu peningkatan ekonomi negara Malaysia tercinta. Saya perlu memahatkan diminda saya alah
membeli menang memakai. Oleh sebab itu, saya akan mengutamakan barangan keluaran tempatan
apabila membeli barangan. Tegasnya, sebagai warganegara yang cinta  akan negara, saya perlu bangga
dan membeli produk keluaran negara untuk kegunaan saya seharian.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara untuk saya menunjukkan bangga dan cinta saya terhadap
negara. Sekiranya saya mampu melaksanakan perkara seperti di atas saya merupakan rakyat yang cinta
dan bangga menjadi rakyat Malaysia. Sebaliknya, jika saya memandang enteng perkara di atas sudah pasti
saya tidak sedar bahawa saya ialah warganegara tetapi tidak sedar akan kewujudan saya di negara
Malaysia. Saya berbangga menjadi warganegara Malaysia semoga Malaysia akan terus maju dan
rakyatnya aman bahagia.

KOSA KATA :

1. Seyogia – sepatutnya/selayaknya
2. Marcapada- dunia sekarang ini
3. Kendatipun-meskipun
4. Aforisme-ungkapan yang tepat
5. Nirmala-tidak bernoda/bersih/suci
6. Wahana -saluran/perantaraan
7. Jagatraya-seluruh dunia

Anda mungkin juga menyukai