Anda di halaman 1dari 6

Kod Kursus : EDUP2132

1.0 PENGENALAN
Bidang pendidikan mengalami perkembangan yang pesat pada peringkat global
sekaligus memberi impak yang tinggi terhadap daya saing negara. Negara
memerlukan tenaga kerja yang mampu bersaing secara kompetitif dalam negara
mahupun luar negara bagi merealisasikan hasrat untuk menjadi negara yang maju
serta berpendapatan tinggi. Keperluan menghasilkan tenaga kerja ini adalah
merupakan tanggungjawab warga pendidik. Justeru, warga pendidik perlu mengubah
cara berfikir, persepsi, sikap serta budaya kerja seiring dengan peranan fasilitator
pembelajaran abad ke-21.

KPM akan terus menyahut cabaran ini mengupayakan warga pendidik dan
pemimpin pendidikan bagi meningkatkan kompetensi dan kepakaran mereka supaya
dapat menunaikan tanggungjawab sebagai penggerak utama transformasi
pendidikan. Oleh itu, amalan pembangunan profesionalisme keguruan perlu
ditransformasikan. Sistem pendidikan yang terbaik di dunia telah menunjukkan
bahawa amalan pembangunan profesionalisme berterusan lebih berkesan sekiranya
diterajui oleh pendidik sendiri berbanding dengan yang disedia oleh organisasi. Prinsip
ini telah menjadi asas kepada terbangunnya Pelan Pembangunan Profesionalisme
Berterusan sebagai panduan utama untuk perancangan dan pelaksanaan
pembangunan profesionalisme berterusan.

Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) didefinisikan sebagai


pengalaman pembelajaran guru dan pemimpin sekolah melalui penglibatan sama ada
secara formal atau tidak formal dalam pelbagai aktiviti PPB sepanjang kerjaya bagi
meningkatkan pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan amalan nilai serta ciri-ciri
profesional yang berkaitan seterusnya dapat meningkatkan kualiti pendidikan untuk
memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21. (Pelan Pembangunan Profesionalisme
Berterusan KPM, Edisi 2014)

2.0 PERANAN PPB DALAM PROFESION KEGURUAN


PPB adalah penting bagi memastikan guru dan pemimpin sekolah kekal relevan
sebagai pendidik profesional dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti pendidikan
negara agar seiring dengan kemajuan negara-negara yang berpencapaian tinggi
dalam bidang tersebut. Antara peranan PPB dalam profesion keguruan ialah sebagai
mediator terhadap hubungan antara kompetensi guru dengan kemahiran abad ke-21.
Hal ini kerana guru perlu mencuba pelbagai teknik, kaedah serta pendekatan
pengajaran dan pembelajaran yang efektif di samping menghadapi perubahan dari
Kod Kursus : EDUP2132

segi kandungan kurikulum serta penggunaan teknologi baru. Justeru, guru


memerlukan kepada aktiviti dan program pendidikan secara formal ataupun informal
bagi memajukan diri dan profesionnya.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Jamilah Sulaiman, 2022 beliau mendapati
bahawa PPB dapat dijadikan sebagai panduan kepada pihak pengurusan atasan
sekolah, khususnya pengetua dan pentadbir sekolah ke arah memperkukuh
kompetensi profesional guru. Pihak pengurusan sekolah dapat merancang latihan dan
bengkel intensif bagi meningkatkan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan guru-guru
terutamanya kemahiran maklumat, media dan teknologi. Bentuk-bentuk pengajaran
yang canggih diperlukan untuk mengembangkan kompetensi abad ke-21 dalam
kalangan guru seperti penguasaan mendalam terhadap kandungan yang mencabar,
pemikiran kritis, penyelesaian masalah yang kompleks, komunikasi dan kolaborasi
yang berkesan serta pengarahan kendiri.

Selain itu, PPB juga berperanan memperbaiki kemahiran prestasi kerja guru,
menambah pengalaman untuk perkembangan kerjaya, membina pengetahuan
profesional, meningkatkan kefahaman guru serta membolehkan guru untuk berubah.
Melalui program ini juga, guru akan diberi peluang untuk meningkatkan ilmu dan
kemahiran dalam kandungan dan pengajaran mereka. Bagi membangunkan
profesional guru, ia memerlukan kepada usaha yang teliti dan berhati-hati bagi
mengelakkan usaha kerajaan menggunakan dana yang banyak tetapi tidak mencapai
hasil yang sepatutnya.

3.0 AKTIVITI DALAM PPB


Aktiviti PPB merujuk kepada program yang dilaksanakan untuk memberikan
pengalaman pembelajaran secara kendiri atau kolektif bagi menambah nilai
perkembangan profesionalisme guru dan pemimpin sekolah. Guru dan pemimpin
sekolah diberikan latihan peningkatan profesionalisme oleh bahagian tertentu di KPM
seperti Bahagian Pendidikan Guru (BPG) serta Institut Aminudin Baki (IAB).

Antara inisiatif yang dilakukan oleh BPG bagi memastikan kelestarian kualiti
guru ialah Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC). Umumnya, PLC merujuk kepada
usaha para pendidik yang komited dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan
bagi menghasilkan inkuiri atau kajian tindakan untuk mencapai prestasi yang lebih baik
untuk murid-murid mereka. Pada tahun 2011, PLC telah bermula dengan strategi
‘Lesson Study’ kepada 289 panitia matapelajaran di 289 buah sekolah berprestasi
Kod Kursus : EDUP2132

rendah. Budaya melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara


kolaboratif dalam kalangan guru telah membuahkan hasil yang memberangsangkan
dalam usaha meningkatkan profesionalisme guru berasaskan sekolah. Usaha yang
murni ini diteruskan lagi pada tahun berikutnya kepada 107 panitia matapelajaran di
107 buah sekolah. Pada masa itu, bukan sahaja ‘Lesson Study’ diteruskan, bahkan
strategi-strategi PLC yang lain juga diperluaskan seperti Pembimbing Rakan Sebaya
(Peer Coaching), Jejak Pembelajaran (Learning Walk) dan Sesi Perkongsian (Sharing
Sessions).

Aktiviti kedua yang boleh dijalankan dalam PPB ialah program Coaching and
Mentoring. Ia adalah proses bimbingan yang berterusan yang melibatkan interaksi dua
hala antara pembimbing dengan yang dibimbing berkenaan tugas dan tanggungjawab.
Proses ini memudahkan pembelajaran, pemahaman serta perkembangan profesional.
Contohnya bagi guru bidang, mereka membimbing antara satu sama lain dan
berkongsi amalan terbaik serta memastikan rakan setugas menepati standard
profesional. Bagi pemimpin sekolah pula, organisasi dan institusi yang berperanan
sebagai mentor yang saling membimbing, membangun serta menatarkan amalan
terbaik bagi memenuhi standard profesional yang ingin dicapai.

Aktiviti ketiga pula ialah kursus atau aktiviti yang bersifat formal dan berstruktur
yang melibatkan penggunaan modul tertentu. Kebiasaannya, kursus dilakukan secara
berpusat atau bersemuka. Ada juga yang dilaksanakan secara atas talian mengikut
kesesuaian dan keperluan. Terdapat beberapa jenis kursus yang dijalankan iaitu
Kursus Asas, Kursus Pembangunan Kompetensi Mengikut Gred, Kursus Keperluan
Dasar/Khusus, Kursus Pelengkap dan Kursus Elektif.

Di samping itu, Program Transformasi Minda (PTM) juga antara aktiviti yang
boleh dijalankan dalam PPB. PTM diperkenalkan untuk memberi pendedahan dan
penyesuaian minda pegawai pada peringkat awal pelantikan dalam perkhidmatan
awam. PTM juga merupakan satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan
bagi menggantikan Kursus Induksi. Program ini dibentuk untuk membolehkan pegawai
memahami prinsip dan falsafah pembentukan negara, jentera pentadbiran kerajaan
serta peraturan asas perkhidmatan awam. Pelaksanaan PTM ini juga boleh dibuat
tanpa mengira kumpulan perkhidmatan atau gred jawatan dan dibuat secara
berasingan mengikut kesesuaian kementerian atau Jabatan.
Kod Kursus : EDUP2132

Bukan itu sahaja, malah program pementoran dilihat mampu memainkan


peranan yang berkesan terhadap penambahbaikan pengurusan sekolah, peningkatan
kualiti PdP serta meningkatkan faedah perkongsian kepakaran antara guru-guru. KPM
amat menitikberatkan keperluan pementoran kepada guru-guru baharu yang baru
mula berkhidmat di sekolah-sekolah. Program pementoran merupakan pendekatan
untuk memberikan bimbingan dan bantuan profesional oleh mentor iaitu seorang guru
yang lebih berpengalaman dan terlatih serta boleh dijadikan ikutan yang dilantik untuk
membimbing seorang guru baharu yang baru menceburkan diri dalam profesion
keguruan. Program ini dapat membantu meningkatkan kualiti PdP dalam bilik darjah
dan seterusnya dapat memenuhi hasrat KPM untuk melahirkan guru yang kompeten
seiring dengan keperluan dunia pendidikan abad ke-21.

4.0 IMPLIKASI PPB DALAM PROFESION KEGURUAN


Kajian yang dijalankan Jamilah Sulaiman, 2022 telah mendapati bahawa guru yang
terlibat mengambil bahagian dalam aktiviti refleksi dan penyertaan dalam aktiviti
berkaitan PPB mampu meningkatkan lagi keberkesanan diri mereka. Hasil kajian
beliau juga merumuskan bahawa penyertaan dalam aktiviti PPB sangat berguna untuk
pembangunan kerjaya dan keberkesanan diri. Oleh itu, penekanan terhadap
keterlibatan para guru dalam program dan aktiviti berkaitan PPB merupakan elemen
penting sebagai usaha meningkatkan kompetensi profesional, pembangunan kerjaya
di samping membantu mereka untuk kekal relevan dalam dunia pendidikan yang
dinamik.

Selain itu, para penggubal dasar juga dapat mengadaptasi standard bagi
aktiviti PPB bagi membimbing, mereka bentuk, menilai dan membiayai latihan
pembelajaran profesional yang diberikan oleh pendidik. Dalam masa yang sama juga,
penggubal dasar dan pentadbir dapat menilai serta merancang semula penggunaan
masa dan jadual pengajaran di sekolah agar memberi peluang untuk pembelajaran
dan kolaborasi profesional termasuklah penyertaan dalam komuniti pembelajaran
profesional, bimbingan rakan sebaya dan pemerhatian di seluruh bilik darjah.

Di samping itu, kajian mengenai STEM telah mendapati guru-guru yang diberi
sokongan, peluang untuk belajar, berkolaborasi dan menyelesaikan masalah yang
dihadapi bukan sahaja membantu meningkatkan amalan pembelajaran profesional,
malahan juga mampu memberi kesan terhadap pembelajaran murid. Hal ini adalah
kerana peningkatan amalan profesional dalam kalangan guru akan membantu
Kod Kursus : EDUP2132

meningkatkan kompetensi mereka dalam pengajaran maka secara tidak langsung


akan meningkatkan prestasi murid. Proses pengajaran adalah proses sosial teraktif,
maka ia memerlukan kepada tindakan bagi mengukuhkan kompetensi guru dengan
cara yang lebih sistematik seperti menganjurkan program latihan yang sesuai untuk
guru dalam perkhidmatan. Hal ini kerana, kualiti pengajaran guru meningkat apabila
mereka menyertai latihan profesional berkaitan kompetensi.

5.0 PENUTUP
Tuntasnya, PPB adalah strategi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memastikan
guru dan pemimpin sekolah dapat meningkatkan kompetensi secara berterusan bagi
mengekalkan kualiti perkhidmatan sepanjang kerjaya. PPB adalah bersifat dinamik,
fleksibel serta hendaklah memenuhi keperluan kompetensi individu, keperluan
organisasi dan standard semasa. Pelaksanaannya perlulah bersepadu, sistematik dan
memberikan penekanan kepada inisiatif kendiri. Warga pendidik perlulah menyedari
bahawa pembangunan profesionalisme bukanlah suatu pilihan tetapi ia merupakan
satu keperluan yang perlu dipenuhi untuk kekal relevan sebagai pendidik profesional
yang memberikan impak terhadap kemenjadian dan keberhasilan murid yang
seterusnya akan membawa kepada kemajuan negara.

Pemangkin utama untuk membangunkan profesionalisme kendiri secara


berfokus adalah pembangunan setiap guru dan pemimpin sekolah mengikut peranan
dan pengalaman kerana guru dan pemimpin sekolah yang cekap sebagai pendidik
abad ke-21 akan menghasilkan murid yang boleh menghadapi cabaran serta
persaingan global. (Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan KPM, Edisi
2014)
Kod Kursus : EDUP2132

RUJUKAN

Aisya Sugumarie, Ahmad Zabidi. 2015. Kepelbagaian Jenis Latihan Dalam Perkhidmatan dan
Peningkatan Profesionalisme Guru Berdasarkan Kelayakan Akademik Sub-Tema:
Pendidikan Guru (Pembangunan Profesional Berterusan) Seminar Kebangsaan Majlis
Dekan-dekan Pendidikan Universiti Awam, Universiti Tun Hussein Onn.

Banu a/p Ramanan. 2022. Pengaruh Kesediaan Perubahan Sebagai Mediator Terhadap
Hubungan Antara Amalan Pembangunan Profesional Berterusan Dengan Kompetensi
Guru di Sekolah Malaysia. Universiti Utara Malaysia.

Dima Mazlina, Siti Aisyah. 2018. Kesan Pelaksanaan Komuniti Pembelajaran Profesional
(KPP) Terhadap Peningkatan Kemahiran Guru Mengajar Penulisan Karangan Bahasa
Melayu. Universiti Putra Malaysia.

Hamsiah Dahalan, Joohari Ariffin, Maimunah Husien. 2016/2017. Kajian Impak Kursus
Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) Pemimpin Berprestasi Rendah.
Pusat Pembangunan Pengurusan Pendidikan Institut Aminuddin Baki.

Jamilah Sulaiman. 2022. Pengaruh Pembangunan Profesionalisme Berterusan Sebagai


Mediator Terhadap Hubungan Antara Kompetensi Profesionalisme Guru Dan
Kemahiran Abad Ke-21 Guru Sekolah Menengah TS25. Universiti Utara Malaysia.

Juairiah, Siti Hajar, Noralina. (t.t). Pementoran Dalam Program Pembangunan Guru Baharu
Kementerian Pendidikan Malaysia. The Malaysian Journal of Social Administration,
14(2), 79-95. Universiti Malaya.

Kementerian Pendidikan Malaysia Edisi 2014. Pelan Pembangunan Profesionalisme


Berterusan, Bahagian Pendidikan Guru

Mohd Syafiq Mat Noor, Satirah Ahmad, Zailah Zainudin. Pelaksanaan Program
Pembangunan Profesionalisme Berterusan Secara Dalam Talian (E-PPB) Mengenai
Kajian Tindakan Semasa Pandemik Covid-19. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, Oktober
2021 Bil 8, Isu 4.

Nor Hasnida, Effandi. (t.t). Perkembangan Profesional Ke Arah Pembangunan Modal Insan
Guru. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Portal Rasmi Program Transformasi Minda, https://www.kompetensi.jpa.gov.my/ptm/

Anda mungkin juga menyukai