Anda di halaman 1dari 4

CABARAN 5: KECEKAPAN PENGGUNAAN SUMBER DAN TENAGA

Umumnya, kecekapan penggunaan sumber dan tenaga ini adalah suatu perbahasan yang
berkaitan dengan tahap penggunaan minimum setiap sumber dan tenaga dalam sesuatu tujuan
tertentu dalam memastikan penjimatan dan mengelakkan berlakunya pembaziran. Pada era
globalisasi yang pesat dengan pembangunan ini, Negara Malaysia dilihat turut tidak terlepas
menghadapi kekangan dalam memastikan setiap sumber dan tenaga yang sedia ada diuruskan
dengan baik lebih-lebih lagi dalam membangunkan pelbagai sektor perindustrian seiring dengan
permintaan pembangunan semasa di peringkat global yang berlandaskan pembangunan yang
sistematik dan lestari. Sebagai pengenalan, sumber dan tenaga yang akan dibincangkan dalam
penulisan di bahagian ini merangkumi setiap bentuk sumber bumi yang digunakan lebih-lebih
lagi dalam sektor perindustrian di negara ini. Antaranya adalah berkaitan dengan cabaran dalam
pengurusan penggunaan sumber tanah dan air. Selain itu, perbincangan berkaitan tenaga pula
akan diberi fokus akan cabaran dalam pengurusan penggunaan sumber tenaga elektrik dan
bahan-bahan api fosil dalam menggerakkan setiap proses pembangunan yang dijalankan baik
kepada sektor pembangunan sosial mahupun pembangunan ekonomi dalam kegiatan
perindustrian terutamanya.

Telah kita sedia maklum bahawa pembangunan yang pesat berlaku pada hari ini telah
banyak mempengaruhi corak guna tanah disesebuah kawasan atau wilayah lebih-lebih lagi dalam
membangunkan sektor-sektor perindustrian. Banyak kawasan atau tanah-tanah pertanian dan
hutan telah mula ditukar kepada kawasan perindustrian oleh pihak-pihak tertentu. Hal ini secara
tidak langsung telah menyebabkan banyak kawasan hijau telah dikorbankan tanpa mengira
keperluan generasi akan datang. Sebagai contoh, dapat dilihat di daerah Bayan Lepas di Pulau
Pinang dimana rata-rata corak guna tanah di daerah ini telah pesat dibangunkan dengan pelbagai
sektor perindustrian elektronik. Bukan itu sahaja, malahan menurut Jamaluddin Md. Jahi (2001),
kepesatan pembangunan ini juga turut akan memberi kesan kepada kualiti sumber air lebih-lebih
lagi jika perletakkan lokasi kilang-kilang yang berhampiran dengan kawasan perairan atau
saliran air. Perletakkan lokasi kilang atau pembangunan seperti ini secara tidak langsung akan
memberi kesan terhadap kualiti air di kawasan tersebut jika sisa-sisa pepejal dan kimia dari
sektor ini tidak diuruskan dengan baik. Seterusnya akan membawa kepada masalah kekurangan
bekalan air bersih kepada penduduk setempat. Sebagai contoh dapat dilihat pencemaran yang
berlaku di Sungai Pinang dimana pihak kerajaan Negeri Pulau Pinang terpaksa menyediakan
perbelanjaan sebanyak RM50 juta bagi membersihkan pencemaran yang berlaku di sungai
tersebut untuk menampung permintaan sumber air bersih oleh penduduk setempat akibat
daripada pencemaran yang berlaku yang disebabkan oleh kekurangan kecekapan sektor
pembangunan dan perindustrian dalam menjaga sumber air di kawasan tersebut (Ahmad Syahir
Kassim, 2003). Kekurangan teknologi dalam mengurus sisa-sisa dari sektor ini juga dilihat
menjadi salah satu faktor terhadap permasalahan ini berlaku dan faktor ini merupakan salah satu
cabaran utama yang perlu dihadapi oleh Negara Malaysia dalam memastikan setiap sumber yang
ada dapat diuruskan dengan cekap bagi mewujudkan pembangunan yang sistematik dan lestari.

Seterusnya, cabaran dalam pengurusan penggunaan sumber tenaga elektrik dan bahan-
bahan api fosil juga merupakan permasalahan yang perlu diberi fokus oleh sesebuah negara
lebih-lebih lagi negara membangun yang giat menjalankan kegiatan ekonomi perindustrian
seperti Malaysia dalam mewujudkan pembangunan yang sistematik dan lestari. Hal ini dapat
dilihat apabila Negara Malaysia turut mengalami peningkatan yang besar dalam aspek
penggunaan tenaga lebih-lebih lagi tenaga elektrik dari tahun ke tahun. Menurut Mahlia (2002),
kecekapan dalam aspek pengurusan penggunaan tenaga elektrik haruslah diberi penekanan
kerana ia menjadi salah satu faktor penyumbang tertinggi kepada masalah perubahan iklim bumi
melalui setiap proses penjanaan tenaga ini dan turut diakibatkan oleh peningkatan dalam
pembakaran bahan api fosil yang dilakukan. Sebagai contoh, pada tahun 2007, jumlah
penggunaan tenaga per kapita yang telah dicatatkan di negara ini adalah sebanyak 2,967.54 kgoe,
lebih tinggi berbanding negara-negara maju yang lain seperti United Kingdom dan China
(Kadaruddin et.al, 2008). Situasi ini bukan sahaja membawa kesan kepada alam sekitar tetapi
turut akan membawa kesan kepada ekonomi negara kerana terpaksa menampung kos
perbelanjaan yang tinggi untuk mengimport sumber tenaga dari negara-negara luar. Peningkatan
penggunaan tenaga ini sebenarnya didorong oleh kelemahan dalam aspek pengurusan
pembangunan yang dibawa oleh kepesatan pembangunan sosial dan ekonomi lebih-lebih lagi
dalam sektor perindustrian yang memerlukan sumber tenaga yang tinggi bagi melancarkan setiap
kegiatan yang dijalankan.
RUJUKAN

Ahmad Syahir Kassim. (3 Mac 2003). “RM50j bersih Sungai Pinang.” Utusan Malaysia, Kuala
Lumpur.
Kadaruddin Aiyub, Jamaluddin Md. Jahi, Kadir Arifin & Azahan Awang. (2008). Climate
change and carbon reduction initiatives. Dlm. Jamaluddin Md Jahi, et al. (pnyt.), Proceedings of
International Conference on Human Habitat & Environment Change (hlm. 388-395).
Bangi: Institute of the Malay World and Civilization (ATMA) and Environmental
Society, Malaysia.
Mahlia, T. M. I. (2002). Emission from electricity generation in Malaysia. Renewable Energy,
27, 293-300.
Jamaluddin Md. Jahi (2001). Pengurusan alam sekitar di Malaysia dari Stockholm ke Rio de
Janero dan seterusnya. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai