Anda di halaman 1dari 3

BILA ISTERI TIDAK LAGI MEMILIH SYURGA

Maha Suci Allah yang menciptakan makhluk secara berpasang-pasangan sebagai salah
satu tanda Keagungan dan KekuasaanNya. Allah berfirman dalam surah al Rum ayat
21 :

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan


untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan
Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu
benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

Alangkah bertuahnya pasangan suami isteri yang mampu menjadikan anugerah kurniaan
Allah SWT melalui ikatan perkahwinan sebagai wasilah menghayati Kebesaran Allah SWT
hingga semakin berlalunya waktu maka pasti semakin kuatlah kekaguman kepada Allah
SWT yang telah mengurniakan kasih sayang berlipat ganda dalam rumahtangga.

Tidak hanya melalui kasih sayang antara suami isteri, dikurniakan juga melalui ikatan
perkahwinan yang suci tersebut zuriat yang menjadi penyeri kehidupan dan penyambung
keturunan.

Kelebihan istimewa disediakan oleh Allah SWT secara khusus buat para wanita bergelar
isteri dengan jaminan masuk ke syurgaNya melalui mana-mana pintu pilihan mereka.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, Hadith daripada Saidina Anas R.A
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila seorang wanita (isteri) itu menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan
Ramadhan, menjaga harga dirinya, dan mentaati perintah suaminya, maka di akhirat
kelak, dia dipanggil untuk masuk ke syurga daripada mana-mana pintu yang dia sukai
(sesuai dengan pilihannya)”.

Namun, apabila para isteri tidak lagi memilih jalan ke syurga melalui panduan yang
ditetapkan oleh Allah dan RasulNya maka terdedahlah mereka kepada kebinasaan yang
menakutkan.
Tatkala para isteri tidak lagi menjadikan para Ummahatul Mukminin (Ibu-ibu Orang
Beriman) dan Wanita-wanita mulia yang tertulis nama-nama mereka dalam
lembaran al Quran dan Hadith sebagai idola dan ikutan mereka, maka jadilah ujian
dan dugaan dalam rumahtangga sebagai beban yang seakan tiada jalan
penyelesaiannya.

Begitu juga, jadilah segala nikmat dalam rumahtangga sebagai istidraj yang
menjauhkan mereka dari redha Allah SWT. Bahkan setiap detik waktu berterusanlah
mereka mengundang murka Allah SWT melalui dosa-dosa yang disengajakan
bahkan menjadi perkara yang dibanga-banggakan.

Segalanya berpunca dari kurangnya ilmu agama yang benar serta kesan pergaulan
dan pemikiran serta persekitaran yang tidak mengarahkan mereka kepada nilai
ketaatan yang sebenar kepada Allah SWT dan RasulNya.

Jika para suami disebut sebagai punca buruknya sikap para isteri maka lupakah kita
tentang kisah Asiah isteri firaun yang tetap dijanjikan syurga meskipun bersuamikan
manusia paling terlaknat di muka bumi?

Begitu juga jika suami yang baik penentu baiknya isteri maka tidakkah pernah kita
mendengar kisah duka isteri Nabi Nuh AS yang berpaling meninggalkan suaminya
yang mulia?

Justeru ternyata kuncinya adalah pada diri isteri yang mahu memilih jalan mana
untuk ditujuinya. Adakah memilih jalan ke syurga Allah SWT meskipun dalam jutaan
ujian dan dugaan yang menimpa atau memilih mengikut selera nafsu meskipun jauh
dari laluan menuju pintu-pintu syurga yang dijanjikan khusus kepadanya.

Ketika mana isteri memiliki ilmu agama yang cukup dan berusaha berada dalam
persekitaran baik secara nyata atau maya hingga mampu membantu menjadikan dia
kenal siapa Tuhannya dan siapa Nabinya, maka ketika itulah akan teralir keindahan
sifat seorang muslimah sejati yang lahir dari naluri semula jadi sesuai dengan fitrah
penciptaannya sebagai pelengkap kehidupan seorang lelaki bernama suami.
Namun sebaliknya sekiranya isteri berterusan merasa selesa tidak mahu
melengkapkan dirinya dengan ilmu agama sebagai senjata utama menjadi isteri
yang patuh menunaikan solat Fardhunya, sempurna puasa Ramadhanya, tegas
menjaga harga dirinya dan taat dan hormat pada suaminya, maka jadilah dia isteri
yang rugi meskipun disaluti kemewahan dan kasih sayang suami yang hakikatnya
merupakan ujian dan bala terbesar buatnya sebagai seorang isteri.

Penulis :

Suria binti Saad


Pegawai Penyelidik Institut Imam Ahmad ibn Idris Malaysia & Penulis buku Aku Isteri

Anda mungkin juga menyukai