Anda di halaman 1dari 5

KAWAN BAIK NORDIN

Bunga melati bunga kemboja,

Dibawa lari Si Burung Kenari;

Assalamualaikum salam sejahtera,

Dengarlah kawan-kawan saya berperi.

‘Kawan Baik Nordin,’ begitulah tajuk cerita saya.

Hari ini semua murid berkumpul di Tapak Perhimpunan Sekolah. Ada berita

gembira untuk warga Sekolah Kebangsaan Batu Delima. Guru besar akan

mengumumkan pemenang Cabutan Bertuah bagi acara tahunan sekolah.

Hadiahnya ialah satu perjalanan istimewa dengan menggunakan

perkhidmatan kereta api.

Syakirin ingin menang. Dia amat sukakan kereta api. Dia juga

mempunyai buku-buku yang berkaitan dengan pengembaraan menggunakan

kereta api.

Tiba masanya Guru Besar mengumumkan nama pemenang.

“Pemenangnya ialah..... Nordin bin Hassan!”

Nordin terkejut kerana namanya diumumkan. Dia tidak kisah pun jika tidak

menang. Namun begitu, dia tetap gembira dan bersyukur. Guru besar

menghulurkan dua tiket kereta api pergi dan balik kepada Nordin. Nordin

boleh membawa seorang kawan bersama-samanya.


“Kamu rasa siapa kawan baik Nordin , ya?”

“Siapa yang akan dibawa bersamanya?”

Mansur menyambar tangan Nordin sebaik sahaja Nordin turun dari pentas.

“Saya kawan baik awak. Bawalah saya bersama awak. Saya benar-benar

ingin menaiki kereta api,” ujar Mansur.

Mansur memang kawan baik Nordin. Mereka sekelas. Walau bagaimanapun,

Nordin menjadi rimas apabila Mansur sentiasa merayu kepadanya. Dia

mengambil keputusan untuk bersembunyi daripada Mansur. Dia bersembunyi

di sebalik pokok besar berhampiran kantin sekolah. Jamal terlihat Nordin

yang bersembunyi di sebalik pokok itu. Dia menghampiri Nordin.

“Bolehkah awak membawa saya menaiki kereta api itu?”

Nordin terkejut. Tidak sangka Jamal juga mahu menaiki kereta api

bersamanya. Jamal juga kawan baik Nordin, mereka sekelas.

Sekarang Nordin semakin pening kepala kerana dua orang sahabat

baiknya ingin mengikutnya menaiki kereta api. Diluah mati emak, ditelan mati

bapa. Sukar sekali untuk Nordin membuat keputusan.

Nordin mencapai basikalnya lalu mengayuh pulang. Alangkah

terperanjatnya Nordin sebaik tiba di rumah kerana Mansur dan Jamal sudah

berada di halaman rumahnya sambil membuat kerja-kerja yang biasa Nordin

buat iaitu berkebun dan menyapu halaman rumah.


“Ringan tulang pula Mansur dan Jamal. Pasti ada udang di sebalik batu.”

Bisik hati kecil Nordin.

Kasihan Nordin kawan-kawan.

Mansur dan Jamal perang dingin. Mereka bertengkar tentang siapa

kawan baik Nordin. Nordin menjadi semakin serba salah kerana kedua-

duanya kawan baiknya. Dia melarikan diri daripada mereka.

Kawan-kawan,

Nordin ke padang permainan. Di sana, dia terlihat Syakirin sedang

membaca buku tentang pengembaraan bersama kereta api. Syakirin bukan

sahabat baiknya. Dia dari kelas yang lain tetapi dia sudi meminjamkan buku

itu kepada Nordin, kerana buku itu ada kaitan dengan pengembaraan yang

akan Nordin ikuti. Syakirin memang baik hati. Dia turut mengucapkan tahniah

kepada Nordin kerana memenangi cabutan bertuah itu.

Sedang Syakirin berjalan pergi, Mansur dan Jamal berlari tiba. Kasihan

Nordin, tidak sempat melarikan diri daripada mereka.

Kawan-kawan,

Malam itu Nordin masih terdengar-dengar akan suara Mansur dan

Jamal di dalam mimpinya. Mimpi itu sungguh menakutkan. Jamal berdiri di

sebelah katilnya sambil membacakan sebuah buku cerita kepadanya. Mansur

pula menawarkan segelas air limau kepadanya. Bertuah Nordin, tiba-tiba

sahaja dilayan bagai putera raja.


“Oh, tidak!!!!!!!........

Nordin terjaga dari tidur. Dia membuat keputusan untuk berjumpa dengan

ayahnya dan bertanya apa yang perlu dilakukan.

Kawan-kawan,

Nordin menceritakan kepada ayahnya apa yang berlaku dan

menunjukkan buku yang dipinjamkan Syakirin kepadanya. Ayahnya memuji

sikap Syakirin yang baik hati kerana sudi meminjamkan buku kepada Nordin.

Orang berbudi, kita berbahasa. Tiba-tiba Nordin merasakan dia tahu

siapa yang akan dibawanya menaiki kereta api. Dia sentiasa baik kepada

Nordin dan dia juga sukakan pengembaraan bersama kereta api. Cuba teka?

Siapakah pilihan hati Nordin?

Kawan-kawan,

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Semua orang berada di Stesen

Kereta api untuk melihat Nordin dan Syakirin menaiki kereta api. Jamal turut

berada di situ, tetapi dia sangat sedih kerana Nordin tidak membawanya

bersama. Dia tidak mahu mengucapkan selamat jalan kepada Nordin. Bagi

Jamal, dia yang payah membeli ruyung, orang lain yang beroleh sagunya.

Kereta api berlalu pergi meninggalkan stesen. Nordin melambai-

lambaikan tangan kepada kawan-kawannya. Tentu pengembaraan mereka

menyeronokkan kerana Syakirin ada banyak pengetahuan tentang

pengembaraan yang dapat membantu Nordin. Walaupun Syakirin bukan

kawan baiknya, dia tahu tidak lama lagi Syakirin juga akan menjadi

sahabatnya seperti Mansur dan Jamal.


Begitulah kawan-kawan,

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Meskipun

hubungan Syakirin dan Nordin bukan seperti isi dengan kuku, namun

keikhlasannya berjaya menambat hati Nordin. Jadi, ikhlaskanlah hati dalam

berkawan.

Sekian sahaja cerita saya. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan

sempadan.

Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai