Anda di halaman 1dari 7

Kemahiran Membaca & Menulis dalam BM

Satu teknik yang dapat membantu ke arah pemahaman


1.      PENDAHULUAN

Membaca sering dianggap sebagai hirarki kemahiran. Ianya bermula dengan


pemprosesan huruf, bertapak kepada membunyikan huruf, perkataan dan seterusnya
berganjak kepada pemprosesan kemahiran teks atau ‘text-processing competencies’.
Proses ini tidak berakhir di situ tetapi perlu disokong dengan pemahaman tentang apa
yang dibaca.

Menurut seorang pakar membaca, Katherine Maria (1990), kefahaman membaca


didefinisikan sebagai satu proses yang holistik atau menyeluruh yang melahirkan
makna dari teks bertulis menerusi gabungan faktor-faktor seperti pengetahuan sedia
ada pembaca , penafsiran pemahaman pembaca terhadap apa yang dibaca dan situasi
ketika membaca teks.

Para pendidik dapat meningkatkan kefahaman murid dengan pelbagai teknik


pengajaran yang berkesan.  Teknik-teknik mengajar kefahaman membaca ini berfungsi
untuk membimbing murid ke arah pemahaman teks yang dibaca. Lazimnya terdapat 3
peringkat dalam proses mengajar kefahaman membaca iaitu peringkat pramembaca,
sewaktu membaca dan pasca membaca.
2.      TUJUAN KAJIAN

Kajian ini akan membentangkan teknik pengajaran kefahaman membaca


menggunakan kaedah K-W-L. Kajian ini akan menjelaskan dan menunjukkan langkah-
langkah yang terperinci tentang bagaimana menjalankan teknik ini di dalam bilik darjah.

 3.  ISI PERBINCANGAN

Menurut pakar membaca, John McNeil (1992), ‘schemata’ atau pengetahuan


sedia ada, adalah konsep, kepercayaan, jangkaan, proses – segala-galanya dari
pengalaman masa lalu, yang akan mencorak dan menentukan pemahaman pembaca
tentang apa yang dibacanya.            Menurutnya lagi, dalam pembacaan, pengetahuan
sedia ada seorang pembaca akan mempengaruhi pemahaman pembaca itu.   Oleh itu,
amat penting bagi para pendidik mencungkil pengetahuan sedia ada murid untuk
mengembangkan lagi pemahaman tentang sesuatu teks bacaan yang akan diberikan.
            K-W-L merupakan salah satu teknik yang terbukti berkesan untuk membantu
para pelajar menjadi pemikir yang aktif untuk membolehkan mereka mengingati dan
memahami apa yang dibaca. (Ogle, 1986). Teknik menggunakan carta K-W-L ini bukan
sahaja mencungkil pengetahuan sedia ada murid bahkan, teknik ini akan memaparkan
sejauh mana pemahaman murid sebelum proses membaca dan setelah proses
membaca. Teknik ini berupaya menambah-nilai (value-add) pada pengetahuan murid-
murid.
            3.1 CARTA K-W-L
            K-W-L merupakan sebuah carta yang direka oleh Donna Ogle dalam 1986.
Carta K-W-L ini berkesan digunakan untuk apa jua mata pelajaran, tidak kira bilangan
murid yang terlibat. Selain daripada memberikan penumpuan atau berpusat kepada
murid, teknik ini juga berupaya mencungkil pengetahuan sedia ada murid sebelum
membaca.
Carta K-W-L ini terdiri daripada 3 bahagian. K-W-L merupakan singkatan atau
akronim daripada ‘Know’, ‘Want’ dan ‘Learned’. Bahagian pertama merupakan kolum
‘K’ atau ‘Know’, berfungsi untuk mencungkil pengetahuan sedia ada murid. Murid akan
melengkapkan kolum ini sebelum proses membaca. Di dalam kolum ini, murid akan
menuliskan apa yang mereka ketahui tentang topik yang diberikan.
Kolum kedua ialah kolum ‘W’ atau ‘Want’. Di dalam kolum ini, murid akan
menyenaraikan apa yang ingin mereka pelajari sewaktu membaca kelak. Seperti kolum
K, kolum ‘W’ juga perlu dilengkapkan sebelum proses membaca. Bahkan melalui kolum
ini sahaja, guru dapat maklumat tentang minat murid-muridnya terhadap teks atau topik
yang diberikan. Maklumat ini tentunya dapat memainkan peranan yang penting dalam
menentukan topik-topik pelajaran yang selanjutnya yang mampu menarik minat para
pelajar.
Kolum yang terkahir ialah kolum ‘L’ atau ‘Learned’. Proses melengkapkan kolum
ini dilakukan setelah proses membaca dijalankan. Murid akan melengkapkan kolum ini
dengan pengajaran yang dipelajari atau pengetahuan yang diraih daripada proses
membaca. Kolum L ini, yang dilengkapkan setelah selesai proses membaca, akan
mencerminkan pemahaman murid tentang teks atau topik yang diberikan. Kolum ini
juga akan memberi penanda kepada guru tentang keupayaan murid-murid itu
menyaring isi-isi penting yang terdapat dapat teks bacaan atau topik yang diberikan.
Melalui kolum L ini, guru dapat meninjau sejauh mana murid telah menggarap konsep-
konsep yang ingin diajarkan yang terdapat dapat teks atau topik yang diberikan.

Secara ringkasnya, beginilah rupa carta K-W-L yang dimaksudkan.


K W L
What I KNOW? What I WANT to know? What have I LEARNED?
Apa yang saya Apa yang Apa yang saya
TAHU? INGIN saya ketahui? PELAJARI?

Penggunaan carta K-W-L ini mempunyai berbagai sebab. Penggunaan carta ini dapat
membangkitkan pengetahuan sedia ada murid tentang teks atau topik yang akan
disentuh. Murid, secara tidak langsung, akan memikirkan tentang pengalaman lalu dan
pengetahuan sedia ada mereka tentang teks atau topik tersebut. Ini juga akan dapat
membantu seorang guru untuk mengukur sejauh mana atau sedalam mana
pengetahuan murid-murid secara amnya. Guru juga dapat mengenalpasti pengetahuan
asas murid tentang teks atau topik yang ingin dibincangkan. Ini tentunya akan
mempermudahkan pembelajaran dan pengajaran.
Berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan atau maklum balas yang
diberikan dalam kolum K ini, guru dapat menyesuaikan pembelajaran dan pengajaran
dengan pengetahuan sedia ada murid. Melalui kolum K ini, guru juga akan dapat
mengenalpasti konsep-konsep yang salah dan informasi yang kurang tepat yang
diketengahkan oleh murid. Informasi begini dapat membantu guru dalam menangani
penjelasan atau penerangan yang lebih menyeluruh dan memperbetulkan konsep-
konsep tersebut.
            Dalam kolum W pula, murid akan dapat menambah isi yang ingin mereka
ketahui perihal topik atau teks tersebut. Ini bukan sahaja menjana pemikiran aktif
murid , bahkan ini dapat menjamin penyertaan murid secara aktif kerana merekalah
yang memilih dan menentukan apa yang ingin mereka pelajari dari teks atau topik yang
akan disentuh itu.
Selain itu, murid bukan hanya meraih pengetahuan dari teks atau topik yang
dibaca, tetapi akan lebih bersemangat dan terangsang untuk mengetahui dengan lebih
lanjut lagi sekiranya soalan-soalan yang mereka utarakan dalam kolum W itu tidak
terjawab di dalam topik atau teks bacaan itu. Murid tidak sahaja bergantung kepada
bahan teks, mereka juga akan terdorong mencari jawapan bagi soalan yang tidak
terjawab dalam kolum W menerusi  bahan bacaan yang lain, internet dan juga membuat
kajian lanjut perihal teks atau topik yang telah dibaca.
            Dari pandangan mata kasar, guru juga dapat mengenalpasti apakah minat dan
harapan murid-murid itu. Ini dapat membantu guru dalam menyediakan latihan dan
tugasan yang diminati oleh murid. Ini tentunya akan menambahkan keseronokkan
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
            3.2 PERSEDIAN MENGAJAR
            Tema yang akan disentuh dengan menggunakan kaedah K-W-L ialah
‘Idola Saya’. Pelajaran ini direka khas untuk murid  darjah empat dan mengambil masa
satu jam atau dua waktu untuk menjalankannya. Objektif pengajaran ini ialah murid
menggunakan carta K-W-L untuk mencari maklumat  tentang kehidupan seseorang
yang terkenal iaitu Michael Jackson. Murid–murid akan dibahagikan kepada beberapa
kumpulan untuk sesi perbincangan. Ini merupakan kali pertama murid-murid ini
menggunakan teknik K-W-L dalam pembelajaran mereka. Guru akan memberikan
panduan bagaimana untuk menggunakan teknik ini untuk mendapatkan maklumat
sebelum memberi masa untuk sesi perbincangan secara berkumpulan. Carta K-W-L ini
disediakan dan dipancarkan melalui komputer. Sebelum pembelajaran bermula, guru
akan terangkan apakah fungsi setiap kolum yang dipancarkan.

LANGKAH 1: (5 minit) (Cukupkah)


Murid akan diberikan tajuk teks iaitu Michael Jackson.  Berdasarkan pada tajuk
ini sahaja, setiap kumpulan dikehendaki untuk berbincang dan menyumbang saran
tentang apa yang mereka ketahui tentang Michael Jackson. Setiap kumpulan diberi
masa 5 minit untuk sesi perbincangan.

LANGKAH 2: (5 minit) (Cukupkah?)


Murid akan menyatakan pengetahuan sedia ada mereka tentang penyanyi
terkenal ini. Setiap pernyataan atau informasi yang diberikan oleh murid akan ditaipkan
di dalam kolum K. Dari informasi yang diberikan ini, guru dapat menjangkaukan sejauh
mana atau sedalam mana pengetahuan murid tentang Michael Jackson.

LANGKAH 3: (5 minit)
            Guru beralih pula kepada kolum W iaitu kolum tentang apa yang ingin mereka
ketahui. Murid-murid akan diberikan masa 5 minit untuk sesi perbincangan dan
memikirkan soalan-soalan yang ingin mereka ketahui mengenai Michael Jackson. Guru
akan menaipkan soalan-soalan yang diajukan oleh setiap kumpulan di dalam kolum W.
Di akhir langkah ini, guru akan menerangkan sekali lagi hubungan antara kolum K dan
kolum W.

LANGKAH 4: (20 minit)


            Sebelum diberikan teks bacaan perihal Michael Jackson, murid-murid diingatkan
supaya meneliti soalan-soalan yang telah ditaip di dalam kolum W dan cuba mencari
jawapannya berdasarkan teks yang diberikan. Murid-murid diberikan teks untuk dibaca
dengan senyap dahulu sebelum berbincang bersama-sama di dalam kumpulan bagi
menjawap soalan-soalan yang terdapat dalam kolum W.

LANGKAH 5: (10 minit)


            Di akhir 20 minit, murid-murid akan dikehendaki untuk menuliskan jawapan-
jawapan bagi soalan yang diberikan tadi. Jawapan-jawapan ini akan dituliskan di dalam
kolum L. Guru akan membacakan jawapan-jawapan yang diberikan dalam kolum L.
Guru dan murid akan menilai kesahihan jawapan yang diberikan bersama-sama.

LANGKAH 6: PENUTUP (15 minit)


            Guru akan terangkan kaitan antara pengetahuan sedia ada yang tertera di
dalam kolum K dan persoalan-persoalan yang timbul di benak mereka yang telah
dituliskan di dalam kolum W. Dan akhir sekali, berpandukan teks yang diberikan, murid-
murid mencuba mencari jawapan bagi persoalan yang diutarakan. Jawapan yang
dicatatkan dalam kolum L merupakan apa yang telah mereka pelajari dan ketahui
berpandukan teks dan soalan-soalan yang mereka bincangkan bersama. Pentingnya
untuk guru menegaskan bahawa seorang pembaca yang baik akan sentiasa
menggunakan pengetahuan sedia ada mereka atau sesuatu yang mereka ketahui untuk
menjana soalan-soalan baru yang dapat membantu mereka pelajari sesuatu.
Guru juga perlu menerangkan bahawa ada kalanya persoalan yang diutarakan
dalam kolum W tidak terjawap di dalam kolum L. Ini memerlukan sedikit kajian
tambahan dari pihak murid-murid untuk mencari jawapannya. Guru juga boleh
menambahkan satu lagi kolum iaitu kolum H atau How. Ini dapat membantu murid-
murid mencari jawapan-jawapan yang tidak terjawap menerusi kajian di internet dan
bahan bacaan yang lain.
Selain itu, murid juga perlu dijelaskan bahawa dengan adanya carta ini, akan
terpapar pengetahuan sedia ada murid yang menyimpang dari kebenaran, data yang
kurang lengkap ataupun informasi yang silap. Ini dapat diperbetulkan dengan adanya
pernyataan atau informasi yang tepat dan betul, dicatatkan di dalam kolum L. Apa yang
tercatat dalam kolum L akan memberikan panduan dan anggaran  kepada guru sejauh
mana atau sedalam mana pemahaman murid-murid di akhir pelajaran ini.

RUMUSAN
                         Teknik K-W-L ini amat berkesan dalam memantau pengetahuan serta
kefahaman murid berdasarkan teks atau topik yang diberikan. Walau apapun teknik dan
kaedah pembelajaran yang digunakan, yang paling utama dan penting untuk para guru
ialah memberikan tumpuan terhadap kemahiran berbahasa, mementingkan
pembelajaran yang berkesan dan menekankan pelibatan murid secara aktif serta
mengutamakan keupayaan dan keperluan setiap murid.

 Comprehension Instruction: What Makes Sense Now, What Might Make Sense Soon by Michael
Pressley http://www.readingonline.org/articles/art_index.asp?HREF=/articles/handbook/pressley/
index.html

 What is reading comprehension and how does it relate to college


learning? http://www.landmark.edu/institute/assistive_technology/reading_overview.html

 Maria, K (1990). Reading Comprehension Instruction: Issues and Strategies.  Parkton, MD: York


Press

 Mc Neil, J.D. (1992). Reading Comprehension New Directions for Classroom Practice (3rd


Edition) Los Angeles: U. Of California

Anda mungkin juga menyukai