Anda di halaman 1dari 6

MOHONLAH KEAMPUNAN

Daripada Ka’ab Bin Ujrah R.A., Beliau Berkata Bahawa Rasulullah Saw Bersabda, “Hadirlah
Ke Mimbar.” Maka Kami Semua Pun Hadir. Apabila Baginda Naik Satu Anak Tangga Mimbar,
Baginda Berkata, “Aamiin” Dan Apabila Naik Anak Tangga Yang Kedua, Baginda Berkata
“Aamiin” Dan Apabila Baginda Naik Anak Tangga Yang Ketiga Baginda Berkata “Aamiin.”
Apabila Baginda Turun, Kami Telah Bertanya, “Ya Rasulullah! Hari Ini Sesungguhnya Kami
Telah Mendengar Dari Tuan Sesuatu Yang Belum Pernah Kami Dengar.”

Beliau Bersabda, “Sesungguhnya Jibril Telah Muncul Kepadaku Dan Berkata: Binasalah Dia
Yang Mendapati Ramadhan Tetapi Belum Juga Diampunkan. Maka Aku Berkata, Aamiin.”
“Apabila Aku Naik Anak Tangga Yang Kedua Dia Berkata: Binasalah Dia Yang Apabila Engkau
Disebutkan Di Depannya, Tidak Pula Dia Menselawatimu. Maka Aku Berkata, Aamiin.”
“Apabila Aku Naik Anak Tangga Yang Ketiga Dia Berkata: Binasalah Dia Yang Mendapati
Kedua-Dua Ibu Bapanya Atau Salah Seorang Darinya Telah Tua Tetapi Mereka Tidak Menjadi
Sebab Untuk Dia Masuk Ke Dalam Syurga. Aku Berkata “Aamiin.” [Riwayat Hakim Dan Ibnu
Hibban Di Dalam Sahihnya].

1. Bersegeralah Bertaubat Meminta Keampunan Daripada Allah Swt Dan Berazam Untuk Tidak
Mengulangi Dosa-Dosa Yang Telah Dilakukan Itu Lagi. Sesungguhnya Allah Itu Maha Pemurah,
Lagi Maha Pengampun. Tiada Dosa Dan Kesalahan Yang Tidak Akan Diampunkan-Nya,
Melainkan Perbuatan Syirik Kepada-Nya.

2. Perbanyakkanlah Selawat Ke Atas Junjungan Mulia, Rasulullah Saw Terutamanya Setiap Kali
Nama Baginda Saw Disebut.

3. Berbaktilah Kepada Kedua-Dua Ibu Bapa Kita Sebelum Terlewat. Hendaklah Kita Sentiasa
Mengambil Berat Dan Menjaga Hati Mereka Lebih-Lebih Lagi Tatkala Usia Mereka Semakin
Lanjut. Jangan Sesekali Kita Berkasar Terhadap Mereka, Kerana Sesungguhnya Tiada Suatupun
Yang Dapat Kita Lakukan Untuk Membalas Jasa-Jasa Yang Telah Mereka Taburkan Ke Atas
Kita.

Hanya Allah Sahaja Yang Mampu Membalasnya. Wa Iyazubillah, Jangan Sesekali Kita
Menderhaka Kepada Kedua-Dua Orang Tua Kita.
BONUS DAN TAWARAN ISTIMEWA DI BULAN RAMADHAN

Bulan ini bolehlah dianggap sebagai bulan ‘bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi hamba-
hambaNya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia berdasarkan hadith
Qudsi yang menyebut: "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh
hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT: "Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas
untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman
dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu". (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).

Cuba kita renungkan kembali, kerap kali kita akan merasa gembira apabila tiba hujung tahun bagi
mendapat bonus dari majikan kita. Mengapa kita gembira bila mendapat bonus, gaji dan insentif?
Sudah tentu jawabnya kerana; "dapat duit". Mengapa kita seronok mendapat duit? Jawabnya; kerana
boleh membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain. Lalu berapa lamakah keseronokan barang dan
perkara yang dibeli tadi? Sudah tentu jawabnya, bergantung kepada apa yang dibeli, ada yang rosak
cepat dan ada yang lambat. Jika demikian, jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan
itu akan berterusan? Jawabnya, paling panjang adalah sekadar kita masih hidup sahaja.

Baiklah, selepas kematian adakah masih ada keseronokan? Jika tidak, maka apakah yang boleh
menyeronokkan kita selepas mati? Jawabnya; tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang
dikumpul. Jika banyak dan berkualiti, semua 'matawang' pahala itu akan memberi seribu satu macam
keseronokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah SWT dan ia pastinya
amat panjang.

Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadhan
sebagaimana seronoknya kita menerima bonus atau insentif duit? Sedangkan Ramadhan adalah
bulan bonus untuk meraih pahala sebanyaknya, bulan dipermudahkan peluang untuk ke syurga Allah
SWT.

Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada
‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah SWT. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan
kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana
atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak
mendapatkan ‘bonus' dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah SWT.

Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti
maki hamun, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan
dosa lidah dan anggota, juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat
benar ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya: "Barangsiapa yang
tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya
(kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya".(Riwayat Al-
Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).
BULAN IBADAH, BULAN MUJAHADAH, BULAN RAHMAH DAN BULAN MAGHFIRAH
Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam. Kita sangat-sangat
bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan kehendak-Nya, telah memilih kita untuk sekali
lagi berada dalam bulan Ramadhan yang mulia, yakni masuk ke dalam universiti Ramadhan.

Kenapa dinamakan universiti Ramadhan? Kerana bulan ini merupakan bulan tarbiah, bulan
pendidikan, di mana jiwa-jiwa kita ditarbiah dengan undang-undang Ramadhan dan hati-hati
kita dimotivasikan dengan kelebihan-kelebihan atau fadhilat-fadhilat Ramadhan.

Bukan senang nak masuk univerisiti, tapi kita pada hari ini Alhamdulillah syukur, dipilih oleh
Tuhan untuk sama-sama masuk universiti Ramadhan. Pendaftarannya cukup mudah, tak
payah bayar duit cuma niat saja sama ada niat setiap hari ataupun niat sebulan terus.

Bulan bertuah ini juga bolehlah disebut sebagai bulan ibadah. Boleh juga disebut sebagai
bulan mujahadah. Disebut juga bulan rahmah dan bulan maghfirah. Dan macam-macam lagi
sebutan yang baik-baik. Jangan kita sebut dengan yang tak baik sudahlah. Cth: “Wuih mai dah
bulan bala, nak makan minum pun susah".

Jadi namanya bulan ibadah, bulan mujahadah, bulan rahmah dan bulan maghfirah. Kenapa
dinamakan bulan ibadah? Kerana pada bulan ini manusia berlumba-lumba untuk menambah
amal-amalan mereka. Kalau sebelum bulan Ramadhan dia malas nak beramal ibadah, tapi
apabila sampai saja bulan Ramadhan, biasanya amalan seseorang akan bertambah walaupun
sedikit. Betul tak?

Jadi pada bulan ini manusia berlumba-lumba untuk menambah amal-amalan mereka. Ataupun
dari segi hakikatnya untuk menambah ‘pengabdian’ kepada Allah SWT. Perkataan ibadah
berkait rapat dengan perkataan abdi, berkait juga dengan perkataan abdullah. Beribadah ni
maksudnya berabdi kepada Allah. Macam mana cara berabdi kepada Allah?

Sebenarnya senang saja. Buat apa yang Allah suruh dan jangan buat apa yang Allah larang.
Selain itu, kita tambah dengan buat apa yang Allah suka, iaitu amalan-amalan sunat. Begitulah
cara-cara berabdi kepada Allah.

Kenapa dinamakan bulan mujahadah? Sebab pada bulan ini kita berperang melawan nafsu.
Sesiapa yang berlawan sungguh-sungguh dengan nafsunya, dia dikira mujahid. Kalau setakat
lawan sikit-sikit ni, taklah dinamakan mujahid, tidaklah dinamakan mujahadah. Kena
bersungguh-sungguh, baru boleh dikira sebagai mujahid, barulah usahanya itu dinamakan
mujahadah.

Perkataan mujahadah ini bersamaan dengan jihad, iaitu satu usaha yang bersungguh-
sungguh. Secara khususnya dinisbahkan kepada berperang melawan musuh-musuh Islam
tetapi secara umumnya dinisbahkan kepada satu usaha yang bersungguh-sungguh.
Mujahadah juga berkait-rapat dengan mujahidin.

Kenapa dinamakan bulan rahmah? Sebab pada bulan ini rahmat Allah melimpah-ruah.
Kenapa dinamakan bulan maghfirah? Perkataan maghfirah ini berkait-rapat dengan perkataan
istighfar. Yang kita sebut lepas solat “Astaghfirullahal ‘azim”, tu istighfarlah. Istighfar
maksudnya minta ampun.

Maghfirah maksudnya ‘keampunan’. Jadi bulan Ramadhan ini adalah bulan keampunan. Pintu
taubat, pintu keampunan terbuka seluas-luasnya. Terpulanglah kepada kita sama ada hendak
menggunakan kelebihan-kelebihan yang ada sepanjang bulan ini ataupun tidak. Siapa tak
mahu, rugilah.... pada bulan-bulan lain tak ada macam ni.

KESILAPAN MUSLIM DI BULAN RAMADHAN

Sebenarnya terdapat objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini,
terbahagi kepada dua iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di
dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari
hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a., yang bertanya kepada Nabi doa yang perlu dibaca
tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah
doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadhan kerap kali


tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurangan keprihatinan umat Islam kini. Antara yang
dimaksudkan adalah:-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang
diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur
seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan
minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. Ia
dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini
disebut di dalam sebuah hadith, ertinya: "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa)
hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu". (Riwayat al-Bukhari).

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang
melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi
SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah
waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam.
(Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu
mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138).

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat
Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristighfar dan
menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya: "Dan pada waktu akhir
malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)". (Adz-
Dzariyaat: 18)

4) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak
sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran' yang dicadangkan oleh beberapa ulama demi
mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur,
tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah
masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakati ulama merupakan waktu
penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr. Md 'Uqlah, hlm 278).
5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang
benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada
keislaman seseorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa
seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan
yang ada dalam masyarakat tatkala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan
besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, terutamanya solat subuh berjemaah yang
disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala
menghidupkan seluruh malam.

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.
Sedangkan, kerja yang kita lakukan dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru,
umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di
Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti
menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat
lemah. (al-Jami' as-Soghir; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291).

9) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara
wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan
didedahkan ketika berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat
mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

10) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang
kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut:- Ertinya: "Tiga golongan yang tidak
ditolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang
dizalimi". (Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir: Sohih).

Selain itu, doa menjadi bertambah makbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. Ertinya:
"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan
ditolak". (Riwayat Ibn Majah, no. 1753, Al-Busairi: Sanadnya sohih).
BULAN RAMADHAN BULAN MELATIH SIFAT SABAR

Rasulullah sollallahualaihiwasallam bersabda, Allah berfirman, "Setiap amalan anak Adam ialah untuk
dirinya kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya, dan
sesungguhnya bau mulut orang yg berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau al-misk (kasturi)."
Hadith Riwayat Bukhari.

Apabila seseorang berpuasa dengan ikhlas maka dia akan bersabar untuk menahan dirinya daripada
segala perkara yang membatalkan puasa. Dia perlu bersabar dengan semua kategori kesabaran.

Terdapat tiga kategori sabar:

Pertama: Sabar untuk melakukan ketaatan.


Kedua: Sabar untuk meninggalkan maksiat.
Ketiga: Sabar di atas ujian Allah yang menyakitkan.

Ketiga-tiga kategori sabar terdapat di dalam ibadah puasa iaitu bersabar melakukan taat, bersabar
meninggalkan maksiat dan bersabar di atas ujian lapar, dahaga dan lemahnya tubuh badan kesan
daripada berpuasa. Bahkan Baginda bersabda dalam sebuah hadith yang dinilai sebagai hasan oleh
Imam Tirmizi, "Puasa itu sebahagian daripada kesabaran."

Allah berfirman dalam Surah az-Zumar ayat 10,

"Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu):
“Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang
yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi
Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah
sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”". {39:10}

Baginda juga bersabda, "Dan ia (Ramadhan) bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya
syurga." Riwayat Ibnu Khuzaimah di dalam Kitab Sahihnya.

Ayuh berpuasa, ayuh bersabar, ayuh ke syurga! Juga jangan lupakan saudara se Islam kita yang
berlapar bukan sahaja di siang hari malah juga di malam hari.

Wallahu a'lam.
Sekian. Mohon ampun maaf dari saya. Selamat berpuasa, Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Anda mungkin juga menyukai