Anda di halaman 1dari 14

PENDAHULUAN

Pengenalan

Kemahiran menulis merupakan kemahiran berbahasa yang sangat penting.

Penguasaan kemahiran menulis dapat membantu murid menyampaikan idea dan

memperoleh markah yang baik dalam peperiksaan terutamanya kertas penulisan.

Selain menggunakan kemahiran lisan iaitu kemahiran mendengar dan bertutur untuk

menyampaikan maklumat dan berkongsi idea, murid juga menggunakan kemahiran

menulis untuk mengolah dan mengembangkan idea terutamanya dalam menulis

karangan.

Kemahiran menulis adalah kemahiran yang paling tinggi dalam senarai

kemahiran berbahasa. Kemahiran menulis hanya boleh dikuasai apabila seseorang itu

telah menguasai kemahiran mendengar, bertutur, dan kemahiran membaca.

Penguasaan kemahiran menulis tidak hanya melibatkan aspek teknikal semata-mata,

tetapi penulisan turut menekankan aspek psikologi dan kognitif. Hal ini kerana

penulisan meliputi proses pemilihan dan pengolahan bahan untuk menghasilkan

tulisan yang baik.


Kemahiran menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan

membina ayat serta dapat mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan.

Perkara ini termasuk penulisan tentang pengalaman peribadi yang dilalui, bahan

sastera serta bahan berunsur ilmu. Penulisan hendaklah menggunakan ayat yang

gramatis serta tanda baca dan ejaan yang betul. Hasil pembelajaran bagi kemahiran

menulis adalah murid berupaya menggunakan pelbagai jenis ayat dan wacana,

mencatat dan menyusun maklumat, menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif

dan membuat ulasan (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003, hal.9).

Sejak kecil, anak-anak didedahkan dengan kemahiran menulis oleh ibu bapa

yang peka dengan perkembangan kognitif anak-anak mereka. Kemahiran menulis

pada peringkat kanak-kanak bermula daripada kemahiran menulis secara mekanis

iaitu kemahiran menulis peringkat awal yang perlu dikuasai supaya kanak-kanak

dapat menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca. Penguasaan kemahiran

menulis secara mekanis seterusnya akan membolehkan murid mengembangkan

kebolehan menulis secara mentalis dengan baik. Kemahiran menulis secara mentalis

ini akan membantu murid untuk mengolah dan mengembangkan idea dalam

menghasilkan sebuah karangan lengkap.

Menulis adalah aktiviti menghasilkan simbol-simbol grafik yang disusun atur

menjadi perkataan-perkataan dan seterusnya membentuk ayat-ayat yang bermakna.

Dalam konteks yang lebih luas, penulisan bermaksud penghasilan wacana-wacana

yang bermakna dan bermaklumat. Oleh itu, kemahiran menulis secara mekanis iaitu

kemahiran membentuk dan menyusun simbol-simbol tulisan tidak selesai pada


peringkat itu sahaja. Sebaliknya kemahiran ini akan diteruskan dengan aktiviti

mengarang yang memerlukan penggemblengan aspek psikologi dan kognitif.

Keupayaan menulis merupakan suatu proses menyalurkan maklumat yang

bersifat mekanikal dan disalurkan secara bersistem iaitu mengambil kira matlamat,

penggunaan bahasa, audiens dan gaya penulisan (Abdul Rasid, 2011, hal. 2).

Kemahiran menulis dengan baik sangat diperlukan kerana hampir kesemua kertas

peperiksaan di negara ini memerlukan murid menjawab dalam bentuk tulisan dan ada

juga yang memerlukan jawapan panjang lebar dalam bentuk ayat yang gramatis.

Murid yang tidak menguasai kemahiran menulis dengan baik sering menghadapi

masalah untuk menjawab solan yang melibatkan kemahiran menulis. Oleh sebab itu,

murid perlu menguasai kemahiran menulis untuk menghuraikan data-data yang tepat,

berupaya menyusun jawapan dalam bentuk yang mudah, teratur dan meyakinkan.

Kemahiran menulis adalah sangat penting dan perlu dilaksanakan

berdasarkan penguasaan kemahiran. Roselan (2003), berpendapat proses

menghasilkan penulisan perlulah dilaksanakan mengikut tahap-tahapnya secara

bersistematik. Menurut Suhaimi (2009) pula, kemahiran menulis dilihat sangat

penting dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kerana kemahiran ini

mesti dikuasai oleh murid-murid untuk menduduki peperiksaan bertulis. Kemahiran

menulis yang efektif amatlah penting untuk kejayaan akademik dalam sistem

persekolahan di seluruh dunia.


Seterusnya, mengupas isu kemahiran menulis dalam bahasa Melayu ini,

masih ramai calon mendapat keputusan yang rendah atau gagal dalam mata pelajaran

Bahasa Melayu Penulisan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Hal ini berlaku

kerana tidak semua murid di sekolah rendah yang berada dalam Tahun 6 dapat

menguasai kemahiran menulis dengan baik terutamanya yang melibatkan bahagian

penulisan bahasa Melayu. Jika murid mempunyai idea dalam fikiran untuk

dikembangkan, sedangkan murid tersebut lemah dalam kemahiran menulis, maka

murid tersebut akan berdepan dengan masalah yang besar untuk menjelmakan idea

dalam bentuk penulisan. Hal ini turut memberikan masalah kepada guru yang

mengajar penulisan bahasa Melayu. Menurut A. Chellamel Bagavathy (2005), guru-

guru bahasa Melayu kerap menghadapi masalah dalam pengajaran bahasa Melayu

kerana murid-murid agak sukar untuk memahami penulisan bahasa Melayu.

Sementara itu, pencapaian murid-murid dalam penulisan karangan masih

kurang memuaskan disebabkan beberapa faktor iaitu kelemahan murid sendiri, sikap

negatif murid yang kurang berminat terhadap pelajaran bahasa Melayu, kelemahan

strategi pengajaran guru, menulis tidak mengikut tajuk yang dikehendaki,

kekurangan isi, lemah mengolah dan mengembangkan idea, tidak merangka

karangan terlebih dahulu, kesalahan tatabahasa, kesuntukan masa, tidak dapat

mengenal pasti format dan menggunakan dialek dalam penulisan.

Selain itu, sikap guru juga menjadi faktor murid gagal menguasai kemahiran

menulis. Kebanyakan guru di sekolah mengamalkan cara dan gaya mengajar

karangan dalam kelas yang lebih kepada memberi pendedahan secara menyeluruh

tentang sesuatu tajuk demi memenuhi keperluan peperiksaan. Kesannya, hasil


karangan yang diberikan tumpuan oleh guru dan pengajaran proses mengarang

diabaikan. Pengajaran guru kurang memberikan pendedahan tentang kemahiran,

teknik dan strategi menulis karangan dalam kelas menyebabkan murid kurang

bersedia untuk menulis. Hal ini telah disokong oleh Roselan (2003) yang

menyatakan kebanyakan guru pada umumnya masih kurang jelas tentang kandungan

ilmu penulisan dan mereka menerapkan pengalaman yang dialami ketika

mempelajari penulisan semasa di sekolah dahulu sebagai asas mengajarkan penulisan

kepada murid-murid.

Masalah guru yang tidak mengikuti sepenuhnya sukatan pelajaran terkini

dalam pengajaran kemahiran juga menjadi salah satu faktor yang boleh menjejaskan

pencapaian murid dalam kemahiran menulis dan membantutkan hasrat Kementerian

Pendidikan Malaysia untuk melahirkan murid yang mampu mengungkapkan bidang

ilmu dari pelbagai disiplin atau mata pelajaran dan seterusnya mengembangkan

kemahiran penulisan (KPM, 2003).

Kemahiran menulis merupakan salah satu kemahiran bahasa yang turut

ditekankan dalam Kurikulum Bersepadu Bahasa Melayu Sekolah Rendah iaitu

kurikulum lama yang disemak semula pada tahun 2002 dan dilaksanakan bermula

pada tahun 2003. Kepentingan penulisan karangan tergambar dalam kurikulum

bahasa Melayu sebagai mata pelajaran tersendiri (Roselan, 2003). Selain itu, sukatan

pelajaran bahasa Melayu yang mula dilaksanakan pada awal 2003 juga mengandungi

tiga bidang kemahiran baharu, iaitu komunikasi interpersonal, berfikir dan nilai.

Menurut Abdullah (2004), sukatan pelajaran lama yang terdahulu tidak memberi

penekanan kepada tiga kemahiran baharu ini. Murid hanya diajarkan tatabahasa dan
terpulanglah kepada murid tersebut menggunakan bahasa menurut tafsiran sendiri.

Dalam kurikulum yang baharu ini, kemahiran menulis merupakan salah satu

kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh murid-murid kerana kemahiran ini

merupakan kemahiran yang paling kompleks.

Menulis karangan bukanlah suatu yang mudah bagi murid kerana menulis

karangan memerlukan gabungan proses mengolah, mengembangkan idea dan

kemahiran psikomotor iaitu menulis. Kombinasi antara pengolahan idea yang baik

dan kebolehan menulis dengan baik akan menghasilkan satu karangan yang menarik

dan mudah difahami oleh pembaca. Dalam karangan keperihalan pula, murid-murid

perlu memerihalkan sesuatu pengalaman atau peristiwa dan seterusnya dilahirkan

dalam bentuk penulisan. Dalam menghasilkan sebuah karangan jenis keperihalan

yang bermutu, seorang murid itu perlulah mempunyai imaginasi dan daya kreativiti

yang tinggi berdasarkan pengalaman, pembacaan atau perbualan harian. Kesemua

komponen ini akan membantu murid untuk menghasilkan penulisan karangan

keperihalan yang mempunyai jalan cerita yang menarik dengan pengolahan idea

yang berjaya menarik minat pembaca. Jika murid dapat menguasai kemahiran

menulis dan dapat mengembangkan idea dengan baik, maka murid akan dapat

menulis karangan keperihalan dengan baik berdasarkan pengalaman dan

pengetahuan sedia ada murid.


Kesimpulannya, kemahiran menulis menjadi medium utama untuk murid

menyampaikan maklumat yang telah diproses dalam fikiran. Idea-idea yang telah

dikumpul dalam pemikiran murid akan dilahirkan dan diluahkan dalam bentuk

penulisan. Penulisan yang berbentuk perkataan, ayat dan seterusnya menjadi satu

wacana akan menampakkan idea yang ingin disampaikan oleh murid tentang sesuatu

pengalaman atau peristiwa. Walaupun kemahiran menulis merupakan kemahiran

berbahasa yang paling kompleks, murid-murid perlu menguasai kemahiran menulis

pada peringkat sekolah rendah lagi supaya murid tidak akan berdepan dengan

masalah besar apabila berada di peringkat sekolah menengah. Dengan menguasai

kemahiran menulis, murid dapat mengembangkan idea, mengolah isi-isi penting

yang ingin disampaikan, melatih murid membina ayat dengan betul dan gramatis,

meluaskan penggunaan perbendaharaan kata yang baharu dan seterusnya akan

menghasilkan karya penulisan yang bermutu.


Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu

Praktikum selama tiga bulan di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas

Kelantan telah mendedahkan saya kepada fenomena pengajaran dan pembelajaran

yang sebenar. Selama tiga bulan berada di sekolah ini, saya dapat memerhatikan

pelbagai masalah pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dalam mata pelajaran

major iaitu bahasa Melayu. Walaupun mata pelajaran bahasa Melayu dianggap

sebagai satu mata pelajaran yang paling mudah bagi murid, namun saya telah dapat

mengesan pelbagai masalah dan kelemahan yang dihadapi murid yang diajar iaitu

murid Tahun 5 Unggul seramai 38 orang. Jumlah murid seramai 38 orang ini terdiri

daripada 19 murid lelaki dan 19 murid perempuan. Murid-murid saya boleh

dikatakan mempunyai tingkah laku yang baik kerana mereka tidak pernah

mengganggu proses pengajaran saya sehingga menyebabkan pembelajaran mereka

juga terganggu.

Walau bagaimanapun, murid-murid saya ini tidak terlepas daripada

melakukan kesalahan apabila terlibat dengan proses pembelajaran bahasa Melayu

yang melibatkan ketiga-tiga kemahiran berbahasa iaitu kemahiran lisan, kemahiran

membaca dan kemahiran menulis. Dalam kemahiran membaca, saya dapat mengenal

pasti beberapa masalah yang ketara dilakukan oleh murid-murid saya iaitu murid

membaca tanpa sebutan dan intonasi yang betul. Murid masih membaca secara

berlagu dan ada kalanya masih kedengaran sebutan perkataan dalam dialek Kelantan.

Ada juga murid yang tidak dapat menyebut perkataan berimbuhan yang dieja dengan

menggunakan digraf seperti perkataan ‘menyanyi’ dan perkataan ‘menganggur’.

Selain itu, dalam kemahiran membaca ini saya mendapati masih ada dalam kalangan
murid yang tidak dapat membaca secara kuat sehingga sukar untuk didengari oleh

rakan-rakan yang lain. Namun, masalah ini dapat diatasi setelah murid ini diminta

membaca secara kuat dengan lebih kerap. Murid ini juga dilihat lebih berkeyakinan

apabila diminta membaca secara kuat dengan sebutan dan intonasi yang betul.

Melihat kepada masalah kemahiran lisan pula, murid-murid saya

kebanyakannya bertutur dengan menggunakan dialek Kelantan. Memandangkan

lokasi sekolah ini berada di sebuah perkampungan yang bernama Kampung Endong,

maka kebanyakan murid di sini juga menggunakan dialek mereka dalam perbualan

harian walaupun semasa belajar bahasa Melayu. Memang tidak dapat dinafikan

bahawa susah untuk menghilangkan dialek sendiri yang digunakan setiap hari dalam

perbualan harian. Namun, saya telah menetapkan syarat kepada murid-murid saya

supaya menggunakan bahasa Melayu standard semasa mata pelajaran bahasa Melayu

sedang diajar. Nampaknya murid-murid saya sangat memberikan kerjasama apabila

mereka menggunakan bahasa Melayu standard dengan baik sekali semasa menjawab

soalan yang diajukan untuk kemahiran lisan. Walaupun masih ada kedengaran dialek

Kelantan dalam perkataan yang disebut oleh murid, saya terus membetulkan

kesilapan sebutan tersebut. Saya juga tidak jemu mendorong murid untuk bertutur

dalam bahasa Melayu standard. Setelah murid terbiasa bertutur dalam bahasa

Melayu standard, saya mendapati mereka dapat bertutur dengan baik apabila

berkomunikasi dengan saya. Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi saya

sebagai seorang guru bahasa Melayu.


Dalam kemahiran menulis, didapati murid paling banyak melakukan

kesalahan terutamanya dari segi kesalahan tatabahasa. Antara kesalahan tatabahasa

yang paling kerap dan lazim dilakukan oleh murid adalah kesalahan ejaan dan tanda

baca, kesalahan struktur ayat dan menggunakan perkataan dialek Kelantan dalam

penulisan. Masalah lain yang turut diperhatikan dalam kelas yang diajar adalah

murid menulis huruf besar dan huruf kecil dengan bentuk dan saiz yang sama.

Contohnya huruf ‘k kecil’ ditulis sama saiz dan sama bentuk dengan huruf ‘k besar’.

Selain itu, murid juga tidak tahu untuk menggunakan tanda baca ‘koma’ di tempat

yang betul semasa menulis ayat atau semasa membina perenggan, menggunakan

huruf kecil selepas tanda noktah, menulis kata nama khas dengan menggunakan

huruf kecil terutamanya nama manusia, mengeja perkataan mengikut sebutan

contohnya perkataan ‘vandalisme’ dieja sebagai ‘vendelisme’, kurang penguasaan

perbendaharaan kata, kurang tahu maksud peribahasa dan yang paling ketara murid

tidak dapat mengolah dan mengembangkan idea dalam penulisan dengan baik.

Daripada pemerhatian dan semakan hasil kerja murid, saya juga mendapati

murid-murid Tahun 5 Unggul tidak tahu menggunakan ejaan yang betul apabila

menulis ayat melibatkan kata sendi ‘di’ untuk merujuk kepada tempat. Mereka

didapati selalu mengeja perkataan yang mempunyai kata sendi ‘di’ untuk tempat

dengan mengeja secara rapat. Contohnya, perkataan ‘di rumah’ dieja rapat iaitu

‘dirumah’. Ejaan yang sepatutnya adalah ‘di rumah’. Dari segi kekemasan tulisan

pula, masih ada beberapa murid yang tidak menulis dengan kemas, tetapi tulisan

masih boleh dibaca.


Kekerapan murid melakukan kesalahan tanda baca dan ejaan ini dapat

diperhatikan dilakukan oleh hampir kesemua murid walaupun murid tersebut

mendapat markah paling tinggi dalam kertas penulisan. Cuma, kekerapan yang

dilakukan sangat sedikit jika dibandingkan dengan murid yang lemah dalam menulis

karangan. Masalah yang paling jelas dapat saya perkatakan di sini adalah dari segi

penulisan bentuk huruf besar dan huruf kecil yang sama. Daripada semakan buku

tulis murid, saya mendapati lebih daripada lima orang murid melakukan kesalahan

ini. Jika saya tidak menekankan aspek ini, murid akan terus melakukan kesalahan

yang sama kerana mereka sudah terbiasa. Jadi, saya telah membimbing murid-murid

yang terlibat secara individu dalam usaha memastikan mereka tidak lagi melakukan

kesalahan yang sama.

Di samping itu, saya telah meminta seorang demi seorang murid untuk

menulis huruf besar dan huruf kecil bagi abjad A sehingga Z supaya mereka lebih

ingat cara untuk menulis huruf dengan betul. Walaupun masih ada yang masih

melakukan kesilapan yang sama, saya tetap berpuas hati kerana kebanyakan murid

tidak lagi melakukan kesalahan tersebut. Kesalahan tatabahasa lain juga dapat

diatasi sedikit demi sedikit melalui latih tubi secara berterusan yang diberikan kepada

murid. Bagi mengukuhkan lagi kefahaman murid, saya memberikan mereka latihan

pengukuhan.
Dari segi tingkah laku murid di dalam bilik darjah, saya tidak berdepan

dengan masalah besar kerana murid-murid saya kebanyakannya mempunyai

kemahiran interpersonal yang memuaskan dan tidak memberikan masalah kepada

saya. Memang ada beberapa murid yang enggan membuka mulut apabila disoal.

Tetapi, setelah saya memberikan rangsangan berkaitan soalan yang diajukan, murid

dapat memberikan respon yang baik.

Segala kelemahan dan kekurangan yang dialami oleh murid, pertamanya

berpunca daripada guru sendiri yang berperanan utama mendidik dan menyampaikan

ilmu kepada murid. Murid menghadapi pelbagai masalah seperti yang dinyatakan

berpunca daripada sikap guru yang kurang prihatin terhadap penerimaan dan

kefahaman murid terhadap sesuatu yang diajar. Cara penyampaian, kaedah dan

teknik pengajaran yang digunakan mungkin tidak sesuai dengan tahap kebolehan

murid menyebabkan ada murid yang tercicir daripada memahami pengajaran yang

disampaikan oleh guru. Penyampaian guru juga menjadi kurang berkesan akibat

penggunaan bahan bantu mengajar yang kurang menarik atau tiada langsung bahan

bantu mengajar digunakan. Akibatnya, murid mengalihkan tumpuan kepada perkara

lain dan mengabaikan pelajaran yang disampaikan oleh guru.

Berdasarkan masalah yang telah dinyatakan, masalah yang dirasakan perlu

diberikan perhatian dalam usaha membantu murid-murid adalah masalah

mengembangkan idea dalam menghasilkan karangan keperihalan. Masalah-masalah

lain yang dinyatakan boleh diselesaikan dalam jangka masa yang singkat dengan

latihan secara efektif. Manakala, masalah yang melibatkan mengembangkan idea

untuk menghasilkan karangan jenis keperihalan ini perlu diberikan penekanan yang
lebih kerana bahagian karangan ini menyumbang 30 markah dalam peperiksaan

sebenar. Jadi, saya perlu melakukan sesuatu untuk membantu murid-murid yang

lemah dalam mengembangkan idea supaya berlaku perubahan yang positif sama ada

kepada minat murid mahupun pencapaian mereka dalam penulisan.

Masalah yang dinyatakan telah terbukti setelah saya melakukan semakan

terhadap buku latihan murid, hasil kerja dalam lembaran kerja yang diedarkan, temu

bual dengan guru mata pelajaran dan murid sendiri serta keputusan Peperiksaan

Akhir Tahun 2012 serta keputusan Ujian Bulanan Berpusat (UBB) kali pertama bagi

tahun 2013. Saya dapat melihat bahawa murid-murid ketandusan idea untuk

mengembangkan isi-isi penting tentang karangan yang sedang ditulis. Mereka dapat

mengeluarkan isi-isi penting dengan baik, tetapi pengolahan isi tersebut hanya dua

hingga tiga ayat sahaja.

Masalah ini berlaku mungkin berpunca daripada murid yang tidak dapat

menguasai teknik-teknik menjawab soalan penulisan keperihalan dengan betul,

kurang pengetahuan dan pengalaman tentang tajuk soalan dan murid tidak tahu cara-

cara yang betul untuk menghuraikan sesuatu isi penting. Hal ini berlaku mungkin

juga berpunca daripada sikap guru yang mengajar penulisan secara sambil lewa tanpa

menekankan teknik-teknik yang betul untuk menjawab sedangkan menjawab soalan

penulisan memang memerlukan teknik khusus supaya karangan yang dihasilkan

memenuhi kriteria pemarkahan yang telah ditetapkan. Guru juga tidak berusaha

untuk menggunakan teknik paling mudah untuk membantu murid mendapat markah

yang tinggi dalam bahagian penulisan karangan keperihalan dan masih mengajar

murid menggunakan kaedah yang sedia ada. Di samping itu, murid tidak mendapat
manfaat pembelajaran yang memberangsangkan dalam penulisan karangan

keperihalan berpunca daripada bahan bantu mengajar guru yang kurang menarik.

Hal ini menyebabkan murid mudah berasa bosan dan tidak menumpukan perhatian

terhadap pengajaran guru.

Oleh sebab itu, saya telah mengambil keputusan untuk melaksanakan

tindakan kepada murid yang menghadapi masalah untuk mengembangkan idea dalam

menulis karangan jenis keperihalan. Dalam usaha membantu pencapaian murid, saya

akan melaksanakan beberapa tindakan yang boleh membantu dan tidak

membosankan murid. Tindakan yang dirancang ini diharapkan mampu meningkatkan

pencapaian murid dalam menghasilkan karangan jenis keperihalan. Oleh itu, saya

akan berusaha keras dalam usaha memastikan tindakan yang bakal dilaksanakan

akan memberikan manfaat yang sangat berguna kepada murid.

Anda mungkin juga menyukai