Anda di halaman 1dari 2

TAJUK : CIRI DAN STRUKTUR MASYARAKAT ARAB JAHILIAH

Cth Soalan : Huraikan ciri dan struktur masyarakat Arab pada zaman Jahiliah.

Jahiliah atau Jahala dalam bahasa Arab membawa maksud jahil atau sesat
dalam aspek rohani, agama dan nilai kemanusiaan. Dalam konteks agama Islam,
jahiliah merujuk kepada keadaan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Manakala
dalam konteks masyarakat pula merujuk kepada masyarakat yang mendiami di
Semenanjung Tanah Arab semasa zaman jahiliah atau lebih tepat zaman sebelum
kedatangan Islam. Zaman Jahiliah berlangsung selama tiga abad iaitu selepas
Kerajaan Saba‘ runtuh sehingga kedatangan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610
masihi. Ciri umum masyarakat ini adalah tidak memiliki nabi, rasul atau kitab sebagai
pedoman hidup dan kebanyakkan hidup dalam keadaan tidak berakhlak. Struktur
masyarakat pula terdiri daripada golongan Badwi dan Hadari.

Meskipun hidup dalam kekufuran, namun ciri-ciri masyarakat Arab Jahiliah


dalam aspek politik dan pentadbiran masih menyerlah. Mereka mempunyai institusi
pentadbiran yang berfungsi mengurus tatacara hidup bermasyarakat yang dikenali
sebagai Majlis Kabilah. Dalam majlis ini terdapat pembahagian tugas yang bertujuan
untuk melicinkan urusan pentadbiran. Terdapat beberapa majlis tertentu mengikut
bidang seperti Majlis Siqayah, Majlis Hijabah dan sebagainya. Namun, penjajahan
Rom dan Parsi di sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab menyebabkan
ketidakstabilan politik. Tambah teruk lagi, sistem kabilah yang sebati dalam kalangan
masyarakat Arab menyebabkan mereka saling berperang. Keadaan ini didorong oleh
semangat assabiyah yang menyebabkan keadaan tidak aman berlaku. Maka, dapat
dirumuskan meskipun masyarakat Jahiliah memiliki ilmu politik namun perpaduan
yang tidak wujud menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang huru-hara akibat
ancaman dalam dan luar.

Seterusnya, masyarakat Arab Jahiliah juga tidak mempunyai akidah yang


benar dan tidak mengakui kewujudan Tuhan. Kebanyakkan mereka mengamalkan
pelbagai kepercayaan animisme yang melawan akidah Islam. Antara kepercayaan
mereka ialah penyembahan berhala (wathani), pemujaan api (majusi), Nasrani
(Kristian), Yahudi dan agama Hanif. Penyembahan berhala yang paling dominan di
Makkah merupakan ajaran yang dibawa dari Syam oleh kaum Khuza’ah. Dikatakan
terdapat 360 buah patung berhala di sekeliling Kaabah. Sementara agama Majusi
pula dibawa dari Parsi dan bertapak di Yaman, Oman dan Bahrain. Pengikut Majusi
memuja api dan mengorbankan manusia. Manakala agama Nasrani yang dianuti oleh
kaum Bakar, kaum Salih dan sebagainya pula terdiri daripada Bani Israel yang telah
dipesongkan akibat perubahan dalam Kitab Injil. Dalam kebanyakkan agama tersebut,
hanya agama Hanif yang masih memegang tauhid Islam. Terdapat juga masyarakat
Arab Jahiliah yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan yang dikenali sebagai ad-
Dahriyyun. Ketiadaan sumber pedoman merupakan salah satu punca mereka hidup
dalam keadaan yang penuh dengan kekacauan.
Struktur masyarakat Arab pada zaman Jahiliah pula terdiri daripada Arab Badwi
dan Arab Hadari. Arab Badwi merujuk kepada golongan luar bandar yang ramai
mendiami kawasan tengah Semenanjung Tanah Arab. Mereka hidup dengan ikatan
kekeluargaan yang kuas berasaskan bahasa, keturunan, adat dan agama. Mereka
hidup terasing menyebabkan mereka kurang mendapat pengaruh luar. Selain itu
mereka juga banyak mendiami di kawasan padang pasir dan hidup secara nomad
berhampiran oasis. Kegiatan ekonomi mereka antaranya penternakan dan pertanian.
Mereka juga disamakan dengan golongan Arab Utara. Manakala Arab Hadari pula
dirujuk sebagai masyarakat bandar atau kota. Mereka dikatakan hidup lebih maju dan
mendiami di bandar-bandar utama seperti di Yaman, Makkah dan Madinah. Mereka
mendirikan petempatan kekal dan hidup serba mewah. Mereka juga aktif dalam
kegiatan ekonomi perdagangan dan pertukangan. Selain itu, mereka juga menjalinkan
hubungan dengan komuniti luar untuk tujuan perdagangan dan sebagainya. Jelaskan
kelihatan terdapat jurang yang ketara dalam masyarakat Arab terutama dalam aspek
ekonomi.

Struktur masyarakat Arab Jahiliah pula dipisahkan dengan sistem kabilah.


Sistem ini merujuk kepada anggota kabilah berasal dari pertalian dan keturunan yang
sama. Kehidupan mereka terikat dengan semangat assabiyah atau fanatik terhadap
kaum yang menjadi asas mereka memelihara kepentingan dan kekuasaan kabilah
masing-masing. Semangat ini menyebabkan perpaduan dalam kabilah mereka sangat
kuat. Setiap kabilah terdiri daripada beberapa unit yang bermula dari a’ilah iaitu unit
terkecil yang terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak kemudian disusuli dengan
gabungan beberapa khemah yang dikenali sebagai hayy. Gabungan beberapa hayy
pula dikenali sebagai bani dan gabungan antara bani inilah yang membentuk sebuah
kabilah. Secara amnya, sistem kabilah ini merupakan unit sosial yang berfungsi
mengawal sistem pentadbiran di Semenanjung Tanah Arab. Meskipun hidup dalam
keadaan saling bermusuh, namun sebenarnya asas hidup bermasyarakat jelas wujud
dalam setiap kabilah.

Kesimpulannya, masyarakat Arab pada zaman Jahiliah sebenarnya memiliki


ikhtiar dan usaha untuk membina kehidupan yang lebih stabil buktinya mereka
memiliki sistem politik dan ekonomi yang sistematik. Namun, apa yang menjadikan
hidup mereka mundur adalah disebabkan sikap degil dan jahil mereka yang enggan
memajukan diri dari segi pengetahuan dan hidup saling membenci sesama kabilah
menyebabkan mereka saling bermusahan. Akhirnya, kehidupan mereka masih di
takuk yang sama kerana ketidakseimbangan antara keperluan hidup bermasyarakat
dan nilai kemanusiaan.

Anda mungkin juga menyukai