Anda di halaman 1dari 7

Tugasan 1: Menulis Esei I (25 peratus)

Analisis modul seni bahasa serta modul tatabahasa dan buktikan kedua-dua
modul ini dapat mengukuhkan kecekapan mendengar, bertutur, membaca dan
menulis murid.

Penggunaan bahasa Melayu yang terhad dan kurang menyerlah dalam


kalangan murid turut menjejaskan kemahiran bertutur, membaca dan menulis (Siti
Farhana Abdullah & Siti Aisyah Sa’id, 2017). Masalah ini amat dikhuatiri oleh para
guru kerana kemahiran-kemahiran tersebut amat penting untuk mempersiapkan
murid-murid menduduki peperiksaan kertas bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian,
Modul Seni Bahasa dan Tatabahasa diperkenalkan dalam Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu Sekolah Rendah untuk
menyokong tiga modul utama yang berasaskan empat kemahiran, iaitu kemahiran
mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Modul Seni Bahasa adalah penting dalam mendorong para guru menjalankan
pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang bukan sahaja seronok dan santai tetapi
juga dapat menjana pemikiran yang kreatif. Antara aktiviti yang difokuskan dalam
Modul Seni Bahasa ialah aktiviti bernyanyi. Hal ini boleh dilihat menerusi Jadual 1 di
bawah:

Tahun Standard Pembelajaran (SP)


1 4.2.2 Menyanyikan lagu dengan sebutan yang betul dan intonasi yang
sesuai;
(i) lagu berdasarkan melodi lagu kanak-kanak
2 4.2.2 Menyanyikan lagu dengan sebutan yang betul dan intonasi yang
sesuai serta melakukan aksi mengikut lirik;
(i) melodi lagu kanak-kanak
(ii) melodi lagu rakyat
4.3.3 Mempersembahkan lagu;
(i) kanak-kanak
(ii) rakyat
3 4.2.2 Menyanyikan lagu mengikut irama lagu kanak-kanak, dan lagu
rakyat serta menjelaskan maksud bahasa yang indah dalam lirik
lagu
4.3.3 Mengubah suai seni kata lagu secara berpandu dan
mempersembahkan lagu secara kreatif
4 4.2.2 Menyanyikan lagu mengikut irama lagu rakyat dan menjelaskan
maksud lirik lagu
4.3.3 Mengubah suai seni kata lagu dan mempersembahkannya secara
kreatif
5 4.3.3 Mengubah suai seni kata lagu dengan menggunakan diksi yang
sesuai dan mempersembahkannya dengan gaya yang kreatif.
6 4.1.2 Memahami dan mengubah suai seni kata lagu secara bebas dan
mempersembahkannya melalui nyanyian secara didik hibur.
Jadual 1: Standard Pembelajaran Modul Seni Bahasa

Hasil analisis kepada Standard Pembelajaran Modul Seni Bahasa, didapati


bahawa aktiviti nyanyian untuk tahap 1 adalah berteraskan pencapaian murid untuk
memahami dan menyebut lirik lagu dengan betul. Jadi, murid akan menjalankan
pembelajaran mereka secara terkawal, iaitu dibimbing dan dipandu oleh guru
semasa bernyanyi. Hal ini berbeza dengan tahap 2 kerana aktiviti nyanyian untuk
tahap 2 lebih menjurus kepada pengukuhan murid untuk memahami dan
menjelaskan lirik lagu yang dipelajari. Aspek kreativiti juga akan diterapkan dalam
aktiviti nyanyian tersebut dengan mengubah suai seni kata lagu untuk
dipersembahkan. Oleh itu, dilihat bahawa adanya unsur ansur maju bagi Standard
Pembelajaran tahap 1 dan tahap 2, iaitu daripada aktiviti asas seperti menyebut dan
memahami hingga aktiviti kompleks dan mencabar seperti menjelas dan mencipta.

Dalam konteks PdP, penggunaan muzik dan nyanyian dilihat sebagai alat
pedagogi yang berguna kepada guru terutamanya ketika mengajar di dalam bilik
darjah. Sebagai contoh, untuk SP tahun 1 4.2.2 Menyanyikan lagu dengan sebutan
yang betul dan intonasi yang sesuai berdasarkan melodi lagu kanak-kanak, guru
boleh melaksanakan PdP dalam mata pelajaran bahasa Melayu dengan
menyanyikan lagu ‘huruf vokal’ berdasarkan melodi lagu ‘burung kakak tua’. Objektif
aktiviti ini ialah murid boleh menyebut lima huruf vokal berdasarkan lirik lagu yang
didengar dengan sebutan yang betul. Apabila objektif aktiviti tersebut dicapai, kanak-
kanak dapat mengembangkan kemahiran mendengar dan ingatan mereka. Hal ini
boleh dibuktikan menerusi kajian Aizenman, Gold dan Sekuler (2013). Mereka
menunjukkan bahawa kanak-kanak yang melihat dan mendengar lagu dan muzik
tersebut akan lebih memberikan tumpuan dari aspek pendengaran dan meneliti
setiap lirik yang diperdengarkan.
Selain itu, aktiviti nyanyian juga dapat meningkatkan kemahiran membaca,
menulis dan membentuk kemahiran literasi kanak-kanak. Sebagai contoh, untuk SP
tahun 6 4.1.2 Memahami dan mengubah suai seni kata lagu secara bebas dan
mempersembahkannya melalui nyanyian secara didik hibur, guru boleh
mengedarkan teks lirik lagu ‘Air Pasang Pagi’ dan mengajar murid-murid
menyanyikan lagu tersebut. Seterusnya, murid diminta untuk mencipta dan
mengubah suai lirik lagu tersebut bersesuaian dengan tema pembelajaran seperti
keselamatan jalan raya serta menyanyikannya. Objektif aktiviti ini ialah murid boleh
menulis bagi melengkapkan lirik lagu yang telah dibaca dan didengari oleh mereka.
Keberkesanan aktiviti ini boleh dilihat berdasarkan kajian Mielonen dan Paterson
(2009). Mereka mendapati bahawa elemen muzik membantu kanak-kanak untuk
mengenali teks dengan lebih berkesan berbanding pertuturan dan mempelajari
sesuatu bahasa baru.

Modul Tatabahasa pula diperkenalkan supaya murid dapat memahami dan


menggunakan tatabahasa dengan betul dan tepat dalam pelbagai konteks secara
lisan dan bertulis. Berdasarkan Standard Kandungan Modul Tatabahasa 5.1
Memahami fungsi dan menggunakan golongan kata mengikut konteks, golongan
kata merupakan salah satu aspek yang diutamakan dalam Modul Tatabahasa.
Standard Kandungan tersebut dibahagikan kepada beberapa Standard
Pembelajaran dan Standard Pembelajaran yang akan saya fokuskan adalah
berkaitan dengan kata adjektif. Hal ini boleh dilihat menerusi Jadual 2 di bawah:

Tahun Standard Pembelajaran (SP)


1 5.1.3 Memahami, mengenal pasti dan menggunakan kata adjektif
mengikut konteks;
(i) sifat / keadaan
(ii) warna
(iii) bentuk
2 5.1.3 Memahami dan mengenal pasti penggunaan kata adjektif
mengikut konteks.
(i) sifat / keadaan
(ii) warna
(iii) bentuk
(iv) waktu
3 5.1.3 Memahami dan menggunakan kata adjektif mengikut konteks;
(i) waktu
(ii) ukuran
(iii) pancaindera
4 5.1.3 Memahami dan menggunakan kata adjektif mengikut konteks;
(i) cara
(ii) jarak
(iii) ukuran
(iv) perasaan
(v) pancaindera
5 5.1.3 Memahami dan menggunakan pelbagai kata adjektif mengikut
konteks
6 5.1.5 Memahami dan menggunakan pelbagai jenis kata adjektif, kata
adverba, kata penguat, dan kata penegas mengikut konteks
dengan betul.
Jadual 2: Standard Pembelajaran Modul Tatabahasa

Hasil analisis kepada Standard Pembelajaran Modul Tatabahasa, didapati


bahawa murid-murid Tahap 1 hanya mempelajari jenis kata adjektif yang asas dan
mudah sahaja. Contohnya, sifat, warna, bentuk dan waktu. Hal ini berbeza dengan
murid-murid Tahap 2 kerana mereka mempelajari jenis kata adjektif yang lebih
kompleks dan menyeluruh. Untuk murid-murid tahun 5 dan 6, mereka haruslah
mampu memahami dan menggunakan semua jenis kata adjektif yang dipelajari
untuk mencapai objektif hasil pembelajaran. Justeru, boleh dikatakan bahawa
adanya ansur maju dalam Standard Pembelajaran tahap 1 dan tahap 2, iaitu
menjadi semakin kompleks mengikut peringkat umur dan perkembangan murid
walaupun Standard Kandungan adalah sama.

Dalam Modul Tatabahasa, guru boleh menjalankan pelbagai aktiviti yang


menggabungjalinkan dua atau tiga kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid.
Sebagai contoh, untuk SP Tahun 5 5.1.3 Memahami dan menggunakan pelbagai
kata adjektif mengikut konteks, guru boleh merancang aktiviti “Cuba Teka Objek
Rahsia Saya” untuk mengajar kata adjektif. Aktiviti ini dijalankan dengan meminta
murid-murid menyimpan satu objek ke dalam beg kertas untuk dibawa ke sekolah. Di
dalam kelas, murid-murid akan menyenaraikan kata-kata adjektif yang
menggambarkan objek tersebut untuk diteka oleh rakan-rakan sekelas apa yang ada
di dalam beg kertas tersebut. Objektif aktiviti ini ialah murid boleh menyatakan tiga
kata adjektif dengan betul berpadanan dengan objek. Melalui aktiviti ini, murid-murid
bukan sahaja dapat memperkukuh dan belajar mengaplikasikan kemahiran
mendengar dan bertutur yang sedia ada, malah dapat menguasai tatabahasa
dengan baik. Hal ini selari dengan pendapat Abdul Aziz Abdul Talib (1993) bahawa
seseorang akan menguasai aspek tatabahasa yang dipelajari melalui aktiviti
mendengar sebagai proses menerima komunikasi dan aktiviti bertutur sebagai
proses penghasilan bahasa.

Selain aktiviti mendengar dan bertutur, guru juga boleh merancang aktiviti
membaca atau menulis yang sesuai untuk mengajarkan tatabahasa. Sebagai contoh,
untuk SP tahun 2 5.1.3 Memahami dan mengenal pasti penggunaan kata adjektif
seperti sifat atau keadaan, warna, bentuk dan waktu mengikut konteks, guru boleh
menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sebagai alat bantu
mengajar (ABM) untuk menjalankan aktiviti ‘Mencari Penjenayah’. Dalam aktiviti ini,
murid-murid dikehendaki membaca dialog yang diucapkan oleh saksi-saksi kes
rompakan untuk mencari dan menangkap penjenayah yang menepati ciri-ciri
(dengan menggunakan kata adjektif). Objektif aktiviti ini ialah murid boleh membaca
dan mengenal pasti empat kata adjektif yang digunakan dalam dialog. Penggunaan
ABM sebenarnya berfungsi sebagai pemudah cara kepada pengajaran guru selain
dapat memudahkan murid untuk menguasai kemahiran berbahasa dan tatabahasa
bahasa Melayu. Hal ini dapat dilihat melalui pendapat Adenan (2012) yang
mengatakan bahawa penggunaan ABM akan meningkatkan keseronokan
pembelajaran murid. Melalui kajian yang telah dilakukan, beliau mendapati bahawa
70% guru bersetuju bahawa penggunaan ABM membantu murid memahami isi
pelajaran dengan lebih berkesan.

Kesimpulannya, Modul Seni Bahasa menekankan pembelajaran secara didik


hibur manakala Modul Tatabahasa menekankan aspek morfologi dan sintaksis
bahasa Melayu. Kedua-dua modul dikatakan penting untuk mengukuhkan kecekapan
kemahiran berbahasa dalam kalangan murid.
Bibliografi

Abdul Aziz Abdul Talib. (1993). Menguji Kemahiran Bahasa: Prinsip, Teknik dan
Contoh. Dewan Bahasa dan Pustaka.
https://www.academia.edu/6637487/Menguji_Kemahiran_Bahasa_Prinsip_Tekni
k_dan_Contoh

Adenan Ayob. (2012). Siri Pendidikan Guru: Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu.
Oxford Fajar Sdn.Bhd

Aizenman, A., J. Gold, and R. Sekuler. (2013). Multisensory Integration in Visual


Pattern Recognition: Music Training Matters. Journal of Vision, 13 (9), 1082-
1082.
https://www.researchgate.net/publication/273090688_Multisensory_Integration_i
n_Visual_Pattern_Recognition_Music_Training_Matters

CikguEqa. (2021, Mac 7). Lagu Huruf Vokal A I U O E [Video]. YouTube.


https://www.youtube.com/watch?v=6vcrkOdghDo

Didi & Friends. (2021, Mac 7). Lagu Kanak-kanak: Air Pasang Dalam [Video].
YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=JmOs_uPw6Rw

Faridah Nazie, Faridah Shamsudin, & Amran Bakar. (2018). Kajian Kurikulum
Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Sasbadi Sdn Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2021, Mac 7). Kurikulum Sekolah Rendah. Portal
Rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum.
http://bpk.moe.gov.my/index.php/terbitan-bpk/kurikulum-sekolah-rendah

Mielonen, A. M., & Paterson, W. (2009). Developing Literacy through Play. Journal of
Inquiry and Action in Education, 3(1), 15-46.
https://files.eric.ed.gov/fulltext/EJ1134673.pdf

Siti Farhana Abdullah, & Siti Aisyah Sa’id. (2017, Mac 14). Muzik Mengalun, Bahasa
Bergema: Kata Adjektif dalam Lirik Lagu [Pembentangan kertas]. Seminar
Bahasa Melayu 2017, Singapura.
https://academyofsingaporeteachers.moe.edu.sg/docs/librariesprovider6/ml-poet
ry-sg50/seminar-bahasa-melayu-2017/kertas-kerja-sesi-sidang-selari/ml-seminar
-2017---paper---16.pdf

Anda mungkin juga menyukai