Kemahiran Bertutur
Kemahiran Bertutur
Bertutur merupakan satu cara berkomunikasi yang kompleks dan melibatkan proses mental yang
menggerakkan alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna. Di samping
penghasilan bunyi bahasa, seseorang itu akan menggunakan unsur-unsur prosodi dan cara
paralinguistik semasa bertutur bagi menguatkan maksud pertuturan. Unsur prosodi ialah intonasi,
nada, tekanan, sebutan dan jeda. Manakala unsur para linguistik ialah bahasa isyarat dan pergerakan
badan. Bertutur ialah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat-alat sebutan
atau dikenali juga sebagai artikulator. Bertutur merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana
berbahasa dan berlaku pada peringkat produksi. Oleh sebab itu, model-model yang diperdengar
haruslah model-model yang baik yang membolehkan pelajar-pelajar bertutur secara berkesan.
Berdasarkan sukatan pelajaran bahasa Melayu, kemahiran lisan melibatkan kemahiran yang
berkaitan dengan aktiviti yang berikut:
(a) Berkaitan dengan kemahiran mendengar dan menyebut atau mengajuk bunyi dan suara.
(b) Kemahiran yang berhubung dengan arahan dan permintaan terutama yang berkaitan dengan diri
dan masyarakat setempat.
(c) Pengucapan yang berunsur sosial dan bermoral.
(d) Soal jawab dengan tujuan untuk berinteraksi, sosialisasi dan berkomunikasi.
(e) Bercerita sebagai cara untuk menyampaikan pengalaman dan perasaan individu.
(f) Berita dan laporan iaitu kemahiran melahirkan semula pengalaman dan pengamatan secara lisan
dalam struktur ayat dan frasa yang baik.
(g) Kemahiran bersyarah dengan menggunakan bahasa, intonasi, gaya di samping suara yang baik
dan jelas maksudnya.
(h) Lakonan dan puisi iaitu kemahiran menyampaikan pendapat dalam gaya yang menarik dan
serentak.
(i) Perbincangan dan perbahasan iaitu kemahiran mengeluarkan pendapat di samping
mempertikaikan pendapat orang lainsecara serentak.
Tujuan bertutur
Kemahiran bertutur diajarkan untuk membolehkan murid bertutur dan mengeluarkan buah fikiran
dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam pelbbagai keadaan perhubungan seperti perbualan
dengan rakan-rakan, guru, ibu bapa serta dalam aktiviti perbahasan dan syarahan. Dalam menguasai
kemahiran tersebut, guru haruslah memastikan murid boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan
betul dari segi sebutan, intonasi serta menggunakan perkataan dan ayat dengan tepat.