Anda di halaman 1dari 8

Karangan faedah laman sosial

Selaras dengan zaman globalisasi dan ledakan maklumat, penggunaan laman sosial
khususnya dalam kalangan remaja menjadi satu fenomena dalam dunia komunikasi pada
masa ini. Pertambahan bilangan pengguna telefon pintar menjadikan aplikasi laman sosial
semakin popular dan muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan boleh dimuat turun
melalui ‘Google Play’ dengan mudah. Sesungguhnya, penggunaan laman sosial memberi
banyak faedah kepada pengguna.
Pada pandangan saya, antara faedahnya ialah menambahkan kenalan. Hal ini
dikatakan demikian kerana laman sosial membuka ruang yang seluas-luasnya kepada
seseorang untuk mencari dan mengenali rakan mereka melalui paparan maklumat peribadi
dan foto yang dimuat naik. Di samping itu, pengguna laman sosial juga dapat menghubungi
atau bertukar-tukar pesanan ringkas serta berkongsi cerita dengan rakan mereka pada bila-
bila masa. Sebagai contoh, pengguna boleh menambahkan kenalan menerusi aplikasi
Facebook kerana aplikasi ini menyediakan kemudahan carian kenalan, paparan data peribadi,
foto dan pengguna hanya menekan aksara ‘pemintaan untuk menjadi rakan’ jika berhajat
untuk berbuat demikian. Tegasnya, menambahkan kenalan merupakan antara faedah
menggunakan laman sosial.
Selain itu, mempromosi barangan juga dikenal pasti sebagai salah satu manfaat yang
diperoleh daripada penggunaan laman sosial. Hal ini bermaksud, laman-laman sosial
menyediakan ruang kepada mana-mana usahawan untuk mempromosikan produk mereka
secara dalam talian. Lagipun, laman-laman sosial ini menjadi wahana yang cukup berkesan
untuk menarik perhatian pengguna internet kerana maklumat tentang sesuatu barangan boleh
diakses dengan mudah pada bila-bila masa. Contohnya, para usahawan boleh membuka
akaun facebook dan menggunakan akaun tersebut untuk menyatakan maklumat terperinci
tentang sesuatu produk yang dihasilkan. Mereka juga boleh melakukan perkara yang sama
melalui WhatsApp atau Twitter walaupun paparan dalam kedua-dua aplikasi ini agak
terbatas. Jelaslah bahawa salah satu manfaat laman sosial ialah mempromosikan barangan.
Faedah menggunakan laman sosial yang berikutnya ialah menyebarkan maklumat.
Dalam konteks ini, para pengguna boleh memanfaatkan laman sosial untuk berkongsi sesuatu
maklumat yang terkini bersama-sama rakan yang lain dalam talian. Tambahan pula, kos
untuk menyebarkan maklumat melalui laman sosial lebih murah berbanding dengan kaedah
konvensional. Misalnya, para pengguna boleh menggunakan laman sosial untuk
menghebahkan maklumat tentang pelajaran dengan menggunakan WhatsApp, Twitter atau
Facebook di rumah masing-masing. Mereka juga boleh menyebarkan maklumat tentang isu
semasa di dalam atau di luar negara dan berkongsi idea dengan pengguna internet yang lain.
Saya optimis bahawa menyebarkan sesuatu maklumat dengan pantas dan menjimatkan
merupakan antara faedah yang diperoleh menerusi penggunaan laman sosial dalam kalangan
masyarakat.
Kesimpulannya, setiap pengguna mestilah berusaha untuk memanfaatkan laman sosial
secara optimum agar laman ini menjadi medium yang boleh membantu seseorang untuk
berinteraksi secara lebih mudah. Dalam hal ini, orang tua-tua pernah menyatakan bahawa
kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Karangan kesan penggunaan telefon bimbit

Pada suatu masa dahulu, telefon bimbit dianggap sebagai barangan mewah yang
tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan orang selain bentuknya yang besar dah sukar dibawa.
Namun, selepas kita memasuki alaf baru, pengguna telefon bimbit meningkat bak cendawan
tumbuh selepas hujan disebabkan harganya yang jauh lebih murah selain bentuknya yang
lebih kecil dan senang dibawa ke mana-mana. Kini, tidak hairanlah hampir semua penduduk
dunia mempunyai sekurang-kurangnya sebuah telefon bimbit. Pelajar sekolah pula tidak
ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kecanggihan malah ada juga yang telah pun
mempunyai telefon pintar. Persoalannya, adakah telefon bimbit memberi implikasi baik
ataupun impak negatif terhadap masyarakat?
Penggunaan telefon bimbit sudah semestinya banyak membantu dalam komunikasi
harian. Kita tidak perlu lagi bersusah-payah untuk pergi ke rumah seseorang untuk berkongsi
ataupun menyampaikan maklumat. Bukan itu sahaja, keselamatan seseorang individu juga
akan lebih terjamin kerana telefon bimbit mudah digunakan bagi mendail pihak polis atau
sesiapa sahaja dalam masa kecemasan. Perkara sebegini amat penting terutamanya bagi
seseorang pelajar yang berada dalam kecemasan. Perkongsian matlumat tentang pelajaran
atau kerja rumah juga dapat dilakukan dengan lebih mudah dengan adanya telefon bimbit.
Selain itu, penggunaan telefon bimbit juga dapat merapatkan silaturahim sama ada
dengan rakan atau sanak saudara terutamanya yang berada jauh di perantauan. Kita dapat
menelefon orang tersayang bagi mengubati rindu dengan kos yang tidak terlalu mahal. Lebih-
lebih lagi, dengan teknologi 3G, kita dapat membuat membuat panggilan video kepada orang
tersayang. Teknologi sebegini amat penting bagi mengubati rindu selain mengukuhkan
silaturahim dalam kalangan sanak-saudara.
Malangnya, disebalik kebaikan telefon bimbit, ada udang di sebalik batu di sebalik
penggunaannya. Hal ini demikian kerana telefon bimbit dapat memberikan impak negatif
terhadap penggunanya. Pertama, kebanyakan orang yang menggunakan telefon bimbit tidak
menggunakannya untuk kebaikan. Hal ini demikian kerana ramai yang menggunakan
khidmat pesanan ringkas untuk tujuan menghantar pesanan ringkas yang tidak berguna
seperti memikat seseorang, menghantar pesanan sekadar menghilangkan kebosanan dan
sebagainya. Perkara ini akan membawa kepada pembaziran dan seterusnya meningkatkan kos
sara hidup.Bukan itu sahaja, pelajar sekolah juga dapat menggunakan telefon bimbit untuk
meniru dalam peperiksaan, menganjurkan aktiviti jenayah dan juga menyebarkan video lucah
di sekolah. Perkara sebegini akan menyebabkan keruntuhan moral yang teruk bagi generasi
muda negara ini.
Di samping itu, sikap remaja zaman sekarang yang suka bersaing dalam mengejar
kecanggihan juga amat membimbangkan. Hal ini demikian kerana bukan mereka yang
menanggung kesusahan tetapi ibu bapa yang perlu bermandi peluh dalam merealisasikan
hasrat anak mereka memiliki telefon bimbit canggih. Bagi golongan yang berpendapatan
menengah rendah, sudah pasti perkara ini menjadi beban kepada mereka. Bagi golongan
menengah atas pula, mereka sering memanjakan anak mereka dengan membelikan telefon
pintar atau telefon canggih lain sehingga mengabaikan tanggungjawab demi pekerjaan
semata-mata.
Seterusnya, mengikut kajian terbaru daripada 31 saintis daripada 14 negara-negara
maju termasuk Amerika Syarikat, penggunaan telefon bimbit yang berlebihan dapat
mendatangkan penyakit barah otak. Hal ini demikian kerana gelombang elektromagnet yang
terhasil daripada telefon bimbit apabila terkena pada sel-sel otak untuk masa yang berlarutan
akan menyebabkan mutasi genetik terhadap sel-sel otak tersebut dan seterusnya
menyebabkan kanser otak. Perkara sebegini amat membimbangkan terutama kepada
usahawan ataupun khidmat pelanggan yang perlu menggunakan telefon untuk jangka masa
yang panjang dalam sehari demi pekerjaan mereka.

Kesimpulannya, walaupun terdapat banyak kebaikan yang boleh kita terima


daripada penggunaan telefon bimbit, kita juga akan menerima kesan negatif daripada
penggunaan telefon bimbit jika tidak digunakan secara berhati-hati. Jadi, seseorang perlu
bijak dalam menggunakan telefon bimbit agar tidak terlibat dalam kancah pembaziran,
jenayah ataupun dihidapi penyakit kronik.
Karangan kepentingan teknologi maklumat
dan komunikasi

Dalam meniti arus kemodenan, teknologi maklumat dan komunikasi amat mustahak
dalam kalangan masyarakat kini. Terdapat banyak kemajuan dalam teknologi maklumat dan
komunikasi, daripada telefon yang besar kepada telefon bimbit yang amat nipis dan banyak
kegunaan , daripada mencari maklumat di perpustakaan kepada mendapatkan maklumat
daripada Internet. Maklumat kini semuanya berada di hujung jari sahaja . Sehubungan dengan
itu, jelaslah bahawa terdapat banyak kepentingan teknologi maklumat kepada manusia.
Salah satu daripadanya ialah kecanggihan teknologi maklumat pada marcapada ini
mampu mempercepat kerja kita.Hal ini terbukti apabila majoriti populasi masyarakat di
Malaysia kini mencari bahan atau sumber maklumat mereka hanya daripada Internet.Mereka
tidak mencari bahan yang mereka perlukan di perpustakaan kerana di situ mereka perlu
bersusah payah mencari buku-buku yang mengandungi maklumat yang mereka inginkan di
atas rak yang disusuni dengan ribuan buku. Masalah ini akan banyak memakan masa mereka.
Sebaliknya, masyarakat modenisasi kini hanya duduk di rumah, di hadapan komputer mereka
dan menekan satu klik sahaja demi mendapatkan maklumat yang diperlukan oleh mereka.
Kecanggihan teknologi maklumat ini jelas sekali dapat menjimatkan masa di samping dapat
mempercepat sesuatu kerja yang dilakukan oleh mereka.
Kemaslahatan seterusnya, teknologi maklumat dan komunikasi pada alaf ini dapat
membuatkan kita berhubung dan berkomunikasi dengan orang yang berada jauh daripada
kita. Misalnya, seorang anak yang melanjutkan pelajaran di sebuah UNIVERSITI yang jauh
daripada tempat tinggal mereka boleh melepaskan kerinduan terhadap ibu bapa mereka
dengan hanya menelefon mereka. Bagi mereka yang melanjutkan pelajaran di luar negara
pula, mungkin caj panggilan telefon amat mahal tetapi mereka boleh mengatasi masalah itu.
Caranya adalah dengan menggunakan kemudahan laman sosial yang semakin banyak muncul
belakangan ini bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Laman sosial dapat membuatkan
mereka berinteraksi dengan kadar yang rendah. Jika rindu untuk berbual-bual sambil menatap
muka mereka, pelajar itu sendiri boleh menggunakan aplikasi panggilan video. Aplikasi ini
boleh didapati dalam laman sosial seperti ‘Skype’. Dengan adanya kemudahan ini, hubungan
kekeluargaan tidak akan putus walaupun tinggal berjauhan.
Dalam konteks ini, para murid dapat menggunakan Internet untuk membantu
pembelajaran mereka juga antara kepentingan teknologi maklumat kepada manusia. Senario
ini dapat dilihat apabila sudah ada banyak laman ‘blog’ yang berkaitan dengan sesuatu subjek
mengikut sukatan pembelajaran di sekolah yang memenuhi Internet. Dalam ‘blog’ tersebut,
terdapat banyak cara menjawab soalan peperiksaan dan tips yang diberikan untuk menghafal
sesuatu sukatan pembelajaran. Kebiasaannya, tips-tips ini diberikan sendiri oleh guru-guru
cemerlang yang ada di seantero Malaysia. Rentetan itu, hal ini akan sedikit sebanyak
membantu para murid dalam meningkatkan lagi kefahaman mereka terhadap sesuatu subjek
yang mereka lemah. Hal ini juga akan dapat membuatkan seseorang murid itu dapat
menjawab soalan peperiksaan dengan baik lantas membolehkan mereka mendapat keputusan
yang cemerlang.
Kesimpulannya, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi memainkan peranan
yang amat mustahak kepada manusia pada hari ini. Teknologi ini akan terus ditambahbaikkan
dari semasa ke semasa supaya kerja harian manusia akan menjadi lebih mudah. Oleh itu, kita
tidak boleh ketinggalan dalam kemajuan teknologi maklumat. Kita hendaklah sentiasa
mengikuti perkembangan semasa agar negara dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
dengan negara-negara maju lain.
Kepentingan Internet Dalam Bidang Pendidikan

Pada zaman serba canggih ini, kemudahan internet merupakan satu kemudahan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang amat diperlukan oleh masyarakat zaman
sekarang. Internet amat berguna dalam melakukan tugas-tugas harian terutamanya bagi
mereka yang ingin menyelesaikan urusan-urusan penting mereka dalam kaedah yang cepat
dan mudah serta menjimatkan kos. Pengguna Internet di Malaysia telah meningkat sekali
ganda daripada tahun lalu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dengan kebanyakan
pengguna berusia dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun. Berdasarkan kajian yang dibuat,
rakyat Malaysia membelanjakan sebanyak RM552 setahun dengan bayaran internet sebanyak
RM46 sebulan. Kini,penggunaan internet tidak hanya terhad di tempat kerja sahaja malah
institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti turut menggunakan internet sbagai salah
satu kaedah pembelajaran bagi para pelajarnya. Penggunaan membolehkan bidang
pendidikan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dunia dan peredaran zaman sekali
gus melonjakkan status pendidikan di Malaysia ke arah yang lebih tinggi setaraf dengan
pendidikan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom secara
holistik. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan Internet kepada bidang pendidikan
terutamanya di Malaysia?

Kata-kata hikmat ada menyatakan bahawa “ilmu itu luas dan tiada sempadan”. Baru-
baru ini, berita di televisyen telah menyiarkan lawatan Timbalan Perdana Menteri yang juga
merupakan Menteri Pelajaran iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin ke sebuah sekolah berprestasi
tinggi di Alabama, Amerika Syarikat. Semasa lawatan beliau ke sekolah tersebut, beliau telah
meninjau sebuah kelas yang menggunakan aplikasi internet sebagai sumber pembelajarannya.
Para pelajar di dalam kelas tersebut hanya perlu mendengar penerangan daripada guru dan
mampu mencari maklumat dalam pelbagai laman web yang dipaparkan dengan hanya satu
klik sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa internet mampu menyediakan kepelbagaian
maklumat termasuk maklumat yang tidak disediakan dalam buku kepada para pelajar.
Dengan ini, para pelajar mampu menyediakan bahan berlainan untuk aktiviti pembelajaran di
dalam kelas seperti pembentangan dalam masa yang singkat.

Pada masa dahulu, buku teks dianggap sebagai sumber pembelajaran yang penting di
dalam kelas.Kini,mentaliti pelajar zaman sekarang amat berbeza jika dibandingkan dengan
pelajar zaman dahulu. Pelajar zaman sekarang menganggap buku teks menyusahkan mereka
kerana mereka terpaksa menjinjing beg sekolah yang sarat dengan buku teks sepanjang sesi
persekolahan. Keadaan ini menyebabkan terdapat segelintir pelajar lebih rela meninggalkan
buku-buku teks mereka di rumah sekali gus menyebabkan mereka melanggar peraturan
sekolah yang telah ditetapkan. Seperti yang kita tahu,tidak semua pelajar gemar membaca
melalui buku kerana masa mereka banyak dihabiskan di hadapan komputer. Di samping itu,
terdapat pelajar yang menggunakan aplikasi internet seperti e-book sebagai sumber bacaan
kerana aplikasi ini menyediakan perkhidmatan yang percuma dan cepat kepada pembaca jika
dibandingkan dengan pembaca terpaksa ke kedai buku untuk membeli buku rujukan selain
harga buku juga dijual mengikut jenis buku tersebut.

Selain itu, penggunaan internet memboleh perkongsian maklumat antara pelajar.


Projek Jaringan Pendidikan(JP) di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran dan MIMOS
merupakan salah satu aktiviti dalam program Komputer Dalam Pendidikan oleh
Kementerian Pelajaran.Projek ini mampu meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia kepada
taraf yang lebih tinggi. Di samping itu, penggunaan aplikasi seperti e-mel membolehkan
segala maklumat yang ingin dikongsi oleh para pelajar dan guru dapat dikirim dengan lebih
cepat dan mudah. Menurut kenyataan salah seorang pengkaji penggunaan internet, Dr.Jane
Lasarenko, kebaikan utama penggunaan e-mel adalah dapat menanam semangat belajar yang
tinggi dalam kalangan pelajar dalam setiap pembelajaran mereka. Bukan itu sahaja,para
pelajar tidak akan ada alasan lagi untuk tidak menghantar kerja rumah mereka pada hari yang
ditetapkan kerana aplikasi e-mel ini memudahkan urusan pembelajaran antara murid dan guru
menjadi senang malah hubungan murid dan guru dapat dieratkan.

Internet juga membolehkan para pelajar dan guru untuk mengetahui dan mengambil
bahagian dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Misalnya pembangunan
laman web sekolah mampu dijadikan sebagai alternatif untuk menyalurkan segala maklumat
mengenai sekolah kepada semua pihak. Selain itu,laman web sekolah juga membolehkan ibu
bapa untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan dengan anak-anak seperti rekod disiplin,
akademik dan juga kokurikulum. Ibu bapa hanya perlu melanggan laman web sekolah
ataupun menggunakan e-mel untuk berhubung terus dengan guru. Secara tidak langsung,
hubungan antara ibu bapa dengan pihak sekolah dapat ditingkatkan.Ibu bapa tidak akan ada
alasan lagi untuk tidak berkunjung ke sekolah dengan alasan sibuk untuk mendapatkan
perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Oleh yang demikian, masalah disiplin pelajar
yang memerlukan kerjasama pihak sekolah dan ibu bapa dengan mudahnya dapat ditangani.

Guru-guru boleh menggunakan internet sebagai bahan bantu mengajar di dalam


kelas.Internet mempunyai pelbagai komponen pengajaran seperti grafik,animasi atau audio
visual.Dengan adanya kepelbagaian komponen pengajaran ini,sesi pengajaran dan
pembelajaran akan menjadi seronok dan mampu meningkatkan minat belajar yang tinggi
dalam diri para pelajar.Guru-guru juga mampu mengakses pelbagai jenis bentuk latihan dan
soalan untuk para pelajar mereka terutamanya bagi para pelajar yang bakal memduduki
peperiksaan awam yang patut didedahkan dengan pelbagai bentuk soalan peperiksaan bagi
menyiapkan diri mereka untuk peperiksaan yang bakal dihadapi. Maka,guru-guru tidak perlu
berjumpa dengan pihak pentadbiran sekolah ataupun pihak penjual buku bagi mendapatkan
buku yang diperlukan oleh guru dan para pelajar.

Kesimpulannya, peranan semua pihak amat penting dalam memastikan bidang


pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan dalam arus pemodenan agar negara kita mampu
membangun dengan kemahiran dan ilmu yang dimiliki oleh rakyat kita sendiri. Oleh yang
demikian,impian kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020
akan tercapai sekali gus mampu melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan tinggi selaras
dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara iaitu masyarakat Malaysia yang terlatih dalam
pelbagai kemahiran bagi melahirkan tenaga manusia yang produktif, berinisiatif dan
berinovatif untuk mentadbirkan alam bagi meningkatkan daya pengeluaran ke arah
pembangunan negara.

Anda mungkin juga menyukai