Anda di halaman 1dari 2

BASYIIRAH BINTI MOHD ZAWAWI

1200551

Soalan : Sebagai seorang muslim yang baik, bagaimanakah kita menghadapi gangguan teknologi?

Dunia masa kini telah menyaksikan ledakan teknologi moden yang banyak membawa perubahan
kepada kehidupan manusia sejagat tanpa mengira peringkat usia. Perkembangan teknologi moden
ini telah memberi kesan positif dan negatif bukan sahaja kepada negara kita, malahan kepada
seluruh dunia lebih-lebih lagi pada waktu pandemik ini. Inovasi dan ciptaan berteknologi tinggi ini
membolehkan manusia berhubung dan berinteraksi antara satu sama lain dengan lebih pantas serta
memudahkan kita mendapatkan maklumat di mana jua kita berada. Tidak dapat disangkal lagi,
teknologi moden sememangnya banyak memberi manfaat kepada manusia, namun adakah kita
sedar bahawa penggunaan pelbagai peralatan elektronik serta teknologi moden secara meluas ini
sedikit sebanyak telah memberi kesan buruk kepada banyak aspek kehidupan seperti dari segi sosial,
kesihatan dan media cetak ?

Penggunaan peralatan teknologi moden seperti melayari internet dan bermain permainan video
secara berlebihan telah memberi impak negatif kepada perkembangan sosial terutamanya kepada
kanak-kanak. Kecergasan interpesornal haruslah dipupuk sejak kecil, namun mereka lebih cenderung
untuk menghabiskan masa dengan peranti teknologi daripada berinteraksi dengan orang sekeliling.
Impaknya, kanak-kanak ini akan menjadi seseorang yang lemah dalam perhubungan sosial sekaligus
boleh menyebabkan kemurungan. Jurang interaksi antara keluarga dan rakan-rakan juga semakin
besar, menyebabkan hubungan kekeluargaan semakin renggang. Jadi, sebagai seorang muslim yang
baik, kita mestilah mengatasi gangguan teknologi ini dengan baik agar dapat memelihara hubungan
antara keluarga dan rakan-rakan. Antara langkah yang boleh dipraktikkan adalah dengan
mengehadkan tempoh masa penggunaan gajet dan meluangkan masa yang berkualiti dengan aktiviti
riadah bersama keluarga seperti berjoging dan bermain badminton. Dengan ini, kita dapat
menambah kasih sayang antara satu sama lain malah dapat mengekalkan badan yang sihat.

Selain itu, kesihatan kita juga akan terjejas sekiranya tabiat obses teknologi ini diteruskan tanpa
had. Penggunaan gajet dapat menjejaskan kualiti tidur, kebanyakan daripada kita pasti akan
menghabiskan masa untuk bermain permainan video dan memeriksa media sosial telefon pintar
sehingga berjam-jam.Ini akan mengakibatkan kualiti tidur kita terjejas dan kita akan keletihan
sepanjang hari. Telefon pintar juga berbahaya terhadap kesihatan kita kerana ia mengeluarkan
gelombang radiasi. Kanak-kanak menyerap lebih daripada 60% radiasi berbanding orang dewasa
oleh kerana tisu-tisu otak lebih nipis. Antara kesan terburuk yang boleh dihadapi sekiranya terdedah
dengan gelombang radiasi secara berlebihan ialah kanser. Jadi, apakah langkah-langkah yang boleh
diambil bagi mengurangkan risiko gelombang radiasi terdedah? Antaranya adalah dengan
meletakkan telefon pintar kita jauh daripada kita apabila tidak diperlukan kerana ia juga tetap akan
memancarkan gelombang radiasi apabila tidak digunakan. Kita juga boleh mengurangkan
penggunaan gajet apabila di dalam kenderaan oleh sebab kenderaan yang bergerak memancarkan
gelombang radiasi yang lebih tinggi apabila cuba berhubung dari satu antena ke antena yang lain.
Langakah-langkah ini harus dilakukan sebagai pencegahan awal bagi mengelakkan diri kita menyesal
kemudian hari bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan.

Dewasa kini, media cetak berdepan cabaran yang besar untuk menjadi sumber maklumat utama
rakyat Malaysia akibat gangguan teknologi. Media cetak merangkumi akhbar, jurnal, buku, majalah
dan lain-lain lagi. Akhbar merupakan bahan media cetak yang paling popular dan berpengaruh di
Malaysia sejak dari dahulu lagi, namun akhbar semakin dilupakan dek arus pemodenan. Akhbar
masih lagi dicetak, dijual dan dibaca kerana bagi sesetengah orang, mereka lebih gemar akhbar
dalam betuk fizikal.Akan tetapi, rakyat Malaysia kini lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat
dan berita terkini melalui media sosial dan portal berita berbanding dengan akhbar-akhbar yang
dijual kerana sumber berita dalam bentuk digital lebih mudah diakses dan tidak memakan
kos.Kesannya, hasil jualan akhbar semakin jatuh sehingga syarikat media cetak mengalami
kemerosotan kewangan dan masalah hutang sehingga terdapat syarikat yang terpaksa
memberhentikan operasi mereka. Kita sebagai seorang Muslim yang baik mestilah membantu dan
menghargai media cetak di negara kita terutamanya akhbar agar ia tak lupus ditelan zaman. Antara
usaha yang boleh kita lakukan adalah dengan membeli akhbar yang dijual di kedai dengan kuantiti
yang banyak kemudian mengedarkannya ke sekolah-sekolah sebagai bahan sumber pembelajaran.
Dengan berbuat demikian, kita dapat membantu syarikat media cetak yang terkesan serta murid-
murid di sekolah juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan kosa kata melalui pembacaan akhbar.

Sungguhpun begitu, gangguan teknologi juga memberikan manfaat kepada kita lebih-lebih lagi
semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Misalnya, teknologi memberikan peluang untuk para
peniaga memulihkan ekonomi mereka dan para pelajar tetap dapat meneruskan pengajian mereka
walaupun berada di rumah. Umum diketahui, pelaksanaan PKP merupakan salah satu usaha
kerajaan bagi membendung gelombang baharu COVID-19, akan tetapi PKP telah memberi kesan
ketara kepada peniaga yang bergantung harap kepada hasil jualan mereka. Para peniaga tidak dapat
menjalankan perniagaan mereka seperti biasa dan jumlah pelanggan juga berkurangan semasa PKP.
Ekonomi negara juga menurun secara mendadak dan kerajaan terpaksa menampung kerugian
banyak pihak. Dengan adanya teknologi canggih ini, sedikit sebanyak para peniaga dapat
meneruskan jualan mereka secara dalam talian melalui media sosial dan platform e-dagang seperti
Shopee dan Lazada. Mereka dapat memasarkan produk mereka secara global bagi menambah
jumlah pelanggan dan keuntungan melalui capaian internet yang tiada terhad ini. Pelaksanaan
pembelajaran dalam talian pula telah lama dipraktikkan di negara-negara maju yang lain kerana
benyak manfaat yang boleh diambil daripada pembelajaran secara maya ini. Seiring dengan PKP
yang dilaksanakan ini, pembelajaran secara maya terpaksa dijalankan bagi memastikan para pelajar
tidak ketinggalan dalam pelajaran. Biarpun pembelajaran secara maya ini sukar untuk dilakukan
kerana merupakan norma baharu bagi rakyat Malaysia, kita juga haruslah memandang situasi ini dari
aspek positif. Contohnya, pembelajaran atas talian boleh dilaksanakn tanpa mengira jarak dan
bilangan ahli yang mengikutinya. Selain itu, pelajar dapat menjimatkan kos apabila duduk di rumah
kerana mereka tidak perlu berulang alik ke kampus dan sara hidup.Tuntasnya, gangguan teknologi
juga banyak memberi kelebihan kepada banyak pihak semasa waktu sukar ini.

Akhir kalam, kita tidak boleh mengelak daripada gangguan teknologi di dalam arus pemodenan ini
kerana penggunaan gajet dan peranti elektronik sangat penting bagi memudahkan segala urusan
hidup kita. Teknologi juga penting bagi meningkatkan kemajuan masyarakat dan negara agar dapat
berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju seperti Jepun, Sweden dan German.Kita sebagai
seorang muslim yang baik mestilah bijak menggunakan teknologi yang serba canggih ini dengan
sebaik mungkin agar perkara yang tidak diingini boleh dielakkan.

Anda mungkin juga menyukai