Anda di halaman 1dari 3

Jika Saya Seorang Pemimpin

Transformasi, perubahan, evolusi dan revolusi – kalimah-kalimah ini membawa konotasi yang
sama ; iaitu melakukan penambahbaikan untuk menghasilkan sesuatu yang lebih berkualiti.
Memetik kata-kata agung Martin Luther King Jr. , pemimpin tersohor bangsa kulit hitam Amerika
Syarikat tatkala Dasar Apartheid bermaharajalela, “saya ada impian untuk melakukan
perubahan”. Rentetan itu, beliau berjaya menghapuskan dasar pilih kasih lantas dikenang
sepanjang zaman. Saya turut mempunyai impian. Perubahan dan transformasi Malaysia pada
masa hadapan saya harapkan. Yang pasti, semua manusia mempunyai agendanya tersendiri.
Sama ada mahu atau pun tidak, sebagai pemimpin yang berwibawa, perubahan harus
dilaksanakan.

Pertama, dari segi ekonomi. Pada zaman transisi modenisme dan ledakan maklumat ini,
ekonomi dunia kian rapuh. Krisis sub-prima yang melanda Amerika Syarikat telah memberikan
tamparan hebat kepada struktur ekonomi global. Yang memburukkan keadaan lagi, dalam
kegawatan ekonomi yang turut dirasai bumi bertuah ini, masalah-masalah seperti penutupan
kilang dan pembuangan pekerja kian berleluasa. Impaknya, produktiviti negara semakin
merudum lantas melumpuhkan ekonomi negara. Justeru, bagi menjamin kestabilan ekonomi,
industri kecil dan sederhana serta industri hiliran perlu dimantapkan. Dana-dana akan disuntik
bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan industri tersebut. Malahan, industri baru seperti
nanoteknologi mahupun pikoteknologi boleh direkayasakan. Menurut Unit Perancang Ekonomi
(EPU) , kadar keluaran dalam negara kasar negara hanya meningkat 0.01 peratus dari tahun
2007 ke 2008. Hal ini amat menyedihkan apabila pembangunan ekonomi negara amat lembap
dan tidak konsisten. Lihatlah, negara Jepun yang cukup gah dengan kemajuan teknologinya.
Justeru, untuk kita “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan negara-negara danawa itu,
ekonomi negara perlu diperhebat lagi.

Selain itu, dari segi politik, sistem pentadbiran negara akan diperkemas. Langkah Datuk Seri
Najib Tun Razak menggabungkan portfolio para menteri wajar dipuji. Usaha ini dilihat sebagai
“serampang dua mata”. Bukan sahaja kos pentadbiran dapat diminimumkan, malahan tahap
kecekapan dan efisiensi pentadbiran turut dipertingkatkan. Dari sudut pandangan saya,
gabungan portfolio ini perlu dilaksanakan lagi kerana masih terdapat tugas para menteri yang
seakan-akan serupa. Sebagai contoh, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi boleh
disekalikan dengan Kementerian Teknologi Hijau. Di samping itu, perubahan dari segi sistem
pilihan raya yang lebih telus perlu diimplimentasikan. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya
Malaysia (SPRM), peratus undian rosak dan undi “hantu” semakin meningkat dari tahun ke
tahun. Maka, pengurusan SPRM perlu dimantapkan bagi menjamin keadilan dan kesaksamaan
selaras dengan teras ketiga Rukun Negara , kedaulatan undang-undang. Malahan, bagi
membentuk satu sistem politik yang adil dan dihormati, penyelarasan dari segi kelayakan
menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri akan dilaksanakan. Syarat-syarat akan diperketat agar
ahli-ahli politik atau politikus yang benar-benar matang sahaja akan dimanifestasikan. Maka
jelaslah, sistem politik yang stabil sudah pasti akan menjadi simbol dan kebanggaan negara.

Di samping itu, taraf hidup rakyat akan ditingkatkan. “sekali air bah, sekali pantai berubah”,
lantaran itu, perubahan yang berlaku perlulah seiring dengan perkembangan masa di negara
kita. Kita bukan lagi berada pada era zaman Tuk Nadur berkajang kain. Dunia kini amat
menuntut kita untuk meningkatkan taraf hidup sekaligus berupaya menampung kos sara hidup
yang semakin tinggi. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, tahap kesihatan dan keselesaan
rakyat perlu diperhebat. Maka, klinik-klinik dan hospital-hospital akan dilengkapi dengan
peralatan-peralatan moden serta canggih setanding dengan negara-negara maju dunia.
Malahan, kursus-kursus intensif akan diberikan kepada para doctor dan ahli kesihatan agar
ability dan prestasi mereka dapat meningkatkan nama negara di persada dunia. Sebagai
contoh, kejayaan para mahasiswa Universiti Sains Malaysia mencipta implan jantung sintetik
pertama di dunia telah membuka mata saintins-saintis seantero dunia. Kejayaan sebegini perlu
dipertingkatkan agar Malaysia terus tersohor dalam arena perubatan. Justeru, andai taraf
kesihatan rakyat dapat dipertingkatkan, maka taraf hidup rakyat juga akan meningkat.

Seterusnya, saya akan melakukan evolusi kepada sistem pendidikan negara. Ketika Tan Sri
Musa menerajui pendidikan Malaysia, Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
hebat diperdebatkan, tatkala Dato’ Seri Hisyamudin memegang portfolio tersebut, agenda
Sekolah Kluster menjadi bualan hangat di seluruh pelosok negara. Maka, perubahan yang
bakal saya laksanakan ialah mengubah sistem pendidikan negara kepada sistem yang kurang
berorientasikan peperiksaan. Penilaian akan dijalankan mengikut sistem negara Barat iaitu
penilaian berasaskan sekolah. Projek, lawatan kerja luar, kerja kursus, eksperimen dan amali
praktikal akan diperbanyak bagi menghapuskan sindrom “ulat buku” dan pemikiran jumud para
pelajar pada hari ini. Menurut kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penuntut Universiti
Kebangsaan Malaysia, sistem pendidikan yang diamalkan di negara kita akan menghasilkan
pelajar yang tidak seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek sekiranya terlalu berorientasikan
peperiksaan. Malahan, ada yang menyifatkan sistem ini ibarat “ kambing menanduk bukit, bukit
tak runtuh, tanduk jua yang patah” apabila pelajar terlalu terbeban dengan sistem tersebut.
Lantaran itu, satu transformasi perlu dilakukan kepada sistem pendidikan negara.

Akhirnya, dari segi pengangkutan dan perhubungan. Hasrat kerajaan Malaysia yang ingin
menjadikan keseluruhan negara mempunyai talian tanpa wayar internet akan diteruskan. Usaha
ini akan dilaksanakan agar rakyat dapat menikmati kemudahan internet walaupun berada di
kawasan pedalaman. Selain itu, sistem lebuh raya dan jalan raya bebas tol akan diperkenalkan.
Pendapatan negara pada ketika itu yang dijana melalui sector nanoteknologi dan pelancongan
lebih mengutamakan rakyat. Sistem transit aliran ringan dan monorel akan diperluas lagi ke
negeri-negeri di pantai timut Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Berdasarkan bancian yang
dijalankan Kementerian Pengangkutan Malaysia secara rawak, hampir 70 peratus rakyat
Malaysia inginkan perkhidmatan kenderaan awam yang diperluas rangkaiannya. Rentetan itu,
kenderaan awam seperti bas dan teksi akan diperbanyak, malah pengangkutan elit seperti
kapal terbang akan ditambah frekuensinya dan diturunkan tambangnya. Maka, hal ini sudah
pasti akan menjamin kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Tuntasnya, segala perubahan dan transformasi yang bakal saya laksanakan adalah semata-
mata untuk rakyat. Justeru, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama
menggembleng tenaga agar segala impian ini bukan hanya sekadar angan-angan Mat Jenin
tetapi menjadi satu kenyataan. Sesungguhnya, pemimpin yang baik ialah pemimpin yang
berjiwa rakyat, berketrampilan dan tidak ada pidana. Kita telah menyaksikan kepimpinan
TunAbdul Rahman yang cukup patriotic, Tun Abdul Razak yang cukup idealistic, Tun Hussein
Onn yang hebat memproklamasikan perpaduan, Tun Mahathir yang cekap menjalankan
pembangunan, Tun Abdullah yang cukup Islamik dan terkini Datuk Seri Najib dengan prinsip
1Malaysia beliau. Akhirulkalam, hakikatnya, segala-galanya bergantung kepada individu
tersebut untuk mecorakkan negara. Ingatlah, “rambut sama hitam, hati lain-lain”

Anda mungkin juga menyukai