Anda di halaman 1dari 2

Modul Intervensi

KARANGAN CONTOH

DOMAIN PENDIDIKAN

Telefon pintar atau telefon bijak (Bahasa Inggeris : Smartphone) adalah telefon bimbit
yang mempunyai ciri pengkomputeran maju dan ketersambungan berbanding dengan
telefon bimbit biasa. Telefon pintar membolehkan penggunanya memasang aplikasi
canggih di dalamnya berasaskan pelantar telefon seperti Symbian,Android,iOS atau
Windows Phone. Ia juga menggunakan sistem pengendalian yang menyediakan satu
pelantar untuk pembina aplikasi.
Sumber : Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Petikan di atas menyatakan maklumat tentang telefon pintar.


Huraikan pendapat anda tentang implikasi positif penggunaan telefon pintar kepada
remaja.

Contoh jawapan:
CONTOH PENDAHULUAN:
Pada era globalisasi ini, penggunaan telefon pintar merupakan salah satu isu yang sering
mendapat perhatian pelbagai pihak. Isu penggunaan telefon pintar ini sering dipaparkan di
media cetak seperti akhbar dan media elektronik seperti televisyen di negara kita. Pada hari ini
telefon pintar dianggap sebagai satu trend gaya hidup remaja. Penggunaan telefon pintar yang
bersesuaian dengan situasi dan pekerjaan sudah pasti akan mendatangkan kebaikan.
Persoalannya, apakah implikasi positif penggunaan telefon pintar kepada remaja. Jika
diperhalusi, terdapat banyak kesan penggunaan telefon pintar kepada remaja di negara ini.
(82 patah perkataan)

CONTOH PERENGGAN ISI 1 : MUDAH MENGHUBUNGI AHLI KELUARGA


Kesan perdana penggunaan telefon pintar kepada remaja adalah mudah menghubungi
ahli keluarga dan kenalan yang lama terpisah. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja dapat
bertanya khabar dengan ahli keluarga dan sahabat handai dengan mudah dan pantas. Sebagai
contoh, telefon pintar yang dilengkapi Internet 4G membolehkan kita membuat panggilan
video dengan ahli keluarga dan rakan-rakan di luar negeri. Teknologi sebegini membenarkan
kita berbual-bual sambil melihat wajah pemanggil. Hal ini boleh mengubat perasaan rindu dan
secara tidak langsung ikatan silaturahim antara ahli keluarga dan sahabat handai dapat
dieratkan walaupun tinggal berjauhan, berbanding dengan zaman dahulu yang memerlukan
masa yang lama untuk bertanya khabar. Jelaslah bahawa antara kesan penggunaan telefon
pintar kepada remaja adalah mudah menghubungi ahli keluarga dan kenalan.
(117 patah perkataan)
CONTOH PERENGGAN ISI 2 : MEMBANTU DALAM PEMBELAJARAN
Implikasi kedua penggunaan telefon pintar kepada remaja adalah membantu dalam
pembelajaran. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja dapat belajar secara berkumpulan
dengan menggunakan aplikasi media sosial. Dalam hal ini, remaja tersebut boleh menggunakan
aplikasi media sosial seperti Facebook, What’App dan Telegram untuk berkongsi bahan-bahan
pembelajaran. Kita boleh melungsuri Internet di telefon bimbit tersebut dan menyimpan data-
data dengan mudah untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Secara tidak langsung, mereka dapat
mengulangkaji pelajaran dengan lebih berkesan dan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh
guru dengan mudah dan pantas seiring dengan dunia pendidikan sekarang yang memerlukan
semua pelajar berfikir secara kreatif dan kritis. Jelaslah bahawa, antara kesan penggunaan
telefon pintar kepada remaja ialah membantu dalam pembelajaran.
(108 patah perkataan)

CONTOH PERENGGAN ISI 3 : SENANG MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI


Implikasi ketiga penggunaan telefon pintar kepada remaja adalah senang mendapat
maklumat terkini. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan menggunakan Internet, remaja
senang mendapat berita-berita terkini dari dalam atau luar negara. Dalam hal ini, maklumat-
maklumat boleh dicari dengan menggunakan aplikasi Google, Youtube dan Yahoo. Secara
tidak langsung, remaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan sentiasa lebih peka dengan
isu-isu terkini seperti informasi terkini tentang Pandemik COVID-19 agar tidak menjadi seperti
katak di bawah tempurung. Begitu juga dengan penuntut-penuntut di universiti, telefon pintar
ini menjadi satu kemestian untuk dimiliki berikutan semua maklumat perlu dicari dan semua
berada di hujung jari. Jelaslah bahawa antara kesan penggunaan telefon pintar kepada remaja
adalah senang untuk mendapat maklumat terkini.
(110 patah perkataan)
CONTOH PERENGGAN PENUTUP
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat banyak kesan penggunaan
telefon pintar kepada remaja di negara ini. penggunaan yang sistematik oleh remaja akan
membawa banyak kebaikan kepada mereka, tetapi jika tidak digunakan secara rasional akan
membawa kemudaratan kepada si pengguna. Oleh yang demikian semua pihak harus
bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing. Budaya bekerjasama bagai aur
dengan tebing perlu diamalkan dalam menempuh kehidupan sebagai seorang remaja. Secara
tidak langsung, sesuatu yang diharapkan akan dapat dicapai dan memberikan impak positif
kepada kesejahteraan masyarakat dan negara kita khususnya.
(84 patah perkataan)

Mczu2022 ModulIntervensi

Anda mungkin juga menyukai