Anda di halaman 1dari 2

NOTA TAMBAHAN

TUGASAN 3 – PLG516 - KEBERKESANAN SEKOLAH

3.3 Keberkesanan Pengajaran Guru

Kejayaan dan kecemerlangan sekolah terletak pada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan,
iklim, semangat dan budaya yang diamal dan dipamerkan setiap waktu oleh setiap orang pelajar, guru,
kakitangan bukan guru dan juga pentadbir dan pengurus kurikulum sesebuah sekolah itu. Pihak yang
amat besar kesan dan pengaruhnya terhadap kemajuan dan kecemerlangan ini tidak lain tidak bukan
ialah guru-guru sendiri.

Konsep dan pengertian keberkesanan sekolah boleh diukur berasaskan output atau hasil
persekolahan (pencapaian akademik dan bukan akaemik) yang juga pencapaiannya lebih daripada apa
yang diharapkan. Seterusnya proses juga dianggap satu kriteria pengukur keberkesanan sekolah misalnya
aspek pentadbiran sekolah, kerjasama di kalangan warga sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan.

Keberkesanan pengajaran guru ini adalah penting kerana melalui teknik pengajaran yang berkesan akan
melahirkan pelajar yang cemerlang. Ini disokong oleh kenyataan oleh Rotter (1996), di mana lokus
kawalan adalah faktor yang dominan yang mana guru-guru mempengaruhi pencapaian pelajar-pelajar.
Guru-guru yang boleh mengawal tindakan mereka untuk mencapai kejayaan akan mempunyai efikasi
kendiri yang tinggi. Teori yang dinyatakan oleh Bandura (1977), yang mengenalpasti efikasi guru sebagai
salah satu efikasi kendiri berdasarkan perspektif kongnitif sosialnya. Setiap manusia mampu membentuk
kepercayaan untuk membuat yang terbaik. Kepercayaan inilah yang akan menghasilkan usaha untuk
berjaya dan akan mendorong guru-guru untuk berusaha dengan lebih ke arah pengajaran yang berkesan
bagi menghasilkan pelajar yang cemerlang dan akhirnya sekolah yang berkesan.

Kenyataan ini turut mempunyai persamaan dengan kajian Sazali Yusoff (2004 ), yang dapat mencungkil
satu faktor dalaman sekolah yang boleh diubah demi kejayaan sesebuah sekolah. Kajian menunjukkan
yang pencapaian akademik murid sangat kuat dipengaruhi oleh efikasi kolektif guru-guru. Efikasi kolektif
guru ini merupakan peramal yang kuat kepada kejayaan akademik murid. Apabila efikasi kolektif guru-
guru meningkat maka pengajaran guru akan lebih berkualiti dan pencapaian pelajar-pelajar akan
meningkat di samping menyumbang kepada keberkesanan sekolah.

Wu (2005), juga mendapati dari hasil kajiannya kadar keberkesanan pengajaran guru adalah sederhana
tinggi di mana hubungan guru-pelajar yang akrab merupakan yang tertinggi. Kajian juga telah mendapati
yang umur, jantina, pengalaman mengajar, lokasi sekolah, jenis sekolah, latarbelakang sekolah dan
sejarah sekolah signifikan dengan keberkesanan sekolah manakala tahap pendidikan dan jawatan tidak
mempunyai perhubungan dengan keberkesanan sekolah. Lebih tinggi keberkesanan pengajaran guru
maka akan tinggilah keberkesanan sekolah. Penyelidik juga telah mendapati terdapat lima cara untuk
mengesan keberkesanan sekolah iaitu jantina, jenis sekolah, efikasi guru, penggunaan bahan pengajaran
yang sistematik dan iklim bilik darjah.
Sekolah yang berkesan sepatutnya memberikan penekanan yang lebih kepada keberkesanan
pengajaran guru yang akhirnya akan membawa kepada keberkesanan dan kecemerlangan sesebuah
organisasi sekolah. Nordin (2004), mendapati tekanan kerja yang dialami oleh guru tiada kaitan dengan
keberkesanan sekolah. Ini adalah kerana beban yang diberikan tiada kaitan dengan produktiviti guru.
Oleh itu beliau mencadangkan beban tugas yang tiada kaitan dengan peningkatan keberkesanan sekolah
hendaklah dikurangkan. Sebaliknya tumpuan perlu diberi kepada peningkatan mutu pengajaran dan
pembelajaran kerana peningkatan keberkesanan sekolah lebih kepada menghasilkan pelajar yang
berkualiti. Pengetua sendiri perlu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dengan membimbing dan
memudah cara kepada guru bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru-guru
perlu diberi peluang untuk meningkatkan perkembangan diri melalui penguasaan kemahiran terkini.

Begitu juga kepentingan keberkesanan pengajaran guru ini turut diakui oleh Ahmad Zabidi
(2003), di dalam kajiannya terhadap ciri-ciri sekolah menengah agama berkesan. Hasil kajiannya
mendapati ciri-ciri sekolah menengah agama berkesan banyak bergantung kepada sikap kerja guru-guru
berbanding dengan peranan yang dimainkan oleh pengetua serta pelajarnya. Ini jelas menunjukkan yang
kekuatan guru-guru melalui pengajaran yang berkesan mampu menyumbang kepada keberkesanan
sekolah. Penumpuan terhadap kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran adalah penting di
dalam mewujudkan sekolah menengah agama yang berkesan. Dapatan ini menyamai dapatan-dapatan
sebelumnya yang melihat keberkesanan pengajaran guru antara faktor keberkesanan sekolah.

Menurut Rahimah Hj Ahmad (1998), guru merupakan faktor paling penting yang menjadi
tunjang kepada sekolah berkesan kerana guru merupakan ‘technicians’ yang bertanggungjawab
terhadap ‘core business of schools’ khususnya pembelajaran anak didiknya melalui pengajaran dan
bimbingan. Pengajaran guru yang berkesan, sekolah berkesan dan pencapaian pendidikan yang
gemilang dan cemerlang bukan suatu yang mustahil untuk dicapai. Yang perlu dititikberatkan ialah
kesediaan dan kesanggupan guru-guru sendiri mengubah paradigma, mengubah stail berfikir dan
bertindak secara orang-orang professional dan yang paling penting menjadi seorang guru yang tidak
mudah patah semangat dan kreatif di dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajarannya
untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan sekolah yang berkesan.

Anda mungkin juga menyukai