Anda di halaman 1dari 25

PENGENALAN

Bidang pendidikan berhadapan dengan masa depan yang mencabar yang memerlukan
perancangan rapi, sistematik dan holistik. Maka, amatlah wajar usaha kolaboratif dalam
kalangan warga pendidik serta semua pihak yang berkepentingan dapat digembleng demi
meletakbetulkan (reposition) dan merekayasa (reengineer) sistem pendidikan kita supaya
berkualiti dan berjaya melahirkan modal insan mengikut acuan kita sendiri. Pemantauan,
penilaian dan penambahbaikan akan terus menjadi elemen yang akan ditekankan dalam
kitaran perancangan bagi memajukan sistem pendidikan negara (PIPP, 2006, p. 4).

Sehubungan dengan itu, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1987 merupakan arahan
pelaksanaan penyeliaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah oleh guru besar sekolah
dan diperingatkan bahawa penyeliaan pengajaran di bilik darjah merupakan satu tugasan yang
penting. Sebagai pemimpin profesionalisme di sekolah, tanggungjawab utama guru besar
ialah untuk memastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum di sekolahnya. Meskipun terdapat
arahan yang jelas tentang pelaksanaan penyeliaan pengajaran dan pembelajaran namun yang
ada itu hanyalah sebagai panduan sahaja.

Hal ini telah menimbulkan satu permasalahan kepada guru besar dalam melaksanakan
penyeliaan yang sesuai untuk sesebuah sekolah, dan juga setiap kategori guru kerana secara
amnya, guru adalah profesional pada tahap perkembangan yang berbeza serta memerlukan
pendekatan penyeliaan yang berbeza (Glickman, Gordon dan Ross-Gordon, 2004). Maka
adalah penting bagi seseorang guru itu dinilai dengan betul, berkesan dan adil bagi
menentukan keperluan serta meningkatkan kemahiran mereka. Justeru, proses penyeliaan
yang berkualiti amatlah diperlukan dalam usaha meningkatkan efikasi guru.

KONSEP PENYELIAAN

Ramaiah (1995) memetik maksud penyeliaan sebagai: “… the effort to stimulate,


coordinat and guide the continued growth of the teachers in a school, both individually and
collectively, in better understanding and more effective performance of all the functions of
instruction so that they may be better able to stimulate and guide the continued growth of every
people toward the richest and the most intelligent participation in modern democratic society.”
(Boardman, Douglas and Bent, 1953)

Definisi tentang penyeliaan yang dikemukakan di atas adalah luas dan umum namun
ia boleh dirumuskan bahawa penyeliaan mempunyai dua aspek, iaitu aspek prosedur di mana
penyeliaan adalah satu cara yang berkesan bagi meningkatkan prestasi pengajaran. Manakala
aspek kedua ialah aspek pentadbiran yang dapat menyokong dan membolehkan penyeliaan
dapat dilaksanakan dengan baik di sekolah. Ramaiah (1999), menyatakan bahawa penyeliaan
sebagai satu aktiviti pentadbiran yang boleh disifatkan sebagai satu strategi untuk mendorong
pihak lain ke arah tahap keberkesanan dan produktiviti yang lebih tinggi di samping sebagai
satu kawalan dan koordinasi.

Glickman (1998), menyatakan “supervision is assistance for the improvement of


instruction”. Pernyataan ini jika dilihat dalam konteks sekolah berkesan bahawa penyeliaan
adalah merupakan satu fungsi dan proses bagi mewujudkan suasana sekolah yang efektif.
Beliau juga berpendapat bahawa penyeliaan pengajaran adalah sejenis penyeliaan dinamik
dalam proses pendidikan yang bertujuan mempertingkatkan mutu pengajaran. Edmonds
(1982), menyatakan keberkesanan sesebuah sekolah bergantung kepada pentadbiran yang
memberi perhatian kepada kualiti penyeliaan pengajaran.

Harris (1975), pula menyatakan bahawa penyeliaan dalam pengajaran bermaksud


segala tindakan yang diambil ke atas kakitangan dengan tujuan melaksanakan atau membaiki
proses pengajaran di sesebuah sekolah. Alfonso et al. (1980), menyatakan konsep penyeliaan
sebagai satu tingkahlaku yang dipertanggungjawabkan secara rasmi kepada seseorang yang
mendatangkan kesan kepada guru untuk mempertingkatkan lagi pembelajaran murid-murid
dan seterusnya mencapai sesuatu matlamat tertentu.

Menurut Wan Mohd Zahid (1987), penyeliaan merupakan satu proses memerhati,
membimbing dan memberi maklumbalas kepada aktiviti profesional oleh penyelia ke atas staf
mereka. Ini antara cara yang dapat dilaksanakan untuk memastikan keberkesanan
perkhidmatan yang tinggi kualitinya. Jelas sekali penyeliaan bermakna memberi tumpuan
utama kepada kesan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan sesebuah
organisasi ke atas stafnya adalah merupakan satu perkhidmatan tidak langsung untuk
pelanggannya.
Ibrahim (1993), pula menyatakan penyeliaan pendidikan bermakna memberi pimpinan
kepada para guru untuk berkembang, meningkat dan mencapai kesempurnaan dalam tugas
mereka. Robiah (1988), menjelaskan bahawa penyeliaan sebagai membantu guru
meningkatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Ramaiah (1999). menyatakan
penyeliaan sebagai satu usaha untuk mendorong, menyelaras dan membimbing guru dalam
hal pengajaran supaya mereka lebih berupaya melakukan semua fungsi berkaitan pengajaran.
Manakala Mohd. Salleh (2000), menyatakan bahawa penyeliaan dalam konteks pendidikan
adalah berkaitan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Penyeliaan menjadi tugas
pentadbir kerana penyelia adalah sebahagian dimensi pentadbiran sekolah dan dianggap
sebagai satu perkembangan bidang profesional pengurusan.

Penyeliaan pengajaran guru di dalam bilik darjah bukan sahaja bertujuan


mempertingkatkan profesionalisme dan prestasi guru serta pelajar dalam pengajaran dan
pembelajaran, malah ia telah menjadi asas perbincangan profesional antara guru besar dengan
guru (Sullivan dan Glanz, 2005). Penyeliaan ke atas pengajaran dan pembelajaran dari semasa
ke semasa sangat diperlukan sebagai saluran pengawasan untuk penambahbaikan dan
pemantapan supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan di atas landasan yang betul
dan bermutu tinggi selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan pendidikan di Malaysia
bertaraf dunia.

TEORI PENYELIAAN

Menurut Hussin (1997), terdapat sekurang-kurangnya tiga teori penyeliaan yang


dipraktikkan iaitu teori tradisional, humanistik dan hubungan manusia. Teori penyeliaan
tradisional mengganggap guru sebagai golongan yang perlu dikawal rapi. Hubungan penyelia
dengan individu yang diselia perlu ada jarak dan ruang yang jelas. Secara keseluruhannya
penyeliaan menurut teori ini menghendaki guru diselia dan dicerap untuk memastikan
tercapainya matlamat pengajaran dan prestasi akademik yang tinggi.

Teori penyeliaan humanistik pula mementingkan hubungan antara penyelia dengan


individu yang diselia. Situasi ini diharap dapat mewujudkan rasa selesa dan kepuasan bekerja
di kalangan guru yang diselia. Guru diberi kepercayaan penuh kerana mereka adalah golongan
profesional yang telah menghadiri kursus yang panjang (Gordon et al. 1983). Hubungan tanpa
ruang pemisah ini akan dapat meningkatkan motivasi guru.

Manakala teori penyeliaan yang ketiga pula menggabungkan teori pertama dan kedua.
Teori ini memberi penekanan kepada konsep ketrampilan dan prestasi ke arah mencapai
objektif dan matlamat serta kesan hasil berbanding dengan kos. Teori ini juga mengenal pasti
faktor-faktor motivasi seperti memberi pengiktirafan, pujian dan menggalakkan kreativiti.
Seterusnya ia mengutamakan pengembangan daya usaha dan menggalakkan komunikasi
pelbagai hala.

Teori-teori ini lahir mengikut zaman (Lucio 1967) dan tiap-tiap satunya mempunyai
kebaikan dan kelemahan. Teori tradisional terlalu memberi penekanan kepada penyeliaan
terhadap guru supaya pengajaran yang berkesan dapat dijalankan. Teori humanistik pula
menekankan kepada perkembangan profesionalisme guru serta kepuasan bekerja tetapi kurang
penekanan kepada pencapaian objektif sekolah. Manakala teori pengurusan saintifik pula
mirip kepada pengurusan yang mementingkan sumber manusia.

Penyeliaan atau pencerapan yang dijalankan di sekolah-sekolah di Malaysia


menggabungkan teori pengurusan saintifik baru dengan teori hubungan kemanusiaan (Hussin
1997). Menurut Hussin, kedua-duanya dianggap penting kerana di samping penyelia atau
pencerap berusaha mencapai matlamat pendidikan dan Falsafah Pendidikan Kebangasaan,
penyelia atau pencerap juga perlu menjaga kebajikan dan perhubungan baik dengan guru-
guru. Penyelia yang bersifat membantu dan membimbing dapat melahirkan guru yang
beriltizam dan secara tidak langsung mampu melahirkan pelajar yang berprestasi baik dalam
akademik.

Menurut Ibrahim (1993), terdapat dua cara penyeliaan yang selalu diamalkan oleh
guru besar iaitu cara autokratik di mana penyeliaan dilakukan untuk mengatahui sama ada
arahan atau peraturan yang telah diberi dipatuhi atau tidak. Guru yang banyak kesalahan
mendapat laporan buruk, manakala guru yang mengikut arahan mendapat laporan baik.
Suasana antara guru di bawah pemimpin autokratik adalah tertekan dan tegang. Kegembiraan
bekerja tidak ada sama sekali.
Cara kedua pula adalah cara demokrasi, di mana pengawasan dijalankan mengikut
program kerja tertentu. Guru besar memberi kepercayaan kepada semua guru sehingga
masing-masing berasa diri mereka dihargai dan kebolehan mereka diakui. Dia menjalankan
penyeliaan dengan ikut bekerja secara aktif, kedudukan mereka sebagai penyelia sentiasa
berubah-ubah. Adakalanya mereka dihadapan untuk menjadi teladan, kadang kala di tengah
untuk membangkitkan semangat dan ada waktunya mereka di belakang untuk memberi
kebebasan bekerja kepada guru-guru. Walaupun begitu terdapat halangan-halangan bagi guru
besar yang menggunakan cara demokratik terutama apabila terdapat guru-guru yang
mementingkan diri sendiri, yang mengira waktu, yang berasa dirinya sahaja yang betul. Apa
yang diperlukan untuk mengatasi halangan-halangan tersebut ialah seorang guru besar yang
mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang sempurna, terutama kebijaksasnaan dan kewibawaan
yang luar biasa.

Sergiovanni(1995), dan Wan Mohd Zahid (1987), telah mengupas tentang penyeliaan
ini dari aspek Teori X dan Teori Y (Douglas McGregor) dan Teori 2 Faktor ( Teori Motivator
dan Hygiene) adalah penentu kepada penyeliaan pengajaran dan pembelajaran. Mengikut
mereka, andaian Teori X yang bersifat lembut merupakan pendekatan penyeliaan
perhubungan manusia manakala andaian Teori Y merupakan pendekatan penyeliaan sumber
manusia. Lazimnya guru besar keliru antara pendekatan yang digunakan sama ada `human
relations’ atau ’human resources’ dan kekeliruan ini menyebabkan penyeliaan yang
dilakukan kurang berkesan. Penyelia lazimnya menyetujui andaian Teori Y tetapi dalam
memperkatakan dalam amalan mereka sebenarnya menggunakan Teori X (human relations).

Dalam membicarakan Teori Motivator-Hygiene oleh Frederick Hergberg, Sergiovanni


dan Wan Mohd. Zahid telah menyatakan bahawa faktor motivator adalah faktor yang menjadi
rangsangan dalaman iaitu faktor-faktor yang boleh membuatkan guru-guru bekerja lebih
daripada peraturan bekerja, namun ketiadaan faktor Motivator tidak akan menyebabkan
berlakunya perasaan tidak puas hati dan tidak pula menggugat peraturan bekerja . Faktor
Hygiene merupakan faktor luaran di mana keadaan-keadaan bekerja yang diperlukan oleh
guru-guru sebagai sebahagian daripada peraturan-peraturan bekerja. Ketiadaan faktor ini akan
menyebabkan guru berasa tidak puas hati dan ini akan menjejaskan `performance’ mereka.
Penyelia-penyelia yang menggunakan kepuasan kerja untuk memotivasikan guru adalah
mempraktikan pendekatan hubungan manusia. Pendekatan ini jarang berkesan kerana
pendekatan hubungan manusia lebih menekankan kepada faktor hygiene.
HALANGAN-HALANGAN DALAM PENYELIAAN PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN

Halangan-halangan dalam penyeliaan pengajaran dan pembelajaran melibatkan empat


faktor iaitu guru besar (masa, kurang kemahiran dan pengetahuan, tekanan dan ciri-ciri
peribadi guru besar), guru (sikap dan motivasi guru), pelajar dan kelengkapan serta
kemudahan. Menurut Boardman, et al. (1953), menyatakan bahawa guru besar mempunyai
masa yang terhad berhubung dengan penyeliaan. Mengikut kajian yang telah dilakukan, guru
besar sepatutnya menggunakan 25 hingga 30 peratus masa untuk tujuan penyeliaan. Kajian
yang dilakukan oleh Natural Education Association untuk 1304 buah sekolah, hanya 11
peratus buah sekolah yang menjurus kepada peningkatan profesional staf. Ini termasuklah hal-
hal tentang penyeliaan pengajaran. Keadaan ini menunjukkan bahawa aspek penyeliaan
pengajaran amat kurang diberi perhatian oleh guru besar walaupun mereka menyedari tentang
kepentingan penyeliaan tersebut.

Howell (1981), pula melaporkan bahawa pihak atasan dalam hirarki pentadbiran
pendidikan berpegang kuat kepada kepercayaan bahawa para guru besar harus menjadi
pemimpin pengajaran namun keadaan di Malaysia dewasa ini adalah berbeza sama sekali.
Guru besar-guru besar lebih cenderung untuk menggunakan lebih banyak waktunya dalam
bidang pentadbiran. Hanya sedikit masa sahaja digunakan oleh guru besar untuk tugas yang
berunsur pengajaran (Willis; 1980:Martin dan Willawer; 1981: Mangien dan Arnn; 1985
dalam Hussain, 1997).

Kajian yang dilakukan oleh Sergiovanni (1977), juga mendapati aspek penyeliaan
pengajaran merupakan aktiviti yang paling rendah dalam susunan kajian tersebut. Keadaan ini
memperlihatkan bahawa aspek penyeliaan pengajaran paling kurang dilakukan oleh guru
besar. Faktor ini juga disokong oleh dapatan kajian dari Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (1987) dalam Hussain (1997),
telah menyatakan bahawa guru besar-guru besar lebih banyak menghabiskan masa dalam
kerja-kerja pentadbiran terutama hal-hal berkaitan surat-menyurat dan perkhidmatan serta
kutipan data untuk pelbagai pihak.
Kajian lain oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian
Pendidikan Malaysia (1992) dalam Hussain (1997) memaparkan beban tugas para guru besar
sekolah menengah rendah. Didapati guru besar sekolah menengah rendah di bandar bekerja
sebanyak 65.33 jam seminggu berbanding dengan 44.61 jam seminggu bagi guru besar
sekolah menengah rendah di luar bandar dan 41.97 jam seminggu bagi guru besar sekolah
menengah rendah yang kecil (pelajar kurang 149 orang) di luar bandar. Bayangkan beban
tugas guru besar jika sekolah mempunyai 2000 orang pelajar dengan 100 orang guru.
Bagaimanakah penyeliaan boleh dilakukan. Guru besar lebih banyak menumpukan perhatian
terhadap pentadbiran sekolah dan banyak berhubung dengan orang (Hussain, 1997).

Justeru, guru besar menghadapi tiga unsur utama yang menghalang daripada
melakukan penyeliaan pengajaran-pembelajaran di dalam kelas. Bentuk-bentuk tekanan
tersebut seperti tekanan daripada pihak atasan (Jabatan Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran
Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia), tekanan dari masyarakat setempat, badan
berkepentingan dan ibu bapa serta tekanan dalam penyediaan kekurangan sumber sama ada
sumber manusia atau peralatan. Kesemua faktor ini menjejaskan fungsi guru besar sebagai
pemimpin pengajaran terutamanya dalam aspek penyeliaan pengajaran-pembelajaran di dalam
kelas. Walaupun seseorang guru besar itu bijak dalam menangani tekanan namun beliau
masih juga akan gagal melaksanakan tanggungjawab sekiranya sifat peribadinya yang lemah
dalam konteks sebagai pemimpin pengajaran di sekolah.

Boardman et al. (1953) telah menyatakan bahawa guru besar-guru besar belum
bersedia untuk melakukan pencerapan memandangkan mereka tidak memahami pelbagai
mata pelajaran yang terdapat di sekolah. Penyeliaan yang dilakukan tidak mencapai objektif
kerana mereka mengaplikasikan penyeliaan secara umum sahaja untuk semua mata pelajaran .
Manakala menurut kajian Fullan dan Pomfret (1977), menyatakan bahawa seringkali program
itu gagal. Kegagalan itu sebenarnya disebabkan oleh guru besar tidak bersedia untuk
memainkan peranannya sebagai pemudah cara dan agen perubahan. Justeru, penyeliaan yang
berkualiti hanya dapat disempurnakan oleh guru besar yang menguasai ilmu kepenyeliaan,
iaitu guru besar yang berkesan. Oleh itu, Glickman (2003: 9), merumuskan bahawa gabungan
faktor pengetahuan, kemahiran interpersonal, dan kemahiran teknikal merupakan elemen
terpenting yang perlu ada dalam diri seseorang penyelia bagi menentukan keberkesanan
proses penyeliaan.
Glickman (2003: 96), turut menegaskan bahawa kepimpinan dan penyeliaan yang
berkesan dapat memupuk motivasi guru. Oleh itu, untuk menjadikan sesuatu penyeliaan itu
berkesan, kemahiran interpersonal perlu sebati dalam jiwa mereka yang bertindak sebagai
penyelia. Tanpa kemahiran ini, guru besar-guru besar akan hilang kewibawaan semasa
melakukan penyeliaan pengajaran. Asnah (1993) mengariskan beberapa kriteria peribadi guru
besar yang menghalang guru besar melakukan penyeliaan pengajaran-pembelajaran terhadap
guru-gurunya seperti
(i) Guru besar dan guru yang terlalu mengenali antara satu sama lain akan
mengganggu proses penyeliaan pengajaran-pembelajaran. Persoalan timbul
tentang sikap terhadap jantina mungkin timbul
(ii) Guru besar yang menyelia guru-guru di dalam kelas mungkin mewujudkan
keresahan di dalam diri guru yang diselia. Keadaan ini akan menyebabkan
guru mempamerkan perlakuan seperti patuh kepada arahan dan hanya
melakonkan sahaja apa yang dilakukan di dalam kelas tersebut. Pernyataan
ini turut disokong oleh Ramaiah (1999)
(iii) Jika motivasi guru besar tinggi dalam penyeliaan akan menghasilkan
keputusan penyeliaan pengajaran-pembelajaran yang memuaskan dan
begitu juga sebaliknya
(iv) Gaya guru besar memainkan peranan penting terutama selepas penyeliaan
dilakukan. Contohnya, sokongan dan cara arahan, penerangan yang positif
dapat membantu guru meningkatkan pengajarannya. Jika wujud
pertembungan antara guru besar dan guru ia boleh mewujudkan ketidak
sefahaman haluan
(v) Perhubungan antara guru besar dengan guru yang diselia jika terlalu intim
akan menyebabkan penyelia itu lebih bersifat peribadi. Guru besar akan
menghadapi kesukaran untuk melakukan penyeliaan yang lebih objektif.
Selain itu, kemungkinan guru itu tidak dapat menerima teguran secara
professional.
(vi) Kerapkali wujud penyeliaan pengajaran-pembelajaran yang berkaitan
dengan had ruang penyeliaan. Guru besar akan melakukan pencabulan hak
staf yang diselia. Keadaan ini berlaku kerana guru besar menganggap
dirinya serba tahu daripada guru-guru tadi. Seharusnya, hak guru perlulah
dihormati.
(vii) Guru besar sering menggunakan penyeliaan pengajaran-pembelajaran
sebagai kayu ukur dalam penilaian prestasi dan menapis guru-guru yang
tidak mencapai tahap yang diharapkan. Keadaan ini berkemungkinan
menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru-guru. Guru besar harus
bijak menguruskan semua ini.
(viii) Etika kerahsiaan mestilah dipatuhi. Perkara ini penting untuk membina,
memupuk dan mengekalkan perhubungan. Penyelia yang sihat dan dinamik
adalah perlu agar penyeliaan yang dilakukan mendapat keputusan yang
diharapkan. Namun terdapat juga, guru besar secara terang-terangan
menyatakan dan mengumumkan nama guru yang lemah dalam kaedah
pengajaran di dalam mesyuarat staf.

Jelas sekali bahawa aspek peribadi guru besar perlulah diberi perhatian. Guru besar
harus bijak menangani sebarang halangan berhubung aspek peribadi agar guru-guru percaya
akan kebolehan guru besar dalam menjalankan tugasnya sebagai pemimpin pengajaran.
Kebijaksanaan guru besar boleh menarik perhatian guru dan seterusnya mencapai matlamat
yang diharapkan. Jika sebaliknya berlaku, maka apa yang diharapkan dari penyeliaan
pengajaran pembelajaran akan menjadi lakonan dan sekadar memenuhi kehendak pihak
atasan sahaja.

Faktor Guru

Boardmen et al. (1953), telah menyatakan bahawa kebanyakan guru percaya bahawa
soal pengajaran di dalam kelas adalah kepakaran mereka dan guru besar tidak berupaya
memperbaiki tahap kecekapan pengajaran mereka. Mengikut kajian Nazaruddin et al. (1992)
mendapati 80 peratus guru-guru menyatakan penyeliaan pengajaran tidak wajar dilakukan
oleh guru besar walaupun mereka memahami tujuan penyeliaan dalam bilik darjah.
Kebanyakan guru pula lebih suka guru besar mereka berperanan sebagai pengurus sekolah.
Mereka juga lebih suka tugas dan perkara yang berkaitan dengan pengajaran dijadikan hak
mereka tanpa gangguan atau campur tangan guru besar (Kottkamp, et al., 1986) dalam
Husssain (1997). Metadologi dan sistem penyeliaan juga turut dipersoalkan oleh guru-guru
dan kepakaran guru besar sebagai penyelia turut diragui (Ramaiah, 1995).
Tanpa sokongan daripada guru-guru maka matlamat sebenar penyeliaan pengajaran
pembelajaran tidak akan tercapai. Oleh itu, guru besar yang bijak perlulah memastikan tujuan
dan objektif penyeliaan pengajaran pembelajaran diketahui oleh semua pihak yang terlibat
supaya tidak berlaku salah tafsir, salah faham dan salah guna penyeliaan pengajaran
pembelajaran (Ramaiah, 1995; Broadwell, 1975; Hussain, 1997). Aspek komunikasi harus
dipertajamkan oleh guru besar agar maksud di atas tercapai.

Terdapat juga guru-guru yang suka diselia terutama guru-guru baru kerana pada
anggapan mereka, guru besar merupakan orang yang pakar di dalam bidang tersebut. Tunjuk
ajar daripada guru besar sudah tentu dapat meningkatkan mutu pengajaran mereka namun
bagi guru-guru "tunggul mati", mereka tidak suka diselia oleh guru besar (Ibrahim, 1993).
Bagi mereka, guru besar tidak tahu tentang kepakaran mereka dan anggap mereka sahaja yang
betul. Walhal cara pengajaran akan berubah dalam masa lima tahun ( Ramaiah, 1999).

Oleh yang demikian, guru besar akan menghadapi masalah dalam melaksanakan tugas
mereka terutama guru besar-guru besar yang baru dilantik sebagai guru besar dan belum
menghadiri kursus berhubung dengan penyeliaan ini. Guru-guru lama sudah tentu
menggunakan kesempatan ini untuk mengelak daripada diselia oleh guru besar.

Faktor Pelajar

Dalam aspek penyeliaan pengajaran-pembelajaran di dalam kelas, pelajar-pelajar


memainkan peranan yang penting. Keberkesanan pengajaran-pembelajaran guru dapat diukur
melalui kefahaman dan keputusan peperiksaan pelajar. Namun demikian, jika guru besar tidak
berhati-hati dalam melakukan penyeliaan di dalam kelas maka keputusan yang diperolehi
tidak mencerminkan keadaan sebenar. Pelajar yang pelbagai tahap kecerdasan sudah tentu
membawa pelbagai kesan kepada pengajaran-pembelajaran guru. Pelajar yang kurang
berusaha, ketekunan, kurang mematuhi peraturan sekolah, kurang keinsafan dan kesedaran
tentang perlunya pendidikan akan menjadikan halangan kepada guru besar semasa melakukan
penyeliaan pengajaran-pembelajaran (Ibrahim, 1993).

Oleh itu, guru besar harus memahami situasi pelajar sebelum melakukan pencerapan.
Perbincangan dengan guru yang hendak diselia berhubung situasi pelajarnya mungkin
memberi faedah kepada guru besar bagi mendapatkan gambaran yang jelas tentang situasi
pelajar di dalam sesebuah kelas. Dengan cara itu, guru-guru tidak akan berasa takut atau resah
apabila mereka sedar bahawa guru besar sudah memahami situasi pelajar dan turut memahami
situasi yang mereka hadapi. Justeru, situasi ini dapat membantu dalam pencapaian objektif
penyeliaan.

Faktor Kelengkapan dan Kemudahan

Selain daripada guru dan pelajar, guru besar juga perlu memikirkan kelengkapan dan
kemudahan yang terdapat di dalam kelas tersebut dan kawasan sekolah amnya bagi
memastikan penyeliaan pengajaran-pembelajaran mencapai objektifnya. Bilik darjah yang
kekurangan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, kipas, alat-alat mengajar dan sebagainya
akan menjejaskan pengajaran guru dan penerimaan pelajar (Ibrahim, 1993).

Jika sesebuah sekolah atau kelas itu sempurna, maka proses pengajaran-pembelajaran
akan bertambah baik. Sebagai contoh, kelas yang tidak mempunyai kipas angin akan
mengganggu proses pengajaran-pembelajaran kerana semua pihak iaitu guru dan pelajar
berada dalam keadaan yang tidak selesa andai cuaca pada hari tersebut terlalu panas. Dengan
itu, guru besar harus mengkaji semua faktor sebelum membuat atau melakukan penyeliaan
terhadap guru-guru.

PENDEKATAN PENYELIAAN PENGAJARAN

Terdapat empat pendekatan penyeliaan pengajaran yang diamalkan oleh guru besar
atau wakilnya iaitu penyeliaan bersama (collaborative supervision), penyeliaan berbeza
(differentiated supervision), penyeliaan pembangunan (developmental supervision) dan
penyeliaan klinikal (clinical supervision).

a) Penyeliaan Bersama (collaborative supervision)


Pendekatan penyeliaan bersama yang dicadangkan oleh Lovell dan Wiles (1983),
menggariskan bahawa prinsip utama untuk membentuk satu sistem penyeliaan yang lebih
berkesan, perlu menggunakan pelbagai sumber dan kepakaran ahli-ahli professional iaitu
sama asa pendidik atau bukan pendidik. Tugas penyeliaan harus dipikul oleh pelbagai pihak.
Guru-guru yang baru tamat pengajian boleh belajar daripada guru senior yang berpengalaman
manakala rakan sekerja juga boleh membantu meningkatkan prestasi pengajaran rakan-rakan
yang lain.
b) Penyeliaan Berbeza (differentiated supervision)
Menurut pendekatan ini, guru boleh menjalankan tugas dengan lebih berkesan andai
mereka diberi kebebasan memilih bentuk penyeliaan yang difikirkan sesuai dengan peribadi
mereka. Pendekatan ini berteraskan prinsip-prinsip demokratik. Pendekatan ini dilihat
menyokong teori humanistik yang beranggapan bahawa individu guru itu sendiri yang boleh
menjamin kejayaan sesuatu penyeliaan.

c) Penyeliaan Pembangunan (developmental supervision)


Pendekatan penyeliaan pembangunan ini adalah berdasarkan kepada teori
pembelajaran bahawa setiap individu manusia itu berbeza. Menurut pendekatan ini sesuatu
hasil penyeliaan hanya boleh dinilai setelah dicuba atau dijalankan beberapa lama atau telah
melalui suatu tempoh yang dikira mencukupi. Dalam kata lain, guru perlu memilih kaedah
penyeliaan yang paling sesuai untuk dirinya dan penyelia.

Tanner dan Tanner (1987), m.s 186-193, merumuskan bahawa konsep penyeliaan
pembangunan seharusnya mengambil kira perkara-perkara berikut:
i. Memberi pengiktirafan kepada guru sebagai penyelesai masalah.
ii. Menolak konsep di mana guru dianggap sebagai agen penyampaian pembelajaran
mengikut kurikulum yang telah ditetapkan oleh pihak luar.
iii. Guru sebagai pendidik profesional berganding bahu dalam pembentukan dan
perkembangan kurikulum bersama dengan penyelia dan pentadbir.
iv. Hubungan kerja adalah berdasarkan penglibatan demokratik
v. Penyeliaan pembangunan merapatkan jurang antara kurikulum dan pembelajaran,
antara pengajaran secara kuantitatif dan kualitatif, antara pengajaran dan
pembelajaran.
vi. Penyeliaan berasaskan pendidikan ialah satu proses yang sentiasa berkembang dan
bukan proses yang menuju ke arah pembentukan hasil.
vii. Penyeliaan ini memerlukan pengiktirafan keperluan saling bergantungan antara
kurikulum dan pengajaran, isi pelajaran dan kaedah, teori dan amali, kognitif dan
afektif, kemahiran dan idea, kualitatif dan kuantitatif.
d) Penyeliaan Klinikal
Sergiovanni dan Starratt (1979), menyatakan bahawa penyeliaan klinikal ialah
pertemuan bersemuka antara penyelia dan guru pelatih berkaitan pengajaran di dalam bilik
darjah dengan dua matlamat utama. Pertama adalah untuk kemajuan profesional dan kedua
untuk memperbaiki kaedah pengajaran guru. Menurut Snyder (1988) penyeliaan klinikal
merupakan suatu teknologi bimbingan (coaching technology) untuk memperbaiki amalan dan
hasil pengajaran. Manakala Cogan (1973), menyatakan bahawa penyeliaan klinikal adalah
bertujuan untuk memperbaiki pengajaran guru di dalam bilik darjah. Selanjutnya, beliau
menyatakan bahawa data yang diperolehi menerusi penyeliaan guru ini dapat membantu
membentuk suasana belajar yang lebih baik kepada pelajar dengan membuat pengubahsuaian
dari segi tingkah laku guru dan guru pelatih. Konsep penyeliaan klinikal yang dikemukakan
oleh Cogan dilihat lebih mantap dan lantaran itu ia masih diterima dan berpengaruh.

Goldhammer (1980), pula menyatakan penyeliaan klinikal merupakan hubungan


bersemuka di antara guru pelatih dengan penyelia yang member fokus kepada pelakuan guru
di dalam bilik darjah. Ini diperkukuhkan lagi oleh Glatthorn (1984), yang menyatakan bahawa
penyeliaan klinikal ialah suatu proses intensif yang direka untuk memperbaiki pengajaran
melalui perbincangan dengan guru. Perkara-perkara yang dibincangkan termasuklah
persediaan rancangan pelajaran, proses penyeliaan pengajaran, menganalisis data penyeliaan
dan memberi maklum balas hasil daripada penyeliaan.

Antara ciri-ciri yang ketara dalam konsep penyeliaan klinikal ini ialah penyeliaan
rancangan pengajaran guru dirancang secara bersama dalam situasi yang selesa iaitu tanpa
adanya unsur-unsur penilaian dan kritikan. Proses interaksi antara guru dengan penyelia
berlaku di dalam suasana harmoni dan rapat. Penyelia mewujudkan situasi yang selesa ketika
menilai di peringkat konferens pra pemerhatian dan juga di peringkat konferens pos
pemerhatian di samping mewujudkan kepercayaan terhadap tujuan mempertingkatkan
pengajaran guru.

Oleh yang demikian seseorang penyelia yang cuba menggunakan model ini perlu
mengetahui dan faham teknik asas yang mungkin berguna untuk membangunkan kompetensi
seseorang guru. Terdapat lima peringkat yang dikenal pasti dalam proses menggunakan model
penyeliaan klinikal yang dipersetujui umum iaitu:
i. Konferensi / perbincangan sebelum pencerapan
ii. Pencerapan / pemerhatian di dalam kelas
iii. Analisis data selepas pencerapan
iv. Konferensi / perbincangan selepas pencerapan
v. Analisis selepas pencerapan

i) Konferensi sebelum pencerapan.


Konferensi atau perbincangan sebelum pencerapan merupakan peringkat permulaan
dalam proses penyeliaan klinikal. Ia bertujuan untuk membina persefahaman antara penyelia
dan guru tentang pengajaran yang dijalankan. Pada peringkat ini, guru seharusnya diberi
peluang untuk menjelaskan dan membuat refleksi tingkah laku pengajarannya. Ia bertujuan
menyediakan suasana yang lebih selesa dan menambahkan keyakinan guru untuk mengajar
ketika diselia. Penyelia harus mewujudkan `rapo’ dan kepercayaan dengan guru. Persetujuan
bersama dapat dicapai tentang isu-isu atau aspek-aspek yang difikirkan penting atau mungkin
menjadi masalah utama semasa pengajaran. Aspek-aspek yang hendak difokuskan ditentukan
dan di akhir sesi, penyelia seharusnya menutup konferensi dengan memastikan bahawa guru
berasa selesa dan yakin untuk menjalankan pengajaran.

ii) Pencerapan Di dalam Kelas


Pada peringkat ini, pencerapan perlu dijalankan dengan berhati-hati berpandukan
persetujuan semasa konferensi sebelumnya terutama aspek yang difokuskan seperti teknik
menyoal, pergerakan guru-murid, komunikasi `non-verbal’, set induksi dan sebagainya. Di
peringkat ini penyelia boleh menggunakan satu atau kombinasi pelbagai cara penyeliaan atau
pencerapan. Data-data yang dikumpul akan membantu perbincangan antara penyelia dan
guru. Data boleh berbentuk kuantitatif atau kualitatif. Pengumpulan data juga dapat
membantu guru menyedari kelebihan dan kekurangan pengajarannya. Dalam proses ini,
penyelia perlu peka dengan isu-isu kritikal yang timbul atau yang tidak dijangka semasa
pengajaran. Pelbagai kaedah pengumpulan data boleh digunakan samada melalui jadual
kekerapan, senarai semak, rakaman atau cara-cara lain. Pengaruh persekitaran seperti suasana
fizikal dan emosi di dalam bilik darjah juga harus diberi pertimbangan oleh penyelia.
iii) Analisis Data Selepas Pencerapan
Data yang dikumpul semasa pemerhatian pengajaran akan membantu perbincangan
antara penyelia dengan guru. Data yang dikumpul hendaklah berdasarkan perkara atau aspek
yang dipersetujui bersama untuk diberi perhatian. Perkara atau aspek yang difokuskan
merupakan teknik penyoalan, pergerakan guru-murid, komunikasi, set induksi dan
sebagainya. Data tersebut boleh berbentuk kualitatif atau kuantitatif.

iv) Perbincangan Selepas Pemerhatian


Perbincangan selepas pemerhatian merupakan sesi perbincangan selepas pengajaran
dijalankan. Ia bertujuan memberi maklum balas kepada guru supaya dapat meningkatkan
mutu pengajaran, di samping mencapai kemajuan profesionalisme diri serta mampu membuat
penilaian kendiri. Keberkesanan sesuatu perbincangan itu sangat bergantung kepada
perancangan yang dibuat antara penyelia dan guru.

v) Kritikan
Peringkat ini memberi peluang kepada guru dan penyelia membuat sebarang komen
dan saranan tentang kekuatan dan kelemahan yang wujud sebelum diulang semula. Kritikan
boleh dilakukan secara tidak formal tetapi dengan bijaksana. Peringkat ini memberi peluang
kepada guru untuk membaiki sebarang kelemahan dan masalah yang wujud bagi tujuan
pengajaran yang lebih baik pada masa akan datang.

KEBERKESANAN PENYELIAAN PENGAJARAN DI SEKOLAH

Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas, Kementerian Pelajaran Bil. 3/1987, dengan


jelas menekankan bahawa guru besar sebagai pemimpin profesionalisme di sekolah adalah
bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum di sekolahnya.
Pelaksanaan kurikulum dijalankan melalui proses dan aktiviti pengajaran-pembelajaran oleh
guru-guru dan keberkesanan pelaksanaan kurikulum, memerlukan penyeliaan yang rapi dan
sistematik daripada pihak guru besar sekolah berkenaaan. Selain itu, melalui surat pekeliling
ikhtisas ini, tujuan sesebuah penyeliaan itu turut dinyatakan seperti berikut:
i. Mempertingkatkan daya profesionalisme Guru besar/Guru Besar dan guru-guru
dalam melaksanakan kurikulum sekolah melalui proses pengajaran-pembelajaran
sejajar dengan falsafah, matlamat dan objektif sistem pendidikan negara.
ii. Berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi meluaskan sumber maklumat kepada
Guru besar/Guru Besar untuk memperbaiki proses pengajaran-pembelajaran di
sekolahnya. Sumber maklumat ini juga boleh digunakan oleh Guru besar/Guru
Besar sebagai asas untuk menilai seseorang guru bagi tujuan tertentu.
iii. Memupuk, memelihara dan memperkukuhkan hubungan profesionalisme dan
interaksi yang positif antara Guru besar/Guru Besar dengan guru, guru dengan
guru dan antara guru dengan murid.
iv. Membantu guru-guru menjalankan tugas harian dengan lebih berkesan dan
membentuk sikap guru ke arah yang lebih positif.

Dua bidang yang perlu diberi focus utama ketika melaksanakan penyeliaan
pengajaran-pembelajaran di dalam bilik darjah iaitu bidang organisasi dan bidang pengajaran
dan pembelajaran. Aspek organisasi yang perlu diberi perhatian adalah:
i. Iklim kelas – organisasi kelas, kawalan murid, komunikasi, motivasi, sikap murid,
kebersihan dan perhiasan.
ii. Penyeliaan gerak kerja pelajar.
iii. Penilaian prestasi.
iv. Profil murid.
v. Panitia matapelajaran.

Manakala dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, aspek yang perlu diberi
perhatian adalah:
i. Rancangan pengajaran – objektif dan isi kandungan.
ii. Persediaan alat/bahan pengajaran dan penggunaannya.
iii. Penyampaian isi pelajaran.
iv. Teknik bersoal jawab.
v. Interaksi guru dan murid.
vi. Penggunaan masa.
Menurut Ramaiah (1999), guru besar yang berkesan sebagai pemimpin pengajaran
adalah guru besar yang percaya bahawa penyeliaan di dalam kelas adalah mustahak dan tidak
hanya memberi perhatian kepada tugas-tugas pentadbiran sahaja. Dalam kontek pendidikan,
guru besar merupakan pemimpin di sekolah. Justeru untuk memastikan tugas penyeliaan yang
dijalankan berkesan, penyeliaan perlu dilaksanakan secara sistematik. Penyeliaan yang
teratur, kemas, menepati objektif dan dirancang dengan teliti akan dapat meningkatkan kualiti
pengajaran guru serta pembelajaran murid di dalam kelas. Perkara ini adalah selari dengan
apa yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Bil. 3/1987 yang
dinyatakan di atas tadi.

Aspek-aspek penting dalam merancang penyeliaan agar objektif yang dirancang dapat
dicapai adalah:
i. Mempunyai satu garis panduan pelaksanaan penyeliaan yang jelas.
ii. Mempunyai satu rangka rancangan penyeliaan – jadual penyeliaan yang
menyeluruh.
iii. Pendekatan penyeliaan yang perlu diketahui oleh guru-guru.
iv. Waktu untuk perbincangan bersama.
v. Penyelesaian masalah secara bersama.

Guru besar sebagai pemimpin yang terlibat secara langsung dalam hal-hal yang
berkaitan dengan proses pengajaran-pembelajaran di sekolah seharusnya mempunyai
hubungan yang rapat dengan orang bawahannya. Dengan adanya hubungan baik antara
kedua-dua pihak maka suasana pengajaran-pembelajaran akan menjadi lebih berkesan
(Alageswary 1980). Hubungan ini juga memberi implikasi yang sihat terhadap proses
pendidikan secara keseluruhannya dan juga dapat membantu guru besar dan guru-guru
meningkatkan perkembangan profesionalisme di samping memberi kesedaran akan
pentingnya penilaian kendiri. Penyeliaan yang berkesan akan dapat meningkatkan dan
menggalakkan pertumbuhan ilmu di kalangan guru dan guru besar.

Menurut Alageswaray (1980), penyeliaan yang berkesan adalah penyeliaan yang dapat
memenuhi ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan dalam menjalankan tugags-tugas penyeliaan
di sekolah. Antara ciri-ciri tersebut adalah guru besar mestilah mempunyai hubungan yang
baik dengan kakitangan organisasi. Di samping itu, guru besar juga perlu mendapat
penerimaan oleh staf guru besar selain turut menjalankan tugas dengan mengambil kira
perasaan guru. Ini kerana menurut kajian oleh McDaniel (1984), punca sebenar guru-guru
memberi tanggapan negatif terhadap penyeliaan pengajaran adalah kerana penyelia dan guru
tidak berkomunikasi dengan baik.

Selain hubungan baik antara guru-penyelia, beberapa aspek lain yang harus diberi
perhatian dalam melaksanakan proses penyeliaan pengajaran - pembelajaran iaitu:

i. Meningkatkan kualiti pengajaran


Penyeliaan dalam bilik darjah dapat memperbaiki kelemahan dan kekurangan proses
pengajaran guru. Kemahiran pengajaran bagi setiap mata pelajaran dapat dimantapkan.
Masalah psikologi tentang pembaharuan dan perubahan kurikulum yang dihadapi guru
dapat diatasi. Penyeliaan juga turut berperanan sebagai suatu teknologi bimbingan
kepada guru-guru khususnya guru-guru baru.

ii. Menggalakkan pertumbuhan profesionalisme


Profesionalisme guru dapat dipertingkatkan melalui proses penyeliaan pengajaran
yang dilaksanakan dengan sistematik. Boardman et al. (1953), menyatakan bahawa
pertumbuhan profesionalisme guru dapat dilihat daripada usaha seperti menggalakkan
hubungan yang harmonis antara pihak pentadbir dengan staf bawahannya,
perkembangan staf dan juga aktiviti yang ada hubungan dengan pedagogi dan
teknologi yang digunakan dalam pengajaran.

iii. Membantu guru


Penguasaan ilmu pengetahuan dan perkembangan jati diri guru adalah penting bagi
memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan
cemerlang. Stone (1984), menyatakan bahawa objektif utama penyeliaan adalah
perkongsian pengalaman dan pengetahuan yang dapat membantu guru melakukan
penyeliaan kendiri mereka. Dengan ini, guru berpeluang mencari jalan penyelesaian
bagi mengatasi setiap masalah yang dihadapi dan seterusnya berusaha ke arah
meningkatkan kualiti pengajaran.
TANGGAPAN GURU TERHADAP PENYELIAAN PENGAJARAN

Dari segi tanggapan guru terhadap penyeliaan, Sharifah dan Azizah (1988), mendapati
56 peratus daripada guru yang dikajinya bersetuju diselia oleh guru besar, manakala 44
peratus lagi tidak setuju. Pendapat yang berbeza dalam kalangan guru berpunca daripada
pandangan guru yang berbeza terhadap penyeliaan. Guru-guru yang bersetuju diselia
kebanyakannya dapat memahami tujuan pencerapan, yakin terhadap kewibawaan dan sifat
profesional penyelia, tidak berasa terancam dan tidak berasa kehilangan autonomi.
Sebaliknya, mereka menganggap bahawa penyeliaan sebagai satu aktiviti yang membantu
guru dalam meningkatkan prestasi pelajar. Menurut pengkaji, bagi golongan guru yang tidak
bersetuju diselia pengajarannya, mereka mempunyai pandangan yang kurang yakin terhadap
kewibawaan dan profesionalisme penyelia, berasa terancam dan cemas. Mereka mengganggap
bahawa penyeliaan adalah tidak perlu dan ia turut menganggu dan menjejaskan proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Mengikut kajian oleh Lovell dan Phelps (1977), tentang tanggapan guru-guru di
Tennesee terhadap penyeliaan pengajaran, sebanyak 73 peratus guru melaporkan bahawa
mereka telah diselia oleh guru besar dan guru besar sekali atau lebih sepanjang tahun 1974 –
1975. Daripada guru-guru yang telah diselia , sebanyak 82 peratus guru melaporkan bahawa
satu atau lebih daripada satu persidangan telah diadakan untuk berbincang dengan guru besar
dan guru besar tentang pengajaran mereka. Lebih daripada 50 peratus guru yang berkenaan
menyatakan bahawa penyeliaan yang dilakukan oleh guru besar dan guru besar tidak
dijadualkan atau dimaklumkan dan tidak dilakukan dengan mengadakan persidangan terlebih
dahulu. Hanya 44 peratus daripada guru terlibat berpendapat bahawa penyeliaan pengajaran
berguna dan mendatangkan faedah.

Neville (1966), melaporkan bahawa guru melihat kelemahan penyeliaan pengajaran


dalam bilik darjah seperti berikut: penyeliaan pengajaran tidak memberi fokus kepada
peningkatan prestasi dan pengajaran; penyeliaan pengajaran tidak berasaskan pendekatan
ubungan manusia, penyeliaan pengajaran tidak menunjukkan kerelaan untuk membantu guru-
guru bagi mengatasi masalah-masalah dalam pengajaran.
Melalui kajian Kepimpinan di sekolah-sekolah rendah cemerlang, di Semenanjung
Malaysia, Asmah, et al. (2004), menyatakan bahawa antara amalan guru besar sekolah-
sekolah tersebut ialah cenderung kepada mewujudkan permuafakatan di kalangan guru-guru
terutamanya dalam mesyuarat panitia. Mereka membuat pencerapan terhadap guru-guru, buku
latihan murid dan mencadangkan penambahbaikan kepada guru-guru serta murid-murid
dalam pertemuan secara individu ataupun dalam mesyuarat.

AMALAN PENYELIAAN PENGAJARAN DI SEKOLAH

Bidang pendidikan termasuk perguruan adalah suatu bidang yang penting yang
mendapat perhatian yang khusus daripada pihak kerajaan (Zulhilmi Paidi dan Rohani Abdul
Ghani, 2003). Akhir-akhir ini persoalan yang sering dibangkitkan ialah pendidikan berkualiti.
Di sekolah, kelulusan cemerlang menjadi agenda yang penting. Imej dan status perguruan
diikuti dengan perkembangan profesionalisme perguruan yang rendah perlu dipulihkan
segera. Pelbagai isu dan persoalan kritikal yang berlaku dalam profesion perguruan menuntut
agar reformasi profesion perguruan dilakukan untuk memulihkan kelemahan yang wujud pada
masa sekarang.

Langkah pembaharuan ke arah mereformasi profesion perguruan perlu mengambil kira


keperluan negara dalam mencorak dan mempertahankan kualiti, status, pencapaian,
sumbangan dan pembangunan pendidikan negara ke peringkat kecemerlangan pendidikan
bertaraf dunia. Idealisme profesion perguruan yang pada suatu ketika dahulu disanjung tinggi
dan begitu murni kedudukannya dalam masyarakat sudah tidak lagi mendapat penghormatan
yang tinggi pada masa kini (Abd Rahim Abd Rashid, 2000).

Isu-isu tentang prestasi sekolah, keberkesanan pengajaran dan pencapaian pelajar


sukar dihuraikan sepenuhnya tanpa penyediaan dan latihan guru, baik di peringkat pra
perkhidmatan mahupun peringkat dalam perkhidmatan. Salah satu aspek yang perlu diberi
perhatian adalah tentang penyeliaan terutama terhadap guru, semasa mereka mengajar di
sekolah (Robiah Sidin, 1998). Guru merupakan satu-satu profesion yang mulia dan dihormati
sejak dahulu lagi. Peranan guru adalah amat besar. Ia bukan sahaja mencorakkan masa depan
pelajar, bahkan juga menjadi model bagi mereka yang dididiknya. Seorang guru hendaklah
mempunyai kualiti-kualiti seperti berfikiran terbuka, berdisiplin dan berperikemanusiaan
apabila menghadapi sesuatu cabaran.

Penyeliaan dapat dilihat sebagai satu usaha untuk mendorong, menyelaras dan
membimbing guru dalam hal pengajaran. Justeru, penyeliaan yang efektif adalah kritikal
supaya ketidaksempurnaan atau kecacatan yang berlaku dalam pengurusan sekolah dapat
dihindari dan diatasi. Mohd Salleh Lebar (2000), turut mengatakan bahawa penyeliaan
pengajaran merupakan isu yang kritikal dalam kepimpinan pengajaran. Ia banyak melibatkan
aspek-aspek kepimpinan, kecekapan guru, prestasi pelajar, taraf sekolah, kemahiran teknikal
dan sebagainya. Untuk menghasilkan akauntabiliti dalam pendidikan bukanlah mudah dan
memerlukan kepakaran dan kemahiran daripada pihak pentadbir sekolah. Oleh itu peranan
seseorang pentadbir atau guru besar ialah memberi kuasa memimpin, menyelia, merancang,
dan menyusun strategi.

Kajian Association for Supervision and Curriculum Development oleh Cahelti dan
Reavis yang dipetik oleh Zainuddin (1998) mendapati bahawa guru besar hanya
menggunakan kurang daripada satu pertiga masa mereka untuk tujuan aktiviti yang berkaitan
dengan penyeliaan pengajaran-pembelajaran atau pencerapan. Mengikut kajian ini lagi, guru
besar memberitahu bahawa mereka hanya menggunakan 20 peratus daripada masanya untuk
melawat kelas, kerja-kerja yang berkaitan dengan kurikulum. Hasil kajian ke atas tugas dan
masalah guru besar di sekolah rendah yang dijalankan oleh Teh Kah Hoe (1985), mendapati
penyeliaan yang dijalankan oleh guru besar hanya tertumpu kepada menyemak Buku
Persediaan Mengajar guru.

Di samping itu, pemeriksaan terhadap prestasi murid dalam ujian dan peperiksaan
akhir tahun juga dilakukan oleh guru besar untuk menilai keberkesanan pengajaran-
pembelajaran oleh guru dalam kelas. Guru besar jarang melakukan pemerhatian terhadap apa
yang berlaku di dalam bilik darjah. Sebaliknya pemerhatian akan dilakukan mengikut
keperluan semasa seperti pencerapan ke atas guru dalam latihan atau apabila timbul sesuatu
masalah. Melalui penyeliaan buku persediaan mengajar guru, guru besar hanya memastikan
sukatan pelajaran yang disusun pada awal tahun dapat disempurnakan. Seterusnya, guru besar
akan membuat penilaian terhadap prestasi guru pada penghujung tahun.
Dwyer (1984), membuat pemerhatian terhadap 17 orang guru besar yang dikatakan
berjaya dalam memainkan peranannya sebagai pemimpin pengajaran. Guru besar-guru besar
tersebut telah memberikan penekanan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan
membina iklim sekolah yang dapat menggalakkan suasana pengajaran dan pembelajaran di
sekolah dan memastikan mutu pengajaran guru yang baik melalui
a) latihan dalam perkhidmatan, pemerhatian terhadap pengajaran guru
b) menggalakkan guru membuat pemerhatian rakan mereka menjalankan pengajaran
c) mengadakan perbincangan dengan guru mengenai masalah pengajaran

Kajian Wolcott (Campbell et al. 1983), pula mendapati lebih daripada 50 peratus masa
guru besar digunakan untuk berinteraksi dengan guru dan kakitangan lain di sekolah
manakala kira-kira 20 peratus daripada masanya digunakan untuk berinteraksi dengan pelajar.
Seterusnya Peterson (1978), mendapati guru besar dan guru besar menggunakan tidak lebih 6
peratus daripada masanya untuk menguruskan program pengajaran termasuk penyeliaan.

Martin dan Willower (1981), pula mendapati bahawa 17.4 peratus daripada masa guru
besar dan guru besar digunakan untuk penyeliaan dan perkembangan kurikulum. Dalam
kontek negara kita, menurut Lee (1991), guru besar dan guru besar disarankan menggunakan
60 peratus daripada masa mereka untuk penyeliaan pengajaran. Saranan yang dibuat oleh Lee
(1991), ini bersesuaian dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh Mangieri dan Arnn
(1985), ke atas 152 guru besar sekolah-sekolah cemerlang di Amerika Syarikat dalam tahun
1982 – 1983, yang mendapati guru besar berkenaan meletakkan penyeliaan pengajaran
sebagai dimensi tugas yang utama bagi guru besar.

Kajian oleh Pinckney dalam Boardman et al. (1953), telah mencadangkan penggunaan
masa guru besar dalam aspek penyeliaan perlu ditingkatkan daripada 25 peratus kepada 30
peratus. Seterusnya, beliau juga menggariskan bahawa terdapat beberapa faktor yang
menghalang usaha guru besar menjalankan penyeliaan pengajaran-pembelajaran di dalam
kelas seperti faktor guru besar itu sendiri, faktor sikap guru dan murid. Sementara itu, Ismail
(1986) menyatakan halangan-halangan tersebut terdiri daripada tiga faktor utama iaitu
kekangan masa dan beban tugas, perhubungan guru besar dengan staf yang diselia dan
kurangnya kemahiran dan keyakinan guru besar dalam menjalankan penyeliaan pengajaran-
pembelajaran.
Menurut kajian Croft (1968), dalam Hussain (1997), kira-kira 50 peratus daripada
guru-guru melaporkan bahawa hanya sekali setahun guru besar mereka melihat mereka
mengajar. 60.70 peratus daripada guru sampel ini menyatakan bahawa guru besar mereka
tidak pernah atau amat jarang sekali memberi ulasan atau cadangan pengajaran kepada
mereka. Justeru, Goldstein (1982), menegaskan bahawa guru besar tidak seharusnya
melenggah-lenggahkan laporan berhubung dengan penyeliaan pengajaran di dalam kelas.
Tanggapan guru terhadap guru besar mungkin akan terjejas sekiranya laporan penyeliaan
tidak disiapkan secepat mungkin. Laporan ini seharusnya disiapkan dalam tempoh 24 jam
selepas penyeliaan dilakukan.

Kajian yang dijalankan oleh Baharom (2002), mendapati penyeliaan pengajaran yang
bertujuan membantu guru memberikan pengajaran yang lebih berkesan dan pengalaman
pembelajaran yang lebih bermutu kepada pelajar masih belum tercapai. Seterusnya, kajian
beliau mendapati sikap guru yang kurang wajar serta guru besar dan guru besar yang belum
bersedia melaksanakan penyeliaan pengajaran merupakan kekangan yang perlu diatasi. Hasil
kajian Baharom (2002), mendapati 12.03 peratus daripada guru di sekolah rendah dan 5.88
peratus guru di sekolah menengah tidak setuju pencerapan pengajaran dilakukan. Dapatan ini
selari dengan kajian Sharifah dan Azizah (1988).

Dapatan ini juga menyokong pendapat yang dikemukakan oleh Abdul Shukor (1988),
yang mengatakan bahawa terdapat segelintir guru bersikap defensif terhadap pencerapan
pengajaran. Manakala Lortie (1975), berpendapat bahawa guru mempunyai kecenderungan
‘konservatism’, ‘presentism’ dan ‘individualism’. Terdapat kalangan guru yang menganggap
penyeliaan sebagai satu pencerobohan terhadadp individualisme guru. Hal ini berlaku,
mungkin kerana mereka kurang memahami tujuan sebenar pencerapan pengajaran.
KESIMPULAN

Guru besar sebagai pemimpin kurikulum memainkan peranan yang penting dalam
mengatur program penyeliaan di sekolah supaya hasrat Kementerian Pelajaran melalui Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1987 dapat dicapai. Oleh itu, proses penyeliaan perlu dirancang
dengan teliti. Dalam hal ini, guru besar dan penyelia yang dipertanggungjawabkan perlu
mempunyai pengetahuan dan kemahiran secukupnya. Mereka perlu mempunyai sikap positif,
fikiran yang terbuka serta pengetahuan profesional yang luas. Guru-guru akan menghormati
seseorang penyelia, bukan kerana kedudukannya tetapi kerana kualiti kepemimpinan serta
sumbangan positif yang ditunjukkan.

Pendekatan 'satu saiz untuk semua' tidak lagi sesuai dalam usaha meningkatkan
pendidikan bertaraf dunia. Segala kemelut dan cabaran yang terdapat dalam sistem
pendidikan perlu ditangani segera agar kecemerlangan dapat dilestarikan. Oleh itu, satu
anjakan yang besar perlu dilakukan dalam pola pengurusan pengajaran khususnya dari aspek
kepenyeliaan agar keperluan dan kemenjadian guru dapat dipertingkatkan.

Sehubungan dengan itu, pihak yang terlibat khususnya Kementerian Pelajaran


Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Jemaah Nazir Sekolah dan
guru besar sendiri perlu merencana dan menyusun langkah-langkah yang efektif bagi
mengatasi kekurangan dan kelemahan dalam amalan penyeliaan pengajaran dan pembelajaran
sedia ada dalam usaha meningkatkan efikasi guru serta kemenjadian murid khususnya.

Guru adalah aset penting dalam usaha melonjakkan sistem pendidikan ke tahap yang
lebih tinggi. Guru yang mempunyai tahap efikasi diri yang tinggi akan mampu menyampaikan
isi pelajaran dengan baik dan berkesan. Elemen ini adalah penting kerana kajian membuktikan
bahawa efikasi guru mempunyai hubungan yang signifikan dengan penyeliaan pengajaran dan
pembelajaran. Oleh itu, adalah diharapkan agar pihak yang terlibat tidak mengabaikan aspek
ini dalam merangka hala tuju sekolah yang selama ini lebih memfokuskan kepada
kemenjadian murid daripada profesionalisme guru.

Secara umumnya penyeliaan yang baik, menurut Light dan Cox (2001), dapat
memenuhi empat dimensi utama, iaitu intelektual, personal, sosial dan praktikal. Inskipp dan
Proctor (2001), dalam Murphy (2004), pula mengkategorikan fungsi penyeliaan yang baik
sebagai aktiviti mendidik, membimbing dan menasihati. Seterusnya Glickman et al. (2004: 9),
menegaskan ukuran kualiti penyeliaan adalah berasaskan keberkesanan amalan penyeliaan.
Menurutnya lagi, penyeliaan yang berkesan memerlukan pengetahuan, kemahiran
interpersonal, dan kemahiran teknikal. Ketiga-tiga faktor ini diaplikasi dalam tugasan
penyeliaan yang menawarkan bantuan langsung guru dan berupaya untuk memenuhi
keperluan mereka di samping membantu meningkatkan kualiti pembelajaran.

Selanjutnya, Sullivan dan Glanz (2000: 23), menegaskan bahawa penyelia


memerlukan kepakaran pengetahuan dan kemahiran bagi membolehkan mereka menghadapi
cabaran dalam bidang pendidikan. Sehubungan dengan itu, mereka perlu berinisiatif tinggi,
fleksibel, sabar, bekerjasama dan berfikiran positif. Sebaliknya, dalam situasi penyeliaan yang
kurang memberangsangkan, guru besar perlu mempunyai visi, tahap ketabahan dan kesabaran
yang tinggi serta konsisten (Nolan & Hover, 2004). Oleh itu, dalam menangani perubahan
menuju kepada penyeliaan yang berkualiti, guru besar selaku penyelia dikehendaki menguasai
segala pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan serta merombak sistem yang ada agar
amalan penyeliaan menjadi lebih berkesan dan menjurus kepada matlamat utama, iaitu
peningkatan kualiti pembelajaran murid. Jelasnya, penyeliaan yang berkualiti akan membawa
kepada kelangsungan kualiti di sekolah.

Anda mungkin juga menyukai