Hormat Panji-Panji
Panji-panji dikenali sebagai bendera Malaysia dan semua bendera negeri, bendera Pandu Puteri dan sebagainya yang berbentuk bendera. Jangan sesekali meletakkan panji-panji di atas tanah pada masa hendak mengibar atau menaikkannya. Semasa panji-panji berkibar, tali hendaklah dipasti diikat dengan agar tidak terlucut dan menyebabkan panji-panji meleret ke bumi. Panji-panji hendaklah ditatang atau diletakkan di bahu pada masa hendak dinaikkan atau diturunkan. Jangan biarkan panji-panji itu meleret ke tanah.
Hormat Panji-Panji
Semasa hendak mengibarkan panji-panji separuh tiang, terlebih dahulu hendaklah dinaikkan sepenuh tiang kemudian barulah diturunkan semula hingga separuh tiang. Separuh tiang adalah sebagai tanda sesebuah negara sedang berdukacita atas sesuatu kemangkatan, kematian ataupun sesuatu tragedi. Sama ada panji-panji dikibarkan separuh tiang ataupun sepenuh tiang, panji-panji hendaklah diturunkan apabila hari menjelang petang. Panji-panji boleh dikibarkan serentak dengan nyanyian lagu Negaraku ataupun lagu negeri masing-masing. Semasa aktiviti ini, kita hendaklah berdiri dengan tegak dalam keadaan sedia. Sekiranya kita sedang melakukan sesuatu pekerjaaan semasa lagu kebangsaan dinyanyikan dan bendera sedang dinaikkan, kita hendaklah berhenti dan berdiri sebagai tanda menghormati panji-panji dan lagu tersebut.
Kedudukan Panji-panji
Semasa Perarakan Dalam perarakan yang diadakan secara berbaris ke hadapan, bendera Malaysia hendaklah dibawa mendahului bendera-bendera lain. Apabila perarakan diadakan secara berderet berhadapan, bendera Malaysia hendaklah diletakkan di tengah-tengah antara bendera yang lain.