Anda di halaman 1dari 14

1

1.0

PENGENALAN

Umat Islam setelah kejatuhan institusi khilafah yang diterajui oleh Uthmaniah pada akhir abad ke 17 dilihat seperti masyarakat yang hilang arah tuju lantaran jauhnya dari dasar syariat Islam. Sememangnya tidak dinafikan juga faktor penjajahan oleh pihak Barat menjadikan keadaan umat Islam semakin tenat. Negara-negara umat Islam telah dipecah dan dibahagikan oleh kuasa Barat sekaligus memberi kesan yang mendalam terhadap ikatan ukhwah Islam. Natijahnya, umat Islam hidup dalam keadaan

berpecah belah dan hanya mementingkan diri sendiri. Di Mesir, peranan yang dimainkan oleh Hasan al-Banna dan Ikhwan alMuslimun dalam memperjuangkan kembali kemuliaan Islam telah menjadikan organisasi ini menjadi pencetus kepada siri dakwah Islam sejagat. Nabi s.a.w dalam hadis yang sahih diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud menyebut: Sesungguhnya Allah akan menghantar untuk umat ini setiap awal seratus tahun sesiapa yang mentajdidkan untuk umat ini agamanya. Islam semestinya akan dilindungi oleh Allah s.w.t. dan untuk itu, lahirlah seorang mujaddid Islam yang amat berpengaruh sehingga ke masa kini. Tokoh besar perjuangan Islam ini telah membina dan

mewariskan pemikiran dan perjuangannya ke seluruh dunia, Timur mahupun Barat. Hasan al-Banna adalah seorang pendakwah Islam yang telah berjuang untuk memartabatkan Islam di Mesir ketika era penjajahan British dan Kamal Attartuk. Beliau adalah simbol kebangkitan umat di zaman moden sekaligus memberikan contoh kepimpinan kepada pewaris dakwah pada masa kini. Kertas kerja ini akan membincangkan mengenai keperibadian pengasas organisasi Ikhwan al-Muslimin ini iaitu Al-Syahid Imam Hasan al-Banna, sumbangannya iaitu Ikhwan al-Muslimin kepada dunia Islam khususnya di Mesir, mengenai karya-karya yang dihasilkannya serta peristiwa gugurnya beliau sebagai pejuang syahid di jalan Allah.

2.0

KELAHIRAN TOKOH ULUNG: HASAN AL-BANNA

Pepatah Melayu ada mengatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Begitulah ibaratnya keperibadian Hasan al-banna dengan ayahnya iaitu Syeikh Ahmad al-Banna. Ayahnya seorang tukang membaiki jam namun berkelulusan Universiti Al-Azhar dan pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Abduh. Selain itu, separuh harinya

digunakan untuk mencari rezeki dan masanya yang lain digunakan untuk mengkaji dan mendalami al-Quran dan al-Sunnah. Beliau juga mempunyai sebuah

perpustakaan yang mengandungi berbagai buku berharga dalam bidang al-Quran dan al-Sunnah. Beliau juga dilantik menjadi imam dan kepetahannya dalam bercakap telah menarik hati orang ramai. Di samping itu juga, beliau menyusun banyak buku mengenai hadith, antaranya ialah Musnad Ahmad bin Hanbal mengikut bab-bab dari sudut ilmu Fiqh. Kitab ini dinamakan al-Fath al-Rabbani fi Tartib Musnad al-Imam Ahmad bin al-Syaibani. Kemudian beliau menulis pula huraian terperinci mengenai kitab tersebut dan menamakan Bulugh al-Amani min Asrar al-Fath Rabbani(Zulkifli & Mohd Faisal 2010:6) 2.1 Latar Belakang Peribadi Al-Banna merupakan seorang tokoh yang berkarisma yang mana telah banyak menjadi inspirasi kepada ribuan umat Islam dalam kerja-kerja dakwah persatuan. Dengan lahirnya beliau ke dunia ini telah memberi impak baru kepada aktiviti dakwah Islam agar kembali kuat. Nama sebenar beliau ialah Hasan bin Ahmad bin Abd al-Rahman al-Banna. Beliau dilahirkan di Mahmudiyah, salah satu wilayah Buhairah di delta Nil, pada hari Ahad, 14 Oktober 1906 bersamaan 25 Syaaban 1324H. Hasan al-Banna merupakan anak sulung daripada lapan adik-beradik telah dididik dengan suasana keIslaman dan diselami dengan nilai-nilai Islam oleh ayahnya. Keluarganya sangat alim dalam ilmuilmu Islam, dihormati masyarakat setempat namun hidup dalam keadaan yang serba sederhana. Ayahnya merupakan pendorong utamanya untuk berjaya dalam al-

kehidupan. Sheikh Ahmad lantaran sentiasa memberikan semangat kepada puteranya untuk terus naju dalam hidup seperti mengasuhnya dengan ilmu al-Quran sejak awal usia lagi, memberi motivasi untuknya membaca sekaligus mempunyai

perpustakaannya sendiri(Asyraf & etc 2012 : 1268).

2.2 Latar Belakang Pendidikan Tokoh ini telah mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri. Dalam usahanya menghafaz al-Quran, bapa beliau telah memberi banyak bantuan dan galakan kepadanya dalam mempelajari ilmu Islam. Hal ini menyebabkan beliau dapat

menghafaz al-Quran pada usia yang sangat muda. Pada usia sembilan tahun, hampir keseluruhan al-Quran mampu dihafaznya. Tidak lama kemudian, beliau dimasukkan ke sebuah sekolah yang bernama Madrasah al-Rasyad al-Diniyyah. Pengetuanya ketika itu ialah Syeikh Muhammad Zahran, seorang yang buta namun akalnya bersinar dengan kebijaksanaan dan keilmuan. Al-Banna telah menuntut di sekolah ini

semenjak umurnya lapan tahun sehinggalah 12 tahun. Kemudian beliau berpindah ke sekolah Madrasah Idadiyah. Namun kemudiannya Kerajaan Mesir menghapuskan system pengajian sekolah Madrasah Idadiyah dan menyerahkannya kepada Kementerian Pelajaran(Zulkifli & Mohd Faisal 2010:13-14) Seterusnya, al-Banna meneruskan pengajiannya iaitu di Pusat Latihan Guru Damanhur. Beliau telah mendapat pangkat pertama selepas tiga tahun berkursus di situ. Pada waktu itu juga beliau ditawarkan untuk bekerja sebagai guru namun beliau meneruskan pengajiannya di Universiti Kaherah. Usianya ketika itu baru mencecah 16 tahun dan tidak layak untuk memasuki alam universiti namun peraturan itu dilonggarkan khas buatnya lantaran bakat dan keilmuannya yang luar biasa. Sebaik sahaja diterima untuk belajar disitu, Hasan dan keluarganya berpindah ke Kaherah. Bulan Julai 1927, beliau berjaya mendapat pangkat pertama dalam peperiksaan diplomanya(Zulkifli & Mohd Faisal 2010: 15).

2.3 Kerjaya Sebelum Bergiat dalam Al-Ikhwan Al-Muslimin Semasa berumur 13 tahun, Hasan al-Banna telah terlibat dalam arena politik dan mengambil bahagian dalam demonstrasi semasa revolusi 1919 terhadap pemerintahan British. Beliau juga telah menyertai Hasafiya Sufi semasa berumur 15 tahun

(http://www.mideastweb.org). Setelah tamat pengajiannya, beliau ingin meneruskan pengajian namun tiada biasiswa ditawarkan ketika itu dan beliau tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menjadi guru lantaran Mesir ketika itu kekurangan jawatan sebagai guru. Beliau dilantik menjadi guru di Sekolah Rendah Putera Ismailiyyah

Amiriah pada 20 Sepetember 1927. Di situ, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, beliau telah melaksanakan matlamatnya dengan memberi kelas malam bagi keluarga anak muridnya(Zulkifli & Mohd Faisal 2010:15) Dengan menyertai Jamiyyah Makarim al-Akhlaq beliau juga berceramah di musolla, dan malah di kedai kopi yang pada masa itu masih baru dan dipertikaikan moralnya. Alasan beliau memilih di kedai kopi ialah orang-orang sedang rileks dari kesibukan hariannya sehingga sangat sesuai kalau berdakwah kepada mereka di saat yang sangat tepat itu. Pada mulanya, pemilik kedai merasa terganggu dan para

pengunjung juga merasa hairan. Namun, dakwah yang disampaikan oleh Hasan alBanna tidak melebihi 15 minit itu pada keesokannya telah mendapat tempat di hati masyarakat malah pemilik kedai meminta beliau untuk kembali lagi bagi memberikan siraman rohani kepada pengunjung kedai. Dalam satu hari, tidak kurang daripada 10 kedai yang dikunjungi al-Banna secara bergilir-gilir(Zulkifli & Mohd Faisal 2010:16)

3.0

SUASANA MESIR SEBELUM IKHWAN AL-MUSLIMIN

Mesir sudah terdedah kepada pengaruh Barat sejak tahun 1798 lagi apabila negara tersebut dijajah oleh Perancis selama tiga tahun. Kemudiannya, Muhammad Ali mengambil alih pemerintahan daripada penjajahan Barat dan berusaha untuk memodenkan Mesir. Namun penjajah Barat yang lain iaitu British kembali menawan Mesir setelah dapat mengalahkan pemberontakan Urabi pada tahun 1882, dan pengaruh mereka semakin meningkat(Shamsul 1989:82). Setelah berlakunya perjanjian Versailles yang ditandatangani oleh kuasa-kuasa besar Eropah, Britain disahkan sebagai pelindung kepada Negara Mesir. Amerika Syarikat pula telah memberi pengesahan mengenai perlindungan ini pada April 1919. Pada tahun 1920, satu perbincangan telah diadakan dan sebuah kerajaan monarki telah dibentuk. Walau bagaimanapun, Britain masih lagi menguasai angkatan tentera

Mesir. Antara isi perjanjian tersebut tersebut ialah pegawai Inggeris masih boleh terus menasihati kementerian-kementerian penting di Mesir dan mereka mempunyai kuasa pembatal ke atas perubahan perundangan. Tokoh nasionalis Mesir iaitu Saad

Zaghloul tidak bersetuju dengan kandungan perjanjian ini lalu menganjurkan penentangan terhadap Inggeris. Beliau akhirnya ditangkap dan diusir ke Pulau

Seychelles.

Walau bagaimanapun, Mesir

mendapat

kemerdekaan melalui

pengisytiharan sebelah pihak yang dilakukan oleh Pesuruhjaya Tinggi Inggeris pada 22 Februari 1922(Shamsul 1989:82). Berikut pembentukan system pemerintahan berparlimen yang baru pada 21 April 1923, Raja Mesir atas nasihat pihak Inggeris diberikan kuasa melantik senator dan Jemaah menteri. Sistem ini mendapat tentangan daripada pendukung gerakan kebangsaan. Pada masa yang sama, berlaku persaingan merebut kuasa di antara Saad Zaghloul, Mustafa Nahhas, Parti Wafd dengan Raja Fuad. Walau bagaimanapun, Parti Wafd menjadi semakin lemah setelah kematian Saad Zaghloul pada tahun 1927. Kelemahan ini menjadikan kedudukan Inggeris bertambah kukuh sehingga tahun 1936(Shamsul 1989:82). Kesan-kesan kuasa Barat dalam Dunia Islam dapat dilihat secara ringkas seperti meluasnya semangat nasionalisme di negara-negara umat Islam.

Terlaksananya manifestasi sistem ideologi barat seperti liberal, demokrasi, sosialisme dan kapitalisme dalam sistem pentadbiran kenegaraan dalam negara-negara umat Islam. Seterusnya, kukuhnya asas-asas negara-bangsa di dalam pentadbiran bernegara di kalangan umat Islam. Terpisahnya Islam daripada politik secara sistematik melalui pelaksanaan institusi-institusi yang mengembangkan asas-asas sekularisme.

4.0

PERANAN HASAN AL-BANNA DALAM GERAKAN ISLAH

Kehadiran organisasi ini telah memberi nafas semula kepada agama Islam sekaligus kepada masyarakat Islam di Mesir. Pada tahun 1928 di Ismailiyah, sekumpulan enam orang pemuda yang diketuai oleh Hasan al-Banna telah menubuhkan sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Ikhwan al-Muslimun. Organisasi ini ditubuhkan ketika politik Mesir mengalami kegawatan dan sedang mencari tokoh untuk menyuntik semula semangat patriotism dalam masyarakatnya. Hal ini adalah untuk memberikan kepada umat Islam akan kesedaran mengenai kealpaan terhadap ajaran Islam terutamanya di Ismailiyah. Ini kerana masyarakatnya amat menyanjungi Usaha

peradaban Barat, hilang jati diri akibat diperhambakan oleh orang asing.

kesedaran ini berlanjutan sehinggalah al-Banna berpindah ke Kaherah pada Oktober 1932 (http://www.ikhwanonline). Penulis Amerika, Richard B. Mitchell melukiskan tentang masa-masa tersebut iaitu masa perpindahannya ke Kaherah dan menyatakan bahawa perjalanannya itu bertepatan dengan memanaskan suhu politik dan pemikiran yang mengubah Mesir. Oleh itu, Al-Banna memandang bahawa untuk menyingkap keadaan tersebut, maka misi utamanya adalah membalikkan arus negatif yang ada di Mesir. Padanya, bagi mewujudkan keadaan seperti yang diinginkannya, maka dia harus menjadi guru dan pendidik bagi mengabdikan diri buat generasi muda di siang hari sedangkan pada malamnya untuk warga tua. Selain itu, al-Banna juga aktif dalam kehidupan

masyarakat Islam di Ismaliyah. Melalui masjid dan pendidikan, beliau mendekati pelbagai kelompok masyarakat amnya tokoh-tokoh penting ketika itu (Yusuf 1999:47). Beliau bukanlah seorang ahli falsafah atau seorang pemikir dalam ertikata sebenar tetapi beliau adalah seorang yang mempunyai kemampuan yang tinggi dan kefahaman Islam yang mendalam. Di bawah kepimpinan Hasan al-Banna, al-Ikhwan al-Muslimin berjaya menjadi model sebagai gerakan Islam yang mampu menghadapi cabaran semasa. Pendekatan yang diberi penekanan terpenting oleh Hasan al-Banna dalam proses melatih ahli-ahlinya ialah membina fikrah mereka supaya menjadi seorang Muslim dalam ertikata sebenarnya(Mohammad Redzuan: 261).

Melalui Ikhwan al-Muslimin, beliau mengetengahkan faktor penting yang perlu dimajukan yang patut ada dalam setiap individu Muslim. Beliau telah

mengembangkan pengetahuan umum yang boleh meluaskan pemikiran dan pengetahuan mereka. Menurut beliau, seseorang Muslim mestilah simbang dari

semua segi iaitu memiliki fizikal yang kuat, peribadi yang baik, iman kukuh dan gigih berusaha serta mempunyai ketinggian ilmu dan kestabilan politik yang baik dalam masyarakatnya. Dengan itu, Hasan al-Banna telah berusaha mendirikan institusi Islam untuk berdakwah sekaligus yang mempu memberikan sinar kembali kepada masyarakat Islam daripada dibelenggu penjajah. (blis.bernama.com). Kegiatan al-Ikhwan al-Muslimin bukan sahaja mendapat sambutan di Mesir, tetapi juga di negara-negara Arab yang lain di Timur Tengah. Di kemuncak

kegemilangannya, organisasi ini berjaya mewujudkan lebih 2,000 cawangan di seluruh Mesir dengan keanggotaan dianggarkan seramai dua juta orang. Di samping itu ia juga berjaya menubuhkan cawangan-cawanganya di Syria, Iran, Afrika Utara dan Pakistan. Sebagai gerakan Islam yang memperjuangkan Islam secara

menyeluruh, Hasan al-Banna sering menegaskan bahawa Islam yang enjadi landasan perjuangan Ikhwan al-Muslimin bukan Islam yang hanya memberi penekanan kepada persoalan ibadah dalam ertikata yang sempit, tetapi merangkumi perkara yang berkaitan dengan urusan negara dan ummah. Namun Hasan al-Banna juga masih berpendapat keagungan Islam hanya boleh dicapai dengan mengembalikan keagungan bangsa Arab. Beliau menegaskan perpaduan Arab adalah sebagai pra-syarat bagi mengembalikan kegemilangan Islam. Beliau juga telah lantang menyeru kepada para ulama dan pemimpin dengan berperanan bagi mendekati golongan itu demi mengingatkan mereka kepada kewajipan-kewajipan mereka terhadap

Islam(Mohammad Redzuan: 262) Selain itu, Hasan al-Banna juga memberikan peranannya dalam mendirikan daulah Islamiyah dengan jihad dan semangat Ikhwan Muslimin yang membantu pembebasan Palestin daripada cengkaman penubuhan negara Israel. Jihadnya

menetang Yahudi telah dikesan oleh kerajaan Mesir menyebabkan beliau telah diusir ke Utara Mesir pada tahun 1948. Beliau sedaya upaya menyedarkan umat Islam daripada tipu daya Yahudi serta bangkit bagi menghalau penjajah yang bertapak dui bumi Mesir(Zulkifli & Mohd Faisal 2010:82).

5.0

KARYA HASAN AL-BANNA

Menurut buku al-Syahid Imam Hasan al-Banna: Pengasas Ikhwan al-Muslimin, karya Zulkifli dan Mohd Faisal, Hasan al-Banna pernah ditanya apakah sebab beliau tidak menulis buku. Beliau menjawab saya menulis manusia. Hal ini bermakna beliau melatih manusia dari segi akhlak dan ilmu dalam perjuangan Islam.

Walaubagaimanapun beliau juga ada menulis beberapa buah buku iaitu contohnya Muzakkirat al-Dawah wa al-Daiyah (Catatan Dakwah dan Pendakwah), iaitu karyanya yang terulung dan buku Rasail al-Imam al-Syahid iaitu buku yang merupakan himpunan beberapa makalah yang disusunnya pada waktu-waktu tertentu sepanjang hayatnya. Beliau juga aktif dalam penulisan makalah dan kemudiannya dibukukan. Antara lain makalah yang ditulis oleh al-Banna ialah Risalah al-Jihad, Dawatuna fi Tawrin Jadid, Al-Rasail al-Thalatah, Risalah al-Mutamar al-Khamis, dan Maqalat Hasan al-Banna(Zulkifli & Mohd Faisal 2010: 53-63).

6.0

KEMATIAN HASAN AL-BANNA

Nuraqshi Pasha dari Parti Sadi amat khuatir akan pengaruh Ikhwan al-Muslimin terhadap masyarakatnya. Al-Ikhwan al-Muslimin telah diharamkan atas arahannya pada 8 November 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. dibubarkan. Kesemua cawangannya yang berjumlah lebih 3000 telah

Sekiranya mereka masih beroperasi, mereka akan dikira sebagai

pertubuhan haram, pelampau malah pengganas. Berbagai-bagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap anggota dan organisasi Al-Ikhwan al-Muslimin. ditangkap dan diseksa dengan teruk malah ada juga yang dibunuh. Mereka

Tidak lama

kemudian Perdana Menteri Mesir telah dibunuh dan Ikhwan Muslimin telah dipersalahkan di atas kejadian itu(Zulkifli & Mohd Faisal 2010:189). Hasan al-Banna tidak ditangkap oleh pemerintah kerana mereka mempunyai agenda tersendiri. Selepas pembunuhan al-Nuraqshi, Perdana Menteri baru iaitu Ibrahim Abdul Hadi Basha juga Presiden Parti Sadi bercadang mengadakan rundingan dengan Hasan al-Banna di Pejabat Jamiyyah al-Syubban al-Muslimin dengan alasan demi mengurangkan tekanan konflik antara kerajaan dan Ikhwan Muslimin. Muhammad al-Naghi yang juga kawan lama Hasan al-Banna merangkap

sepupu Perdana Menteri sendiri menjadi pengantara dalam perundingan tersebut. AlNaghi menjemput Hasan al-Banna supaya datang ke pejabat Jamiyyah al-Shubban alMuslimin, pada 12 Februari 1949 pada jam 5.00 petang. Namun, sebenarnya

jemputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh beliau(Zulkifli & Mohd Faisal 2010: 190). Hasan al-Banna bersama iparnya abdul Karim Mansuryang juga merupakan seorang seorang peguam dan suami kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri yang dikatakan wakil kerajaan dalam

perundingan tersebut, Zaki Ali Basya tetapi malangnya beliau tidak kunjung tiba. Akhirnya Hasan al-Banna dan Abdul Karim Mansur meminta diri untuk pulang. Mereka mendapatkan teksi untuk pulang. Dalam pada itu, dua orang yang tidak dikenali telah menerpa ke arah teksi dan melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua terkena tembakan yang dilepaskan bertalu-talu itu. Kedua-dua penjenayah terus

melarikan diri dengan sebuah kereta hitam yang memakia nombor pendaftaran 9979(Zulkifli & Mohd Faisal 2010:190). Walaupun terkena tujuh tembakan, Hasan al-Banna masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat untuk memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital. Ketika di hospital mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dengan kata lain tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hasan alBanna. Pada jam 12.05 tengah malam, Hasan al-Banna telah menghembuskan nafas terakhir akibat tumpahan darah yang banyak. Menurut Dr. Ahmad Syakib, Hasan alBanna sengaja dibiarkan supaya mati dengan tumpahan darah yang banyak dan mungkin dapat diselamatkan jika diberi rawatan(Zulkifli & Mohd Faisal 2010: 190). Ayahnya dikhabarkan mengenai kematiannya pada jam 1 pagi namun pihak polis telah memberikan dua pilihan kepadanya iaitu sama ada pihak polis menghantar ke rumahnya tanpa sebarang perhimpunan atau sekiranya beliau tidak menerima tawaran pertama, pihak polis akan membawa jenazah terus ke kubur tanpa beliau melihat jenazah anaknya itu. Ayahnya menerima syarat pilihan pertama, dan sebelum fajar menyinsing, jenazah dibawa ke rumah dengan kawalan rapi pihak polis yang lengkap bersenjata. Di rumahnya juga pihak polis mengawal rapi sekaligus tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri kawasan tersebut. Syeikh Ahmad Abdul Rahman, ayahnya yang telah berusia 90 tahun dengan penuh kesabaran memandikan

10

jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri. Polis bertindak kejam dengan tidak membenarkan sesiapa pun datang ke rumah malah untuk mengucapkan takziah pun tidak dibenarkan. Ayah Hasan al-Banna tidak dapat berbuat apa-apa selain bersama tiga anak perempuannya mengusung jenazah ke Masjid al-Qaisun untuk disembahyangkan. Kemudian mereka membawa jenazah ke perkuburan. Pada hari kematiannya, anak bongsunya telah dilahirkan dan isterinya menamakan Istisyhad yang bermaksud syahid(Zulkifli & Mohd Faisal 2010:191-192).

7.0

SEPULUH NASIHAT HASAN AL-BANNA

1) Apabila kamu mendengar azan, maka bangunlah dan tunaikan solat dengan serta merta walau dalam keadaan bagaimana sekalipun. 2) Bacalah Al-Quran, atau tatapilah buku-buku, atau pergilah mendengar perkaraperkara baik ataupun amalkanlah zikrullah, dan janganlah sama sekali kamu membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tidak berfaedah. 3) Berusahalah seberapa daya upaya untuk bertutur dalam Bahasa Arab yang betul kerana Bahasa Arab yang betul ini adalah satu-satunya Syi'ar Islam. 4) Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekali pun pertengkaran kosong itu tidak memberi sebarang apapun jua kebaikan. 5) Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram. 6) Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara. 7) Janganlah kamu bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh para pendengar kerana percakapan yang nyaring begitu adalah satu resmi yang sia-sia malah menyakiti hati orang. 8) Jauhilah daripada mengumpat-ngumpat peribadi orang, mengecam pertubuhanpertubuhan dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberikan kebaikan.

11

9) Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudara Ikhwan Muslimin yang kamu bertemu dengannya sekalipun dia tidak meminta kamu berkenalan; kerana asas gerakan Da'wah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan. 10) Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika kamu mempunyai tugas-tugas sendiri, maka, ringkaskanlah pelaksanaannya (Maryam :9-10)

12

8.0

PENUTUP

Kesimpulannya, keperibadian Hasan al-Banna ini jelas menunjukkan kepada kita akan ketulusan serta kecekalan hati dan jiwanya dalam memperjuangkan kembali ajaran Islam yang semakin lama semakin dilupakan. Hal ini dapat dirujuk melalui

pendidikan asas yang telah diserapkan oleh pendorong utama dalam kehidupannya iaitu ayahnya Sheikh Ahmad dalam membentuk keperibadiannya yang unggul. Ayahnya seorang yang amat mementingkan ilmu dalam diri ahli keluarganya telah menjadikan al-Banna seorang yang sangat disanjungi malah tokoh pemimipin yang sejati sehinggakan namanya masih lagi disebut dan peribadinya dikenang sehingga ke hari ini. Benarlah seperti apa yang telah baginda Nabi telah katakan, iaitu Islam itu bermula dalam keadaan yang asing, dan akan kembali asing maka beruntung mereka yang asing. Ditanyakan kepada baginda: Siapakah mereka
1

wahai

Rasulullah!. Jawab baginda:Mereka yang membaiki ketika manusia rosak . Hadith ini jelas menunjukkan bahawa ketika zaman kehidupan Hasan al-Banna, Mesir telah diputarbelitkan dan dunia Islam amnya telah dijadikan patung boneka oleh Barat. Dengan itu, kelahiran Hasan al-Banna telah memberi nafas baru serta sinaran cahaya kepada dunia Islam khususnya dalam mencelikkan kembali mata yang telah ditutup oleh penjajah Barat. Dukacitanya, perjuangan beliau terhenti apabila terdapat pihak yang dengki serta gerun akan kepimpinannya dalam perjuangan Islam pada tahun 1949. Kematiannya telah dirancang rapi oleh pihak tersebut namun semangat serta roh Islam yang telah ditanamkan kepada para ahli gerakan yang dipimpinnya iaitu Ikhwan alMuslimin telah membara sejak kematiannya sehinggalah ke hari ini. Legasinya

banyak membantu meningkatkan kesatuan dan keutuhan umat Islam dengan adanya program dakwah yang berperingkat bermula daripada mensasarkan golongan individu dan keluarga seterusnya kepada masyarakat yang mantap dari segi rohani dan jasmani.

(Hadis Riwayat Ahmad, 6/325, no. 3784. Tahqiq Syuaib al -Arnauth: Isnad sahih di atas syarat Muslim, para perawinya tsiqah) ( http://www.ilmusunnah.com/?p=7224)

13

RUJUKAN al-Qaradhawi,Yusuf. 1999. 70 Tahun Al-Ikhwan Al-Muslimun; Kilas Balik Dakwah, Tarbiyah dan Jihad. Terj. H.Mustolah Maufur & H. Abdurrahman Husain. Jakarta: Pustaka Al-Kautsar.

Asyraf Ab.Rahman, Wan Ibrahim W.A., Fadzli Adam & Nooraihan Ali. 2012. Hasan al-Banna and thee Ikhwan al-Muslimun: How they influence Sayyid Qutbs Socio-Political Writings?. Advances in Natural and Applied Sciences 6(8): 1268-1271.

Shamsul Azhar Yahya. 2008. Penglibatan politik dan penindasan ke atas Ikhwan alMuslimin dalam sejarah perkembangan politik Mesir,1928-2005. Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya No.16: 81-101.

Mohammad Redzuan Othman.

Gerakan Islam dan proses politik di Mesir: Satu

analisa terhadap kegagalan Ikhwan al-Muslimin dalam perebutan kuasa. Jurnal Islamika (1).

Zulkifli Mohamad & Mohd Faisal Fadzil. 2010. Al-Syahid Hasan al-Banna: Pengasas Ikhwan Muslimin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Maryam Jameelah. 1934. Shaikh Hassan Al-Banna & Al-Ikhwan Al-Muslimun. Delhi: Cresent Publishing Co.

http://www.ikhwanonline.info/article.php?id=796 [27 April 2013]

http://www.blis.bernama.com/getarticle.do?id=129349&tid=79&cid=3[27 April 2013]

http://www.mideastweb.org/Middle-East-Encyclopedia/hassan_al-banna.htm[27 April 2103]

14

LAMPIRAN A HASAN AL-BANNA

LAMPIRAN B LAMBANG AL-IKHWAN AL-MUSLIMIN

Anda mungkin juga menyukai