Anda di halaman 1dari 3

Fityan dan Qois datang menghadiri kelas yang di ajar Imam Syafie.

Namun tujuan kedatangan mereka bukan mahu belajar tetapi mencari di mana kelemahan dan kesilapan Imam Syafie. Seperti biasa, selepas sembahyang zohor, Imam Syafie memberi peluang kepada orang ramai mengajukan sebarang pertanyaan. Peluang itu yang ditunggu Fityan dan Qois.

"Apa pandangan tuan terhadap Imam Abu Hanifah?" tanya Qois.

"Dia penghulu ulama negeri Iraq," jawab Imam Syafie sambil memuji kehebatan Imam Abu Hanifah

"Bagaimana dengan Imam Abu Yusof?" tanya lelaki itu lagi.

"Dia pengikut Imam Abu Hanifah yang paling alim berkenaan hadis. Saya pernah berguru dengannya," jawab Imam Syafie lalu memuji kehebatan Imam Abu Yusof.

"Bagaimana dengan Muhammad al-Hassan?" tanya Qois lagi.

"Dia pengikut Abu Hanifah yang paling alim dalam ilmu fikah. Saya juga pernah berguru dengannya," jawab Imam Syafie lalu memuji pula kehebatan Imam Muhammad al-Hasan.

"Bagaimana pula dengan Imam Zufar.?" Qois terus mengemukakan pertanyaan.

"Dia pengikut mazhab Hanafi yang paling mahir dalam ilmu Qiyas," jawab Imam Syafie lalu memuji pula Imam Zufar.

"Baiklah tuan, ini pertanyaan yang terakhir. Bagaimana pula dengan Jundul?" tanya Qois.

Imam Syafie berdiam diri tidak mahu menjawabnya. Qois mengemukakan pertanyaan sekali lagi tetapi Imam Syafie tetap berdiam diri.Apabila Qois bertanya soalan yang sama untuk kali ketiga, alRabi' salah seorang anak murid Imam Syafie pun menjawab, "Dia seorang pendusta!"

Lantas Imam Syafie pun berkata, "Peliharalah lisanmu wahai al-Rabi'. Jangan kata dia pendusta yang besar. Katakan yang pendapatnya tidak dapat diterima."

Qois kelihatan berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Imam Syafie. Ternyata dia seorang yang alim dan zuhud kerana tidak mahu memburukkan sesiapa. Yang diperkatakan hanya kebaikan seseorang sahaja. Dia mengelak daripada menceritakan keburukan orang lain. Tetapi Fityan tetap tidak berpuas hati dengan Imam Syafie.Giliran dia pula mahu mencabar.

"Bukankah tuan anak murid Imam Malik?" tanya Fityan.

"Memang benar saya pernah menuntut ilmu dengannya," jawab Imam Syafie.

"Kenapa tuan menyeleweng daripada apa yang diajarkannya?" tanya Fityan lagi

"Saya bukan menyeleweng, cuma berijtihad dengan pendapat sendiri. Imam Malik juga membenarkannya," jawab Imam Syafie.

"Bukankah Imam Malik itu seorang yang alim dan tidak pernah melakukan dosa?" tanya Fityan lagi sambil memuji-muji Imam Malik.

"Imam Malik juga seorang manusia biasa yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Yang maksum hanya Nabi dan Rasul," jawab Imam Syafie.

Jawapan itu menambahkan lagi kemarahan Fityan. Dia memaki hamun Imam Syafie dengan mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan. Tetapi Imam Syafie tidak membalasnya. Dia cuma berdiam diri. Melihat keadaan itu, salah seorang anak muridnya marah lalu menghalau Fityan keluar dari majlis itu.

"Wahai al-Rabi', tahukah kamu majlis ilmu seperti ini dipayungi malaikat? Mereka memohon keampunan daripada Tuhan untuk semua yang berada dalam majlis ini. Kerana itu tidak sepatutnya kamu menghalau lelaki itu dari majlis keampunan ini," marah Imam Syafie.

"Saya tidak dapat menahan sabar dengan sifatnya yang kurang ajar dan biadab pada tuan," kata alRabi'.

"Saya sendiri yang di caci lelaki itu dapat menahan marah. Kenapa kamu pula yang menghalaunya?" marah Imam Syafie lalu menyuruh al-Rabi' meminta maaf kepada Fityan dan memujuknya kembali ke majlis itu.

Kerana patuh dengan perintah gurunya, al-Rabi' meminta maaf kepada Fityan lalu memujuknya supaya kembali ke majlis ilmu. Tetapi Fityan menunjukkan rasa bongkaknya dengan tidak mahu memaafkannya dan tidak mahu kembali ke majlis ilmu.

Anda mungkin juga menyukai