Anda di halaman 1dari 5

Adab Ulama Menghormati Guru Sesuai dengan ketinggian darjat dan martabat guru itu, maka tidak hairanlah

bahawa para ulama sangat menghormati guru mereka. Di antara cara mereka memperlihatkan penghormatan mereka terhadap guru ialah: 1. Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan guru dalam setiap urusan mereka. 2. Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apaapa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. 3. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah Subhanahu wa Taala dengan khidmat tersebut. 4. Mereka memandang guru dengan perasaan penuh hormat dan takzim serta mempercayai kesempurnaan keahlian dan kepakarannya dalam bidang perguruannya. Ini lebih membantu mereka sebagai pelajar untuk memperolehi manfaat daripada guru mereka dan akan mengukuhkan lagi apa yang didengar dan diajarkan oleh guru. Ulama-ulama salaf sangat memuliakan dan menggagungkan guru-guru mereka. Ini jelas termaktub dalam kisah-kisah tentang akhlak mereka dalam majlis-majlis ilmu dan kesopanan mereka terhadap guru-guru mereka. Sebagai contoh: - Mughirah berkata: Kami menghormati Ibrahim an-Nakhaie sepertimana kami menghormati raja. - Imam Asy-Syafie pula berkata: "Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak terdengar (bunyi belekan kertas tersebut)." - Rabie berkata: "Demi Allah aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Asy-Syafie memandang kepadaku." - Sayyidina Ali Karramallahu wajhah berkata: "Antara hak seorang alim ke atasmu ialah memberi salam ke atas orang ramai secara umum dan mengkhususkan gurumu dengan penghormatan yang khusus dan istimewa." 5. Mereka sentiasa mendampingi guru supaya mendapat berkat serta beroleh ilmu yang akan tercurah daripadanya pada bila-bila masa serta menjadikannya qudwah (ikutan). Imam Asy-Syafie misalnya, sejak pertemuannya dengan gurunya iaitu Imam Malik pada tahun 170 Hijrah, hampir tidak pernah meninggalkan gurunya sehingga gurunya itu wafat pada tahun 179 Hijrah. Ini kerana Imam Asy-Syafie tidak pernah meninggalkannya kecuali ketika pergi ke Makkah untuk menjenguk ibunya ataupun pergi ke pusat ilmu dan feqh. Itu pun setelah beroleh keizinan serta restu daripada gurunya. Jika direstui, Imam Malik akan menyiapkan bekal dan memberikannya wang perbelanjaan sambil mendoakan keselamatannya. 6. Mereka tidak menggunakan ganti nama diri seperti engkau dan awak dan tidak memanggil atau meneriaki guru dari jauh. Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini? dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.

Maksudnya di sini, mereka memanggil guru dengan gelaran yang penuh adab serta penghormatan. Jika nama guru tersebut Muhammad misalnya, maka mereka akan memanggilnya dengan nama ustaz, cikgu, guru kami dan sebagainya dan tidak menyebutkan namanya kecuali disertakan dengan gelaran yang penuh penghormatan seperti Ustaz Muhammad, Cikgu Muhammad dan sebagainya meskipun sewaktu ketiadaan guru itu. 7. Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah! Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan. Sesungguhnya, menuntut ilmu itu adalah satu bentuk ibadah dan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala, bukannya untuk bermegah-megah ataupun untuk berbantah-bantah dengan ilmu tersebut. Dalam satu hadits riwayat Imam Al-Hakim, Kaab bin Malik Radhiallahu anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah bersabda: Barangsiapa mencari ilmu untuk menyaingi para ulama atau untuk bertengkar dengan orang-orang bodoh atau supaya hati manusia menghadap kepadanya maka ia akan masuk neraka. (Hadits riwayat Al-Hakim) 8. Mereka berterima kasih kepada guru atas segala tunjuk ajar serta bimbingannya terhadap segala kebajikan dan tegahan serta tegurannya ke atas segala kekurangan atau kemalasan dan sebagainya bagi memperbaiki diri dan mengganggap teguran, asuhan, didikan serta keprihatinan guru itu sebagai rahmat dan kurniaan yang tak terhingga kepada mereka oleh Allah Subhanahu wa Taala. Jika bimbingan serta teguran yang diberikan oleh guru itu sudah diketahui, maka mereka tidak menunjukkan yang mereka sebenarnya sudah mengetahuinya, bahkan mereka menghargai dan berterima kasih atas bimbingan serta keprihatinan guru tersebut terhadap mereka. 9. Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu Abbas Radhiallahu anhuma pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadits. Lalu dikatakan kepadanya: "Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu Abbas pun menjawab: Jangan." 10. Mereka tidak mendatangi guru di luar daripada majlis ilmu yang umum (di luar dari jadual waktunya untuk mengajar dan sebagainya) kecuali dengan izinnya, sama ada guru mereka itu sedang bersendirian mahupun sedang bersama dengan orang lain. Jika tidak ada izin daripada guru itu sedangkan guru itu mengetahui bahawa mereka sedang meminta izin untuk mendatanginya, maka mereka akan beredar dan tidak mengulangi istizan (permohonan izin) mereka.

Imam Syafie merupakan seorang ulama yang cukup banyak memberi sumbangan terhadap menggubal dan memperjelas hukum hakam dalam Al Quran. Sebab itulah Mazhab Shafie adalah mazhab terbaik dari segi ketelitiannya dalam menggubal hukum-hukum fekah untuk umat Ahli Sunnah Wal Jamaah... Satu lagi keistimewaan Imam Shafie ialah dari segi menghormati guru. Pernah diriwayatkan tentang perihal menghormati guru ini. Pada suatu hari, sedang dia memberi kuliah kepada ribuan pelajarpelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali. Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Shafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan menerpa badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihatkan perlakuan Imam Shafie sedemikian. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Shafie perihal kenapa dia memeluk badwi tersebut. Lalu Imam Shafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Shafie. Sekali lagi mereka bertanya tentang apakah yang diajarkan oleh badwi itu kepada Imam Shafie? Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara ajning untuk mengawal kambing-kambing mereka. Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati gurunya itu. Imam Shafie juga amat menghormati Imam Malik (pengasas Mazhab Maliki) walaupun Imam malik sudah meninggal dunia. Sebab itulah bila dia menziarahi makam Imam Malik dia tidak berqunut semasa bersembahyang subuh ditepi makam Imam Malik. Ini kerana dalam Mazhab Maliki tiada qunut waktu subuh walaupun dalam Mazhab Shafie ada qunut sewaktu sembahyang Subuh. Imam Shafie juga memastikan dia tidak tidur dengan kakinya menghala kerumah Imam Malik sebagai menghormati gurunya itu.. Oleh itu hormatilah guru kerana ilmu tidak akan menjadi berkat jika kita tidak menghormati guru...

Panduan Mudah Menghormati Guru Di Sekolah: 1. Bila bertemu atau bertembung dengan guru, berilah salam kepada mereka. Jika guru beragama islam, sebaiknya ucaplah "Assalamualaikum Cikgu". Kalau yang bukan islam, ucaplah " Selamat Pagi/ Tengah Hari/ Petang Cikgu". 2. Ketika guru memasuki kelas, bersedialah mata dan telinga kita untuk mendengar apa yang ingin guru sampaikan. 3. Setiap yang guru sedang mengajar , dengarlah dengan penuh sabar dan minat . Sekiranya tidak berminat , jangan mengganggu orang lain yang sedang belajar. 4. Duduklah dengan sopan dan tenang ketika guru mengajar. Sekiranya mengantuk minta izin dari guru untuk ke tandas mencuci muka. Jangan tunjukkan muka bosan ketika guru mengajar. 5. Sekiranya ingin bertanya soalan, angkatlah tangan atau tunggu sehingga guru memberi peluang untuk murid-murid bertanya. 6. Gunakan bahasa yang baik dan lembut ketika bercakap dengan guru. Guru sentiasa bersedia membantu menyelesaikan sesuatu masalah murid. 7. Sekiranya guru memberikan teguran, terimalah dengan hati yang tenang. Malah ucapkan terima kasih atas sikap prihatin mereka itu. 8. Sekiranya berhadapan dengan guru yang bersikap kasar dan keras, hendaklah kamu sabar. Jangan dendam atau marah terhadap cikgu, kerana membenci guru akan menyebabkan kita susah mendapat ilmu dari mereka. 9. Carilah kesempatan untuk berbuat baik kepada guru. Misalnya menyusun buku untuk guru, menolong membawa begnya dan sebagainya. 10. Hargailah jasa guru setiap masa, meskipun mereka sudah tidak mengajar kita lagi, apabila terjumpa tetap panggil dengan panggilan "Cikgu".

11. Berilah hadiah kepada guru pada masa yang sesuai, misalnya pada hari jadinya, pada majlis perkahwinannya, pada masa dia bersalin , Hari Guru dan sebagainya. 12. Doakan guru semoga Allah SWT, memanjangkan dan memberkati umur guru supaya mereka dapat terus menyumbang bakti.

Anda mungkin juga menyukai