Anda di halaman 1dari 2

ADAB TERHADAP GURU

Daripada Abu Hurairah, bahawasanya Rasulullah S.A.W pernah bersabda maksudnya:

Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu ketenangan dan kesopanan dan rendahkanlah dirimu terhadap orang yang kamu ambil
ilmunya. (Riwayat Ath-Thabrani)

Rasulullah S.A.W juga mengingatkan akan hak pelajar terhadap guru dalam sabda baginda,
bermaksud:

Tidak termasuk umatku orang yang tidak mengagungkan orang besar dari kami, tidak mengasihi orang kecil dari kami, dan tidak
mengetahui hak orang alim dari kami. (Riwayat At-Thabrani)

Saidina Ali Radhiallahu‘anhu pernah memberi pesanan dalam soal menghormati guru dengan
berkata, bermaksud:

Hak seorang alim (guru) yang wajib atas dirimu ialah: memberi salam kepada semua orang yang berada dalam majlisnya, dan
mengkhususkannya dengan berjabat tangan. Hendaklah duduk berhadapan dengannya, tidak boleh menunjuk jari di hadapannya,
tidak boleh mengerling mata dengan orang lain di hadapannya, tidak menyebut kata-kata orang lain di hadapannya, tidak boleh
mencaci orang di hadapannya dan sekiranya dia melakukan kesilapan hendaklah maafkannya. Muliakanlah dirinya kerana
Allah Subhanahuwata’ala, dan kiranya dia memerlukan sesuatu, hendaklah segera menghulurkan bantuan kepadanya, jangan
memuji-muji orang lain di dalam majlisnya, jangan menarik bajunya, jangan memaksanya jika dia keberatan, jangan merasa jemu
duduk bersamanya. Anggap dia laksana lebah dan dirimu menunggu sesuatu yang akan jatuh daripadanya pada bila-bila masa
sahaja.

Sehubungan dengan hadith di atas serta pesanan Saidina Ali Radhiallahu‘anhu, Dr.Abdullah
Nasih Ulwan membuat beberapa kesimpulan akan adab-adab pelajar terhadap gurunya:

1) Seorang pelajar hendaklah merendahkan dirinya di depan guru, jangan keluar daripada
pendapat dan arahannya. Merendahkan diri terhadap guru adalah satu kemuliaan dan
ketinggian. Imam Ghazali ada menyatakan: Ilmu itu hanya akan diperolehi dengan
merendahkan diri dan memperhatikannya. Imam Ahmad berkata kepada Khalafu’l-
Ahmar: Aku tidak pernah duduk kecuali di hadapanmu, kami telah diperintahkan untuk
merendahkan diri terhadap orang yang kami ambil ilmunya.

2) Seorang pelajar hendaklah memandang gurunya dengan kemuliaan dan meyakini bahawa
gurunya memiliki darjat yang tinggi. Imam Syafi’e ada menyatakan: Pernah aku
menyimbak (membuka) lembaran kertas di depan Malik dengan lembut kerana
kewibawaannya, agar dia tidak mendengar gemerisiknya. Ar-Rabi’ berkata: Demi Allah,
aku tidak berani meminum air sedangkan As-Syafi’i melihatku kerana rasa hormat
kepadanya. Pelajar-pelajar juga hendaklah dilatih supaya tidak memanggil gurunya
dengan kata-kata “kamu”, tetapi dengan mengatakan “wahai guruku atau wahai
ustazku”, kerana kata-kata panggilan yang baik merupakan pengikat rasa kasih sayang
antara murid dan gurunya.

3) Hendaklah pelajar mengetahui hak-hak terhadap gurunya dan tidak melupakan jasa
gurunya sehingga ke akhir hayat. Syu’bah berkata: Apabila aku mendengar hadis
Rasulullah S.A.W daripada seseorang, selama itulah aku menghormatinya. Sebaiknya,
seorang pelajar mendoakan kesejahteraan gurunya sepanjang hayat. Jika guru itu sudah
wafat hendaklah diambil berat hal ehwal keturunan dan orang yang mencintainya.
4) Jika guru menegur atau marah, maka hendaklah murid bersikap sabar. Hendaklah pelajar
menganggap bahawa kemarahan guru adalah sebagai tanda kasih sayang guru terhadap
pelajarnya. Para guru sebenarnya ingin memperbaiki kelemahan pelajarnya. Dengan
sikap sedemikian, akan lahirlah rasa sayang para pelajar terhadap guru dan
bermanfaatlah segala ilmunya dalam urusan din, dunia dan akhirat. Sebahagian ahli salaf
berkata: Barangsiapa tidak sabar dalam belajar, maka dia akan buta huruf selama
hidupnya. Dan barang siapa bersabar di dalamnya, dia akan mendapat kemuliaan dunia
dan akhirat.

5) Hendaklah pelajar duduk di hadapan gurunya dengan sopan, tenang, merendahkan diri
dan hormat sambil mendengar dan memberi sepenuh perhatian kepada gurunya. Seorang
pelajar juga haruslah menghindarkan segala perbuatan yang tidak sopan terhadap
gurunya.

6) Janganlah pelajar berjumpa gurunya di kelas, rumah atau tempat khusus sebelum
mendapat izin daripadanya. Sebaiknya penampilan seorang pelajar menghadap gurunya
dalam keadaan sempurna, dengan badan dan pakaian yang bersih, terutama jika dia
hendak ke majlis ilmu. Kerana majlis ilmu adalah majlis zikir, pertemuan dan ibadah.

7) Apabila seorang pelajar mendengar gurunya menyebut sesuatu dalil hukum,


menceritakan sesuatu syair, membawa sesuatu berita atau mengemukakan sesuatu ilmu,
hendaklah dia mendengar dengan penuh perhatian seakan-akan dia belum pernah
mendengar sama sekali. Dr. Abdullah Nasih Ulwan ada mengatakan bahawasanya
memenuhi hak terhadap guru adalah wajib lebih-lebih lagi jika guru tersebut adalah
dikalangan mereka yang bertaqwa dan beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala. Itulah
adab-adab terpenting yang harus diamalkan oleh para pelajar dalam rangka untuk
menjadi pelajar yang benar-benar berilmu, beradab dan bertaqwa kepada Allah
Subhanahuwata’ala.

Anda mungkin juga menyukai