Anda di halaman 1dari 5

LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR

DAN XPDC GUNUNG KINABALU 2009

3 MAC 2009

Seramai 64 orang warga SESMA telah berlepas ke LCCT, Sepang dengan


penerbangan AirAsia AK6337 dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud,
Kuala Terengganu. Penerbangan kami ditunda dan kami berlepas pada
jam 9.30 malam dan tiba pada jam 10.20 malam. Kami terpaksa
bermalam di LCCT kerana penerbangan ke Kota Kinabalu dijangkakan
berlepas pada jam 6.50 pagi.

4 MAC 2009

Kami selamat tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota


Kinabalu(LTAKK) dengan penerbangan AirAsia AK5102 pada jam 9.20 pagi.
Kami bertolak ke penginapan kami di Api-Api Apartment untuk persiapan
diri sebelum bergerak ke kaki Gunung Kinabalu. Kami bertolak ke kaki
Gunung Kinabalu pada jam 2.00 petang dengan menaiki van. Kami telah
menelusuri dan dapat melihat keindahan panorama pendalaman Sabah
yang mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan bergunung-
ganang yang sangat menarik. Dalam perjalanan tersebut, kami telah
singgah sebentar di Pekan Nabalu, iaitu sebuah pekan kecil yang terdapat
dikawasan kaki pergunungan ini. Keadaan di pekan ini sangat sejuk dan
berkabus. Di sini, terdapat pelbagai cenderamata dan hasil kerja tangan
masyarakat Sabah dijual. Sebahagian daripada kami sempat membeli-
belah disini sebelum menyambung perjalanan. Lebih kurang jam 5
petang, kami tiba di tempat penginapan kami iaitu di D’Villa Resort,
sebuah resort yang terdapat di kaki Gunung Kinabalu. Keadaan disini
sangat sejuk dan suhu hampir mencecah 17°C. Kami mengambil
kesempatan ini untuk menikmati keindahan alam walaupun terpaksa
memakai pakaian tebal dan baju sejuk. Pada malamnya, kami tidur awal
untuk menyimpan tenaga sebelum memulakan pendakian kami pada
keesokan paginya.

5 MAC 2009

Kami bergerak ke Taman Kinabalu(Kinabalu Park) dimana kami akan


memulakan ekspedisi kami. Nasib kami sangat baik kerana cuaca sangat
cerah dan kami dapat melihat puncak Gunung Kinabalu dengan sangat
jelas. Semangat kami semakin berkobar-kobar untuk menawan puncak
Gunung Kinabalu. Hanya seramai 30 orang sahaja termasuk semua
pelajar SESMA yang menyertai ekspedisi ini manakala yang selebihnya
akan kembali ke Kota Kinabalu yang terdiri daripada guru-guru SESMA
untuk menyambung lawatan mereka. Namun, mereka telah menghantar
kami di tempat permulaan untuk memberi semangat dan dorongan.
Seramai 24 orang pendaki memulakan pendakian dari pintu Timpohon
manakala yang selebihnya memulakan pendakian dari pintu Mesilau. Kami
memulakan pendakian dengan semangat yang berkobar-kobar untuk
sampai ke puncak. Perjalanan kami lancar pada KM2. Namun, pendakian
kami semakin teruji kerana denai kami semakin curam dan licin.
Sebahagian daripada kami mulai rasa letih dan disini kami telah memberi
semangat sesama sendiri. Kami berhenti rehat di beberapa pondok yang
disediakan dan merasai air mineral gunung yang tidak ditapis. Tangki air
ini disediakan hampir di setiap KM berdekatan dengan pondok rehat. Air
yang sejuk dan putih kebiruan ini telah menyegarkan kami untuk
meneruskan pendakian. Pada KM3 dan KM4, kami sekali lagi diuji kerana
kami terpaksa mengharungi denai dengan pandangan mata yang terhad
kerana kabus telah menutup hampir keseluruhan denai. Di sini, ramai
diantara kami telah berputus asa, namun kami terus memberikan
semangat untuk meneruskan pendakian yang semakin mencabar. Di KM5,
kami terpaksa mengharungi denai yang berbatu-batu dan sangat curam.
Keadaan ini telah menyebabkan kami berasa sangat letih kami berpeluh
dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk. Kami semakin merasai suasana
yang sejuk kerana suhu semakin rendah. Sepanjang perjalanan ini, kami
juga dibantu oleh penunjuk arah yang sangat mesra. Alhamdulillah, pada
jam 3.00 petang, kumpulan pertama telah sampai di Laban Rata, sebuah
tempat rehat dan penginapan sebelum menyambung pendakian pada jam
2.00 pagi. Kumpulan terakhir pula telah tiba di Laban Rata pada jam 6.00
petang. Disini, kami makan malam dan berehat di penginapan masing-
masing. Kami terpaksa berpecah kerana tempat penginapan kami juga
terletak di Gunting Lagadan dan Waras Hut.

6 MAC 2009

Kami dikejutkan seawal 2.00 pagi untuk memulakan pendakian ke puncak.


Kami bersiap dengan peralatan terutamanya headlamp kerana kami
terpaksa mendaki dalam keadaan yang gelap di awal pagi. Kami perlu
sampai di puncak sebelum matahari terbit untuk melihat panorama ini
dari puncak. Pendakian ini sangat mencabar kerana kami terpaksa
merangkak diatas permukaan yang berbatu dan mendaki menggunakan
tali. Keadaan ini sangat mencabar dan telah menanam sifat jati diri kami
untuk sentiasa berusaha dan menguatkan lagi semangat kami untuk
menempuh cabaran dan dugaan. Kami terpaksa berjalan perlahan untuk
mengelakkan tergelincir kerana keadaan disitu sangat curam dan berbatu.
Pada KM7 kami telah sampai di pondok Sayat-Sayat. Kami perlu
mempamerkan kad permit kami untuk check-in. Dari situ, kami perlu
menghabiskan lebih kurang 1.5 KM lagi untuk sampai di Low’s Peak, iaitu
puncak tertinggi di Gunung Kinabalu. Pendakian kami menjadi semakin
perlahan kerana keletihan dan kami merasakan bahawa puncaknya masih
lagi jauh, walhal itu hanyalah perasaan kami dan sebenarnya tidaklah
sangat jauh untuk kami menghabiskan pendakian kami. Namun, setelah
segala usaha dan keringat dikerahkan, akhirnya berbaloi kerana kesemua
pelajar SESMA yang menyertai ekspedisi ini telah berjaya sampai di Low’s
Peak. Kami tidak dapat menggambarkan keindahan panorama dari puncak
itu. Tidak kurang juga, keadaan permukaannya yang berbatu dan
bergaung sangat menggerunkan kami. Keadaan yang sangat sejuk dan
angin bertiup agak kencang memaksa kami untuk bergegas turun setelah
mengambil gambar kenangan bersama-sama. Kami berasa diri kami
sangat kerdil dan kami dapat mengkagumi ciptaan-Nya yang tiada
bandingan. Kami bersyukur dan berdoa terhadap Illahi kerana dengan izin-
Nya kami dapat menawan puncak Gunung Kinabalu. Kami memulakan
perjalanan turun pada jam 6.30 pagi. Siapa sangka, perjalanan turun
sebenarnya lebih mencabar kami terpaksa menuruni setiap langkah
dengan perlahan. Keadaan yang sangat curam dan bergaung kadang-kala
sangat mendebarkan namun, dengan bantuan tali yang disediakan
disamping tunjuk ajar oleh penunjuk arah, segalanya menjadi lebih
mudah. Kami tiba di penginapan masing-masing dan kami perlu bergegas
untuk packing dan menikmati sarapan pagi di Laban Rata sebelum
menyambung perjalanan turun kami yang masih berbaki 6KM. Kami masih
melalui denai yang sama dengan perjalanan naik dan ianya lebih
mencabar kerana denai sangat licin dan hujan rahmat telah turun
membasahi kami. Kami sentiasa berhati-hati. Namun, perjalanan turun
lebih cepat berbanding semasa perjalanan naik dan kami tidak terlalu
kerap berhenti di pondok untuk menjimatkan masa. Kami tiba di pintu
Timpohon dan mengambil peluang untuk berehat sambil menunggu
rakan-rakan kami yang belum sampai. Setelah semua pendaki selamat
tiba, kami terus menaiki van untuk ke restoran untuk minum petang dan
mengambil barang-barang kami di D’Villa sebelum bertolak ke Kota
Kinabalu. Ramai antara kami terlelap di dalam perjalanan kerana keletihan
dan kami tiba di penginapan kami di Api-Api Apartment pada jam 7.00
malam. Kami bergegas menyiapkan diri untuk makan malam di Likas.

7 MAC 2009

Kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar Bandaraya


Kota Kinabalu dan membeli-belah di Pasar Filipina. Pada jam 12.00 tengah
hari, kami bertolak ke Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota
Kinabalu(LTAKK) kerana penerbangan kami dijadualkan berlepas ke Kuala
Lumpur pada jam 2.05 petang. Namun, penerbangan kami ditunda dan
kami berlepas pada jam 2.35 petang dengan penerbangan AirAsia
AK5107. Kami tiba di LCCT, Sepang pada jam 5.05 petang dan kami
berlepas ke Kuala Terengganu pada jam 7.40 malam dengan penerbangan
AirAsia AK6336. Kami selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan
Mahmud(LTSM), Kuala Terengganu pada jam 8.20 malam. Bas telah
menanti ketibaan kami dan kami tiba di SESMA pada jam 9.30 malam.
Segala kenangan pahit dan manis kami sepanjang ekspedisi ini dapat
mengajar kami untuk menjadi lebih berdisiplin. Tidak kurang juga,
ekspedisi ini telah membentuk ukhuwah yang baik diantara peserta
ekspedisi dan juga guru-guru. Selain itu, komitmen yang diberi sepanjang
ekspedisi ini telah menguatkan lagi jati diri kami untuk menjadi
sebahagian daripada pelajar SBP yang berketerampilan dan mempunyai
sahsiah yang terpuji. Diharap, program seumpama ini dapat diteruskan
supaya dapat melahirkan warga SESMA yang mempunyai semangat juang
yang tinggi untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Disediakan oleh

(FAITZ AQIRA BIN NORDIN)

Peserta Lawatan Sambil Belajar &


XPDC Gunung Kinabalu 2009.

Anda mungkin juga menyukai