Anda di halaman 1dari 4

Hidup terapung di Tasik Tonle Sap

PENDUDUK bebas mengubah kedudukan rumah masing-masing.

PERJALANAN setengah jam menaiki bot melalui terusan ke Tasik Tonle Sap di Kemboja merupakan pengalaman yang menyeronokkan walaupun dalam cuaca yang panas. Di kiri dan kanan tebing terusan itu kelihatan kawasan semak yang berselang-seli dengan pemandangan tadika, bengkel bot dan gelanggang bola keranjang yang terapung di tepi sungai. Gelagat penduduk tempatan yang mencari rezeki di atas air menarik tumpuan penumpang bot pelancong. tetapi adakalanya perbuatan mereka mengganggu keselesaan penumpang bot. Misalnya, sebuah bot laju menghimpit bot yang dinaiki penulis dan seorang kanak-kanak perempuan secara tiba-tiba melompat masuk hanya untuk menjual minuman. Pengemis Tidak ketinggalan pengemis menaiki bot demi meraih simpati penumpang. Walaupun tidak dilayan, seorang kanak-kanak di bot pengemis itu sempat menunjukkan seekor ular sawa yang dibawanya untuk menarik perhatian kami.

Hakikatnya, perbuatan kanak-kanak itu menimbulkan ketakutan kepada penumpang lain. Gelagat mereka ternyata mengganggu tumpuan kami tetapi jurupandu bot penulis yang dikenali sebagai Vireak cuba menenangkan kami semua. Menurut Vireak, bilangan penjaja dan pengemis telah berkurangan dengan ketara hasil usaha kerajaan Kemboja membersihkan tebing terusan dan membangunkan kawasan jeti. Vireak juga menuding ke arah tiang-tiang konkrit yang ditempatkan pada jarak tertentu di tebing sungai untuk menunjukkan ketinggian paras air naik semasa musim tengkujuh. Apabila diamati, paras air itu boleh mencapai ketinggian bangunan tiga tingkat.

SEBUAH keluarga sedang menjamu selera di rumah sampan mereka.

Pasang surut air Apabila sampai di muara terusan, jelas kelihatan kampung terapung Chong Khneas. Kehidupan di sini saling berkait dengan rentak pasang surut air Tonle Sap. Tonle Sap bermaksud sungai air tawar yang besar dalam bahasa Khmer. Penduduk di sini sudah sebati dengan rentak tasik yang mengalir ke Sungai Mekong itu. Keluasan tasik itu menyusut semasa musim kering bermula pada bulan November hingga Mei dan semasa musim tengkujuh pula arah aliran air bertentangan dan keluasan tasik bertambah.

Walaupun penulis melawat tempat ini pada penghujung musim kering, ia begitu mengagumkan untuk melihat betapa luas tasik yang bagaikan sebuah lautan terbuka tanpa bayangan daratan di ufuk. Semasa musim kering, tasik ini meliputi kawasan kira-kira 3,000 kilometer persegi dengan kedalaman kira-kira satu meter. Pada musim tengkujuh keluasannya mencapai sehingga 16,000 kilometer persegi dan paras air boleh mencapai ketinggian sembilan meter. Punca air di Tonle Sap datang dari Banjaran Himalaya di benua kecil India. Tasik itu meliputi empat wilayah di Kemboja iaitu Siem Reap, Battambang, Kampong Tom dan Pursat. Semasa musim tengkujuh, bot-bot boleh ke Phnom Penh dari Tonle Sap kerana sungai ini bergabung dengan Sungai Mekong di pusat bandar negara Kemboja itu. Perkampungan air Semasa bot pelancong bergerak mengelilingi perkampungan itu, kelihatan semakin banyak bangunan terapung. Antaranya ialah gereja, pasar masyarakat, kedai runcit, kediaman dan sekolah berbumbung merah yang bersaiz besar. Bangunan di perkampungan air ini unik kerana ia terapung dan tidak bersambung antara satu sama lain. Ia berbeza dengan perkampungan air di tempat lain yang rumahnya berkaki panjang dan dihubungkan dengan laluan kayu. Vireak memberitahu, terdapat perkampungan terapung yang mempunyai kandang babi dan buaya. Bangunan-bangunan itu boleh naik turun mengikut rentak pasang surut air kerana di bawahnya terdapat pelampung. Mereka juga tidak perlu bimbang dengan kejadian banjir.

SEORANG kanak-kanak mengemis dengan menaiki kawah.

Penulis menyaksikan sebuah rumah yang mempunyai kebun di belakangnya yang bergerak di atas air. Vireak menerangkan, penduduk di situ bebas mengubah lokasi kediaman mengikut cita rasa masing-masing. Menurutnya lagi, pada musim tengkujuh, paras air yang naik akan menyebabkan keseluruhan kampung bergerak jauh. Antara pemandangan yang dapat penulis saksikan termasuklah seorang kanak-kanak perempuan lengkap berpakaian seragam sekolah mengayuh sampan dan kucing meniti laluan tepi yang sempit di sebuah rumah. Selain itu, terdapat seorang lelaki mengangkut barangan dapur dari sebuah kedai terapung dan kanak-kanak berumur tiga hingga empat tahun melompat ke dalam kawah lalu menghala ke arah pelancong untuk meminta duit. Saling bergantung Penduduk di situ bergerak lancar di atas air dengan menggunakan apa saja yang boleh terapung. Mereka saling bergantung antara satu sama lain. Apa yang paling membanggakan ialah mereka amat menghargai alam sekitar. Sukar untuk melihat sampah terapung di atas air terutama di kawasan kediaman. Ini memandangkan tasik tersebut merupakan sumber mereka mencari rezeki termasuk bekerja sebagai nelayan. Kepesatan aktiviti pelancongan di Kemboja turut membuka peluang untuk mereka membuka perniagaan seperti membuka kedai cenderamata. Bahkan, terdapat sebuah kapal di tasik tersebut yang dijadikan restoran. Pemandu bot juga sempat membawa penulis ke sebuah kedai cenderamata yang mempunyai dek pencerapan bagi pelancong menikmati pemandangan matahari terbenam. Difahamkan, kira-kira satu juta penduduk tinggal di pinggir Tonle Sap dan mereka mengamalkan kehidupan terapung tersebut sejak dahulu lagi. Bernama Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Horizon& pg=ho_02.htm#ixzz2f9jnJuWG Hakcipta terpelihara

Anda mungkin juga menyukai