Anda di halaman 1dari 15

TAMADUN ISLAM

(AC301)


TUGASAN :
PERANAN MASJID DI DALAM ISLAM


NAMA : MOHD FAZLI BIN ALIAS
NO PELAJAR : 14QKA13S2001
NAMA PENSYARAH : UST. ADNAN BIN DERAHMAN
KELAS : KAS 3B
POLITEKNIK MERLIMAU, MELAKA


1

Pendahuluan
Tujuan utama penciptaan manusia ini ialah supaya manusia mengabdikan diri kepada Allah.
Di dalam Islam, masjid merupakan suatu institusi mulia yang digunakan oleh umat Islam
untuk beribadah bagi membuktikan ketaatan dan pengabdian yang ikhlas kepada Allah. Allah
s.w.t berfirman yang bermaksud. Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat
kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-
sama Allah. Masjid bukan sahaja pusat ibadah khusus seperti sembahyang dan iktikaf tetapi
mempunyai peranan yang lebih luas. Bahkan di suatu ketika dulu masjid pernah menjadi
pusat kebudayaan, muamalat serta dakwah Islamiah, dan pusat aktiviti kebajikan dan
pendidikan umat Islam.

Masjid pada zaman Rasulullah SAW merupakan pusat bagi pelbagai kegiatan masyarakat
Islam. Objektif utama institusi masjid yang ditunjukkan Rasulullah SAW ialah sebagai pusat
untuk menghasilkan Muslim yang kukuh akidah dan jelas pekertinya sebagai Muslim.
Berdasarkan kepada tujuan ini, fungsi masjid seharusnya tidak terhad setakat tempat ibadat
khas seperti solat, bahkan merangkumi tempat ibadat umum seperti pusat perbincangan
masyarakat, pendidikan, pentadbiran, penyatuan ummah, siasah, sosial dan sebagainya

Segelintir masjid di Malaysia pada masa kini hanyalah digunakan untuk mendirikan solat
berjemaah lima waktu, solat Jumaat dan solat kedua-dua hari raya. Sekali-sekala diadakan
majlis ilmu antara waktu maghrib dan isyak. Masjid kini makin dilupakan oleh masyarakat
terhadap kepentingan fungsi dan peranannya. Masyarakat lebih memandang masjid hanya
sebuah tempat untuk beribadat seperti solat Jumaat dan perayaan-perayaan tertentu sahaja,
tetapi tidak memandang apakah peranan masjid yang sebenarnya. Jika dilihat semula, skop
2

dan peranan masjid adalah lebih luas dari tempat beribadat semata-mata kerana masjid
menjadi nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, pusat menuntut hak dan
keadilan, markas ketenteraan, pusat kebajikan, dan gudang ilmu pengetahuan (Norrodzoh
(ed.), 2003;103) dalam Islam Hadhari "Kekuatan masjid dalam menjana masyarakat
gemilang".


Jika kita melihat perkembangan hari ini hatta dari zaman Rasulullah s.a.w., masjid dan ilmu
sangat berhubung rapat antara satu sama lain dan tidak dapat dipisahkan. Tetapi apa yang
terjadi kini masjid tidak lagi dijadikan sebagai pusat perkembangan ilmu seperti peranan
masjid yang sebenarnya. Nasoha Saabin (2001:9), penggunaan masjid sebagai pusat ilmu
tidak lagi di manfaat semaksimum nya oleh masyarakat kini. Buktinya, kita dapat melihat
kehadiran jemaah untuk mendirikan solat berjemaah lima waktu dan menghadiri majlis ilmu,
terdiri daripada golongan tua yang telah bersara. Inilah hakikat yang berlaku di sesetengah
masjid Malaysia dan negara Islam lain. Ternyata jauh berbeza dengan apa yang diamalkan
oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.


Peranan Masjid Pada Zaman Rasulullah
Masjid di zaman Rasulullah telah berfungsi sebagai nadi penggerak ummah ketika itu.
Menyentuh tentang hal ini, menurut Halimaton Saadiah (1997), Daripada perjalanan
kehidupan Rasulullah s.a.w., umat Islam perlu mengambil iktibar bahawa masjid boleh
berfungsi lebih daripada apa yang biasa dianggap kini, iaitu masjid sebagai rumah ibadat bagi
umat Islam. Pada zaman Rasulullah s.a.w.,, kemajuan dan gerakan Islam semuanya bermula
dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan
3

merancang strategi dan tidak terbatas di bidang dakwah, bahkan perdagangan, perundangan,
penyebaran ilmu dan pelbagai lagi.

Setelah Rasulullah s.a.w. berhijrah di Madinah, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda
ialah mendirikan sebuah masjid (Masjid Quba) untuk dijadikan tempat ibadah dan pusat
kegiatan Islam. Masjid ini adalah masjid pertama pada zaman awal perkembangan agama
Islam. Setelah baginda Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, baginda telah mengambil beberapa
langkah yang berkesan untuk mewujudkan perpaduan yang kukuh di kalangan penduduk
Islam di Madinah.
Beberapa fungsi yang telah dimainkan oleh masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. iaitu :
1. Fungsi Ibadah: Solat berjemaah lima kali sehari semalam merupakan tonggak segala
aktiviti lain.
2. Pusat pengajaran dan pembelajaran
3. Pusat Pentadbiran
4. Pusat Kehakiman: Penduduk Madinah mengajukan masalah-masalah mereka kepada
Rasulullah s.a.w. di masjid dan Baginda juga telah menyelesaikan banyak pertelingkahan di
masjid.
5. Pusat Penerangan dan Maklumat: Khutbah memainkan peranan yang penting bagi
menyalurkan ilmu, maklumat dan nasihat.
6. Pusat Perhubungan: Rasulullah bukan sahaja mengadakan perhubungan dengan sahabat-
sahabat baginda bahkan melayani rombongan dan pengunjung-pengunjung bukan Islam
dengan baik.
4

7. Pusat Kebajikan: Golongan fakir miskin ditempatkan di suatu ruang dalam masjid Nabawi.
8. Pusat Rawatan dan Kecemasan: Selepas peperangan khususnya, mereka yang luka turut
dirawat di masjid.
9. Pusat interaksi masyarakat.

Peranan Masjid Pada Masa Kini
Hari ini fungsi masjid sudah berkembang menjadi pusat penting dalam pelbagai fungsi
antaranya menjadi pusat ilmu, dakwah, maklumat, kebudayaan, muamalat dan sebagainya.
Dari sudut masjid sebagai pusat ilmu, ia berfungsi menjadi tempat mengadakan kelas
bimbingan Al Quran, kelas bimbingan fardu ain, fardu kifayah, kelas tuisyen dan lain-lain.
Dalam dakwah pula, masjid berfungsi menjadi tempat pengislaman, ceramah, motivasi,
bimbingan mualaf dan sebagainya.

Masjid sebagai pusat maklumat, juga berfungsi untuk menyebarkan ilmu dan maklumat Islam
kepada masyarakat setempat, ahli kariah, pelancong dan lain-lain. Menjadi pusat budaya dan
muamalat atau masyarakat, masjid berkesan dalam mendekatkan masyarakat khususnya umat
Islam setempat, ahli kariah dan masyarakat umum tentang keindahan Islam dari sudut ajaran
dan Syariat Islam, juga tentang budaya, gaya hidup, akhlak dan akal budi umat Islam yang
berpegang dengan Islam

Realiti Fungsi Masjid Pada Masa Kini
Institusi masjid merupakan satu aset penting dalam sejarah kebangkitan Islam. Sebagai salah
satu pusat yang berperanan penting kepada simbolik wilayah Islam, institusi masjid terus
berfungsi sebagaimana fungsi-fungsinya yang universal. Dalam era globalisasi ini, fungsi dan
peranan institusi masjid dituntut supaya berperanan lebih luas sesuai dengan peredaran masa.
5

Tidak wajar institusi masjid yang dahulunya menjadi pusat pengembangan syiar Islam
dikecilkan skopnya sebagai hanya sekadar rumah ibadat semata.



Di Malaysia khususnya, kita tidak dapat menafikan keindahan seni bina masjid-masjid yang
memaparkan budaya dan etnik masyarakat setempat. Masjid-masjid seperti Masjid Negara,
Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapong-Tengku Tengah
Zaharah Kuala Terengganu, Masjid Kristal Jerteh Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala
Kangsar, Masjid Kg Laut Kelantan, Masjid Ulu Melaka Melaka dan lain-lain semestinya
memukau para pelancong asing yang datang ke Malaysia. Adapun tujuan menjadikan institusi
masjid sebagai destinasi pelancongan yang menjadi matlamat utama kebanyakan pihak
dikhuatiri tersasar daripada fungsi asal kewujudan masjid. Hal ini adalah kerana kewujudan
dan pembinaan masjid dilihat lebih memfokuskan kepada seni binanya yang bakal
mengagumkan para pelancong daripada pengisian rohani dan kesan yang boleh dilakukan
kepada masyarakat setempat.

Pada masa kini, apabila disebut masjid, terbayang di ruang mata kita binaan yang cukup
indah tersergam, tempat kaum muslimin solat berjemaah dan solat Jumaat, terdapat kelas-
kelas agama yang dihadiri oleh kebanyakan warga yang lanjut usia dan kadang- kadang
diadakan ceramah sempena perayaan tertentu dalam Islam. Alat kelengkapan masjid pada
umumnya mencukupi dan sempurna dihiasi dengan ukiran ayat Al Quran dan Hadith,
dihamparkan permaidani indah. Namun, keindahan yang wujud seolah- olah tidak sempurna,
hilang serinya dan kosong, tidak bersemangat, kurang berfungsi dan peranannya tidak terasa
kerana ia tidak diimarahkan sewajarnya. Ia hanya merupakan lambang kemegahan yang
6

membayangkan status kedudukan agama Islam dari segi tempat, bangunan dan kelengkapan,
bukan dari segi pengisian dan penghayatan. Sedangkan pengisian dan penghayatan menjadi
matlamat utama dalam pembinaan masjid. Usaha untuk membawa masyarakat Islam kembali
ke pangkuan masjid perlu dipertingkatkan dan mencari penyelesaian terhadap masalah yang
dihadapi.
Antara masalah yang seringkali disebut ialah bagaimana kurangnya ahli jemaah yang
mengimarahkan masjid, berkurangnya bilangan muslimin yang menghadiri majlis ilmu dalam
masjid kerana ada yang beranggapan majlis ilmu di masjid adalah program yang tidak tinggi
mutunya berbanding program lain. Masalah lain ialah tidak tersusunnya majlis ilmu yang
diadakan di masjid dan kurangnya masa yang digunakan oleh orang Islam untuk
memanfaatkan masjid. Kurangnya kesedaran terutamanya belia menjadi punca ramai yang
tidak berminat untuk mengunjungi masjid. Begitu juga dengan faktor penyampaian dakwah
yang belum sampai ke tahap yang sepatutnya turut menyumbang kurangnya jemaah masjid.

Peranan Masjid Membentuk Masyarakat Cemerlang
Kejayaan sesebuah masjid itu bergantung pada sejauh manakah peranan dan fungsi yang
telah dijalankan olehnya lebih-lebih lagi jika masjid ini dapat menarik masyarakat Islam di
sekelilingnya untuk beribadah dan menggunakan masjid tersebut untuk kebaikan masyarakat
itu sendiri.

Antara peranan yang perlu dilakukan oleh masjid untuk masyarakat cemerlang ialah :



7

a. Pusat Ibadah, Kegiatan Masyarakat dan Agama
Sememangnya semua masjid berperanan utama sebagai pusat atau tempat untuk melakukan
ibadah seperti bersolat dan mengaji al-Quran. Selain itu, masjid juga perlu berperanan
sebagai pusat kegiatan masyarakat setempat. Selain menjadi tempat untuk melakukan ibadah
solat, pelbagai aktiviti lain diadakan seperti kuliah agama harian, syarahan agama, kursus
solat dan belajar mengaji al-Quran, Maulidur Rasul, majlis akad nikah, marhaban dan
sebagainya.

b. Imam Yang Ideal
Imam masjid bertanggungjawab terhadap aktiviti dan kreativitinya untuk menghidupkan roh
Islam di masjid dan jemaah nya. Oleh itu, kedudukan imam dalam struktur masjid semestinya
sejajar dan seiring dengan Jawatankuasa pentadbir masjid agar hubungan pentadbir dan imam
mempunyai hubungan yang kordinatif yang saling bekerjasama dalam mentadbirkan kegiatan
masjid hingga berjaya. Imam masjid mempunyai kedudukan, peranan dan fungsi yang sangat
penting, bukan sahaja berupaya memakmurkan masjid itu sendiri, bahkan mampu membina,
mengembang dan memajukan masyarakat Islam yang merupakan jemaah masjid. Oleh itu
imam masjid perlulah mempunyai pengetahuan dan wawasan yang luas serta mampu
menyelesaikan kemasyarakatan dengan sebaik mungkin.

c. Pusat Perpaduan Umat Islam
Sebagai imam masjid, Rasulullah s.a.w amat mementingkan semangat bersatu padu di
kalangan para sahabatnya. Apabila terdapat perbezaan pendapat di kalangan para sahabatnya,
Rasulullah menanganinya secara kolektif dan telus. Dan sekiranya para sahabat mempunyai
idea dan pendapat yang baru yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, maka
8

Rasulullah s.a.w mengalu-alukannya. Tujuan ini adalah untuk mewujudkan kesatuan di
kalangan para sahabat dan para pengikut mereka.

Manakala peranan imam dan pentadbir pada masa kini seharusnya bertujuan untuk
memperkukuh dan menyatupadukan umat Islam, sama ada di kalangan para jemaah di bawah
pimpinnya mahupun di kalangan pentadbir dan jemaah masjid. Ini bererti imam masjid
hendaklah bersikap terbuka dalam menangani pertentangan atau perbezaan pendapat di
kalangan jemaah atau orang ramai.

d. Menghidupkan Semangat Musyawarah
Masjid adalah tempat untuk bermusyawarah, bukan sahaja di antara para pentadbir dan
jawatankuasanya, malahan antara pentadbir dengan jemaah nya dan antara sesama jemaah.
Imam masjid atau pentadbir hendaklah bermusyawarah untuk mendapatkan penyelesaian di
dalam sesuatu masalah atau pertikaian yang dihadapi. Apa juga perancangan atau projek baru
yang bertujuan untuk meninggikan syiar Islam dan menghidupkan semangat keislaman
perlulah dibincangkan bersama.

e. Memperkukuhkan Aqidah Umat
Dalam kehidupan sekarang yang penuh dengan cabaran, umat Islam amat perlu
memperkuatkan aqidah supaya tidak terpengaruh dan terjerumus dari unsur-unsur negatif.
Benteng aqidah ini menjadi lebih penting lagi kerana sekarang ini terdapat ajaran-ajaran serta
9

pemahaman aqidah yang menyesatkan. Di dalam hal ini, masjid memainkan peranan yang
penting untuk menguatkan aqidah jemaah nya.

f. Institusi Keislaman, Pelajaran , Kemasyarakatan dan Kebajikan
Masjid hendaklah menjadi pusat rujukan dalam masalah-masalah kehidupan masyarakat
Islam untuk mendapatkan jawapan bagi setiap pertanyaan dari segi keislaman dan juga
menjadi pusat kaunseling bagi menyelesaikan berbagai-bagai masalah yang dihadapi oleh
masyarakat Islam pada hari ini. Masjid juga adalah institusi ilmu untuk kecemerlangan
masyarakat Islam. Budaya ilmu ini perlu diluaskan dengan mengadakan kelas-kelas
keagamaan dan juga kelas-kelas ilmiah yang lain seperti pelajaran komputer, sains ,
astronomi, matematik dan lain-lain pelajaran dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat
dewasa. Selain dari itu, usaha seperti ceramah forum dialog umum merupakan antara
alternatif yang akan mengharmonikan dan menyatupadukan masyarakat Islam.

Masjid juga hendaklah menjadi pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan sokongan
moral dan material bagi meringankan beban kewangan dan masalah gejala sosial yang
dihadapi oleh masyarakat Islam pada masa kini.

g. Mempererat kan Kerjasama Antara Umat
Untuk mewujudkan kemakmuran masjid, serta menjadikan umat Islam sebagai umat yang
maju, memerlukan kerjasama erat di kalangan jemaah. Oleh yang demikian, sebagai imam
masjid, Rasulullah s.a.w. membentuk perpaduan di kalangan para sahabat yang merupakan
jemaah masjid untuk saling bantu-membantu di dalam perjuangan menyebar dan menegakkan
10

ajaran Islam. Dalam membentuk perpaduan jemaah ini, masjid perlu memanfaatkan dan
menggabungkan potensi jemaah dengan sebaik mungkin untuk menyebar dan menegakkan
agama Islam. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah As Saf ayat 4 yang bermaksud
Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berjuang di jalan-Nya dalam barisan yang
teratur, seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh. (As Saf:4).

h. Peranan dari Sudut Pendidikan

Peranan masjid sebagai sebuah institusi yang dapat memberi inspirasi dan nilai tambah
kepada pembangunan kendiri. Di samping itu masjid memberi penekanan kepada
pembangunan ummah terutamanya golongan remaja Islam, penyatuan masyarakat setempat
dalam konteks untuk meningkatkan kemahiran berakhlak serta sosial. Menurut Hasan
Bahrom dalam pembentangannya bertajuk Menjana sumber kewangan masjid pemangkin
pembangunan ekonomi ummah (2007), menyatakan bahawa masjid adalah institusi penting
dalam masyarakat, masjid bukan sahaja institusi ibadat khusus namun peranannya lebih besar
dan penting dalam masyarakat iaitu sebagai institusi akar umbi gerakan masyarakat. Secara
keseluruhannya masjid sangat berperanan untuk meningkatkan dari sudut pendidikan,
keimanan dan pembangunan kesatuan masyarakat. Program-program ilmiah yang dianjurkan
oleh masjid mengambil kira kelapangan waktu masyarakat bagi menggalakkan lebih ramai
penyertaan orang ramai kepada aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid. Program
yang dianjurkan oleh masjid juga bertambah dan bersifat semasa serta mengikut keperluan
seperti kelas tarannum, kelas tafsir dan hafazan.


11

Langkah-Langkah Untuk Menarik Minat Masyarakat Ke Masjid.
Kurangnya kesedaran terutamanya belia menjadi punca ramai yang tidak berminat untuk
mengunjungi masjid. Begitu juga dengan faktor penyampaian dakwah yang belum sampai ke
tahap yang sepatutnya turut menyumbang kurangnya jemaah masjid. Jadi, untuk
merealisasikan peranan masjid agar turut menjadi penarik kepada generasi muda, pendekatan
dan skop perlu diperbaiki serta diperluaskan. Selain menggunakan pendekatan lama, masjid
boleh dilengkapi dengan kemudahan komputer dan internet. Ia mungkin akan menarik belia
kita untuk mendekati masjid. Di samping itu, perpustakaan boleh ditubuhkan bagi memenuhi
peranannya sebagai pusat penyebaran ilmu. Secara tidak langsung, ia dapat menarik lebih
ramai masyarakat dan menepis tanggapan bahawa masjid hanya tempat untuk golongan
tertentu sahaja dan hanya berbentuk keagamaan.

Oleh itu, perlunya ditingkatkan kelicinan dalam pentadbiran masjid dalam menyampaikan
suara dakwah islamiah. Menghapuskan karenah birokrasi dalam pengurusan masjid mampu
melicinkan pentadbiran dan mengelakkan kekeliruan masyarakat dalam usaha menggalakkan
pelbagai aktiviti ilmu dan kemasyarakatan diadakan di masjid. Kerjasama yang berkesan
antara semua pihak diperlukan dalam usaha mengimarahkan masjid. Penjelasan perlu dibuat
supaya kedudukan masjid yang sebenarnya disebarkan kepada masyarakat melalui seminar,
bengkel dan sebagainya.

Sistem pendidikan Islam hendaklah dihidupkan semula di masjid- masjid untuk umum sama
ada kanak- kanak dan juga wanita yang melibatkan pendekatan yang terbaik dari guru- guru
yang berwibawa dan mahir. Sikap dan pandangan masyarakat terhadap pendidikan di masjid
12

perlu dianjakkan supaya ianya dihormati dan disokong secara moral dan material. Masyarakat
juga hendaklah digalakkan menggunakan masjid seboleh- bolehnya untuk aktiviti mereka
seperti mengadakan majlis pengajian, perhimpunan yang diharuskan oleh syarak seperti
majlis akad nikah dan sebagainya.

Strategi Bagi Membangunkan Masyarakat Islam Melalui Institusi Masjid
1. Masjid Mesra Belia
Strategi ini adalah untuk menarik golongan belia kerana golongan belia merupakan golongan
yang besar di dalam masyarakat. Dengan arus pemodenan yang sangat besar, persekitaran
sosial yang mencabar dan kian meruncing, agenda belia ini perlu diambil secara serius oleh
pentadbir masjid untuk mewujudkan ruang dan kecenderungan yang selesa untuk belia ketika
di masjid. Kawasan lepak belia dengan ciri tersendiri dan pendekatan lebih mesra untuk
menarik belia ke masjid. Program pembangunan belia perlu diadakan secara teratur dan
diuruskan secara profesional.

2. Masjid Mesra Keluarga
Masjid perlu menjadi masjid yang mesra keluarga perlu diwujudkan pusat bagi kegiatan
bersama keluarga. Pendekatan ini perlu diambil demi menjadikan masjid sebagai salah satu
medium untuk menangani masalah keluarga di kalangan masyarakat Melayu Islam. Ini
termasuklah meningkatkan peranan Imam selain sebagai pemimpin pembangunan kerohanian
jemaah.

13

3. Masjid Mesra Masyarakat
Dalam strategi ini, masjid perlu mengadakan program dalaman dan juga program luaran yang
melibatkan organisasi masjid dan kerajaan. Program dalaman adalah seperti sesi bertemu
jemaah, mendapatkan maklum balas dan menyampaikan program kegiatan masjid kepada
penduduk selain memaklumkan program masjid kepada jemaah. Bagi program luaran pula
adalah seperti program lawatan ke rumah-rumah penduduk Islam masyarakat setempat selain
berkenal mesra, adalah juga bagi memantau penduduk setempat yang bermasalah agar
bantuan dapat diberi atau disalurkan masalah berkenaan kepada badan-badan kerajaan.

Penutup
Tidak semua masjid melaksanakan dan menerapkan pola pentadbiran moden. Tidak sukar
untuk merancang kegiatan keagamaan di masjid seperti kelas agama, perbincangan, syarahan
atau program-program lain. Ia terserah kepada pihak pentadbir masjid dan masyarakat
sekeliling untuk memakmurkan masjid. Penerimaan semua golongan terutama golongan
muda bagi menyertai aktiviti-aktiviti dan program yang disediakan oleh pihak masjid perlu
dipertingkatkan di mana perlu wujudnya jalinan komunikasi di antara golongan muda dan tua
bagi menghasilkan gabungan yang padu. Justeru, usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi
menarik masyarakat Islam terutamanya golongan muda untuk mengunjungi masjid-masjid.
Sesuai dengan kemuliaan dan kebersihannya, masjid adalah tempat paling sesuai untuk
menunaikan solat, beriktikaf, membaca al-Quran, berzikir, bermuhasabah dan sebagainya
selain digunakan sebagai pusat untuk jemaah bertukar-tukar pandangan dan idea bagi
kemajuan dan kesyumulan Islam dan umatnya. Pendek kata kerja mengimarahkan masjid
dengan pelbagai bentuk ibadat amatlah dituntut.
14

Rujukan
Norkumala binti Awang. Membudayakan Masjid Dalam Kalangan Generasi Muslim. Di
capai dari : http://www.ikim.gov.my/index.php/en/artikel/8173-membudayakan-masjid-
dalam-kalangan-generasi-muslim

Ismail Roziz. Peranan dan Kedudukan Institusi Masjid Dalam Masyarakat. Di capai dari:
http://www.bruneiresources.com/pdf/masjid_ismailroziz_dalam_masyarakat.pdf

Mahazan Abdul Mutalib dan Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali. (2003). Model
Pengimarahan dan Prestasi Masjid Di Malaysia: Satu Pengenalan Awal Kajian. Kertas
Kerja Seminar Kebangsaan Pengajian Akidah dan Agama, USIM.

Ust Musallu Moksin. Masjid Sebagai Pusat Perpaduan Ummah. Khutbah Jumaat 05
Rabiulawal 1431H/19 Februari 2010M. Bahagian Penyelidikan dan Informasi.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Mohd Ismail Mustari & Norshaiful Azhar Mohammat Nor. Persepsi Pelajar 3SPI Terhadap
Peranan Masjid Dari Sudut Pendidikan Dalam Masyarakat Islam. Fakulti Pendidikan,
UTM.

Ezad Azraai Jamsari et al. (2010). Peranan dan Sumbangan Institusi Masjid dalam
Pembangunan Masyarakat Melayu Islam di Singapura: Satu Kajian di Masjid
Assyafaah, Sembawang. Journal of Islamic and Arabic Education 2(2). Ms 31-44.

Anda mungkin juga menyukai