Anda di halaman 1dari 11

Soalan 1 : ISU GEJALA SOSIAL

1.0

Pengenalan
Gejala sosial merupakan masalah yang sering dibicarakan dalam komuniti hari

ini. Ia tidak lagi melanda masyarakat membangun tetapi telah turut melanda
masyarakat sedang membangun seperti Malaysia. Mutakhir ini, gejala sosial di
Malaysia semakin meruncing dan berada di satu tahap yang membimbangkan
pemimpin politik mahupun rakyat biasa. Gejala sosial dapat diklasifikasikan sebagai
satu jenayah yang melibatkan etika dan moral individu. Berbagai pihak merasa resah
dan gelisah dengan gejala berkenaan kerana dalam tempoh jangka panjang ia akan
memberi kesan negatif terhadap generasi mendatang. Jenayah ini bukan sahaja
dilakukan oleh golongan remaja dan dewasa malahan kanak-kanak juga turut terlibat
dalam masalah ini. Petanda awal keresahan dapat dilihat apabila semua pihak cuba
melepaskan diri dan menuding jari sesama sendiri sedang pada masa yang sama
gejala sosial terus subur bagai tumbuhnya cendawan di musim hujan. Satu langkah
pro-aktif perlu dilakukan dan semua pihak perlu bertanggungjawab membendungnya.
Apa akan berlaku kepada generasi warisan akan datang jika remaja hari ini terus
hanyut dibawa arus masalah akhlak seperti membunuh, melepak, ponteng sekolah,
penyalahgunaan dadah, mengamalkan seks bebas, membuang bayi, melakukan
jenayah juvana, lari dari rumah, berkelakuan lucah, menjadi bohsia atau bohjan,
meminum arak, mengunjungi disko, membuli, merokok dan lain-lain lagi yang kian
merebak dalam masyarakat kita?
Dalam keghairahan mengejar status negara maju pada tahun 2020 tidak dapat
dinafikan arus globalisasi yang melanda telah memberi kesan buruk kepada kehidupan
masyarakat, termasuklah potensinya dalam merosakkan akhlak anak-anak muda sekali
gus menggugat kestabilan dan kecemerlangan bangsa.

Gejala-gejala seperti

keruntuhan akhlak, rapuhnya pegangan agama, krisis jiwa yang membajai gejala tidak
bermoral seperti rogol dan pelbagai lagi jenis jenayah yang sedia dimaklumi mungkin
berpunca daripada kurangnya penghayatan nilai-nilai agama dan krisis rumah tangga

serta ketidakpekaan ibu bapa terhadap masalah persekitaran yang mengancam jiwa
anak-anak mereka.
Tanggal 10 April 2012 yang lalu, pasangan kembar seiras dan sepasang adikberadik antara 27 pelajar sekolah menengah yang ditangkap dalam Ops Ponteng di
pusat siber, Bukit Sentosa. Kembar seiras yang ditemui mengakui sering ponteng
sekolah malah ibu bapa mereka dikatakan menyedari perbuatan itu namun tidak pernah
menegur atau memarahi mereka. (Sinar Harian, 10 April 2012).
Sememangnya masalah sosial yang dilakukan oleh kaum remaja sekarang amat
membimbangkan pelbagai pihak, baik ibu bapa, pemimpin politik, pendidik, ketua
masyarakat mahupun pihak polis. Ini jelas terbukti apabila saban hari terpampang di
dada akhbar dan majalah mengenai gejala-gejala yang tidak sihat di kalangan remaja
seperti penagihan dadah, pelacuran, pecah rumah, mencuri, merogol, bergaduh, lari
dari rumah, lepak, ponteng sekolah, bohsia dan bohjan. Didapati bilangan remaja yang
terbabit dalam kes seumpama itu meningkat dari semasa ke semasa. Data dan
statistik banyak menunjukkan keruntuhan akhlak di kalangan remaja di negara ini
adalah semakin serius. Contohnya, menurut Hassanuddin berkata, statistik gejala sosial
dalam kalangan remaja di Selangor pada tahun lepas menyaksikan 795 kes dicatatkan
membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda seperti bunuh, rompak, samun dan
rogol. Pada tahun 2011, sebanyak 1,811 kes direkodkan dengan tangkapan 2,361
orang. (Kosmo, 19 Jun 2013)
Ketelusan dalam membenteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab
sosial semua pihak daripada seluruh anggota masyarakat. Usaha ini memerlukan
kerjasama daripada kalangan anggota masyarakat. Dengan kesungguhan semua pihak,
gejala ini dapat ditangani dengan sebaiknya tanpa membebankan mana-mana pihak. Di
Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh
kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini
juga banyak.

2.0 Definisi
2.1 Gejala sosial
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, maksud gejala merupakan tanda-tanda,
alamat atau petanda. Manakala sosial bermaksud segala hal yang berkaitan dengan
masyarakat atau kemasyarakatan. Gejala sosial adalah suatu gejala yang telah
mengakibatkan berlakunya ketidak tentuan sistem kemajuan dan ketamadunan
sesebuah negara. Gejala sosial yang berlaku akhir-akhir ini telah meruntuhkan sifat
semula jadi manusia. Secara umumnya, masalah sosial merangkumi berbagai-bagai
perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa keuntungan kepada
sesuatu masyarakat ataupun negara.
Di Malaysia, kita dapat mengenal pasti terlalu banyak gejala sosial yang berlaku.
Saban hari kita didedahkan dengan gejala-gejala sosial yang berlaku di media-media
massa dan media elektronik. Amaludin dan khadijah (2006) menyenaraikan 24 jenis
gejala sosial yang melibatkan penghuni pusat pemulihan akhlak lelaki dan perempuan
di seluruh negara. Gejala sosial yang kerap kita dikenal pasti adalah merokok,
menonton video lucah, putus cinta, mencuri, lari dari rumah, minum arak, menonton
filem lucah, mengambil pil khayal, berjudi, menyimpan gambar lucah, mengadakan
hubungan luar nikah, memeras ugut, pecah rumah, menagih dadah, merogol, ponteng
sekolah dan vandalisme.
Pada lazimnya, masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah hanya berkisar di
sekitar kenakalan mereka merosakkan harta benda awam, ponteng sekolah, merokok,
melepak dan seumpamanya.

2.2 Ponteng Sekolah


Menurut Kamus

Dewan,

ponteng

didefinisikan

sebagai

lari

daripada

tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Istilah tersebut digunakan bagi kes
ketidakhadiran yang berpunca daripada keinginan pelajar itu sendiri, dan bukannya keskes yang "dimaafkan" seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. Definisi sebenar
mungkin berbeza mengikut sekolah, tetapi biasanya diterangkan secara jelas di dalam
peraturan sekolah. Selain itu, ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri
sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas
ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari.
Di sesetengah sekolah, pelajar yang ponteng akan hilang kelayakan untuk tamat
sekolah ataupun menerima jam kredit bagi kelas yang tidak dihadiri, sehinggalah
kekurangan tersebut diisi melalui tahanan kelas, denda ataupun kelas gantian. Ponteng
merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Ini bermaksud
seseorang pelajar dianggap ponteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebabsebab yang dibenarkan pada hari persekolahan. Oleh yang demikian, ponteng
merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri
kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah.

3.0 Sorotan Kajian


Kita perlu mengenal punca-punca keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang
berlaku dan mengubati penyakit yang ditemui itu sebaik-baiknya. Menurut Izani Haji
Daud mengatakan Institusi keluarga menjadi salah satu faktor penyumbang yang besar
kepada permasalahan remaja masa kini. Beliau juga menyatakan kekuatan didikan
agama menjadi asas kepada pembinaan jatidiri remaja dalam mengharungi pancaroba
kehidupan justeru anak-anak yang tidak dididik dengan keagamaan akan mudah
terjebak ke dalam perkara-perkara yang tidak baik.
Menurut Aziz (2007) dalam penulisannya mengenai masalah disiplin pelajar
menyatakan salah satu masalah disiplin yang paling besar adalah ponteng sekolah.
Masalah ponteng sekolah ini pun bukan perkara baru malah semua orang pernah
terlibat atau mengetahui tentangnya semasa bersekolah dahulu. Sikap sebahagian ibu
bapa yang menghalalkan tidak perlu hadir ke sekolah telah memberi pengajaran yang
kurang sihat kepada anak-anak mereka sendiri.
Kes ponteng adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya seperti
suasana persekitaran sekolah yang berubah secara mendadak akibat dari proses
pembandaran. Pembinaan pusat membeli belah dan pusat-pusat hiburan yang terlalu
hampir dengan sekolah akan menjadi faktor penarik kepada gejala ponteng sekolah.
Manakala suasana persekitaran dalam sekolah seperti stail kepimpinan pengetua,
pendekatan warga guru dan persekitaran sekolah yang tidak kondusif menjadi faktor
penolak kejadian ponteng di kalangan pelajar (Tan , 2006).
Salah satu kemerosotan disiplin yang semakin menular pada masa sekarang
ialah masalah ponteng. Laporan salah laku pelajar sekolah menunjukkan bahawa
ponteng sekolah dan ponteng kelas merupakan salahlaku yang tertinggi peratusan
penglibatan di kalangan pelajar. ( Surat Pekeliling Bil 6 / 1995 )
Menurut Mok Soon Sang (2001), golongan pelajar yang sering ponteng sekolah
biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang kurang berupaya mengubahsuai diri
mereka dalam iklim persekolahan yang mengutamakan kecemerlangan prestasi
akademik sahaja.

4.0 Bagaimana isu atau cabaran mempengaruhi sistem pendidikan (kesan


ponteng sekolah terhadap sistem pendidikan)
Kita sering disajikan dengan pelbagai isu sosial remaja yang rata-rata terdiri
daripada mereka yang menghuni institusi pendidikan terutamanya sekolah. Terlalu
banyak isu sosial yang kita dengar hari ini, antara kes masalah sosial seperti buang
bayi, yang terlibat merupakan pelajar sekolah, isu ponteng sekolah, merokok, dadah,
minuman keras dan sebagainya. Perkara ini menjadi duri dalam daging kepada sektor
pendidikan, yang seterusnya boleh menghalang perkembangan pendidikan secara
positif. Banyak masa, wang dan tenaga digembleng untuk menanganinya. Dari hari ke
hari ia membiak bak kudis buta yang tiada berkesudahan pada dunia pendidikan.
Andai ia tidak ditangani oleh semua pihak dengan bijak, isu ini boleh menyebabkan
keruntuhan sistem pendidikan kita pada hari ini. Selain itu juga, gejala sosial lain seperti
ponteng sekolah, pergaduhan buli, juga manjadi isu hangat di sekolah seperti juga di
atas, ia perlu ditangani dengan sebijak mungkin.
Ponteng sekolah adalah salah satu isu gejala sosial terutamanya melibatkan
para pelajar khususnya merujuk kepada golongan pelajar peringkat sekolah Menengah.
Tidak disangka bahawa isu gejala sosial sekolah boleh menjadi landasan lencongan
untuk pelajar terlibat dengan gejala sosial lebih serius iaitu berunsur jenayah. Senario
remaja sekolah yang pada mulanya hanya terbabit dengan isu gejala ponteng sekolah
dan kemudian didapati sabit terlibat dengan kes-kes jenayah berat kerap berlaku.
Berdasarkan berita Sinar Harian pada 5 Februari 2014 melaporkan masalah
ponteng sekolah dengan tajuk Ponteng Sekolah buat maksiat. Pelajar sekolah
menengah ponteng sekolah menjadikan kawasan rekreasi seperti air terjun untuk
bermadu kasih. Penduduk yang tinggal berhampiran sebuah taman rekreasi selalu
berjumpa pelajar sekolah yang memakai uniform sekolah terlibat berusia antara 16
hingga 17 yang berpasangan di kawasan tempat sunyi dan melakukan maksiat.
Masalah ponteng sekolah telah membawa kepada pelbagai kesan yang negatif
antaranya ialah menjejaskan sistem pendidikan negara dan masa depan generasi
muda. Sistem pendidikan negara akan terjejas tanpa pelajar yang berdisiplin dan masa

depan pelajar akan hancur dalam tangan mereka disebabkan oleh masalah ponteng
sekolah dalam kalangan pelajar. Selain itu, keruntuhan moral generasi muda juga akan
berlaku. Pelajar akan kurang mementingkan nilai-nilai moral dan sifat-sifat seperti
kerajinan dan bertanggungjawab. Mereka akan ketinggalan dalam pelajaran dan paling
dikhuatiri terbabit dengan kegiatan negatif seperti merokok dan perjudian. Sebagai
tambahan, mereka juga akan mempunyai amalan kehidupan yang negatif seperti
budaya lepak dan berfoya-foya.
Kes ponteng sekolah yang melibatkan para pelajar sekolah sememangnya
menimbulkan rasa bimbang pelbagai pihak. Golongan ibu bapa kepada para pelajar
yang terlibat dalam kes ponteng sekolah akan mempersoalkan kewibawaan dan
kebolehan guru-guru di sekolah sama ada guru-guru yang berada di sekolah
berkeupayaan untuk mengawal disiplin para pelajar tanpa memikirkan kemungkinan
masalah ini berpunca dari rumah mereka sendiri. Mereka hanya akan menuding jari
kepada pihak sekolah yang gagal memainkan peranan untuk mendisiplinkan para
pelajar tersebut. Secara tidak langsung, ia akan mengakibatkan ibu bapa tersebut
meragui kebolehan guru-guru di sekolah dan seterusnya tidak lagi menaruh
kepercayaan yang sepenuhnya kepada institusi pendidikan yang namanya sekolahsekolah.
Bukan sahaja ibu bapa, malah orang awam dan masyarakat setempat juga
mempunyai pandangan serong terhadap sistem pendidikan zaman kini. Kes ponteng
sekolah yang kian menular kebelakangan ini membuka ruang kepada masyarakat untuk
mengkritik kemampuan sekolah-sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar sekolah
yang merupakan tonggak utama pada masa akan datang. Masyarakat akan melabel
para pelajar yang terlibat dalam kes ponteng sebagai sampah masyarakat.
Masyarakat akan memarahi ibu bapa yang gagal mengawal anak-anak mereka, namun
yang lebih menyedihkan ialah masyarakat akan mempersalahkan pihak sekolah yang
sepatutnya menjalankan kewajipan untuk mendisiplinkan serta mendidik para pelajar
untuk menjadi insan yang menyumbang kepada masyarakat dan negara pada masa
akan datang.

Sememangnya kes ponteng sekolah ini juga mendatangkan kesan yang negatif
terhadap guru-guru dan sekolah sendiri yang seterusnya akan mempengaruhi sistem
pendidikan. Para pelajar yang ponteng sekolah akan menjejaskan peratus kedatangan
pelajar sendiri dan sekolah. Kesannya lebih meruncing sekiranya peratus kedatangan
pelajar terbabit tidak mencapai syarat wajib kedatangan harian ke sekolah sebanyak
85%. Justeru, sekiranya tidak memenuhi syarat tersebut peluang bagi pelajar terbabit
untuk mengikuti peperiksaan akhir tahun turut terjejas. Ini secara tidak langsung akan
menjejaskan pencapaian keseluruhan sekolah pada tahun itu yang akan menurunkan
reputasi sekolah itu secara lazimnya. Sekali lagi guru-guru akan dipersalahkan atas
senario itu dan ini secara tidak langsung menjejaskan reputasi guru-guru di sekolah
juga.
Kes ponteng tersebut menyebabkan guru-guru di sekolah merasa kerugian
kerana tidak dapat memberi ilmu setaraf dengan pelajar lainnya kepada pelajar yang
kerap ponteng sekolah. Ini memberi implikasi negatif kepada guru-guru yang
seterusnya memberi kesan kemerosotan terhadap corak pengajaran dan pembelajaran
di sekolah. Ini turut mengganggu proses pembelajaran pelajar-pelajar lain dan
merumitkan lagi tugas seorang guru kerana terpaksa mencuri masa untuk mengulang
kembali pelajaran yang tertinggal serta tidak difahami oleh pelajar yang ponteng.
Pelajar yang ponteng tersebut juga sering mengganggu kelas dan pelajar lain serta
memburukkan pencapaian mata pelajaran iaitu melibatkan keseluruhan tahap
pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran tertentu.
Dengan adanya kesan-kesan negatif yang menimpa guru-guru di sekolah, ia
sememangnya menjejaskan keyakinan guru-guru di sekolah bahawa mereka tidak
berupaya untuk mendidik para pelajar untuk menjadi insan yang berguna terhadap
masyarakat pada masa hadapan. Guru-guru mula meragui kebolehan mereka sendiri
dalam

mendidik

para

pelajar

yang

sebenarnya

merupakan

kewajipan

dan

tanggungjawab yang berat yang harus dipikul oleh guru-guru di sekolah. Mereka berasa
tertekan dengan situasi sebegini, tambahan pula apabila dikritik dan diragui kebolehan
mereka oleh pelbagai pihak termasuk pegawai pejabat pendidikan, guru besar atau
pengetua sekolah, dan lebih teruk lagi oleh ibu bapa dan golongan lapisan masyarakat

yang tidak jemu dan puas untuk memberi kiritikan dan ejekan yang menyakitkan hati. Ini
secara tidak langsung menjejaskan prestasi dan reputasi guru-guru di sekolah. Prestasi
dan reputasi yang tidak baik ini akan membawa kepada kemerosotan prestasi sekolah
dan seterusnya menjejaskan seluruh sistem pendidikan kita. Orang awam tidak akan
menaruh kepercayaan terhadap sistem pendidikan kita lagi dan ini menjejaskan imej
baik sistem pendidikan di negara kita yang sepatutnya merupakan bidang yang paling
penting dalam melahirkan generasi muda yang berwibawa dan berkebolehan untuk
menyumbang kepada kemajuan dan kepesatan negara kita. Ini merupakan satu
fenomena yang amat serius dan perlu dipandang berat.

5.0 Rumusan

Menjelang tahun 2020, Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara maju mengikut
acuan sendiri, iaitu mencapai kejayaan seimbang dari segi ekonomi, politik, sosial,
kerohanian dan kebudayaan. Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara yang
masyarakatnya bersatu padu dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, berpegang
teguh pada nilai agama, moral dan etika serta menikmati kehidupan yang demokratik,
liberal dan bertolak ansur, perkongsian ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan
makmur, serta menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamik, tangkas serta
berdaya tahan.
Namun, hasrat negara tidak akan termakbul dan tercapai jikalau masalah ponteng
ini tidak ditangani. Kita boleh lihat bahawa kes ponteng sekolah ini sememangnya
mendatangkan kesan dan implikasi yang amat menggerunkan dan menakutkan.
Sememangnya semua pihak di negara ini, biarlah daripada murid itu sendiri, ibu-bapa,
golongan pendidik di sekolah, sampailah golongan masyarakat dan semua pihak yang
terlibat secara langsung dan tidak langsung haruslah memandang serius perkara ini.
Kita tidak haruslah berpeluk tubuh melihat perkara ini semakin menular. Janganlah
sudah terhantuk baru terngadah. Seolah-olah sudah menjadi satu trend di negara kita
apabila berlakunya sesuatu kejadian atau tragedi, barulah semua pihak kelam kabut
mencari punca dan penyelesaian. Pada masa itulah semua pihak saling menyalahkan
antara satu sama lain, menuding jari ke arah orang lain tanpa memikirkan peranan yang
perlu dimainkan oleh mereka sendiri.
Justeru, semua pihak perlulah bekerjasama untuk menangani masalah ponteng
sekolah ini. Sudah sampai masanya untuk kita amalkan pencegahan lebih baik dari
mengubati. Jangan sudah kecurian baru nak mengunci pintu. Kita sememangnya perlu
membentuk sikap para pelajar sejak mereka kecil lagi, bak kata pepatah merebung
buluh biarlah dari rebungnya. Janganlah sampai keadaan sudah menjadi kritis,
segalanya sudah terlambat kerana nasi sudah menjadi bubur.

Anda mungkin juga menyukai