Anda di halaman 1dari 3

Meningkatkan Profesionalisme Guru

Peranan guru menjadi semakin penting, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang
banyak diperkatakan sekarang. Tanggungjawab guru kini bukan terhad seperti dulu malah
semakin bertambah. Ia merupakan satu cabaran baru kepada guru bagi menentukan bahawa
dalam zaman ledakan maklumat, murid lebih pandai daripada guru. Justeru itu, guru perlu
menimba lebih banyak ilmu pengetahuan melalui penggunaan teknologi maklumat dan kaedah
pengajaran terkini.

Antara cara-cara untuk meningkatkan profesionalnya ialah seseorang guru itu perlu
memahami dan melaksanakan etika perguruan dengan mencintai profesion perguruan itu
sendiri, yakni bukan bekerja untuk dapat gaji pada hujung bulan semata-mata. Martabat
profesion perguruan harus dilihat bukan sahaja dari segi pendapatan tetapi juga dari peranan
dan sumbangannya. Oleh itu, guru perlu mengambil tahu mengenai arus perubahan semasa
supaya dapat memahami pelajar mereka. Guru juga perlu sedar tentang ancaman dan
kebarangkalian yang terjadi akibat ledakan maklumat. Guru perlu sentiasa memperbaiki dirinya
dan tidak putus asa dalam kerjayanya. Sebagai contoh, jika seseorang guru tidak mempunyai
facebook sedangkan murid-muridnya ramai yang berhubung melalui laman web tersebut,
pastilah guru tersebut tidak dapat memahami apa yang dilalui oleh murid-muridnya.

Guru harus mempunyai sikap ingin belajar sepanjang hayat kerana ia amat penting untuk
guru itu sendiri. Ini adalah kerana dengan mengikuti latihan ikhtisas selama beberapa tahun
sahaja, tidak boleh menjamin bahawa seseorang guru itu sudah terlatih untuk selama-lamanya.
Sebaliknya, jika guru tidak mempunyai sikap untuk belajar dan menambah ilmu pengetahuan
selepas dilatih, guru itu akan ketinggalan dan profesion keguruan mungkin akan kehilangan
martabatnya. Terdapat pelbagai cara untuk seseorang guru untuk belajar iaitu dari kursuskursus dalaman, latihan dalam perkhidmatan, refresher course (kursus pengulangan teknik
PdP), tambah opsyen, kursus-kursus untuk menerima informasi baru (seperti KSSR, teknik PdP
yang terbaru dan sebagainya), bengkel-bengkel ICT yang melibatkan pembelajaran maya dan
pembinaan bahan serta pelbagai lagi. Kursus-kursus seperti ini boleh membantu menambahkan
pengetahuan guru disamping memberi peluang untuk bertukar-tukar ilmu dan pendapat dengan
guru-guru lain. Oleh itu, guru tersebut akan merasa lebih bertenaga dan mempunya idea yang
banyak untuk memberikan yang terbaik kepada murid-murid apabila kembali ke sekolah.
Konsep belajar seumur hidup memberi peluang kepada guru membaca, menulis dan membuat
penyelidikan tindakan. Ini dapat memahirkan guru, seterusnya dapat meningkatkan
profesionalisme guru tersebut. Hanya dengan ilmu pengetahuan dapat menjadikan manusia
bertaqwa dan mengagumi Tuhannya (Tajul Ariffin & Noraini, 2002). Malahan, dengan ilmu
jugalah manusia mampu memikul tanggungjawab mengurus dan mentadbir alam ini. Dunia
sekarang semakin maju dan teknologinya juga cepat berkembang. Kemajuan dalam bidang
internet memungkinkan guru di Malaysia dapat berhubungan dan bertukar maklumat. Bukan itu

sahaja, kini dengan konsep dunia tanpa sempadan, membolehkan ilmu dan pengalaman dapat
sampai ke negara kita dengan cepat.

Guru juga perlu mempunyai komitmen yang tinggi untuk memastikan murid-murid
mendapat pendidikan yang berkualiti. Salah satu cara guru boleh meningkatkan martabat
profesion keguruan ialah melalui kecemerlangan keputusan peperiksaan awam di mana
masyarakat setempat membuat penilaian kepada pengajaran guru. Justeru itu, guru perlu
memberikan pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid. Program perkembangan staf juga
memberi sumbangan kepada peningkatan ilmu, ketrampilan dan kepakaran staf, membina
semangat berpasukan dan meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran di sekolah.
Menurut Sani et al. (2008), adalah mustahil untuk meningkatkan keberkesanan sekolah atau
menggerakkan profesionalisme guru tanpa program perkembangan staf. Malah, banyak kajian
tentang perkembangan staf telah membuktikan bahawa penglibatan melalui aktiviti kerjasama
dalam pasukan akan mencetuskan pemikiran dan pengintegrasian teknologi maklumat dan
komunikasi melalui sokongan, perbincangan dan perkongsian amalan pengajaran. Ia juga boleh
dikatakan sebagai satu kaedah peningkatan profesional yang dapat meningkatkan mutu
pengajaran. Ianya satu program dimana guru berkongsi kemahiran dan menyumbang kepada
sokongan dan bantuan untuk belajar skil-skil pengajaran yang baru dan menyelesaikan
masalah berkaitan pengajaran (Dalton, 1991).

Ia juga dilihat sebagai satu strategi yang sangat baik untuk meningkatkan profesional se
orang guru kerana melalui strategi ini guru dapat mengemaskini latihan pengajarannya dan
meningkatkan pencapaian pelajar (Joyce et al., 1996). Diantara peranan program ini ialah ia
dapat merangsang perkembangan peribadi dan profesionalisme, berkongsi strategi yang
berkesan dalam proses pengajaran, memberi peluang untuk membina dan mengguna
kemahiran bimbingan dan akhirnya membantu dalam melibatkan diri dalam isu peribadi atau
profesional. Pihak sekolah dicadangkan membudayakan kerja berkumpulan di sekolah masingmasing. Satu kumpulan terdiri daripada 2 hingga 5 orang guru bekerja bersama untuk
merancang, melaksanakan dan menilai aktiviti pembelajaran untuk sekumpulan pelajar yang
sama. Guru dalam satu kumpulan itu sebaiknya berbeza dari segi subjek yang diajar, minat,
perspektif dan tahap pembelajaran. Ini akan memberi kekuatan pada kumpulan dan
perkembangan setiap ahli. Kelebihan cara ini ialah dapat meningkatkan prestasi pelajar dari
sudut bertambahnya tanggungjawab terhadap pembelajaran. Pendedahan kepada skil dan
pandangan dari lebih daripada seorang guru boleh membina kefahaman yang lebih matang.
Pembelajaran juga akan menjadi lebih aktif. Ini boleh membawa pelajar mengarah kepada kerja
berpasukan. Kajian mendapati bahawa pelajar telah menilai yang kerja berkumpulan benarbenar berkesan dalam pembelajaran mereka (Quinn et al., 1984).

Guru perlu mengambil peluang untuk meningkatkan diri dengan menerima lebih banyak
pendedahan kepada perkembangan terkini dalam bidang pendidikan melalui latihan supaya

maklumat yang diperolehi boleh disampaikan kepada lebih ramai guru yang lain. Ini adalah
kerana tanggungjawab sebagai seorang guru adalah kompleks, iaitu guru bukan sahaja perlu
mempertingkatkan pencapaian akademik murid tetapi juga perlu menaikkan martabat profesion
perguruan. Di antara strategi khusus yang membolehkan perkembangan profesionalisma
seorang guru dalam membangunkan modal insan mereka termasuklah aktiviti pementoran,
melibatkan diri dalam latihan dalam perkhidmatan, kursus dan seminar, amalan refleksi, amalan
penyelidikan tindakan, latihan profesional berterusan, perkembangan profesional online dan
penglibatan dalam aktiviti Pusat Kegiatan Guru. Salah satu cara untuk meningkatkan
profesionalisma di kalangan guru ialah sistem pementoran di sekolah. Sistem pementoran
adalah suatu sistem dimana seorang guru yang lebih berpengalaman bertindak sebagai 'role
model', penasihat dan pembimbing kepada guru lain yang kurang berpengalaman untuk
memindahkan perkembangan profesional dan peribadinya. Ini dilaksanakan secara bersahaja
dalam suasana kasih sayang di sepanjang waktu (Anderson & Shannon, 1995). Proses
pementoran melibatkan pengajaran, bimbingan, memberi galakan, kaunseling dan membina
persahabatan dengan guru yang lebih berpengalaman. Guru juga sepatutnya
bertanggungjawab bukan sahaja dalam peningkatan profesional guru dibawahnya, malah
sepatutnya peningkatan keseluruhan perkembangan guru tersebut. Pada kebiasaannya,
seorang guru akan mempunyai seorang atau beberapa orang mentor untuk membimbingnya.

Strategi-strategi lain yang boleh digunakan juga dalam meningkatkan profesionalisme


guru ialah dengan menetapkan laluan kerjaya untuk guru-guru dan mengenalpasti guru yang
boleh dilantik sebagai guru cemerlang dan memastikan guru lebih komited kepada matlamat
dan nilai organisasi masing-masing. Pelbagai ganjaran yang disediakan juga boleh menarik
motivasi guru untuk meningkat profesionalisme masing-masing supaya semua pihak mendapat
manfaatnya dari segi keluarga, sekolah, guru itu sendiri, murid dan sebagainya. Guru yang
berdedikasi merupakan aset yang tidak ternilai.

RUJUKAN
Abdullah Md Zain. (2007). Ulul Albab: Pendekatan Islam Hadhari kearah melahirkan modal
insan terbilang. Kertas Kerja Seminar Ulul Albab. Anjuran JAKIM. Kuala Terengganu,
21September 2006.

Anda mungkin juga menyukai