Anda di halaman 1dari 4

PERANCANGAN PENGAJARAN DAN BAHAN BANTU BELAJAR

MERUPAKAN PEMANGKIN KEPADA KEBERKESANAN PROSES


PENGAJARAN DAN PEMUDAHCARA (PDPC)
Zarith Nabilah Mohamad Kamarulzaman, Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu

Sistem pendidikan di negara Malaysia adalah bersifat dinamik yang mana ia sentiasa
mengalami perubahan yang pelbagai selaras dengan tuntutan semasa. Dalam pada itu, tugas
seseorang insan bergelar guru sudah pastinya semakin mencabar kesan daripada perubahan
dunia ke era globalisasi yang positif mahupun negatif (Ismail Zain 2002, Nik Mohd Rahimi et al.
2002). Rentetan daripada itu, guru memainkan peranan yang sangat penting terhadap semua
aspek pembelajaran murid bagi menjamin setiap murid mendapat input semaksima yang mungkin
dalam perjalanan menuju masa depan mereka. Menurut Amir Hasan (2002), setiap individu
mempunyai psikologi dan keupayaan intelek yang berbeza antara satu sama lain di dalam
sesebuah bilik darjah. Oleh sebab itu, keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan
pemudahcara amat dipengaruhi oleh keupayaan seseorang guru dalam menyesuaikan diri serta
memahami masalah murid.

Seseorang guru sewajarnya mempunyai perancangan pengajaran sebelum mereka


memulakan proses pengajaran dan pemudahcara. Menurut Esah Sulaiman (2004), perancangan
pengajaran merupakan suatu perkara atau sebarang keputusan yang dilakukan oleh guru
sebelum proses pengajaran dan pembelajaran bermula. Perancangan meliputi penyediaan dari
aspek persekitaran fizikal kelas, pemilihan strategi pengajaran, kaedah, teknik, aktiviti, alat bantu
mengajar dan sebagainya yang selaras dengan pencapaian objektif sesuatu pembelajaran
(Mohamad Idris, 2002). Melalui perancangan pengajaran, seseorang guru berupaya membina
suatu proses pengajaran dan pemudahcara yang lebih sistematik dan tersusun.

Hal ini kerana, jangka masa sesuatu proses pengajaran guru dapat diperuntukkan dengan
lebih bermakna melalui perancangan yang teliti. Guru dapat menentukan kaedah, aktiviti serta
teknik yang terbaik dan sesuai di dalam setiap langkah pengajaran mereka mengikut tahap
keupayaan dan minat murid. Kesan daripada itu, ia dapat memberikan keyakinan kepada guru-
guru dari segi pengawalan kelas, penggabung jalinan, penyerapan secara terancang serta
menjamin penglibatan setiap murid pada tahap semaksima yang mungkin dan mengelakkan
daripada timbulnya sebarang gangguan tingkah laku pelajar. Rentetan daripada itu juga, secara
langsung perancangan pengajaran seseorang guru dapat memastikan suasana pembelajaran
murid dalam keadaan yang menarik dan selesa. Hal ini kerana, proses perancangan yang
dilakukan oleh guru menitikberatkan hampir setiap aspek yang mendorong murid untuk
melibatkan diri dengan lebih seronok dan gembira. Sebagai contoh, guru memastikan kaedah
atau aktiviti yang akan dilaksanakan mengikut tahap keupayaan murid-murid, selaras dengan
minat mereka serta bersesuaian untuk digunakan mengikut keadaan fizikal sesebuah bilik darjah.

Dengan adanya perancangan sebelum mengajar seperti yang telah dikemukakan, ia


sudah pasti dapat mendorong kepada kesediaan murid secara menyeluruh terhadap proses
pengajaran guru. Hal ini disokong oleh kajian E.L Thorndike dalam Teori Pelaziman Operannya
yang menyatakan mengenai hukum kesediaan yang perlu ada pada seseorang individu sebelum
suatu pembelajaran bermula. Hasil daripada kajian tersebut, beliau menyatakan bahawa setiap
guru perlu membina persekitaran yang sesuai serta menghasilkan pelbagai rangsangan sebelum
proses pengajaran dan pemudahcara bermula bagi mewujudkan kesan pembelajaran yang
afektif. Dengan perancangan yang teliti dan berkesan, ia dapat menjamin objektif pembelajaran
murid dapat dicapai (Johnson, 2007) serta membawa kepada kejayaan sesuatu pengajaran
(Wandberg dan Rohwer, 2003)

Walau bagaimanapun dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pemudahcara,


penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) merupakan satu lagi aspek yang sangat menyumbang
kepada keberkesanan proses pengajaran dan pemudahcara. Bahan bantu mengajar merujuk
kepada sebarang kelengkapan yang digunakan untuk membantu penyampaian sesuatu isi
pelajaran di dalam proses pengajaran dan pemudahcara. Bahan bantu mengajar memainkan
peranan yang sangat penting ke arah kefahaman konsep di dalam proses pembelajaran murid
selain daripada bertujuan untuk menarik minat pelajar di dalam sesuatu mata pelajaran (Noor
Azlan dan Nurdalina, 2010). Hal ini kerana, dengan adanya bahan bantu mengajar ia dapat
menerangkan sesuatu sukatan mata pelajaran dengan lebih tepat berbanding penerangan
secara lisan (Abdul Rahim & Hayazi, 2010). Apabila seseorang guru menjadikan bahan bantu
mengajar sebagai elemen wajib di dalam setiap proses pengajaran dan pemudahcara, ia pasti
dapat menyumbang kepada keberkesanan pembelajaran murid dan secara tidak langsung
pencapaian prestasi murid turut meningkat dari semasa ke semasa.

Norma (2004) juga menyatakan bahawa penggunaan bahan bantu yang sesuai berupaya
mendorong dan menarik minat pelajar untuk melalui proses pembelajaran yang menyeronokkan.
Hal ini berlaku kesan daripada perubahan situasi proses pengajaran dan pemudahcara yang
dilakukan oleh guru melalui penggunaan bahan bantu mengajar. Murid-murid yang selama ini
terbiasa dengan pembelajaran berbentuk satu hala kini diubah dengan pembelajaran
berkonsepkan penerokaan melalui bahan bantu mengajar yang disediakan. Kesan daripada itu,
ia telah menjadikan proses pengajaran dan pemudahcara satu suasana pembelajaran yang lebih
menarik dan aktif. Mengikut Teori Pelaziman Klasik Pavlov, minda kanak-kanak adalah seperti
“kotak hitam” yang tidak boleh dibuka. Kanak-kanak juga tidak akan memberikan tindakbalas
kepada rangsangan yang tidak mempunyai hubungan dengan mereka. Oleh itu, perkara yang
realistik seperti bahan bantu mengajar berbentuk maujud dapat mengelakkan daripada timbulnya
kebosanan dalam diri murid-murid sewaktu proses pengajaran dan pemudahcara (Mohd. Izham
et al. 2007). Hasilnya, pembelajaran yang menyeronokkan ini dapat membantu para guru
untuk meningkatkan penglibatan murid di dalam proses pengajaran dan pemudahcara.

Melalui kedua-duanya, para guru juga dapat menghindari daripada berasa tertekan
semasa pengajaran berlangsung oleh kerana persediaan dan juga alat bantu yang digunakan
berupaya menarik perhatian murid untuk melibatkan diri secara aktif di dalam proses
pembelajaran mereka. Menumt Ee Ah Meng (2003), strategi kebijaksanaan pengajar memilih
suatu pendekatan dan kecekapan merancang kaedah dan teknik pembelajaran akan
memberikan impak yang lebih baik terhadap pemahaman pelajar dalarn proses pembelajaran.

Konklusinya, perancangan pengajaran dan penggunaan bahan bantu mengajar


sememangnya merupakan suatu pemangkin yang amat berpengaruh ke arah mewujudkan
pengajaran dan pemudahcara yang berkesan. Malahan daripada perkara itu juga, ia secara tidak
langsung dapat menghasilkan banyak lagi kesan-kesan yang positif bukan sahaja kepada guru
dan murid, tetapi juga kepada tahap prestasi sesebuah sekolah tersebut. Oleh sebab itu, guru
merupakan suatu kerjaya yang memainkan peranan yang amat penting serta berpengaruh dalam
sistem pendidikan nagara. Sekiranya setiap guru menjadikan dua perkara tersebut sebagai
elemen utama untuk setiap proses pengajaran mereka di dalam bilik darjah, ia pasti dapat
membantu kepada pencapaian hasrat Falsafah Pendidikan Negara iaitu melahirkan bakal modal
insan yang seimbang dan menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial.
RUJUKAN

Amir Hasan (2002). Penteorian Sosiologi dan Pendidikan: Edisi Kedua. Tanjung Malim.

Abdul Rahim, H., & Hayazi, M. Y (2010). Penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) Di Kalangan
Guru-Guru Teknikal Di Sekolah Menengah Teknik Daerah Johor Bahru, Johor. Universiti
Teknologi Malaysia, 1-8.

Ee Ah Meng (2003), Ilmu Pendidikan: Pengetahuan dun Ketrampilan Ikhtisas. Selangor:


Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Esah Sulaiman (2004). Pengenalan Pedagogi. Johor Darul Takzim. Penerbit Universiti Teknologi
Malaysia

Ismail Zain (2002). Aplikasi Multimedia dalam Pengajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications
Sdn. Bhd.

Jasmi, K. A., Ilias, M. F., Tamuri, A. H. & Mohd Hamzah, M. I. (2011). Amalan Penggunaan Bahan
Bantu Mengajar Dalam Kalangan Guru Cemerlang Pendidikan Islam Sekolah Menengah
Di Malaysia. Journal of Islamic and Arabic Education. 3(1), pp. 59-74

Johnson, D. A. (2007). Teacher Planning, Instruction and Reflection. Journal of Physical


Education, Recreation & Dance, 78(5), 11.

Mohamad Idris Abdul Hamid. (2002). Kajian Keperluan Guru-Guru Sains Sekolah Rendah Dalam
Aspek Pengajaran Sains. Tesis Sarjana yangtidak diterbitkan, Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya

Mohd. Izham Mohd. Hamzah & Noraini Attan (2007). Tahap Kesediaan Guru Sains Dalam
Penggunaan Teknologi Maklumat Berasaskan Komputer Dalam Proses Pengajaran Dan
Pembelajaran. Jurnal Teknologi. Skudai: UTM

Norma binti Haji Hassan (2004). Hubungan Bahan Bantu Mengajar Dengan Minat Pelajar Tahun
Lima Di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa, Kelantan. Muka surat 25 dan 33.

Noor Azlan, A. Z., & Nurdalina, D. (2010). Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Di Kalangan Guru
Pelatih UTM Yang Mengajar Mata Pelajaran Matematik. Universiti Teknologi Malaysia, 1-6.

Wandberg, R., & Rohwer, J. (2003). Teaching to Standards Of Effective Practice: A Guide To
Becoming A Successful Teacher. Boston, MA: Pearson.

Anda mungkin juga menyukai