Anda di halaman 1dari 9

http://isu-pendidikan.blogspot.com/2012/09/ulasan-berkenaan-artikel-cadangan-kerja.

html#more
CADANGAN KERJA 9 JAM ATASI BEBAN TUGAS GURU
1.0 PENGENALAN
Memikul tugas sebagai seorang guru tidak semudah melontarkan perkataan guru itu
sendiri. Jika dilihat kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1989), terdapat frasa
yang menggariskan pendidikan sebagai usaha berterusan untuk melahirkan insan
yang seimbang dan harmoni dari aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi. Jika
diteliti tugas untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini amatlah
berat. Adalah sukar untuk membentuk manusia yang pelbagai latar belakang dan
acuan rohaninya ke arah satu matlamat yang sama. Oleh yang demikian guru perlu
menjadi insan yang mempunyai wibawa dalam tugas, mampu menangani masalah
murid dan sentiasa berubah mengikut zaman (Fitri, 2006).
Profesion perguruan adalah bidang kerjaya yang mendesak. Guru
dianggap pakar dalam segala bidang (Abdul Rahin et al.2000) Tugas guru tidak
sekadar masuk ke kelas mengajar dan memeriksa kertas peperiksaan sahaja namun
lebih luas daripada itu. Kerjaya guru adalah satu profesion yang menuntut
kesungguhan menyebarkan ilmu pengetahuan dengan tujuan untuk membina
masyarakat yang bertamadun tinggi. Begitulah besarnya impak kerjaya guru kepada
pembinaan negara. Begitu besarnya tanggungjawab seorang guru maka begitu
besarlah bebanan tugas guru yang perlu dipikul.
Bebanan tugas dapat didefinasikan sebagai amanah yang
dipertanggungjawabkan kepada guru sama ada dilakukan di dalam bilik darjah atau
di luar bilik darjah dan bertujuan untuk menyelesaikan kerja-kerja berkaitan dengan
sekolah (Shukri, 1998). Beban tugas ini pula diukur dengan melihat kepada tugas
masa yang diperuntukkan dalam seminggu. Melihat kepada takrifan beban tugas ini
dapat disimpulkan bahawa tugas yang diberikan kepada guru mampu memberi
tekanan apatah lagi jika tugas tersebut diberi secara berlebihan. Tugas yang
dibebankan kepada guru perlulah mengambil kira prioriti tanggungjawab guru
tersebut
Seiring dengan perkembangan dunia pendidikan, pengalaman guru juga
bertambah. Walau bagaimanapun, kemampuan guru untuk menghadapi beban
tugas yang diberikan bergantung kepada individu. Beban tugas yang terlalu besar
akan mengganggu emosi dan seterusnya memberi kesan kepada kualiti pengajaran
guru tersebut (Fitri, 2006).
Pelbagai langkah perlu diambil untuk mengatasi masalah ini. Hal ini untuk
memastikan fokus guru untuk mendidik tidak terganggu. Tidak dinafikan guru juga
perlu bertanggungjawab terhadap pelbagai data berkaitan murid, malah guru juga
perlu tahu data-data muridnya untuk memudahkan guru menyesuaikan kaedah
pengajaran namun begitu tugasan selain mendidik yang diberikan kepada guru perlu
berpada dengan tanggungjawab utama seorang guru.


2.0 TUGAS-TUGAS GURU
Tugas guru tidak tertakluk kepada mengajar sahaja. Mengajar adalah sebahagian
kecil daripada tugas-tugas yang perlu dilaksanakan oleh guru. Menurut Shukri
(1998), selain mengajar, guru juga berperanan untuk merancang, mentadbir,
mengelola dan menilai. Berdasarkan Buku Panduan Tugas Guru dan Kakitangan
(2011), tugas guru dapat dibahagikan kepada sepuluh bahagian iaitu :
i. Tugas mengajar
ii. Pentadbiran bilik darjah
iii. Peperiksaan dalaman
iv. Peperiksaan luaran
v. Penjagaan disiplin
vi. Pentadbiran sekolah
vii. Aktiviti-aktiviti ko-kurikulum
viii. Tugas-tugas separa profesional
ix. Tugas-tugas bukan profesion
x. Tugas-tugas lain

1.1 Tugas Mengajar
Tugas mengajar memerlukan guru untuk mengajar subjek-subjek tertentu mengikut
kelayakan guru tersebut. Namun begitu guru tersebut juga perlu menguasai
kemahiran yang diperlukan untuk mengajar subjek tersebut serta mampu menghurai
kandungan sukatan pelajaran dan huraian sukatan tersebut.
Selain itu, guru juga perlu menyediakan buku rekod pengajaran yang lengkap
beserta rancangan pengajaran bagi tempoh setahun/sepenggal/seminggu/sehari
dan melaksanakan pengajaran berdasarkan rancangan yang telah dirangka. Guru
juga perlu menyediakan latihan kepada murid serta memeriksa buku latihan tersebut
sebelum ditunjukkan kepada pihak pentadbir.
Sekiranya guru dapat mengesan kelemahan dalam pelajaran di kalangan
muridnya, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk menjalankan kelas bimbingan
selain memberikan ujian untuk mengesan kelemahan murid tersebut. Ujian dan
rekod tersebut perlu direkodkan dalam buku rekod mengajar.
Sebagai guru yang mengajar subjek, guru perlu menjadi ahli dalam panitia
subjek yang diajar serta menghadiri dan melibatkan diri dalam mesyuarat dan
aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh panitia. Sekiranya pihak Kementerian
Pelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah
mengelolakan taklimat atau mesyuarat, guru yang berkaitan perlu menghadirinya
dan menebarkan maklumat yang diperoleh kepada guru-guru yang mengajar subjek
yang sama.
Tempat mengajar tidak terhad di dalam kelas sahaja tetapi untuk subjek-
subjek tertentu seperti Kemahiran Hidup memerlukan murid bergerak dan belajar di
dalam bilik khas yang disediakan. Guru menjadi individu yang bertanggungjawab
untuk menjaga keselamatan murid-murid disamping menjaga kebersihan dan
keselamatan alatan yang digunakan.

2.2 Pentadbiran Bilik Darjah
Dalam mentadbir bilik darjah, terdapat beberapa bidang tugas yang perlu
dilaksanakan oleh guru. Hal ini termasuklah menjalankan kutipan pelbagai yuran
yang dikenakan oleh pihak sekolah. Selain itu, guru juga perlu memastikan
hubungan dengan ibu bapa terus berlaku dengan melakukan urusan surat menyurat
sekiranya perlu.
Guru juga perlu menyimpan daftar kelas selain menyimpan maklumat-
maklumat peribadi murid seperti fail peribadi pelajar, buku penyata kemajuan, buku
pelaporan ko-kurikulum dan penyediaan surat akuan dan sijil. Selain itu, guru juga
perlu sentiasa mengawal dan menyelia keadaan kelas.

2.3 Peperiksaan Dalaman
Bidang tugas peperiksaan dalaman pula meliputi penyediaan soalan-soalan
peperiksaan. Soalan-soalan ini perlu disediakan mengikut takwim peperiksaan yang
disediakan oleh pihak sekolah. Semasa peperiksaan dijalankan, guru perlu
mengawas peperiksaan yang sedang berlangsung agar tiada sebarang penipuan
dan keputusan yang diperoleh lebih telus.
Setelah selesai peperiksaan, guru perlu memeriksa skrip jawapan yang
dijawab oleh murid untuk diberi markah dan dijalankan penggredan. Setelah itu,
analisis keputusan akan dijalankan untuk melihat prestasi murid secara
keseluruhannya.

2.4 Peperiksaan Luaran
Peperiksaan luaran bermaksud peperiksaan yang dijalankan dan dikelolakan oleh
pihak selain daripada pihak sekolah dan kebiasaannya peperiksaan ini dijalankan
serentak di seluruh negara dan melibatkan semua murid pada tahun-tahun yang
tertentu seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Oleh yang demikian, tugas guru
hanya melibatkan kutipan yuran-yuran yang berkaitan, mengisi borang kemasukan
peperiksaan dan menjadi pengawas peperiksaan sekiranya diarahkan.

2.5 Penjagaan Disiplin
Skop bidang tugas dalam penjagaan disiplin pula merangkumi pengawasan disiplin
murid-murid secara amnya. Hal ini bermaksud guru dibenarkan untuk menegur atau
menunjuk ajar sekiranya terdapat murid yang melakukan kesalahan. Aspek
kebersihan juga terkandung dalam skop tugas penjagaan disiplin. Guru
bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan kelas dan diri murid seperti
pakaian sentiasa terjaga dan mematuhi peraturan sekolah.

2.6 Pentadbiran Sekolah
Melalui bidang tugas ini terbukti bahawa tugas guru tidak terhenti pada tugas
mengajar sahaja. Guru juga perlu terlibat dalam aspek pentadbiran bagi melicinkan
perjalanan urusan di sekolah. Antara perkara yang perlu dilakukan adalah
membantu tadbir bilik-bilik seperti makmal sains, bilik seni, bilik muzik, bengkel dan
sebagainya.
Selain itu, guru juga terlibat dalam mentadbir perkara seperti pembahagian
buku teks, pengagihan jadual waktu kepada guru-guru dan mengkoordinasi kerja
dalam pelbagai kelas atau mata pelajaran. Hal ini penting untuk mengelakkan
percanggahan dan pertindihan masa dan tugasan.

2.7 Aktiviti-aktiviti Ko-kurikulum
Aktiviti-aktiviti ko-kurikulum perlu dijalankan di dalam kawasan sekolah dan perlu
mematuhi peraturan dan arahan yang telah diberikan. Aktiviti ko-kurikulum ini
meliputi badan beruniform, persatuan dan kelab. Selain menjalankan aktiviti-aktiviti
ko-kurikulum, guru juga perlu merekodkan dan menyelia setiap aktiviti yang
dijalankan.

2.8 Tugas-tugas Separa Profesional
Tugas-tugas separa profesional bermaksud tugas-tugas yang secara tidak langsung
mempunyai hubungan dengan murid. Dalam lain perkataan, tugas-tugas separa
profesional ini merujuk kepada aktiviti-aktiviti kepada murid atau memberi manfaat
kepada murid yang memerlukan guru sebagai pengelola atau penggerak aktiviti
tersebut.
Tugas-tugas ini melibatkan perkara seperti lawatan ke luar kawasan
sekolah sama ada dengan tujuan pertandingan, perlawanan sukan atau lawatan
ilmiah. Selain itu, guru juga bertanggungjawab menganjurkan perayaan-perayaan
dan upacara khas dan projek-projek pembangunan sekolah. Walaupun terdapat
aktiviti yang tidak melibatkan murid secara khusus seperti projek pembangunan
sekolah namun hasil akhir projek tersebut memberi manfaat kepada seluruh warga
sekolah termasuk murid.



2.9 Tugas-tugas Bukan Profesion
Tugas-tugas bukan profesion ini dilihat sebagai tugas yang tidak bersentuhan
dengan tugas utama guru sebagai pendidik kepada masyarakat. Tugas ini juga
dapat dilihat sebagai tanggungjawab sosial seorang guru kepada sekolah dan
masyarakat.
Antara perkara yang terkandung di dalam tugas-tugas bukan profesion
adalah penjagaan bangunan sekolah serta keceriaan dan kebersihan sekolah. Guru
perlu memastikan sekolah tempat yang sentiasa bersih dan ceria agar murid-murid
yang hadir ke sekolah dapat belajar dalam suasana yang selesa. Selain itu, guru
juga perlu mengawal lalu lintas dan mengawal keselamatan sekolah dan murid. Oleh
yang demikian, guru perlu melaporkan sebarang kerosakan yang terdapat di
kawasan sekolah dan menetapkan peraturan lalu lintas bagi murid-murid dan ibu
bapa yang hadir ke sekolah.
Sekiranya terdapat kes-kes khas seperti murid sakit atau mempunyai
masalah yang menghalang untuk hadir ke sekolah, guru perlu melawat rumah murid
berkenaan. Selain mendapat info yang jelas tentang keadaan dan masalah murid,
guru juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara guru dan
pihak ibu bapa. Seterusnya, untuk membantu murid dalam pelajaran, guru
dikehendaki untuk menjual buku-buku latihan kepada murid-murid.

2.10 Tugas-tugas Lain
Sebagai ketua dalam sebuah organisasi sekolah, Guru Besar mempunyai kuasa
untuk mengarahkan para guru melakukan tugas tertentu sekiranya tugas tersebut
mendatangkan manfaat kepada sekolah. Oleh yang demikian, tugas-tugas lain ini
adalah tugas-tugas yang berkaitan yang diarahkan oleh Guru Besar dari semasa ke
semasa.


Berdasarkan senarai tugasan guru ini jelaslah bahawa tugas guru bukan hanya
sekadar mengajar tetapi perlu meliputi keseluruhan urusan yang berkaitan dengan
murid. Secara ringkasnya dapat dinyatakan tugas guru terdiri daripada dua bahagian
iaitu pengurusan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan dan pentadbiran
sekolah. Namun begitu di bawah setiap bahagian ini terdiri pelbagai lagi pecahan
bidang tugas yang menuntut kecekalan guru untuk melaksanakannya. Guru Besar
selaku ketua pentadbiran di sekolah perlu ambil cakna senario ini. Oleh yang
demikian Guru Besar perlu lebih prihatin dan melakukan pembahagian tugas yang
lebih adil serta menitikberatkan kebajikan guru agar guru merasakan bebanan tugas
yang dipikul dapat dikurangkan.

3.0 BEBANAN TUGAS GURU
Selain ibu bapa di rumah, guru adalah insan yang bertanggungjawab membentuk
jiwa dan mencanai sahsiah bagi menentukan jatuh bangunnya generasi akan
datang. Oleh yang demikian guru harus memainkan tanggungjawabnya untuk
mendidik dengan penuh kesungguhan dan rasa tanggungjawab. Seandainya guru
lalai dalam melaksanakan amanahnya, maka besarlah kemungkinan untuk melihat
generasi akan datang hidup dalam kepincangan jiwa dan kerendahan sahsiah
(Shukri, 1998). Berpaksikan perkara ini jelaslah bahawa guru adalah komponen
penting dalam menjadikan negara diisi oleh rakyat yang bukan sahaja berilmu malah
mempunyai jiwa dan sahsiah yang cemerlang.
Sistem pendidikan dan matlamat pendidikan negara yang telah dirangka
dilihat begitu murni matlamatnya. Namun begitu guru sebagai pelaksana perlu
mempunyai prestasi kualiti yang baik untuk memastikan matlamat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan. Namun begitu tekanan dan bebanan
kerja akan mempengaruhi kualiti pengajaran guru dan seterusnya mempengaruhi
prestasi dan kecekapan guru (Sazali, 1997). Keadaan ini diburukkan lagi dengan
tekanan daripada masyarakat dan jangkaan yang tinggi di berikan kepada para guru
(Soh, 1987).
Dewasa ini tugas guru bukan hanya di dalam bilik darjah tetapi melibatkan
juga kerja-kerja pengkeranian (Saudi, 1998). Berdasarkan kajian yang dilakukan
oleh Salwa (1996), purata waktu bekerja seorang guru adalah 65.77 jam seminggu.
Daripada jumlah itu 37.67 jam digunakan untuk menguruskan dan menjalankan hal
ehwal akademik manakala baki 28.10 jam pula digunakan untuk tugas bukan
akademik. Tugas ini dtambah lagi dengan tugasan jawatan yang dipegang oleh
guru. Secara purata seorang guru memegang enam jawatan yang mencakupi tugas
sebagai guru kelas, tugas berkaitan dengan aktiviti ko-kurikulum dan tugas-tugas
khas yang diberikan. Hasil kajian ini juga menunjukkan guru secara umumnya
menyatakan beban tugas yang digalas adalah berat.
Laporan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Menangani Masalah
Beban Guru (2010) terhadap 17 orang guru pula menunjukkan 8 daripada 17 orang
guru diperuntukkan bilangan waktu mengajar melebihi 29 waktu seminggu. 9
daripada 17 orang guru menyatakan waktu bertugas mereka yang merangkumi
waktu pengajaran dan pembelajaran adalah melebihi 66 jam seminggu. Laporan ini
juga menyatakan kesemua 17 orang guru bersetuju bahawa mereka tidak
mempunyai senarai khusus tentang tugas dan tanggungjawab yang sebenar serta
masih tidak jelas masa bertugas yang sebenar. Selain itu, kesemua 17 orang guru
juga bersetuju bahawa beban utama yang dipikul adalah kerja-kerja pengkeranian.
Beban guru adalah pelbagai. Malah pada masa kini banyak kerja-kerja
pengkeranian yang terpaksa dilakukan oleh guru. Hal ini ditambah lagi dengan soal
disiplin murid, pengurusan bilik darjah, jadual waktu dan penyediaan rancangan dan
bahan pengajaran (Lim, 1995). Oleh yang demikian sering berlaku kerja-kerja guru
dibawa pulang ke rumah. Secara tidak langsung waktu kerja guru sebenarnya
melebihi waktu kerja pemegang jawatan yang lain.
Tugas guru pada hari ini amat penting kerana guru adalah sebahagian
daripada subjek penting bagi melakar potret kejayaan negara. Beban yang terlalu
besar yang diletakkan di bahu para guru mampu menyebabkan para guru tersasar di
landasan untuk mencipta murid yang cemerlang. Hal ini kerana tugas utama untuk
mendidik tidak dapat dilakukan dengan sebaik mungkin (Saudi, 1998). Justeru itu
adalah begitu wajar sekiranya pihak-pihak yang berkenaan dapat mengkaji semula
dengan lebih teliti berkaitan isu ini. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan guru berasa
tertekan dengan bebanan tugas yang tidak sepatutnya. Dikhuatiri tekanan yang
dialami oleh guru ini akan mempengaruhi kualiti penyampaian ilmu seorang guru itu.
Tidak dapat dinafikan bebanan guru itu bergerak seiring dengan impian negara bagi
mencapai status negara maju namun begitu perlu menjadi keutamaan untuk
melahirkan modal insan yang berkualiti dan usaha ini perlu bermula daripada
sekolah. Adalah satu kerugian kepada negara jika usaha ini terencat dan terganggu
sejak dari awalnya.



4.0 LANGKAH MENGURANGKAN BEBAN KERJA GURU
Isu beban kerja guru telah membuka mata banyak pihak betapa guru selama ini
telah dibebankan dengan pelbagai tugasan yang tidak sepatutnya sehingga
mengganggu fokus utama guru untuk mendidik. Bukan itu sahaja, bebanan tugas
yang banyak ini mampu mendatangkan stress kepada guru. Menurut Sazali (1997),
kebanyakan guru melaporkan mereka menghadapi tekanan danburn out pada
peringkat tertentu kerjaya mereka. Hal ini seterusnya memberi kesan kepada tahap
profesionalisme mereka dalam mengendali sesuatu perkara.
Oleh yang demikian, pelbagai pihak termasuk tokoh akademik telah
memberi beberapa syor dalam menangani masalah ini. Antaranya adalah Tan Sri Dr
Abdul Rahman Arshad, bekas Ketua Pengarah Pelajaran seperti yang dinyatakan
dalam akhbar Berita Harian bertarikh 24 Mei 2010. Empat syor yang diberikan oleh
beliau adalah memanfaatkan sepenuhnya peranan ibu bapa untuk menjayakan
aktiviti di sekolah, mengoptimumkan pembabitan sektor swasta dalam
pembangunan bidang pendidikan, mempergiat sumbangan bekas pelajar serta
mewujudkan persatuan pesara guru. Tambah beliau lagi, syor yang dicadangkan ini
tercetus melalui konsep memasyarakatkan pendidikan dan tidak melibatkan
sebarang kos tambahan kepada kerajaan. Walau bagaimanapun, usaha ini perlu
melibatkan sektor swasta, pihak ibu bapa dan kerajaan untuk melihat konsep ini
dapat direalisasikan.
Usaha untuk menangani beban tugas guru juga dapat dilihat melalui
pembentukan Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Tugas Guru pada
2010. Melalui penubuhan jawatankuasa ini yang bertujuan untuk menyenaraikan
tugas dan tanggungjawab guru, mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan
beban guru bertambah selain mencadangkan langkah-langkah bagi menangani
beban tugas guru antara lain telah mengesyorkan 13 langkah yang boleh diambil
untuk mengurangkan beban kerja guru. 13 langkah tersebut adalah:
i. Ujian amali diadakan sekali sahaja semasa peperiksaan.
ii. Kecilkan saiz kelas.
iii. Tambah bilangan guru.
iv. Wujudkan jawatan pembantu bengkel.
v. Kurangkan masa mengajar guru (termasuk guru disiplin).
vi. Adil dalam agihan tugas.
vii. Utamakan kebajikan guru.
viii. Sediakan kemudahan yang sesuai mengikut spesifikasi penjawat awam yang lain.
ix. Kurangkan aktiviti hari sabtu atau pengecualian dari bertugas pada hari sabtu seperti
penjawat awam yang lain.
x. Menjadikan cuti rehat khas hak guru.
xi. Mewujudkan jawatan khas untuk ko-kurikulum.
xii. Meningkatkan kerjasama dengan komuniti dan PIBG melalui perkongsian pintar.
xiii. Mewujudkan jawatan pembantu guru untuk kerja-kerja pengkeranian.
Kesemua syor yang dikemukan oleh Jawatankuasa Khas Menangani Masalah
Beban Guru ini dilihat lebih menyeluruh. Selain melibatkan guru biasa dalam
menangani isu ini, cadangan-cadangan yang dikemukakan juga melibatkan
pentadbir di sekolah selain melibatkan pihak pemerintah sebagai pembina dasar.
Tambahan lagi, syor-syor yang dicadangkan juga mengutamakan kebajikan guru.
Perkara ini senada dengan cadangan yang dikemukan oleh Shukri (1998)
yang mencadangkan perlu diwujudkan kakitangan sokongan untuk membantu kerja-
kerja pengkeranian guru dan perlunya diberi elaun kepada guru untuk melakukan
kerja-kerja lebih masa. Tambahnya lagi tugas yang diberikan kepada guru perlu
bersesuaian dengan kebolehan dan kemahiran yang ada pada guru tersebut dan
tidak mengakibatkan guru tersebut terbeban.
Salwa (1996) pula mencadangkan saiz kelas dikecilkan kepada 35 orang
untuk satu kelas. Selain itu, beliau juga mencadangkan tugasan akademik perlu
dihadkan kepada 39.80 jam seminggu dan tugas bukan akademik dikecilkan kepada
4.23 jam seminggu. Waktu yang disyorkan ini menunjukkan perbezaan yang ketara
berbanding 66 jam waktu bertugas (dengan menggabungkan tugasan akademik dan
bukan akademik) seperti yang dilaporkan oleh Jawatankuasa Khas Menangani
Masalah Beban Guru.
Cadangan yang dikemukan tidak harus dipandang sepi. Pihak yang
berkaitan perlu mengambil langkah yang proaktif untuk membantu menangani
masalah beban kerja guru ini. Perkara ini perlu dipandang serius untuk membantu
para guru mencapai kepuasan kerja yang tinggi tanpa stres dengan tidak
membebankan para guru dengan bebanan kerja yang melampau. Sudah tiba
masanya profesion guru ini diangkat kembali prestij dan kualitinya, bukan hanya
menjadi mangsa cemuhan dan kritikan masyarakat. Untuk mencapai hasrat
sedemikian sudah tentulah kualiti pengajaran guru perlu ditingkatkan terlebih dahulu
dengan cara mengutamakan fokus guru untuk mendidik. Dengan itu hasrat untuk
melahirkan generasi yang berilmu dan bersahsiah tinggi bukan lagi menjadi
omongan kosong.

5.0 PENUTUP
Isu beban tugas guru bukan lagi isu baru. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan isu
ini sudah menjadi isu lapuk yang seperti tiada penghujungnya. Saban tahun guru
akan terus mengeluh dengan bebanan kerja yang dialami sehingga mengganggu
tanggungjawab utama untuk mendidik
Penyelesaian isu ini tidak dapat dilakukan dengan penglibatan satu pihak
sahaja. Turutan penyelesaian perlu bermula daripada penggubal dasar (kerajaan)
sehingga pelaksana dasar (guru). Oleh yang demikian pihak kerajaan melalui
Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula tugasan yang
dipertanggungjawabkan kepada guru. Pelaksanaan tugasan yang tidak terurus akan
menimbulkan masalah kepada guru dan murid juga menerima impaknya.
Seterusnya, kurikulum yang telah digubal tidak perlu terlalu kerap diubah.
Hal ini akan menyebabkan guru tidak bersedia dengan kemahiran disamping
kurikulum yang baru itu menuntut pelbagai urusan untuk disesuaikan dengan
infrastruktur yang tersedia di sekolah. Keadaan ini ditambah lagi dengan tekanan
daripada pihak ibu bapa yang sentiasa mahukan keputusan yang cemerlang tanpa
mengira apa yang dialami oleh guru. Walhal jika diteliti semua pihak bersetuju
keputusan pepriksaan bukanlah menjadi penentu kejayaan (Sazali, 1997).
Kecenderungan pihak penggubal dasar yang hanya menekankan matlamat
kepada murid membuatkan kebajikan terhadap guru terabai. Benar tugas guru
adalah mendidik murid tetapi perlulah relevan dengan kemampuan yang sedia ada.
Pihak penggubal dasar perlu melihat kembali perkara yang perlu dilaksanakan untuk
merealisasikan hasrat yang dicita dan bukannya menggubal dasar secara
semberono. Ini bermakna segala kekangan yang bakal dan sedia dihadapi oleh guru
perlu dilihat.
Pihak yang lain terutamanya pihak ibu bapa tidak boleh beranggapan tugas
mendidik adalah tugas guru semata-mata. Ibu bapa perlu memainkan peranan
memantau anak-anak mereka dari aspek disiplin dan memberi pelajaran asas bagi
meringankan bebanan guru.
Secara tuntasnya, kerjasama yang menyeluruh daripada setiap pihak perlu
untuk menjadikan isu ini dapat diselesaikan dan seterusnya menjadikan kualiti
pengajaran bertambah baik disamping negara dapat melahirkan modal insan yang
mampu untuk memacu negara kearah kejayaan dan kemajuan lahiriah dan rohani.

Anda mungkin juga menyukai