Anda di halaman 1dari 9

ISU 7: ISU YANG BERKAITAN DENGAN PENILAIAN

EMPAT ISU YANG BERKAITAN DENGAN PENILAIAN

1.0 PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang giat membangun ke arah


mencapai Wawasan 2020. Pelbagai usaha telah dijalankan bagi memperbaiki,
mengekalkan dan meningkatkan kemajuan seiring dengan perkembangan
dunia pada masa kini terutama dalam sistem pendidikan negara. Pendidikan
berperanan dalam membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri,
berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran
tinggi. Modal insan yang ingin dilahirkan ini juga berupaya untuk berfikir
secara kreatif dan kristis, berkemahiran menyelesaikan masalah dan
mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan cabaran
dunia global yang sering berubah-ubah mengikut peredaran zaman.

Dalam Falsafah Pendidikan Negara, banyak penekanan dalam perkembangan


secara menyeluruh, seimbang, dan bersepadu bagi membentuk modal insan
yang baik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu, sebagai
pendidik haruslah sentiasa bersedia dalam pelbagai perkara untuk
memastikan matlamat pendidikan ini berjaya. Pengujian,penilaian dan
pentaksiran adalah di antara beberapa konsep yang penting dalam dunia
pendidikan. Secara khususnya, ketiga-tiga istilah tersebut membawa maksud
dan tujuan yang berbeza. Walaubagaimanapun, ketiga-tiga perkara ini
membantu untuk mencapai matlamat yang sama. Sistem Penilaian Prestasi
pelajar sentiasa menjadi tumpuan ahli akademik dan pengamalnya.

Perkara utama yang sering dibahas ialah bagaimana penilaian dapat


dilaksanakan dengan berkesan. Kepentingan penilaian dalam proses
pengajaran dan pembelajaran adalah ketara dan sangat penting. Para pelajar
sering mengalami trauma bila berhadapan dengan ujian. Apatah tidaknya,
kejayaan mahupun kegagalan mereka bertitik-tolak daripada ujian yang
menilai mereka sebagai orang yang pandai atau lemah. Begitu juga guru,
mereka selalunya resah apabila menerima keputusan ujian pelajarnya.
Kejayaan dan kegagalan mereka mengajar terletak pada keputusan
pencapaian pelajarnya. Tinggi peratus yang lulus bermakna berjayalah
seseorang guru itu mengajar pelajarnya. Sebaliknya, rendah peratus lulus,
seseorang guru itu perlu bertindak membaiki cara pengajarannya.

Umumnya, penilaian dilakukan atas dua objektif utama iaitu untuk


membantu pembelajaran dan untuk memperbaiki pengajaran. Walaupun
penilaian adalah penting bagi menentukan keberkesanan suatu proses
pengajaran dan pembelajaran seperti yang disebutkan, ia juga akan bertukar
menjadi sesuatu yang negatif jika kaedah perlaksanaannya tidak tepat. Kajian
akademik menunjukkan sistem ini telah menjadi tidak berkesan bukan
disebabkan oleh sistem itu tetapi pelaksanaannya.Terdapat beberapa isu yang
sering diutarakan mengenai sistem penilaian berkaitan dengan prestasi
murid-murid di sekolah. Antaranya adalah bias dalam penilaian,

2.0 ISU-ISU YANG BERKAITAN DENGAN PENILAIAN

2.1. ISU BIAS DALAM PENILAIAN

Isu yang pertama ialah bias dalam penilaian. Terdapat beberapa perspektif
yang menjelaskan tentang definisi bias dalam penilaian. Menurut Hambleton,
Ronald dan Janne(1995), bias adalah kewujudan kriteria-kriteria tertentu
dalam memberi kesan yang berbeza terhadap pencapaian individu dengan
kebolehan yang sama dari kumpulan, etnik, jantina ,budaya dan agama yang
berbeza. Jika sesuatu item itu berfungsi berbeza kepada sesuatu kumpulan
dengan yang lain, ia secara terangan adalah bias (Dorans dan Holland,
1993).Definisi bias menurut The American Heritage Dictionary pula adalah
sebagai kecenderungan atau kecondongan yang menghalang penilaian yang
adil. Berdasarkan ketiga-tiga perspektif tersebut, dapatlah disimpulkan
bahawa bias dalam penilaian adalah ketidakadilan yang wujud dalam sesuatu
penilaian. Terdapat empat aspek yang dapat menjelaskan kewujudan bias
dalam penilaian iaituitem soalan ujian, penilaian melalui pemerhatian,
penilaian secara lisan dan penilaian melalui penulisan.

i. Bias Dalam Item Soalan Ujian

Aspek yang pertama ialah bias dalam item soalan ujian. Zaubedah (2007)
dalam kajiannya yang bertajuk mengesan dif dalam item peperiksaan mata
pelajaran perdagangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sukatan pelajaran
tingkatan empat menyatakan bahawa, sesuatu item itu bias apabila seseorang
individu yang sama tahap kebolehan,daripada kumpulan yang berbeza tidak
mempunyai kebarangkalian yang sama untukmenjawab item tersebut dengan
betul. Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan bagi mengesan item-
item ujian yang bias atau tidak memihak kepada responden mengikut jantina,
lokasi sekolah, agama, bangsa dan linguistik. Jantina dan lokasi sekolah
merupakan dua faktor yang sering dikaitkan dengan kewujudan bias dalam
item soalan. Item soalan akan menjadi bias mengikut jantina apabila item
soalan yang dibina cenderung kepada satu jantina sahaja.

Menurut Black (1998), pengujian yang menggunakan soalan yang berkaitan


dengan permainan mekanikal lebih cenderung kepada pelajar lelaki manakala
set yang menggunakan contoh dan situasi daripada anak patung atau kerja-
kerja dapur lebih cenderung kepada pelajar perempuan. Beliau juga
menyatakan bahawa pelajar perempuan secara umumnya tidak begitu pandai
dalam soalan objektif berbanding soalan esei kerana mereka tidak suka
meneka (guessing) apabila tidak boleh menjawab seperti yang dilakukan oleh
pelajar lelaki.

Kajian TIMSS-R (1998) pula menyatakan item-item matematik yang


berbentuk ayat panjang memerlukan calon membaca dan memahami maksud
lebih memihak kepada pelajar perempuan. Manakala item-item yang
memerlukan keupayaan visualization lebih kepada pelajar lelaki. Pelajar
lelaki dan perempuan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing
dalam sesuatu subjek. Oleh itu, guru haruslah mengambil beberapa tindakan
bagi mengelakkan bias berlaku dalam pembinaan item soalan ujian.
Antaranya ialah guru haruslah mengimbangi bilangan topik dalam kertas
soalan, seimbangkan bentuk soalan iaitu terdapat soalan objektif dan soalan
subjektif dan seimbangkan corak soalan iaitu mengambil kira tentang
sterotaip jantina pelajar dan tidak mendatangkan bias.

ii. Bias Dalam Penilaian Melalui Pemerhatian

Aspek yang kedua ialah bias dalam penilaian melalui pemerhatian. Penilaian
melalui pemerhatian adalah satu proses untuk menentukan apa yang pelajar
tahu, bagaimana hendak melakukan sesuatu tugasan atau operasi dalam masa
sebenar. Tujuan penilaian ini adalah untuk membekalkan data yang bersifat
objektif tentang kualiti pencapaian pelajar, termasuk proses dan prosedur
dalam menyiapkan tugasan dan cabaran yang dihadapi sepanjang proses
tersebut. Ianya merupakan satu alat penaksiran yang sesuai untuk mentaksir
aspek afektif dan psikomotor pelajar.

Pemerhatian hasil kerja, tingkah laku, komunikasi dan interaksi pelajar


adalah antara perkara yang sering dinilai oleh guru melalui mata kasar.
Namun begitu, persepsi guru terhadap pelajar menyebabkan bias berlaku
dalam penilaian melalui pemerhatian. Persepsi guru akan mempengaruhi cara
penilaian atau pemarkahan dan mata kasar guru hanyalah pandangan luaran
sahaja yang tidak dapat membuktikan atau menyatakan keadaan sebenar
pelajar. Penilaian yang di buat hanya dengan mata kasar menyukarkan guru
untuk menilai tahap kefahaman sebenar pelajar.

iii. Bias Dalam Penilaian Melalui Penulisan

Di samping itu, persepsi guru terhadap pelajar juga menimbulkan bias dalam
penilaian melalui penulisan. Penilaian melalui penulisan adalah satu proses
yang melibatkan aktiviti menyemak tugasan bertulis. Perkara yang dapat di
nilai secara penulisan bergantung kepada tugasan yang diberi, tetapi secara
umumnya terdapat beberapa perkara yang dapat di nilai seperti kronologi
penulisan, kreativiti penulisan, susunan ayat atau penggunaan bahasa, kaedah
atau formula yang digunakan serta kekemasan. Penilaian ini dianggap sebagai
satu medium yang boleh dipercayai dalam menilai pelajar kerana mempunyai
hasil atau produk yang dapat di lihat oleh guru. Namun begitu, pemarkahan
penulisan adalah bergantung kepada kebolehpercayaan seseorang guru untuk
menilai secara adil ataupun tidak. Oleh itu, guru tidak seharusnya
mengamalkan sikap bias kerana ianya dianggap tidak professional dan perlu
mengambil inisiatif untuk mengatasinya jika bersikap bias dalam penilaian.

iv. Bias Dalam Penilaian Secara Lisan

Selain itu, aspek yang seterusnya ialah bias dalam penilaian secara lisan.
Penilaian secara lisan adalah satu proses untuk mengumpul maklumat semasa
interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Ianya bertujuan untuk
mengetahui pemahaman dan penguasaan pelajar secara serta merta. Perkara
yang dapat dinilai secara lisan ialah kefahaman konsep, kecekapan
mendengar, keyakinan, tahap pemikiran, pengetahuan fakta, kecekapan
mengcongak dan penggunaan bahasa yang tepat. Kebiasaannya guru
menganggap pelajar yang mengalami kesukaran dalam berbahasa tidak
mencapai tahap pemahaman yang baik dalam sesuatu konsep walhal ianya
berpunca daripada kelemahan pelajar dalam berbahasa dan tidak
mempengaruhi pemahaman pelajar. Malah pelajar juga gagal berkomunikasi
dengan baik dalam penilaian lisan kerana ketakutan mereka terhadap guru
seterusnya mengakibatkan pelajar kurang berani menyuarakan pendapat
mereka.

Terdapat beberapa cadangan yang dapat guru laksanakan bagi mengurangkan


bias dalam penilaian iaitu:

a) guru perlu bijak dan teliti dalam memilih item soalan ujian
b) gunakan borang penilaian yang standard
c) buat penilaian berulang kali
d) kurangkan sifat bias dalam diri.

2.2 ISU PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Isu yang kedua ialah pentaksiran berasakan sekolah (PBS). PBS merupakan
satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistic iaitu menilai aspek kognitif
(intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR). PBS akan mentaksir bidang akademik dan bukan akademik. Selain
itu, PBS akan dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksiran dilaksanakan
oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam P&P mengikut
prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. Antara komponen PBS
adalah pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, pentaksiran aktiviti jasmani,
sukan dan kokurikulum dan pentaksiran psikometrik. PBS terbahagi kepada
dua bentuk format pentaksiran iaitu kerja kursus (PEKA) dan pentaksiran
lisan berasakan sekolah (PLBS).

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), PBS bukanlah sesuatu yang


baru keran pentaksiran inilah yang selama ini dilaksanakan oleh guru di
sekolah (kerja rumah, projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain). PBS yang
terbaru ini adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua
aspek JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek berbanding kepada
pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian
akademik melalui peperiksaan. PBS akan mentaksir proses dan produk secara
formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan
assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih
kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan
assessment of learning, PBS yang dicadangkan ini merupakan
penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan
memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem
Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu guru merekod pencapaian murid
secara berterusan.

Walaupun PBS merupakan salah satu langkah untuk menambahbaik sistem


penaksiran supaya bersifat lebih adil, tetapi terdapat juga isu yang timbul
mengenai pelaksanaan PBS. Terdapat dua isu dalam pelaksanaan PBS iaitu
kepimpinan guru besar atau pengetua dan guru akademik. Guru besar atau
pengetua merupakan ketua dalam pelaksanaan PBS di sekolah yang
bertanggungawab untuk memastikan PBS dilaksanakan mengikut prosedur
pelaksanaan PBS dan mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang
pentaksiran. Walaubagaimanapun, terdapat juga segelintir guru besar atau
pengetua yang kurang faham mengenai prosedur pelaksanaan. Selain itu, ada
juga segelintir guru besar yang kurang mengetahui ilmu dalam bidang
pentaksiran termasuklah prinsip asas dalam pentaksiran pendidikan,
pengendalian, penentuan standard dan penggunaan hasil pentaksiran.

Isu yang seterusnya ialah guru akademik. Guru Akademik merupakan


individu yang penting dalam menjalankan PBS keran merekalah yang akan
menjalankan atau mengendalikan PBS. Terdapat empat pula isu yang timbul
mengenai guru akademik sebagai pelaksana PBS iaitu guru kurang
pemahaman tentang pelaksanaan dan konsep PBS, guru mengajar tidak
mengikut opsyen yang sebenar, guru tidak terlatih dan persepsi guru
terhadapa PBS.

Guru yang kurang pemahaman tentang pelaksanaan dan konsep PBS akan
menyukarkan merka untuk merancang strategi bagi menjalankan PBS. Selain
itu, isu guru pelaksana PBS mengajar tidak mengikut opsyen sebenar dan
guru tidak terlatih merupakan isu yang sering dipersoalkan kerana
kompetensi guru sebagai pembimbing dan pemudahcara dalam melaksanakan
pentaksiran di dalam bilik darjah yang kurang professional. Hal ini demikian
kerana mereka kurang mahir dalam subjek yang bukan opsyen dan keadaan
ini akan menghasilkan penaksiran yang tidak berkualiti.

Seterusnya adalah isu persepsi guru terhadap PBS. Terdapat segelintir guru
yang menganggap PBS sebagai beban kepada mereka. Persepsi guru ini
disokong oleh Gan (2000) yang menyatakan bahawa kebanyakan guru
merasakan perubahan pendidikan telah meningkatkan beban kerja mereka.
Guru juga perlu mentaksir dan mengajar dalam masa yang sama. Tan (2010)
juga menyatakan perkara yang sama bahawa PBS menambah beban tugas
guru di sekolah yang memang telah dibebani dengan tugas-tugas pentadbiran
dan kokurikulum. Ini menyebabkan guru melaksanakan pentaksiran sebagai
satu produk dan bukan sebagai satu proses.

2.3 ISU PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) DIGANTI KEPADA


PENTAKSIRAN TINGKATAN (PT3)

Kajian secara online yang dijalankan oleh KPM untuk melihat persetujuan
guru dalam pelaksanaan PBS mendapati hampir 75 peratus guru setuju ia
dihapuskan. Oleh itu, pada 11 Februari 2014, PBS diberhentikan seketika bagi
penilaian semula. Namun begitu, pada 1 April 2014, KPM menjalankan
semula PBS dengan mengumumkan tiga penambahbaikan pada PBS iaitu
dokumen standard prestasi ditukar kepada Panduan Perkembangan
Pembelajaran Murid (PPPM), SPPBS adalah secara offline dan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Malah melalui penambahbaikan ini guru tidak lagi perlu menyediakan Fail
Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit yang tidak
jelas sehingga mengganggu tugas mengajar dan perekodan perkembangan
pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru selepas
ini.

Kemerosotan pencapaian pelajar dalam Trends in International Mathematics


and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student
Assesment (PISA) telah menyebabkan PMR digantikan dengan PT3. PT3
merupakan pentaksiran sumatif yang setara di tingkatan tiga bagi menilai
pencapaian akademik murid. Ini bermakna PT3 mentaksir aspek
pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah
rendah (KPM, 2014).

PT3 diwujudkan adalah bagi menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif dan
proaktif. Soalan PMR banyak menumpukan peperiksaan apabila pelajar hanya
memilih jawapan yang betul atau tidak betul dengan pilihan yang diberikan.
Sementara soalan PT3 dapat menggalakkan pelajar untuk berfikir secara
kreatif dan kritis. Hal ini dapat menilai tahap kebolehan pemikiran para
pelajar. Namun begitu, pelaksanaaan PT3 juga dianggap terburu-buru oleh
guru mahupun ibu bapa kerana ianya diperkenalkan pada bulan April 2014
dan terus dilaksanakan pengujiaannya pada bulan Oktober 2014.

2.4 ISU PENILAIAN BERASASKAN PEPERIKSAAN

Guru-guru diarahkan memberikan latihan yang sebanyak yang mungkin


kepada pelajar kerana sistem pendidikan kita berorientasikan peperiksaan.
Buku latihan pelajar-pelajar akan dipantau dari masa ke semasa oleh pihak
pentadbir sekolah bagi memastikan guru menjalankan arahan yang diberikan.
Penekanan ini menyebabkan guru tidak berminat menggunakan perisian di
dalam pengajaran dan pembelajaran.

Penekanan yang berlebihan kepada peperiksaan menyebabkan guru-guru


mengabaikan aspek lain seperti pengajaran menggunakan ICT. Peperiksaan
ini dianggap perkara yang sangat penting sama ada oleh guru, pelajar dan
ibubapa. Media massa turut memainkan peranan dengan menghebahkan
pencapaian pelajar dan sekolah. Ini menyebabkan timbulnya budaya atau
fenomena guru mengajar hanya menfokuskan kepada isi kanduagan dan
kemahiran yang akan dinilai di dalam peperiksaan. Pelajar pula akan diajar
untuk mengingati model jawapan dan pengiraan dengan menggunakan rumus
sehingga guru akan memberikan latihan berterusan dan mengabaikan kaedah
pengajaran.

Kebiasaannya, guru matematik hanya dapat menilai prestasi pelajar melalui


pencapaian ujian, tetapi menilai pemikiran matematik pelajar masih
dipersoalkan. Budaya "ajar untuk ujian" dalam pengajaran dan pembelajaran
matematik telah menjadi satu bentuk penilaian yang biasa digunakan oleh
guru matematik. Walaupun pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) telah
dibina dengan baik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi penilaian
yang lebih holistik, tetapi penyelidik mendedahkan bahawa guru masih belum
berupaya melaksanakannya dengan baik. Dengan itu, penyelidik
mencadangkan satu kerangka yang dikenali sebagai Mathematical Thinking
Assessment (MaTA) untuk menilai pemikiran matematik pelajar.Terdapat
empat aspek yang amat sesuai digunakan dalam menilai pemikiran matematik
pelajar iaitu penilaian prestasi, skala pengukuran metakognitif, skala
pengukuran pelupusan matematik dan Pemarkahan Rubric Pemikiran
Matematik.

Selain itu, juga fenomena ini juga menyebabkan pelajar hanya belajar untuk
lulus dalam peperiksaan dan mendapat keputusan yang cemerlang sahaja. Hal
ini pelajar susah menggunakan apa yang dipelajari di sekolah untuk
digunakan dalam kehidupan harian mereka mahupun di alam pekerjaan
mereka. Bagi mereka hanya mendapat keputusan yang cemerlang sudah boleh
menentukan arah masa depan mereka. Bagi guru-guru- pula, mereka hanya
menekan soalan yang akan keluar dalam peperiksaan sahaja dan
menyebabkan para pelajar sudah menjangka soalan yang bakal akan keluar
pada peperiksaan nanti. Tambahan pula guru-guru lebih suka membina
soalan berbentuk objektif aneka pilihan untuk diberikan kepada pelajar dan
sesetengah akan suka dengan soalan berbentuk sebegini kerana mereka hanya
tanda sahaja jawapan yang telah diberikan oeleh guru tanpa menggunakan
ayat atau kefahaman mereka sendiri dalam membina ayat untuk jawapan
mereka.

3.0 KESIMPULAN

Justeru itu, bagi melaksanakan bentuk penilaian secara berterusan ini, guru-
guru harus mempunyai pengetahuan yang cukup berkaitan dengan penilaian
kerana dengan pengetahuan dan pengetahuan yang mencukupi maka guru-
guru akan dapat melaksanakan tujuan penilaian ini dengan sewajarnya. Selain
itu, guru-guru harus melaksanakan tangungjawab yang diamanah dengan
jujur dalam penilaian yang melibatkan pelajar apabila sesuatu keputusan yang
dibuat ke atas masa depan dan pendidikan mereka. Oleh yang sedemikian,
berbagai-bagai jenis alat pengukuran perlu digunakan untuk tujuan mengukur
dan membuat penilaian. Guru-guru harus mengamalkan penggunaan
berbagai alat pengukuran ini untuk memastikan maklumat diperolehi dapat
menggambarkan kebolehan pelajar dengan lebih menyeluruh.

RUJUKAN

Arsaythamby Veloo (2006). Bias Ujian Aneka Pilihan Matematik KBSM


Berdasarkan Perbezaan Individu Dan Orientasi Pembelajaran Matematik.
Tesis Doktor Falsafah (Ph.D.), Sintok : Universiti Utara Malaysia.
Daliyani (2011). Pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM)
Dalam Matematik Di Peringkat Sekolah Menengah. Tesis Sarjana Muda,
Johor : Universiti Teknologi Malaysia.

Noraini Idris (2005). Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur :


Penerbit Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Zaubedah (2007). Mengesan Dif Dalam Item Peperiksaan Mata Pelajaran


Perdagangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sukatan Pelajaran Tingkatan
Empat. Tesis Sarjana, Universiti Sains Malaysia

Anda mungkin juga menyukai