Anda di halaman 1dari 7

Tazkirah 8 : Peristiwa Israk Dan Mikraj

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat serta salam buat junjungan
mulia Nabi Muhammad S.A.W, keluarga dan para sahabat serta pengikut yang
istiqomah menuruti baginda Rasulullah hingga ke hari kiamat.
Murid-murid ustaz yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila tiba tarikh 27 Rejab, umat Islam di seluruh dunia akan
mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku
pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah.
Apabila bercerita tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan
terbayang kisah perjalanan Rasulullah saw bersama Malaikat Jibril dan Mikail
yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.
01. Israk perjalanan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjidil Haram di Mekah ke
Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin.
02. Mikraj perjalanan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjidil Aqsa di
Baitulmaqdis, Palestin ke Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam AlQuran, Surah Al-Isra ayat 1 yang bermaksud;
Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam
dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar
Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlaku pada satu
malam sahaja.
Para ulama hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan
bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu
malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh
dan roh Nabi S.A.W dan bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada
firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan asra bi abdihi
lailan yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam.
Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang
mana meliputi tubuh badan dan rohnya bersama-sama dan bukannya rohnya
sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu
berbunyi asra bi rohi abdihi lailan yang bermaksud memperjalankan roh
hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah
secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya
iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis
imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku
atau pun mereka berbelah-bahagi samada mahu mempercayainya ataupun

sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasulNya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada
masyarakat umum, maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan
mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat
malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah
pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu mempercayai baginda
S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi
Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq apabila beliau mendengar berita daripada orang
ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan
tegas menyatakan :
Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda
S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu,
maka aku tetap beriman kepadanya. Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak
berbelah-bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya
sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud orang yang
membenarkan.
Murid-murid yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj, Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan
dada/perut oleh Malaikat Jibril dan Mikail. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air
zamzam, dibuang ketul hitam (alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan
perasaan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam
dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan
khatimin nubuwwah. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama
Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang
dinamakan Israk itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat
Jibril dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan
bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibril supaya berhenti dan
bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
02. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
03. Baitul-Laham iaitu tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan.
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin
Ifrit dengan api dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
01. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka.
Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi

dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibril:
Itulah kaum yang berjihad Fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan
sebanyak 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
02. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibril : Itulah
bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Firaun) bersama suaminya dan
anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman
ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak
mahu mengakui Firaun sebagai Tuhan).
03. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali
dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian
dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang
berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
04. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur)
dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan
bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang
tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
05. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang
busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan
perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masingmasing mempunyai isteri/suami.
06. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail:
Itulah orang yang makan riba.
07. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi
ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan
amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
08. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan
penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka
kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan
mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
09. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.
Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan
menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat
dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar
(Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan.
Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah
memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia
daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah
berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang
mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan
sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti
saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk
ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala
anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak
dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda
membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda
akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail
naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu
berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang
makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan
kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu
penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu
masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris
A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S.
yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi.
Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh
Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000
orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu
bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di BaitulMakmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi
Ibrahim A.S. bersabda, Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini.
Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA


QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S.
bersabda, Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka,
syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima
kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA
ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA
BILLAHIL- ALIYYIL-AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini
akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke
dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas
Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut al-Kursi yang berbetulan dengan dahan
pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada
pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai
madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan
bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas
berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah
S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga.
Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik
penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok SidratulMuntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur Arasy,
iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh
kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan
Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata
kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan
Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau
berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau
berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau
kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada
sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan
angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat
menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau
lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai


penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan
buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan
dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah
Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu
ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah
Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar
makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam
dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan
umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian
Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada
Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang
itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya
Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan
mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke BaitulMaqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang
sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang
kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu
(Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira
18 bulan sebelum hijrah). Wallahualam.
(Sumber : Kitab Jamul-Fawaaid)
Murid yang dikasihi,
Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah
sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih
penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi
meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa
Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh
pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati
Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benarbenar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan
berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji
umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang
kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai,
malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan
kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah
menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda
Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam
peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi
Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah
bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)
Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas
oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa
semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan
umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam
seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat
memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah
daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin

Anda mungkin juga menyukai