Anda di halaman 1dari 3

Cerita Anak Derhaka.

Hai kawan-kawan! Apa khabar? Hari ini saya bukannya hendak bercerita Kisah Si
Tanggang, tetapi untuk menyampaikan sebuah cerita yang lebih kurang sama dengan cerita
Si Tanggang iaitu mengenai seorang anak yang derhaka kepada ibunya.
Kisah yang akan saya sampaikan pada hari ini berlaku di negeri Arab. Pada zaman
dahulu ada seorang pemuda yang sangat dihormati oleh jiran-jirannya kerana ketinggian
ilmunya. Pemuda itu sangat disenangi oleh orang ramai kerana budi pekertinya yang baik.
Ya, kawan-kawan, kita juga harus mempunyai budi pekerti yang mulia jika kita mahu disukai
oleh orang lain. Pemuda itu menjadi permata hati dan kesayangan ibunya, apatah lagi dia
merupakan anak tunggal. Walaupun dianggap sudah berilmu, tetapi pemuda itu merasakan
ilmunya belum memadai. Dia bercadang hendak ke Makkah untuk belajar pelbagai ilmu lagi.
Dia juga ingin mendalami ilmu yang sudah dipelajari. Baginya, menuntut ilmu itu tidak ada
titik perhentiannya. Bagus ya kawan-kawan sikap yang dimiliki oleh pemuda itu. Semakin
banyak kita belajar, semakin banyak pula perkara yang kita ketahui.
Pemuda tadi pun memberitahu niatnya untuk ke Makkah kepada ibunya.
Ibu, saya bercadang hendak ke Makkah untuk mendalami ilmu pengetahuan agama
dengan ulama-ulama besar di sana. Saya mengharapkan keizinan dan restu daripada
ibu, beritahu pemuda dengan suara yang lembut.
Anakku, engkau adalah mutiara hati ibu. Ibu akan menderita kalau engkau pergi
ke sana. Lagi pun ibu sudah tua. Ibu tidak sanggup berpisah dengan engkau
bertahun-tahun lamanya. Batalkan sahaja niatmu itu nak, kata ibunya dengan suara
yang sebak.
Pemuda itu sangat hampa mendengar kata-kata ibunya itu. Dia sangat sedih kerana ibunya
tidak membenarkan dia pergi menuntut ilmu di Makkah. Semalaman dia tidak dapat tidur
memikirkan hal itu.
Keesokan harinya, secara senyap-senyap pemuda itupun berangkat ke Makkah. Dia
tidak menghiraukan nasihat ibunya supaya tidak meninggalkan ibunya seorang diri. Pada
pagi itu, ibu pemuda itu tercari-cari di mana anaknya. Alangkah sedih hati ibu tua itu apabila
mengetahui bahawa anaknya telah meninggalkannnya. Maka berdoalah ibu tua itu.
Ya, Allah! Hatiku sungguh terluka kerana anakku tidak mahu mendengar
nasihatku. Anakku pergi juga walaupun tanpa keizinanku. Ya Allah turunkanlah seksa
kepada anakku itu Ya Allah. Suara wanita tua itu merintih dan merayu-rayu. Kasihan ya,
kawan-kawan, wanita tua itu telah ditinggalkan seorang diri oleh anak kesayangannya.

Pemuda itu akhirnya sampai juga ke kota Makkah. Dia meneruskan pengajian ilmu
agama di kotayang masyhur dengan tempat-tempat pengajian ilmu itu.

Pada suatu malam telah berlaku satu kecurian di kota Makkah. Seorang pencuri
telah masuk ke dalam rumah seorang saudagar kaya. Kebetulan pada waktu itu saudagar
kaya masih belum tidur lena. Saudagar kaya telah menyedari tentang kehadiran pencuri
tersebut lalu segera bangun. Menyedari hal itu, pencuri itu lari lintang-pukang. Dia telah
melarikan diri ke arah sebuah masjid dan bersembunyi di dalam masjid tersebut. Saudagar
itu terus mengejar pencuri itu.
Secara kebetulan pada masa itu, pemuda yang belajar di kota Makkah berada di
dalam masjid itu. Dia sedang khusyuk berzikir. Dia tidak menyedari akan kedatangan
pencuri yang dikejar oleh saudagar tadi. Sebagai langkah untuk menyelamatkan diri, pencuri
yang dikejar itu berteriak sambil menunjuk-nunjuk ke arah pemuda yang sedang duduk
berzikir itu. Kasihan kawan-kawan, tanpa bersoal jawab pemuda yang berzikir itu telah
ditangkap oleh saudagar tadi.
Engkau hendak mencuri di rumah aku ya? Pandai berdalih dan berpura-pura
warak, konon! kata saudagar kaya itu. Pemuda yang berzikir tadi telah dibawa
menghadap raja.
Tuanku, pemuda ini telah menceroboh rumah patik dengan niat hendak
mencuri.
Patikcuba menangkapnya
tetapi
dia
telah
melarikan
diri
dan cuba bersembunyi di dalam sebuah masjid. Dia berpura-pura warak dengan
berzikir. Mujurlah ada pemuda yang memberitahu patik di mana dia berada, kata
saudagar kaya itu kepada raja. Raja yang mendengar kata-kata saudagar itu tidak bersoal
banyak. Dengan wajah yang murka, baginda telah menjatuhkan hukuman ke atas pemuda
itu dengan memotong tangan dan kakinya.
Butakan juga matanya. Jangan belas kasihan lagi kepada pencuri ini, titah
baginda dengan tegas. Kasihan ya kawan-kawan pemuda yang tidak bersalah itu telah
dijatuhi hukuman yang begitu berat.
Setelah hukuman dijalankan, salah seorang pegawai istana yang menjalankan
hukuman itu berjumpa dengan raja. Tuanku, hukuman telah dijalankan, kata pegawai
itu kepada raja.
Bagus! Sekarang kamu arak pemuda yang kudung itu di sepanjang jalan. Katakan
kepada orang ramai bahawa inilah akibatnya kalau cuba mencuri harta orang. Kata
raja itu lagi.
Pemuda yang sudah kudung itu diarak ke sekeliling Bandar untuk diperlihatkan
kepada orang ramai. Ketika diarak, pegawai-pegawai istana memberitahu orang ramai
tentang apa yang diperintahkan oleh raja. Suatu ketika pemuda yang sudah kudung itu
menegur pegawai-pegawai istana.
Mengapa kamu berkata demikian? Aku bukan pencuri. Aku hanya derhaka kepada
ibuku! Katakan kepada orang ramai inilah balasan anak yang derhaka kepada
ibunya, Pegawai-pegawai istana hairan dengan penjelasan pemuda itu. Setelah
mendengar cerita pemuda itu, tahulah mereka bahawa pemuda itu tidak bersalah tetapi
apakan daya, nasi telah menjadi bubur.Pemuda itu telah dilepaskan dan dihantar pulang ke
rumahnya. Setibanya di muka pintu, pemuda itu termenung seketika. Dia tidak tahu cara
yang paling baik untuk tidak mengejutkan ibunya. Pemuda yang kudung itu pun berpurapura menjadi peminta sedekah supaya ibunya muncul di muka pintu. Apabila mengetahui

ada peminta sedekah di luar rumahnya, perempuan tua itu pun keluar membawa roti untuk
disuapkan ke dalam mulut pemuda yang kudung itu. Sebaik-baik sahaja roti itu hendak
disuapkan, pemuda itu pun merebahkan dirinya di atas ribaan ibunya lalu berkata,
Ibu maafkan saya ibu. Saya bukan pengemis. Saya ialah anak ibu. Saya telah
berdosa kepada ibu. Ampunkanlah anakmu ini, ibu!
Menyedari pemuda yang kudung itu ialah anak kesayangannya, perempuan tua itu
pun mendakap anaknya sambil menangis. Dia tidak sanggup melihat penderitaan yang
ditanggung oleh anaknya itu. Si ibu benar-benar menyesal mendoakan perkara yang buruk
terhadap anaknya. Perempuan tua itu pun menadah tangan lalu berdoa,
Ya, Allah, segala kesalahan yang dilakukan oleh anakku telah aku ampunkan. Aku
tidak sanggup melihat penderitaan anakku ini. Kau akhirilah hidupku ini bersamasama anakku sekiranya mati itu lebih baik bagi kami dan agama kami.
Doa ibu tua itu akhirnya diperkenankan Allah. Tidak berapa lama kemudian ibu tua
itu menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana sakit dan diikuti pula oleh anaknya yang
cacat itu.
Demikianlah tadi kawan-kawan satu kisah yang patut kita jadikan teladan. Ingatlah
menderhaka kepada ibu bapa, adalah amat besar dosanya. Di dunia lagi kita akan
mendapat balasannya. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Sebelum saya mengundur diri
dengarkanlah pantun ini.
Masukkan paku ke dalam raga,
Hati-hati jangan terluka:
Tingkah laku perlu dijaga,
Jangan menjadi anak derhaka.
Sekian, terima kasih. Jumpa lagi kawan-kawan

Anda mungkin juga menyukai